KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 28, 2009

Wakil kerajaan Hamas antara tetamu Muktamar Agung PAS Ke-55

WAKIL kerajaan Hamas, pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat serta beberapa bekas pimpinan Umno merupakan antara tetamu kenamaan yang akan hadir pada Muktamar PAS yang ke 55 nanti.

Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaafar yang mengesahkan perkara tersebut menyatakan PAS berbesar hati di atas kesudian pihak terbabit untuk hadir mengikuti acara perasmian dan ucapan dasar Presiden.

Pihaknya juga, telah menerima cadangan usul-usul untuk dipertimbangkan bagi pembentangan pada muktamar yang akan berlansung 5 hingga 7 Jun nanti di Stadium Malawati, Shah Alam.

"Dijangka 1,000 orang perwakilan akan menyertai muktamar ini nanti. Perbahasan dijangka hangat kerana Pilihan Raya Kecil Dun Penanti akan diadakan sewaktu muktamar berlangsung. Begitu juga dengan Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai yang akan berlaku bila-bila masa. Kita menjangkakan perwakilan akan memberi perhatian terhadap tugas-tugas jentera pilihan raya PAS bagi mencapai kemenangan dalam pilihan raya tersebut.

"Selain itu, pergolakan yang berlaku dalam Barisan Nasional termasuk perpecahan dalaman PPP serta Gerakan merupakan satu kesempatan untuk kita bincangkan dalam muktamar nanti," katanya.

Sepanjang muktamar tersebut katanya, negeri-negeri Pakatan Rakyat tidak ketinggalan mengadakan pameran berkaitan pencapaian serta pentadbiran masing-masing.

Mengenai penempatan para perwakilan, beliau menjelaskan ia akan diuruskan oleh pemimpin kerajaan negeri Selangor. Manakala bagi negeri-negeri yang memerlukan bantuan seperti penginapan, ia akan diuruskan oleh PAS Selangor.

Tiada ulasan: