KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 14, 2009

Ahmad Awang dakwa kecamukan Perak berpunca dari angkara Najib


PESURUHJAYA PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang menyifatkan kecamukan yang berlaku di Perak berpunca dari tindakan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak yang mengamalkan undang-undang rimba sejak beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, lapor Nyza Ayob.

Ahmad berpendapat Najib selayaknya dikatakan mengamalkan undang-undang rimba kerana beliau merampas kuasa dengan mengenepikan undang-undang.

"Benarlah Najib seorang yang rakus, tamak kuasa dengan starategi yang licik serta jijik dan kotor. Beliau yang memulakan undang-undang rimba dan meneruskannya. Najib yang mengenepikan undang-undang. Sekarang beliau yang telah menjadi Perdana Menteri dengan slogan Satu Malaysia juga mengenepikan undang-undang apabila tidak mahu menerima keputusan mahkamah yang memutuskan bahawa Menteri Besar yang sah ialah Dato' Seri Nizar Jamaludin.

"Dia mempunyai hak untuk membuat rayuan tetapi dia tidak sepatutnya mengambil keputusan menggantung keputusan hakim. Apatah lagi cara yang dilakukannya pelik. Tindakan BN mohon menggantung keputusan yang telah diputuskan oleh mahkamah bukan sahaja mengejutkan semua pihak bahkan turut menimbulkan tanda tanya di kalangan pengamal undang-undang bagaimana dalam tempoh yang singkat permohonan tersebut diluluskan," tegas Ahmad.

Tambahnya lagi, apa yang berlaku benar-benar 'ajaib' kerana ia tidak mengikut kelaziman, apabila hendak memohon penangguhan sesuatu keputusan mahkamah itu, hendaklah membuat permohonan untuk mendapatkan kebenaran daripada mahkamah.

"Bila dapat kebenaran itu, sesuatu pihak harus memfailkan saman dengan afidavit. Jadi di pihak Pakatan Rakyat tak tahu apa-apa. Tiba-tiba keputusan tersebut dibuat. Keadaan ini bertambah merumitkan," katanya.

Beliau menegaskan sebagai seorang negarawan Najib seharusnya tidak terlalu mementingkan kepercayaan politiknya. Beliau seharusnya menasihati BN Perak agar bersama-sama dengan Pakatan Rakyat memohon perkenan Sultan agar dibubarkan Dun.

Ahmad yang juga Naib Presiden PAS berharap penyokong Pakatan Rakyat, rakyat Perak serta ahli PAS sentiasa bermunajat sepanjang masa sehingga apa yang diharapkan akan diperkenankan Allah.

"Kita bermohon kepada Allah agar dibukakan pintu hati pihak Sultan diperkenankan pembubaran Dun untuk kesejahteraan serta kedamaian rakyat Perak khususnya. Dengan keputusan itu juga, rakyat seluruh negeri akan menyanjung tinggi Raja negeri Perak," katanya.

Tiada ulasan: