KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 14, 2009

Pemuda PAS mohon Pemangku Sultan Perak perkenan bubar Dun


PEMANGKU Sultan Perak, Raja Muda Nazrin Shah dirayu membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak secepat mungkin demi menjaga kesejahteraan rakyat yang kini 'terumbang-ambing' ekoran politik yang kian tidak stabil, lapor Roy Rasul.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, dalam menghadapi kemelut politik Perak yang kian celaru itu, jasa baik pihak istana membubarkan Dun amat diperlukan.

"Cara terbaik bubarkan saja Dun Perak itu dan saya mengharapkan Tuanku Sultan Perak terutama Raja Nazrin sendiri yang melihat bagaimana berlakunya kejadian-kejadian yang tidak dingini dalam persidangan Dun Perak pada 7 Mei lalu.

"Pada hari itu, berlakunya pergelutan dan kejadian yang sangat memalukan di mana Speaker diangkat dengan kerusinya sekali," katanya mengulas keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Dato' Seri Zambry Abd Kadir untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur 12 Mei lalu, yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Beliau berkata, dalam keadaan sekarang, setelah kemelut di Perak berlangsung lebih kurang 100 hari, jalan terbaik untuk kebaikan rakyat Perak, negeri Perak sendiri dan menjaga nama baik raja-raja maka seharusya sultan perkenan Dun Perak itu dibubarkan.

Beliau bimbang urus tadbir rakyat akan terabai dan rakyat akan menerima kesan yang sangat buruk.

Mengulas tentang keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 Mei lalu, Salahuddin sudah mengandaikan perkara tersebut akan memihak kepada Zamry.

"Semalam pun kita minta ditolak dan hari ini (12 Mei) mereka pergi ke mahkamah rayuan dan mereka akan mendapat perintah itu. Sebeb itu, kita tidak terkejut sebab mereka akan berbuat apa saja untuk menghalang kemenangan kita semalam," katanya ketika dihubungi.

Pada 12 Mei lalu, Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Zambry untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang mengisytiharkan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.

Penangguhan keputusan mahkamah itu diberikan sementara menunggu selesai rayuan yang dikemukakan oleh Zambry berhubung perkara tersebut.

Tiada ulasan: