KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 23, 2009

Mahfuz mahu BN digesa kota janji tidak tandingi Manek Urai, elak pembaziran

JIKA Barisan Nasional (BN) memberikan alasan mahu menumpukan kepada pembangunan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Penanti, alasan yang sama boleh digunakan di Manek Urai tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar.

Mahfuz mengesa agar BN tidak bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai bagi menjimatkan wang termasuk kos perbelanjaan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan kos yang perlu dikeluarkan untuk pasukan polis.

"Ketua Penerangan Umno, Dato' Ahmad Maslan memberikan alasan BN tidak bertanding di Penanti kerana mahu menjimatkan wang rakyat dan mahu menumpukan kepada soal pembangunan. Jadi kalau di Penanti mereka gunakan alasan ini tidak ada sebab di Manek Urai juga mereka tidak menggunakan alasan yang sama," tegas beliau.

BN tegas Mahfuz perlu mengotakan janji mereka untuk menumpukan kepada soal pembangunan dan pemulihan ekonomi berbanding menyertai pilihanraya kecil. Beliau seterusnya menegaskan jika BN membuat keputusan untuk bertanding di Manek Urai, rakyat akan menilai keputusan mereka di Penanti.

Pilihan Raya Kecil Dun Manek Urai bakal diadakan berikutan kematian penyandangnya Ismail Yaakob subuh 22 Mei lalu.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan PAS agar tidak terlalu yakin akan dapat mempertahankan kerusi tersebut kerana BN akan bertanding pada pilihan raya kecil itu.

Muhyiddin juga berkata, BN tidak akan memberi laluan mudah kepada PAS di kerusi tersebut.

"PAS jangan terlalu yakin, walaupun ini kawasan mereka, jangan ingat mereka akan sentiasa menang. Dalam pilihanraya umum lalu, kita kalah cuma (lebih) 1,000 undi," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, Jumaat lalu.

Tambahnya, BN ingin bertanding kerana kekosongan itu disebabkan kematian penyandangnya Ismail Yaakob dan bukannya kerana wakil rakyat sengaja meletakkan jawatan - seperti di DUN Penanti.

Di Singapura, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengesahkan BN akan meletakkan calonnya bagi mencabar PAS di kerusi tersebut.

Pengarah Pilihanraya PAS Datuk Mustafa Ali pagi ini berkata kemenangan BN di Manek Urai tidak memberi banyak makna kerana PAS menguasai majoriti besar di Kelantan.

"Kalau BN menang, ia tidak mengubah majoriti kerana kita ada majoriti dua pertiga yang besar (di Dun Kelantan)," katanya di Kuala Lumpur bagi mengumumkan kematian mengejut wakil rakyatnya itu.

Tarikh pilihan raya kecil Dun tersebut dijangka diumumkan oleh SPR Khamis ini.

Tiada ulasan: