KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mei 27, 2009

Pemilihan PAS pada Muktamar Ke-55 kali ini dijangka lebih "panas"!

Mustafa Ali dan Hassan Shukri pada sesi pengumuman calon-calon yang layak bertanding merebut jawatan dalam kepimpinan Pas Pusat pada pemilihan parti itu bulan depan, semalam.

KIRA-KIRA 40 wartawan memenuhi bilik mesyuarat yang terletak di tingkat lima ibu pejabat Pas, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur semalam bagi mendapatkan maklumat rasmi jumlah calon bagi semua jawatan sama ada di peringkat Pas Pusat, Dewan Muslimat atau Dewan Pemuda, ulas Saifulizam Mohamad.

Kehadiran begitu ramai wartawan itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali sebelum beliau memulakan sidang akhbar bagi mengumumkan senarai terkini calon yang layak untuk bertanding pada Muktamar Pas Ke-55.

Secara berseloroh beliau menyatakan jumlah wartawan yang hadir itu lebih daripada biasa tetapi yang jelasnya sesi pemilihan Pas kali ini mendapat tumpuan secara khusus daripada pengamal media tempatan dan luar negara.

Tanpa mengambil kira latar belakang pengamal media yang menghadiri sidang akhbar itu masing-masing mahu mendapatkan senarai calon terakhir sebelum perwakilan menentukan siapakah yang bakal membarisi saf kepimpinan Pas untuk tempoh dua tahun akan datang.

Akhirnya, tepat pukul 11 pagi, Mustafa mengumumkan senarai calon yang layak bertanding di peringkat Pas Pusat, Dewan Muslimat dan Dewan Pemuda.

Kesemua calon itu kata Mustafa layak bertanding selepas menerima cukup pencalonan dan kemudian telah mengesahkan kepada pihak jawatankuasa untuk meneruskan pertandingan.

Bagi jawatan Presiden, ia telah dimenangi oleh penyandangnya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas bekas Menteri Besar Terengganu itu memperolehi 136 pencalonan daripada 137 Pas Kawasan.

Perkara itu telah pun diumumkan pada 16 Mei lalu. Untuk rekod Abdul Hadi mula menjadi presiden parti itu sejak tahun 2003.

Kini, jawatan paling tinggi dipertandingkan di peringkat Pas Pusat ialah Timbalan Presiden dan tiga calon telah menawarkan diri iaitu penyandangnya, Nasharudin Mat Isa, Datuk Husam Musa (Naib Presiden) serta Mohamad Sabu (Naib Presiden).

Ia diikuti dengan jawatan Naib Presiden.

Sebanyak lima calon telah menawarkan diri iaitu Datuk Mahfuz Omar (Ketua Penerangan Pas), Dr. Mujahid Yusof Rawa (Timbalan Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang), Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah (Exco Kerajaan Negeri Kelantan), Salahuddin Ayub (Ketua Dewan Pemuda Pas) dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (Pesuruhjaya Pas Pahang).

Bagi jawatan tersebut, tiga daripada lima calon yang mendapat undi tertinggi akan dipilih memegang jawatan berkenaan.

Sementara itu untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) Pusat pula, seramai 54 calon telah mengesahkan untuk bertanding dan daripada jumlah itu hanya 18 calon sahaja yang akan terpilih.

Sesuatu yang agak menarik pada sesi pemilihan Pas kali ini apabila Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nasrudin Hassan telah dipilih sebagai Ketua Dewan Pemuda yang baru apabila pencabarnya Mohamad Zaki Ibrahim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran dikatakan mengambil keputusan untuk berkompromi.

Begitu juga dengan pertandingan di peringkat Dewan Ulama Pas apabila bekas ketua dewan itu sebelum ini, Datuk Harun Taib dipilih semula menerajui dewan berkenaan.

Di peringkat Dewan Muslimat Pas pula, pertembungan berlaku di semua jawatan kecuali Naib Ketua. Seperti mana yang diumumkan oleh Mustafa semalam, jawatan itu telah dimenangi oleh Senator Mumtaz Md. Nawi.

Seramai dua calon menawarkan diri merebut jawatan Ketua Dewan Muslimat Pas iaitu antara penyandangnya, Nuridah Mohd. Salleh dan Dr. Asiah Ali. Untuk jawatan timbalan ketua pula, dua calon menawarkan diri iaitu Siti Zailah Mohd. Yusoff dan Wan Hasrina Wan Hassan.

Sementara itu jika diteliti semula senarai calon yang bertanding, tiga pemimpin yang menang (tanpa bertanding) iaitu Abdul Hadi, Harun dan Nasruddin adalah di kalangan golongan ulama.

Abdul Hadi dan Harun adalah pemimpin lama dalam Pas dan pembawakan mereka sebagai ulama di dalam parti itu sudah cukup sinonim. Cuma yang lebih menarik untuk diperbincangkan ialah pemilihan Nasruddin sebagai Ketua Dewan Pemuda. Beliau merupakan lulusan Universiti Azhar dan merupakan anak didik kepada Abdul Hadi.

Sebagai seorang yang berlatar belakang pendidikan agama sudah tentu Nasruddin akan mencorakkan kepimpinan Pemuda mengikut acuan kepimpinan ulama, apatah lagi timbalannya yang juga menang tanpa bertanding, Azman Shapawi Abd. Rani juga merupakan lulusan agama.

Yang pasti, banyak pihak boleh menjangka hala tuju Pemuda Pas dengan pemilihan dua pemimpin pelapis berkenaan.

Ringkasnya, selepas pengumuman Mustafa semalam iaitu tanpa mengambil kira keputusan pemilihan yang akan diadakan pada bulan depan (3-6 Jun), kepimpinan utama Pas setakat ini masih diterajui oleh golongan ulama dan ia sejajar dengan ketetapan yang buat oleh Pas pada tahun 1982.

Bagaimanapun saf kepimpinan Pas sama ada dikuasai oleh ulama atau puak erdogan (pemimpin yang rapat dengan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim) hanya akan diketahui selepas pemilihan sepenuhnya berakhir.

Berbalik kepada perebutan jawatan Timbalan Presiden, salah seorang calonnya, Datuk Husam Musa dikatakan memecah tradisi Pas apabila beliau mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan kesediaannya bertanding jawatan tersebut.

Menurut seorang aktivis Pas, perkara seumpama itu tidak pernah berlaku dan tidak hairanlah ramai pihak yang berpendapat tindakan yang dilakukan oleh Husam itu agak luar biasa.

Berbanding dua calon lain iaitu Nasharuddin dan Mohamad Sabu, masing-masing mengambil keputusan untuk tidak membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung kesediaan mereka merebut jawatan berkenaan.

"Apa tujuan sebenarnya Husam berbuat demikian hanya beliau sahaja yang tahu. Namun begitu tindakan beliau mendakwa Timbalan Presiden Pas, Nasharuddin terlalu liberal terhadap UMNO tidak sepatutnya diucapkan.

"Sebenarnya Pas tidak pernah mengamalkan politik seperti ini kerana kami diajar supaya hormat-menghormati antara satu sama lain. Kemenangan hendaklah didasari dengan kekuatan sendiri dan bukannya melalui cara seperti ini," kata aktivis berkenaan.

Husam kata aktivis tersebut, sepatutnya tidak berkata apa-apa sama ada dalam bentuk tersurat atau tersirat kerana beliau merupakan calon yang bertanding. Husam tidak boleh menafikan perkara tersebut kerana kenyataan beliau dipaparkan di dada-dada akhbar arus perdana.

Tidak dinafikan pelbagai andaian dan persepsi timbul ekoran daripada tindakan Husam sama ada positif atau negatif. Ada juga pihak yang berpendapat Husam harus menyerahkan sepenuhnya kepada perwakilan untuk menentukan siapa yang bakal menjadi orang nombor dua dalam parti.

Kenyataan itu ada asasnya kerana sejak beberapa kali pemilihan sebelum ini perwakilan lebih mahir dan lebih faham untuk memilih pemimpin mereka tanpa perlu ada kempen secara berlebihan.

Oleh itu bagi menentukan siapakah Timbalan Presiden Pas, hanya perwakilan sahaja yang ada jawapannya. Tetapi berdasarkan trend dalam parti tersebut, pemimpin yang berlatarbelakangkan agama tetap akan menjadi pilihan.

Tiada ulasan: