SAYA, tahun ini, telah menerima 3 pencalonan untuk jawatan Pemeriksa kira-kira dan lebih sedikit pencalonan untuk AJK PAS Pusat. Saya tahu ada yang cukup berminat untuk saya menjadi pemeriksa kira-kira tetapi malangnya saya tak cukup ‘alim dalam bidang kira-kira ini. Saya rasa pencalonan untuk jawatan ini saya tolak dan saya serahkan kepada ulama’ kira-kira sahaja, kata KHALID SAMAD yang dipetik dari blognya.
Dalam soal AJK PAS Pusat, saya merasa agak berbelah bagi. Di antara sebabnya, sekiranya dipilih akan bererti bahawa saya tidak akan lagi berpeluang untuk bersuara semasa dalam Muktamar. Saya melihat AJK PAS Pusat semua duduk diam di atas pentas sambil perwakilan mengemukakan hujjah. Saya pernah menjadi AJK PAS Pusat selama 6 tahun berturut-turut satu ketika dulu dan pengalaman bermuktamar semasa itu bagi saya adalah kurang memberangsangkan.
Namun, setelah berbincang dengan beberapa sahabat dan rakan taulan, mereka menasihati saya supaya bertanding. InsyaAllah akan dipertimbangkan dan akan saya lakukan istikharah sewajarnya.
Meskipun demikian, adalah menjadi harapan saya, sesiapa jua yang bersedia bertanding AJK PAS Pusat dan dipilih nanti, akan terus memastikan bahawa PAS akan kekal komited terhadap kerjasama bersama PR. Ini kerana, bagi saya PR merupakan sebuah entiti politik yang selaras dengan agenda politik baru di mana rakyat ingin menyaksikan tertubuhnya sebuah kerajaan yang bersih, berwibawa, adil dan amanah. Ini amat bersesuaian dengan agenda politik Islam yang dibawa oleh PAS. Pada masa yang sama, melalui kerajaan yang ditubuh oleh PR, mesej Islam akan disebarluaskan dan masyarakat, Muslim dan bukan Muslim, dididik dan didedahkan kepada asas-asas sistem hidup Islam yang menyeluruh.
Perjuangan Islam itu sendiri merupakan proses pendidikan untuk masyarakat serta rakyat dan perubahan dilaksanakan mengikut tahap kefahaman dan kesedaran yang berjaya dilakukan oleh sesebuah kerajaan. Proses perubahan Islam bukan melalui kaedah pemaksaan sesuatu agenda ke atas masyarakat. Proses pendidikan inilah unsur utama perubahan secara ‘tadarruj’ atau berperingkat-peringkat dan ianya lebih mirip kepada proses yang dipimpin oleh Rasulullah (SAW) sendiri.
Dalam masa yang sama, saf kepimpinan yang baru mesti menghalang apa-apa usaha yang cenderung kepada kerjasama dan penyatuan dengan UMNO/BN, atas apa alasan sekalipun. Bagi saya ini merupakan jenis usaha ’khianat’ yang akan memusnahkan integriti PAS di kaca mata rakyat.
Usaha untuk menonjolkan kemampuan kepimpinan PAS sehingga seluruh rakyat melihat PAS setanding dengan parti komponen PR yang lain seharusnya dipertingkatkan dengan lebih giat lagi. Sehinggakan pemimpin PAS mampu dilihat lebih berwibawa dalam soal memimpin rakyat berbilang kaum, lebih dari DAP dan PKR sendiri. Bilamana PAS akan dianggap bukan sekadar pemimpin ummat Islam tetapi seluruh rakyat!
Proses ke arah penyusunan gerak kerja Pilihan Raya juga wajar dimantapkan untuk menentukan prestasi yang lebih menyerlah semasa PRU ke 13 akan datang. Ini mampu dicapai sekiranya kita berjaya mengekalkan kerusi-kerusi yang telah sedia dimenangi semasa PRU ke-12 yang lalu, sambil memenangi kerusi-kerusi yang telah kita kalah kepada UMNO/BN. Dengan beralihnya kerusi-kerusi ini kepada PAS, maka UMNO/BN akan bertambah tidak releven di arena politik tanah air.
Di samping itu, agenda lain yang harus dibawa pimpinan termasuklah persoalan meningkatkan pemahaman konsep ‘Kepimpinan Ulama’ di kalangan seluruh ahli PAS sehingga ianya tidak lagi menimbulkan kekeliruan. Melalui pemahaman yang tepat maka akan terjamin berterusannya konsep ini di dalam PAS.
Pada masa yang sama usaha meningkatkan tahap dan mutu Tarbiyyah dan latihan kepakaran semestinya diberikan tumpuan demi menyediakan ahli-ahli dan pemimpin PAS untuk peranan baru mereka sebagai pemerintah dan pentadbir. Tumpuan diberi bukan kepada apa yang dianggap sebagai kekurangan rakan-rakan kita yang lain di dalam PR tetapi kepada kekurangan kita sendiri dan usaha kita untuk mengatasinya.
Melalui ini semua, insyaAllah PAS akan tampil sebagai parti yang mampu memimpin PR di mana kepimpinan ini diperolehi bukan atas desakan, ugutan atau tuntutan ahli kita, tetapi di atas dasar kemampuan dan kelayakan pimpinan kita yang jelas terbukti. Kepimpinan bukanlah untuk dituntut atau didesak, tetapi sebaliknya diserahkan oleh rakyat kepada mereka yang jelas membuktikan kemampuan, keikhlasan dan kewibawaan.
Terima kasih kepada semua pihak yang telah mengemukakan pencalonan, namun samada akan turut bertanding atau pun tidak akan ku renungi dan fikirkan sejenak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan