KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Dato' Mahfuz Omar mahu gaji Najib Tun Razak dipotong RM10.00 sekali sebagai hukuman!

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar mahu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Nazri Aziz mengusulkan kepada parlimen yang akan bersidang pada 15 Jun nanti supaya menghukum Perdana Menteri dengan memotong gajinya sebanyak RM10.00 sekali saja, lapor Irwan Muhamad Zain.

Beliau menempelak Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan pertama kerana berbohong kepada rakyat. Najib berbohong apabila sebelum ini membuat kenyataan, mendakwa negara tidak akan terkena tempias krisis ekonomi yang sedang melanda dunia.

Dalam satu sidang media yang diadakan di Pejabat PAS Kawasan Pokok Sena pada 28 Mei lalu, beliau mencadangkan gaji Najib dipotong sebanyak RM10.00 sahaja sebagai hukuman dan pengajaran.

"Parlimen perlu menghukum Najib yang telah berbohong kepada rakyat mengenai keadaan ekonomi negara. Dato' Nazri yang menjaga hal ehwal parlimen perlu membawa usul tersebut bila dewan rakyat mula bersidang pada 15 Jun nanti," tegas Mahfuz.

Keadaan ekonomi negara kini berada ditahap kritikal bila Bank Negara mengumumkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menguncup sebanyak 6.2 peratus pada suku tahun pertama tahun ini.

Malah, tegas Mahfuz, Perdana Menteri telah mengakui KDNK negara akan mengalami pengucupan sebanyak 4 hingga 5 peratus sepanjang tahun ini. Sebelum ini Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER), menjangkakan ekonomi negara akan mengalami kemelesetan teknikal.

Keadaan ini, jelas Ahli Parlimen Pokok Sena itu membuktikan slogan Satu Malaysia Najib gagal kerana pencapaian negara telah meleset.

Mahfuz juga mendesak supaya kerajaan menyediakan satu kertas putih untuk dibahaskan di Parlimen mengenai keadaan ekonomi negara kerana apa yang dijelas oleh Najib minggu lalu tidak dibahaskan secara khusus.

Mengulas kenyataan Najib yang mengatakan KDNK negara akan mengalami peningkatan pada suku terakhir tahun ini, Mahfuz menegaskan perkara tersebut mustahil akan berlaku.

"Bagaimana ia akan pulih jika suku pertama dan kedua sudah mengalami pengucupan yang teruk?" soal Mahfuz. Beliau juga bersetuju jika ada cadangan supaya menteri kewangan ditukar.

Beliau menegaskan perlunya seorang menteri kewangan yang bersifat terbuka dan bersedia menerima pandangan pihak lain. Mahfuz mencadangkan kerajaan agar tidak mengharapkan ekonomi dunia pulih sebaliknya perlu berusaha sendiri bagi mengatasi masalah ini.

Tiada ulasan: