KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Salahuddin Ayub memperkatakan usaha mempersadakan perjuangan Pemuda selepas undur

Salahuddin Ayub antara calon popular kerusi Naib Presiden PAS yang akan dipertandingkan pada 5 Jun depan.

MUQADDIMAH: Setelah terlibat selama 30 tahun bersama Pemuda PAS merentasi ranjau pahit manis perjuangan, Salahudin Ayub akan meninggalkan dunia pemuda lewat Muktamar Tahunan PAS, Jun ini. Penglibatan beliau dalam sayap kanan parti itu bermula sebagai Ketua Pemuda PAS Pontian pada 1983. Disusuli sebagai Exco Pemuda PAS Johor (1987-1989).
Beliau kemudiannya menjawat Ketua Pemuda PAS Johor selama 10 tahun. Daripada tahun 1991 sehinggalah 2003 diamanahkan sebagai Ahli Jawatankuasa Pemuda PAS Pusat, Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Naib Ketua Pemuda PAS Pusat dan Timbalan Ketua Pemuda PAS Pusat. Salahudin kemudian dipilih Ketua Pemuda PAS Pusat dari 2003 hingga sekarang. Bersama-sama TAUFEK YAHYA dan AZAMIN AMIN, beliau berkongsi rasa dan meninggalkan pesan serta harapan kepada barisan pemimpin Pemuda PAS.


Sepanjang pembabitan 30 tahun saudara daripada tahun 1983 di era kepimpinan Mustafa Ali, Ustaz Abdul Halim Arshat, Ustaz Abu Bakar Chik, Mohammad Sabu dan Mahfuz Omar apakah perubahan penting yang saudara dapat lihat dalam organisasi Pemuda PAS ini?

SALAHUDDIN AYUB: Saya meneliti dengan cermat tentang perubahan zaman itu. Dalam setiap era itu ada beberapa indikator dan peristiwa penting yang mahu dan tidak mahu sudah pasti mencorakkan kepimpinan Pemuda ketika itu.
Pada zaman Mustafa Ali dan Abu Bakar Chik, boleh saya simpulkan zaman ketika itu kita 'confont' iaitu kita terpaksa berhadapan dengan musuh kita Barisan Nasional (BN) yang pendekatannya ketika itu cukup agresif. Di samping tuduhan liar, tindakan-tindakan seperti wujudnya kumpulan samseng yang menggangu PAS.
Masa itu ceramah-ceramah PAS diganggu dan dilempar dengan telur-telur busuk. Masa kita melihat pertentangan fizikal sehingga berlakunya pukul-memukul di kawasan-kawasan PAS tidak kuat. Sehinggalah kepada operasi besar-besaran ISA dan Operasi Lalang pada tahun 1984 dan 1987.
Di situ mencorakkan 'nature' - sifat semula jadi Pemuda PAS dahulu, cukup agresif kerana pendekatannya kita terpaksa berhadapan secara fizikal. Dibantu juga dengan penceramah dan pemidato yang cukup hebat ketika itu antaranya seperti Mohamad Sabu, Mahfuz Omar, Bunyamin Yaacob, Abu Bakar Chik sendiri.
Kita begitu agresif kerana penentangan ideologi ketika itu diterjemahkan dengan penentangan berbentuk fizikal.
Walaupun saya tidak sempat dalam exco di era Mustafa Ali, tetapi saya sudah jadi Ketua Pemuda PAS kawasan dan dapat melihat bagaimana era PAS berada dalam BN dan 'ditendang' keluar daripada BN. Ketika itu, saya melihat kemelut dan krisis politiknya cukup tajam sekali.
Selepas itu di hujung era Abu Bakar Chik, PAS sudah mula mengukuhkan struktur organisasi parti. Pada ketika itu, Pemuda PAS mula dibentuk secara lebih bersistematik. Sebenarnya pada era 80-an dahulu tidak semua PAS kawasan ada sayap Pemuda. Hanya di negeri tertentu sahaja seperti di Kelantan, Terengganu dan Kedah. Di era Abu Bakar Chik diwujudkan Pemuda PAS di setiap kawasan.
Pemuda mula mengorak langkah dengan begitu serius dalam mengatur gerak kerja dengan lebih tersusun. Keadaan begitu sukar sekali pada waktu itu dengan ahli-ahli yang terhad namun dengan semangat kekuatan pada tarbiah dan daya juang ahli, peningkatan dari sudut organisasi mula berkembang.
Di era itu juga tumbuhnya, Lajnah-lajnah dan Jabatan-jabatan yang berkaitan mahasiswa, jabatan kerajaan dan swasta, tarbiah, pendidikan, sukan dan rekreasi di mana kita membentuk kekuatan dalaman organisasi.
Mahfuz Omar, Mohammad Sabu dan saya berada di dalam kabinet Abu Bakar Chik. Kita menjadi 'key player' membawa mesej parti dan membina organisasi dan terus melancarkan gerakan penerangan ke seluruh negara.
Masa itu kekuatan politik dan organisasi pemuda adalah seimbang. Mahfuz bernasib baik kerana ketika memegang tampuk Pemuda PAS pada 1999, tercetusnya era Reformasi. Dan terus beliau menang sebagai Ahli Parlimen Pokok Sena dan PAS terlibat dalam keriuhan dan kerancakan gelombang reformasi. Kita pula menang besar, 27 kerusi parlimen dalam Barisan Alternatif (BA).
Pada era Mahfuz, berlakunya lonjakan sokongan anak muda kepada PAS dan BA. Masa itu kita bersama-sama Ezam Mohd Noor. Sejarah tetap sejarah. Memang begitu bersemaraknya perjuangan pemuda ketika itu.
Pada ketika itu ruang terbuka kepada kelas-kelas atas dan menengah Melayu untuk turut serta dalam PAS. Tidak ada masalah untuk membawa mesej kita kepada masyarakat.
Organisasi parti terus kukuh. Ahli-ahli Pemuda PAS diperkenalkan dengan beberapa gagasan baru seperti "Gagasan Membina Ulama Muda". Keadaan politik ketika itu sangat menyebelahi kita.

Bagaimana di era saudara, apa ranjau duri yang dilalui?

Saya mengambil alih Pemuda PAS pada Ogos 2003, ketika zaman peralihan kuasa Dr Mahathir Mohamad kepada Abdullah Ahmad Badawi yang disusuli pula dengan pilihan raya ke-11 pada 2004. Dan saat itu sungguh perit rasanya apabila kita kalah teruk.
Saya menganggap itulah cabaran besar saya. Para pengundi pula telah memberi harapan kepada Pak Lah. Kita hilang Terengganu, menang majoriti mudah di Kelantan dan tinggal hanya lima kerusi dalam Parlimen.
Saya walaupun menang di Kelantan, tetapi begitu sukar rasanya menghadapi saat itu iaitu majoriti 9/10 BN (di Dewan Rakyat). Saya menganggap pasukan (Ahli Parlimen BA) yang ada masa itu umpama menolak sebuah treler naik ke bukit. Begitulah beratnya tugas dan tanggung jawab pemuda ketika itu untuk mmemulihkan kembali semangat dan mengatur urus kembali strategi dan pendekatan kita.
Kita terpaksa memikirkan beberapa gagasan baru untuk menarik kembali sokongan orang muda. Masa itu juga kita memikirkan gagasan kita dalam dunia hiburan. Memikirkan tentang muzik alternatif, mendekati golongan seniman dan budayawan.
Kita mendekati kembali anak-anak muda yang bermasalah yang terlibat dengan gejala sosial. Membuat dan memperkasakan kembali hubungan kita dengan masyarakat dan kerajaan termasuklah bekerja kuat mendekati belia-belia yang bukan beragama Islam.

Maksud saudara era "engagement"?

Ya. Ini 'dunia engagement' yang saya terokai, yang saya percaya kekuatannya. Alhamdullilah kerja kuat pasukan pemuda di era saya ini, kita mudah 'mengetuk pintu' dan memecahkan tembok-tembok kita ke dalam masyarakat. Kita mudah untuk masuk ke jabatan-jabatan kerajaan dan mendekati semua segmen dalam masyarakat.
Inilah peluang saya gunakan sebaik-baiknya untuk meneruskan perjuangan.
Alhamdullilah, ramai juga kawan-kawan yang sependapat yang mengatakan bahawa perwatakan yang Allah berikan kepada saya bersifat sederhana. Saya akui memang tidak seagresif tokoh lain seperti Abu Bakar Chik, Mohammad Sabu, Mahfuz Omar. Penampilan mereka mungkin dilihat agak agresif berbanding saya yang mungkin sederhana.
Mungkin Allah letakkan watak saya sesuai dengan era yang sedang saya hadapi. Saya dapati penerimaan dan persepsi masyarakat luar terhadap PAS agak mudah didekati.
Kalau dulu bila kita nak berjumpa dengan jabatan dan agensi kerajaan, yang akan melayan kita hanyalah pegawai biasa ataupun Setiausaha Politik menteri sahaja.
Tetapi pada era ini, bukan sahaja ketua jabatan malah ketua pengarah pun turut serta. Seperti kunjungan kami ke Badan Pencegah Rasuah (BPR). Turun menemui kita ialah Ketua Pengarah BPR, Dato' Zulkifli Mat Noor bersama-sama 10 ketua jabatannya.
Mereka buat 'homework' untuk berhadapan dengan kita dan bayangkanlah 'level of discussion' yang begitu tinggi. Kita ke Kementerian Pengajian Tinggi, Menterinya bertemu Pemuda PAS. Begitu juga Mara, menteri dan ketua pengarah Mara turun sama-sama berbincang dengan kita tentang masalah-msalah yang berbangkit.
Inilah yang saya bangga, Pemuda PAS sudah berada di peringkat yang begitu tinggi sekali. Saya percaya pasukan Pemuda PAS mampu melahirkan pemimpin pemuda yang mempunyai fikiran dan pandangan-pandangan yang konkrit sekaligus dihormati dan disegani.
Dalam era "engagement" ini, kita mampu menganjak satu pemikiran baru, yang tidak lagi dilihat dan duduk di dalam kepompong pembangkang semata-mata tetapi kepada satu paradigma pandangan yang konstruktif kepada pihak luar. PAS sudah dilihat dalam isu-isu tertentu, dalam soal kepentingan rakyat dan negara, PAS boleh pergi merentasi sempadan politik.
Sebab itulah itu saya menawarkan beberapa gagasan seperti "Duta Penyelamat dan Kasih Sayang".
Pemuda juga mesti ada sifat negarawan di mana isu yang dihadapi adalah dalam skala yang lebih besar dan tidak tertumpu hanya kepada politik dan kepartian semata-mata.
Kita mesti berfikiran lebih luas dan terbuka kerana PAS merupakan "government in waiting" yang sudah diterima oleh lapisan masyarakat.
Kini pemuda India, Iban, Kadazan, Cina dan lain-lain sudah boleh memakai baju PAS, membawa bendera PAS malah ahli Kelab Muda Penyokong PAS semakin ramai. Mereka boleh kibarkan bendera PAS di rumah dan kenderaan mereka.
Kita sudah sampai ke tahap di mana rakyat menunggu apa yang boleh PAS tawarkan kepada negara. Hari ini rakyat tidak mahu lagi dengar retorik perjuangan semata-mata tetapi sudah percaya kepada prinsip kita, malah belia bukan Islam sudah mendekati dan boleh bersama kita maka kita mesti menganjak lebih jauh lagi selepas ini.
PAS boleh mengunjurkan pemikiran yang lebih jauh, mencakupi masalah ekonomi, pendidikan, penyelesaian terhadap isu sosial, perpaduan negara, antarabangsa dan juga masalah-masalah kehendak tuntutan orang bukan Islam itu sendiri yang perlu ditangani dengan bijak supaya mereka tidak terlepas daripada menyokong kita.

Dalam era Mustafa Ali perkenalkan "kepimpinan ulama", era Abdul Halim Arshat "Makan Malam Pemikir Ummah" sehingga tercetusnya Angkatan Perpaduan Ummah dan banyak lagi peristiwa penting dan gagasan Pemuda sehingga kini. Adakah saudara yakin pelapis baru Pemuda PAS mampu mencetuskan idea-idea dan gagasan baru?

Saya perlu menjawab secara jujur. Ianya sama seperti saya mula-mula di beri peluang selepas Mahfuz Omar. Saya akui ada yang memberikan pandangan yang agak kritikal. Adakah saya mampu atau tidak? Kritikan memang tetap ada di peringkat awal.
Secara jujur juga ramai yang melahirkan kebimbangan Pemuda PAS yang saya akan tinggalkan. Saya percaya kepada satu pemikiran bahawa seseorang apabila diberi peluang dia akan membuat yang lebih baik. Pemimpin dari segi fitrah dan 'naturenya' akan bersikap begitu. Setiap orang baik dalam apa jua organisasi, politik mahupun dalam kerajaaan, akan buat yang lebih baik jika diberi peluang.
Namun begitu, saya melihat ada kerisauan kerana ada yang mengatakan pengganti saya adalah ustaz ataupun orang 'relate' kepada ulama, sama ada sesuai dengan era Pemuda PAS yang telah digagaskan.
Saya nak tegaskan di sini bahawa manusia menilai bukan dari segi pakaian, serbannya, jubahnya, kot atau tali leher yang mereka pakai tetapi melalui pemikiran yang mereka bawa dan terjemahkan.
Kalau jubah besar atau kot mahal tetapi tidak mampu melahirkan pemikiran yang baik, tidak akan ke mana juga. Oleh itu, saya tegaskan kepada Pemuda yang saya tinggalkan bahawa, ini era pertembungan PAS dengan dunia luar maknanya akan ada lebih banyak perdebatan di peringkat pemikiran.
Maknanya, pasukan yang baru, mestilah mempunyai kekuatan gagasan intelektual yang cukup kuat. Kita lihat 'counter-part' kita.
Kita lihat Anthony Loke (DAPSY), Shamsul Iskandar Mat Akin (Angkatan Muda KeADILan), Khairy Jamaludin (Pemuda Umno) dan Ketua-ketua pemuda komponen BN yang lain di mana di era akan datang pasukan Pemuda PAS mesti berupaya mendepani mereka ini di pentas yang lebih intelektual bentuknya.
Di samping kita tidak menafikan Pemuda PAS perlu lebih sifat "agresif" dalam mendepani pelbagai isu. Sifat fundamental yang ada dalam Pemuda PAS seperti berani dan "agresif" mesti diteruskan kerana Pemuda PAS memang mahu begitu. Itu jati diri Pemuda PAS. Mesti terus tampil dan turut serta dalam siri-siri demonstrasi, roadshow, ceramah, pidato, serahan memo, engagement dan lain-lain.
Namun itu semua tidak cukup, tetapi mesti ada nilai tambahnya di atas itu. Fundamentalnya kuat dan kukuh tetapi ada peningkatan khususnya nilai intelektual itu tadi. Pandangannya mesti 'knowledgable", berpengetahuan kerana kita berhadapan dengan masyarakat yang sedang menilai PAS.
Pemuda PAS mesti bukan sahaja berani berdemonstrasi dan pidato sahaja, tetapi beralih kepada paradigma yang lebih besar, lebih 'competitive' (berdaya saing) dan bersifat 'versatile' (serba boleh).
Kerana itulah tema Muktamar Pemuda PAS Pusat kali ini adalah "Mempersadakan Perjuangan" supaya perjuangan Pemuda mesti berada di persada politik tanah air kita.

Harapan saudara kepada Pemuda PAS yang akan ditinggalkan?

Harapan saya, Pemuda perlu kepada pemikiran yang kritis, intelektual dan berinovasi mencipta dan melahirkan idea dan gagasan baru bersesuaian dengan zaman yang kita hadapi. Dan semoga Pemuda akan menjadi sayap kanan yang lebih dihormati, terus menerus melahirkan pemimpin pelapis akan datang.
Jangan rosakkan pemuda dengan elemen-lemen perpecahan, sentimen sempit dan jumud, politik berpuak-puak dan jangan rosakkan dengan panggilan dan label-label yang dilemparkan oleh musuh kita tetapi tampil dengan pemikiran yang segar, kuat dan kontemporari.
Mesti ada daya juang yang tinggi dan jihad yang berterusan dan insya Allah dengan pakej komponen-komponen kekuatan ini, Pemuda PAS akan terus dihormati oleh kawan dan lawan di masa-masa akan datang.

1 ulasan:

Sebal berkata...

Salam, alhamdullillah, segar rasanye bila baca statement Yb Salahuddin ni...cuma gue rasa kurang yakin lagi yang pengantinye sebab dari statementnye yang lalu..selalu aje..promuqabalah..samapi dia saran HUSAM tanding lawan president..ni tentu mengujudkan puak-puak dlm pemuda pas. sebab klo dia promuqabalah..mesti ada juga dlm pemuda pas yang pro professional..jadi dia kena berubah lah dari berpuak kepada neutral..sebab kedua-dua puak tetap pimpinan PAS hanya berbeza stail pinpina aje..atau strategy aje..itu pandangan gue..ikut suka gue lah ISA..eeee