KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Mohd Sabu jangka isu pembahagian kerusi di kalangan Pakatan Rakyat akan dibahas pada Muktamar ini

Mohamad Sabu salah seorang Naib Presiden PAS yang popular dan beliau mahu membantu Presiden mendekati golongan marhaen, bukan Islam dan NGO di negara ini. Itulah visinya untuk kerusi Timbalan Presiden PAS, Jun ini.

KUALA LUMPUR: Usul Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) dijangka akan menjadi perbahasan hangat pada Muktamar Agung PAS yang akan berlansung 5 hingga 7 Jun depan. Muktamar kali ini diadakan di Stadium Malawati, Shah Alam Selangor, lapor Irwan Muhamad Zain.

Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin perwakilan dijangkakan akan mencadangkan kepada muktamar agar pembahagian kerusi antara parti dalam Pakatan Rakyat dikaji semula memandangkan sokongan terhadap PAS dari kalangan bukan Melayu telah meningkat.

Tegas beliau, jika sebelum ini kawasan yang majoriti bukan Melayu diberikan kepada KeADILan kerana faktor sokongan bukan Melayu lebih kepada parti itu tetapi dalam PRU 13 nanti PAS juga harus memikirkan kembali, kerana PAS kini juga mendapat sokongan dari mereka.

"Pembahagian kerusi dijangka akan dibahaskan oleh perwakilan kali ini kerana dilihat sokongan bukan Melayu terhadap PAS sudah meningkat. Sebelum ini kerusi yang majoriti bukan Melayu diberikan kepada KeADILan atas faktor sokongan bukan Melayu lebih kepada mereka tetapi kali ini tidak lagi.

"PAS selepas PRU 12 mendapat sokongan kuat dari bukan Melayu jadi perwakilan dijangka akan menuntut supaya pembahagian kerusi dikaji semula," tegas Mohamad.

Beliau menegaskan lagi, tidak timbul soal PAS mahu merampas kerusi KeADILan kerana sudah menjadi kebiasaan menjelang pilihan raya umum, PAS, DAP dan KeADILan akan mengkaji dan menentukan kembali kerusi yang akan dipertandingkan.

Selain dari itu, Mohamad juga menjangkakan perwakilan turut akan membahaskan soal memperkasakan parti dengan cara menarik lebih sokongan daripada golongan bukan Melayu. Ini kerana kata beliau, sebagai sebuah negara yang mempunyai rakyat pelbagai agama dan bangsa, PAS perlu juga mendapat sokongan bukan Melayu.

"Isu memperkasakan parti akan dibincangkan berkenaan usaha untuk menarik sokongan bukan Melayu dengan lebih banyak disamping tidak meminggirkan sokongan pengundi Melayu.

"Malah usaha untuk menarik sokongan masyarakat Melayu yang tidak menyertai mana-mana parti juga akan ditingkatkan supaya kerusi yang sebelum ini kita tewas dapat dikuasai," jelas beliau.

Bila membahaskan usul PRU 13, Mohamad turut menjelaskan isu ketelusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dijangka akan dibincangkan secara serius oleh perwakilan. PAS, tegas beliau amat konsisten menuntut agar SPR menjadi sebuah badan yang benar-benar telus dan berintegriti serta tidak mengikut telunjuk pihak lain.

Perwakilan katanya akan menuntut supaya pimpinan terus membuat desakan supaya undi pos dihapuskan selain desakan supaya SPR lebih telus. Justeru itu, tegas Mohamad, usul PRU 13 dijangkakan hangat kerana ia membabitkan persiapan dan peluang parti dalam menghadapi pilihan raya umum yang hanya dua atau tiga tahun dari sekarang.

Tiada ulasan: