KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 23, 2009

Politik wang: Tiada tindakan disiplin terhadap Daud Iraqi


TIADA sebarang tindakan disiplin dikenakan terhadap Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Mohamed Daud Iraqi berhubung dakwaan beliau mengenai amalan memberi hadiah kepada perwakilan menjelang pemilihan parti itu.

Perkara itu disahkan melalui kenyataan satu muka surat oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di sini hari ini yang memaklumkan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Harian Pas Pusat selepas mendengar penjelasan daripada Mohamed berhubung dakwaan tersebut.

Menurut Abdul Hadi, mesyuarat berkenaan hanya membuat ketetapan bahawa tiada amalan politik wang dalam parti itu.

Beliau berkata, amalan berkenaan tidak berlaku kerana usaha pihak tertentu untuk menembusi bahtera Pas melalui politik kotor seperti itu sebelum ini telah gagal.

"Setelah kita mengumpul maklumat dari semua negeri, kita mendapati tiada amalan politik wang dalam Pas dan kita yakin parti ini tidak akan dapat ditembusi dengan gejala sedemikian.

"Kita juga menafikan sekeras-kerasnya laporan media yang mengaitkan parti ini dengan amalan rasuah dan politik wang," katanya.

Selain penjelasan daripada Mohamed, mesyuarat itu juga mendengar taklimat daripada Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali; Ketua Dewan Muslimat, Nuridah Mohd. Salleh dan beberapa pimpinan pusat parti itu mengenai aduan yang diterima berhubung amalan politik wang.

Mohamed sebelum ini mendakwa wujud perbuatan meraikan perwakilan dengan jamuan dan memberikan pelbagai hadiah termasuk baju supaya mereka memilih pemimpin tertentu dalam pemilihan parti.

Semalam, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya amalan politik wang dalam parti berkenaan dan meminta para perwakilan pada Muktamar Tahunan Pas itu menolak calon yang mengamalkan perbuatan sedemikian.

Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa yang mengulas isu sama sebelum ini menegaskan Mohamed perlu memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Harian berkaitan perkara itu dan mengemukakan bukti bagi menyokong dakwaannya.

Menurut Husam, jika Ketua Dewan Ulama itu gagal mengemukakan bukti kukuh untuk menyokong dakwaan berkenaan, tindakan tatatertib boleh diambil terhadapnya oleh Jawatankuasa Disiplin parti.

Menurut Abdul Hadi, pihaknya akan terus mendukung konsep kepimpinan ulama yang melibatkan kalangan ulama dan profesional serta semua pihak dalam parti itu kerana yakin dapat mendidik mereka supaya tidak terlibat dengan politik wang.

"Kita mengambil sikap terbuka menerima semua pihak sama ada dari kalangan ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), petani dan nelayan kerana kita telah berjaya mendidik ahli-ahli kita dari atas sampai ke akar umbi," ujarnya.

Sementara itu, Mohamed yang ditemui pemberita selepas mesyuarat berkenaan memberitahu, beliau hanya mengulangi apa yang disebutnya sebelum ini seperti yang telah disiar oleh pihak media.

Bagaimanapun, Mohamed enggan mengulas lanjut sama ada beliau telah memberikan sebarang bukti bagi menyokong dakwaannya.

"Tidak ada komen, kalau saya cakap nanti banyak masalah. Saya serah kepada Presiden," ujarnya.

Tiada ulasan: