KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Dato' Harun Taib membedah Kepimpinan Ulamak PAS untuk berdepan cabaran masa depan parti!


MUQADDIMAH: Berikut adalah Kertas Kerja Ketua Dewan Ulama PAS Pusat yang baru, DATO' HARUN TAIB bertajuk "Kepimpinan Ulamak: Cabaran dan Masa Depan" yang dibentangkan pada Sambutan Ijtima Jubli Perak 25 Tahun Kepimpinan Ulamak PAS di Markaz Tarbiyyah PAS Pusat, Taman Melewar pada 23 Mei 2009:

Bagi kita ulamak bukanlah dilihat dari segi pakaian lahirnya, tetapi yang kita maksudkan ulamak ialah mereka yang memahami Islam serta hukum-hukumnya dari sumber-sumber Islam yang diijmakkan iaitu Al-Quran, Al-Sunnah, Al-Ijmak dan Al-Qias.

Mereka bukan sahaja terdiri dari kalangan yang mendapat pendidikan dan melalui pengajian agama sejak awal pengajian mereka, tetapi mereka juga mungkin terdiri dari kalangan yang pada peringkat awalnya bukan melalui pengajian agama, tetapi kemudiannya berusaha untuk mendapat ilmu-ilmu keislaman yang memungkinkan mereka memahami Islam dari sumbernya yang di Ijmakkan itu.

Walau bagaimana pun, mereka hendaklah terdiri dari kalangan orang yang takut kepada Allah s.w.t. Allah berfirman yang bermaksud: “dan demikian pula di antara manusia dan binatang-binatang Yang melata serta binatang-binatang ternak, ada Yang berlainan jenis dan warnanya? sebenarnya Yang menaruh bimbang dan takut (melanggar perintah) Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang Yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa, lagi Maha Pengampun”. - (Faathir: 28)

Abu Al-Sauud dalam tafsirnya berkata: “Sesiapa yang tidak takut kepada Allah, maka ia bukan Ulamak”.

Kedudukan Ulamak di dalam Islam

Untuk menggambarkan kemuliaan dan ketinggian kedudukan ulamak di dalam islam, Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “… Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang Yang mengetahui Dengan orang-orang Yang tidak mengetahui?" Sesungguhnya orang-orang Yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang Yang berakal sempurna”. - (Al-Zumar: 9)

Firman Allah Ta’ala lagi yang bermaksud: “… supaya Allah meninggikan darjat orang-orang Yang beriman di antara kamu, dan orang-orang Yang diberi ilmu pengetahuan ugama (dari kalangan kamu) - beberapa darjat. dan (ingatlah), Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa Yang kamu lakukan”. - (AI-Mujadalah: 11)

Rasulullah s.a.w. juga ada menjelaskan bekenaan kedudukan ulamak di dalam sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang melalui sesuatu jalan untuk mencari ilmu pengetahuan, Allah memudahkan baginya jalan ke syurga. Dan sesungguhnya para malaikat meletakkan sayapnya untuk penuntut ilmu kerana berpuas hati dengan perbuatannya. Dan sesungguhnya orang-orang alim itu meminta ampun baginya oleh sekalian yang ada di langit dan bumi sehingga ikan-ikan di air turut meminta ampun baginya. Dan kelebihan orang alim berbanding dengan yang beribadat seperti kelebihan bulan berbanding dengan sekalian bintang. Dan para ulamak itu adalah pewaris kepada nabi-nabi. Dan sesungguhnya para nabi itu tidak meninggalkan emas dan perak, malahan mereka meninggalkan ilmu pengetahuan. Sesiapa yang menerimanya maka dia telah mendapat bahagian yang cukup sempurna”. - (Riwayat Abu Daud)

Seterusnya Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya perumpamaan ulamak’ dimuka bumi laksana bintang dilangit yang menjadi pedoman didalam kegelapan didarat dan dilaut. Maka apabila bintang itu telah gelap maka hampir-hampirlah juru petunjuk itu sesat”. - (Riwayat oleh Imam Ahmad)

Ternyata daripada nas di atas bahawa ulamak itu mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah Ta’ala. Rasulullah s.a.w. telah meletakkan mereka sebagai pewaris para nabi. Pewaris yang dimaksudkan disisinya ialah: “Pengganti tugas nabi didalam urusan menjaga agama dan mentadbir dunia dengannya”.

Islam menghendaki supaya para ulamak menjadi pengganti nabi dalam urusan mentadbir dunia dan menjaga agama. Mesej ini difahami dengan jelas oleh para sahabat nabi dan para cerdik pandai islam yang amanah dengan ilmunya seperti Sadatina Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al-Khattab, Uthman bin Affan, Ali bin Abi Talib dan lain-lain daripada para khulafa’ memberii contoh yang jelas kepada kita bagaimana cara mewarisi peninggalan nabi dari sudut menjaga agama dan mentadbir dunia.

Pengiktirafan yang begitu tinggi oleh Allah hanyalah kepada ulamak yang benar-benar memainkan peranannya sebagau penyebar ilmu kebenaran dan pembenteng kedaulatan islam. Ini adalah kerana terdapat individu atau golongan cerdik pandai islam yang mendakwa sebagai ulamak semata-mata kerana ilmu yang dituntutinya sedangkan dari aspek lain, jauh panggang dari api juga hendak dilebelkan dengan pangkat ulamak pewaris nabi.

Ulamak Islam di zaman sekarang

Ulamak kita di zaman sekarang bolehlah dibahagikan kepada lima bahagian:

1. Ulamak yang pada zahirnya nampak baik, bertaqwa, ikhlas, amalan dan ibadat mereka semata-mata kepada Allah s.w.t. Namun demikian mereka mengasingkan diri daripada dunia. Mereka tidak mengambil tahu tentang permasaalahan orang Islam walaupun sedikit. Mereka saling tak tumpah seperti ahli-ahli tasauf di zaman mutaakhir Islam iaitu tasauf yang negatif yang mengasingkan diri daripada dunia.
Mereka melihat bahawa menjauhi diri daripada dunia adalah satu jalan selamat untuk mereka dan suatu amalan bertaqarrub kepada Allah Azza Wa Jalla. Oleh kerana itu terdapat terlalu ramai daripada kalangan orang-orang Islam dewasa ini yang menjadi mangsa kepada segala taghut dan si zalim.
Ulamak seperti ini tidak mengambil tanggungjawab dalam mempertahankan orang-orang Islam sama ada pada hak-haknya, aqidahnya, kemuliaanya, kehormatannya dan Iain-Iain lagi. Taghut terus bermaharajalela tanpa mendapat gangguan dari kumpulan ini. Mereka semacam tidak tahu kenapa para Nabi diutuskan mendengar sebarang peringatan dan nasihat untuk berbuat kebaikan.
Mereka semacam tidak pernah membaca firman Allah s.w.t yang bermaksud: “dan hendaklah ada di antara kamu satu puak Yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik, serta melarang daripada Segala Yang salah (buruk dan keji). dan mereka Yang bersifat demikian ialah orang-orang Yang berjaya”. - (Ali lmran: 104)
Dan mereka semacam tidak teserempak dengan sabda junjungan yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah dia mengubahnya dengan tangan (kuasa). Sekiranya kamu tidak mampu hendaklah diubah dengan lidah dan sekiranya kamu tidak mampu hendaklah kamu membencinya di dalam hati kamu, itulah selemah-lemah iman". - (Sahih Muslim)
Dan mereka semacam tidak bertemu dengan Hadith ini yang bermaksudnya: "Sebaik-baik jihad ialah perkataan yang benar di hadapan pemerintah yang zalim". - (Sunan Al-Termizi)

2. Golongan yang nampaknya macam setia kepada Islam, cemburu kepadanya namun begitu mereka terlalu baik hati, niat mereka terlalu Ikhlas. Mereka memberikan penilaian bahawa setiap orang yang mencium tangannya, menghadirkan diri di dalam majlis zikir serta menghadiri jemputan mereka sebagai orang yang cintakan agamanya. Justeru itu ramai di kalangan penipu yang berjaya menipu ulamakk yang seperti ini. Mereka dibenarkan berkhutbah di masjid-masjid, di majlis-majlis kempen pilihanraya untuk memberi sokongan kepada ‘figure’ (individu) tertentu. Tulisan-tulisan mereka memihak dan memuja orang-orang tertentu pada hal orang yang dipuji adalah orang yang paling kuat permusuhannya dengan Islam, kalau mereka mempunyai sedikit sifat hazar sudah barang tentu mereka tidak dapat diperalatkan oleh golongan itu.

3. Mereka yang pada zahirnya sangat cintakan agama, cemburu kepadanya. Mereka menjalankan kegiatan amar ma'ruf dan nahi mungkar, akan tetapi mereka lupa kepada ‘Roh Al-Syari'ah’ dan risalahnya dibidang kemasyarakatan dan sosial. Mereka terlalu mengambil berat tentang sembahyang, puasa dan Iain-Iain syiar agama namun begitu mereka tidak mengambil cakna tentang ‘Maqasidi Syari'ah’. Mereka tidak begitu mengambil peduli bahawa sembahyang, puasa dan Iain-Iain syiar Islam sebagai pusat latihan untuk manusia, latihan moral, hati dan Iain-Iain. Oleh kerana itu kita dapati mereka ini berlumba-lumba menunaikan solat bila mendengar azan namun demikian mereka masih terlibat dalam riba, mereka masih menjadi penyokong dan pengampu si zalim, pengkhianat bangsa dan negara. Mereka bermusuh dengan lelaki yang memakai emas tetapi terus membisu terhadap pemerintah yang tidak melaksanakan hukum-hukum syariah dan terlibat dengan rasuah. Jika mereka ditanya siapa yang lebih besar dosanya di sisi Allah, yang memakai cincin emas atau pemimpin yang tidak menjalankan hukum Allah? Mereka sudah tentu akan menjawab bahawa pemerintah yang tidak menjalankan hukum Allah s.w.t itu lebih besar dosanya, tetapi mereka terus membisu.

4. Ulamak jahat yang mencari makan dengan menggunakan kedudukannya dan memperniagakan syariat. Mereka menghampiri(mengampu) semua taghut, bersahabat dengan semua yang jahat dan zalim, mereka terus menyokong golongan tersebut. Islam tercabar oleh mereka. Mereka tidak merasa malu untuk mengatakan bahawa perjuangan untuk menegakkan Islam adalah perjuangan sesat, pecah belah masyarakat, keterlaluan, tidak sederhana dan sebagainya. Pada mereka dikata orang: si fasik yang melakukan segala macam maksiat kerana untuk mendapat harta(sesuap pagi) dan sedikit kelazatan hidup dunia lebih bertaqarrub kepada Allah s.w.t berbanding dengan si alim yang menjadi pengampu kepada segala yang taghut. Mereka mengkhianati agama, ummah dan lain-lain dengan memberi sokongan kepada si penjenayah.

5. Ulamak "Muslihun Harakiyyun". Mereka memahami bahawa Islam satu cara hidup yang membawa kesejahteraan kepada manusia. Islam pembebas ummah daripada memperhambakan diri kepada yang lain daripada Allah s.w.t. Mereka ini berhempas pulas berusaha untuk mengajak ummah kembali menghayati syariatNya di samping mengajak ummah manusia seluruhnya menganut agama Islam.
Keterlibatan mereka di dalam kerja-kerja Islam sangat kelihatan. Begitu juga dalam kancah politik tanahair tidak dapat dinafikan lagi. Mereka memberi kesedaran betapa perlunya ummah Islam membebaskan diri dari belenggu penjajahan politik, ekonomi, pemikiran dan Iain-Iain lagi. Hampir keseluruhan negara ummah Islam mencapai kemerdekaan melalui usaha-usaha mereka yang gigih itu, namun demikian usaha mereka untuk menjadikan ummah Islam menghayati syariatnya dalam semua aspek belum mendapat kejayaan. Ini adalah dlsebabkan kerana negara-negara ummah Islam meminggirkan para ulamakk daripada pentadbiran dan pemerintahan negara selepas mencapai kemerdekaan. Akhirnya mereka menjadi musuh buruan oleh pemerintah yang juga mengaku ianya Islam. Atas nama Islam mereka ditangkap, dipenjara dan berbagai-bagai lagi.
Mereka bukan sahaja dikecam oleh pemerintah tetapi juga oleh golongan ulamakk yang boleh dipergunakan oleh pemerintah. Kalau golongan ulamakk yang pernah digunakan oleh para pemerintah sedar, lebih-lebih lagi jika dikaitkan dengan situasi yang ada sekarang ini, maka sudah tentu mereka dapat mengerti yang sebenarnya menjadi musuh kepada kerajaan warisan penjajah itu ialah Islam. Siapa sahaja yang ingin melaksanakan Islam - yang hendak menerangkan Islam seperti mana yang terdapat di dalam Al-Quran dan As-Sunnah, pasti akan mendapat tentangan daripada kerajaan warisan itu. Golongan Ulamakk inilah yang dikenali sebagai ‘ulamak warasatul anbiya’.

Cabaran

Cabaran yang kita maksud kan disini ialah, cabaran dari sudut haraki. Cabaran ini kita dapat rumuskan kepada 5 golongan:

1. Umat Islam yang belum memahami Islam.
2. Ulamak Su’ (Ulamak Dunia/Ulamak yang bukan ‘warathatul anbiya’)
3. Kerajaan yang memerintah.
4. Gerakan dan Pertubuhan Dirar.
5. Musuh Tradisi

Harapan

Pada awal 70an, orang barat bercakap tentang peranan kedamaian dalam suku terakhir kurun kedua puluh. Mereka membuat beberapa ramalan dan andaian sekiranya tidak berlaku perang dunia ketiga pada suku abad ini, bagaimanakah corak dunia ketika itu. Dalam perbincangan ini mereka mewarnakan peta dunia kepada tiga warna.

Warna merah sebagai lambang pengaruh Komunis, warna kuning sebagai tanda pengaruh Kristian dan warna hijau sebagai isyarat kepada pengaruh Islam. Mereka berpendapat warna merah akan terus pudar dan akan hilang, begitu juga dengan warna kuning. Adapun warna hijau akan terus melebar dan mengambil tempat menggantikan warna kuning dan merah itu.

Perbincangan tersebut berlaku pada waktu diamana dunia ini dikuasai oleh dua pengaruh besar. Pengaruh timur yang dipelopori oleh empayar komunis Rusia dan pengaruh barat yang dikuasai oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya yang beragama Kristian.

Pendapat ini sukar sekali untuk diterima yang ianya akan menjadi kenyataan pada waktu itu. Walau bagaimanapun sekarang ini ia mula menjadi kenyataan. Empayar Komunis sudah tumbang. Kebangkitan Islam dinegara-negara bekas jajahan Komunis itu tidak dapat dinafikan lagi. Kebangkitan Chechya dan lain-lain Negara menjadi kenyataan.

Manakala di sebelah barat pun ternyata benar apabila gereja Kristian dibeli oleh orang-orang Islam seterusnya bertukar menjadi Masjid. Perkembangan ini menyebabkan kerajaan British mengenakan satu akta untuk menghalang pertukaran gereja kepada Masjid. Pertumbuhan Masjid baru di Amerika Syarikat, di Francis dan lain-lain adalah menjadi bukti tambahan.

Perkembangan tersebut dibantu pula dengan perkembangan pejuang Islam didalam negeri Islam sendiri termasuklah Negara kita walaupun perjuangan umat Islam dibawah kepimpinan ulamak untuk menegakkan Islam didalam Negara mereka sendiri dihalang oleh mereka yang kita sebutkan sebelum ini.

Namun begitu perjuangan ini terus mendapat sambutan dan mendapat tempat dihati rakyat. Perjuagan ini telah menampakkan kejayaan walaupun belum dapat melaksanakan beberapa agenda utama seperti menegakkan pemerintahan Islam, perundangan Islam, ekonomi Islam dan lain-lain.

Perkembangan-perkembangan yang tersebut dan pendapat-pendapat yang diutarakan ini bukanlah suatu perkara yang baru bagi orang yang sentiasa mendampingkan diri mereka dengan Al-Quran.

Antara lain Allah berfirman yang beraksud: “mereka hendak memadamkan cahaya Allah (ugama Islam) Dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan menyempurnakan cahayaNya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan Yang demikian)”. - (At-Taubah: 32)

Maksudnya: “Dia lah Yang telah mengutus RasulNya (Muhammad) Dengan membawa petunjuk dan ugama Yang benar (ugama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikanNya atas Segala ugama Yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya”.
- (At-Taubah: 33)

Rasulullah S.A.W bersabda antara lainnya yang bermaksud: “Agama ini akan terus sampai di mana sahaja sampainya siang dan malam”. - (Riwayat Ibn Hibban)

Dalam pada itu kita mesti ingat bahawa kejayaan dan kemenangan yang dijanjikan Allah itu tidak diberi secara percuma. Malahan mestilah melalui perjuangan yang gigih. Allah Ta’ala berfirman yang bermaksud: “Dan jika Allah mahu nescaya ia memberi kemenangan (mudah bagi kamu) dalam menentang mereka, dan tetapi ia menguji setengah kamu dengan setengah yang lain”. - (Muhammad:4)

Kerja yang telah dilakukan oleh PAS dibawah kepimpinan ulamak didalam menangani keadaan yang ada sekarang bolehlah dirumuskan seperti berikut:

1. Bertindak menjelaskan Islam dari semua sudut dan penjuru dalam semua bidang kehidupan kepada semua lapisan masyarakat.

2. Mengadakan perbandingan yang rapi dan terperinci antara Islam dan yang bukan Islam dalam semua aspek seperti ekonomi, undang-undang, politik, pentadbiran, pemerintahan dan sebagainya dimana hal ini diterjemahkan secara amali diKelantan,di Kedah dan pernah juga di Terengganu.

3. Menghapuskan segala kekeliruan yang dilemparkan kepada Islam.

4. Mentarbiyah dan mendidik orang Islam supaya benar-benar mengerti Islam dan memahami tanggungjawab perjuangan untuk menegakkan Islam. Selepas 1982 tertubuhnya pusat-pusat tarbiyyah PAS seperti cendawan diseluruh Negara. PAS juga memasuki IPTA, IPTS dalam dan luar Negara.

5. Menyusun rapi segala tenaga yang telah dididik supaya semuanya berfungsi dan berperanan.

6. Menjadi benteng kepada Islam untuk menghadapi segala cabaran golongan taghut dan seterusnya mengundurkan golongan tersebut dari kerusi masing-masing melalui cara-cara yang dibenarkan oleh undang-undang di Kelantan, Kedah dan lain-lain.

7. Melibatkan diri dalam semua kegiatan kemasyarakatan politik tanah air sehingga berlakunya Tahaluf Siyasi yang meyakinkan rakan-rakan akan Islam dan dasar-dasarnya.

Justeru, Kita tidak perlu risau dengan kepimpinan Ulamak’ walaupun banyak cabaran. Malam itu sangat gelap tetapi fajar akan menyising dan matahari akan terbit.

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: “Allah menjanjikan orang-orang Yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (Wahai umat Muhammad) Bahawa ia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah Yang memegang Kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana ia telah menjadikan orang-orang Yang sebelum mereka: khalifah-khalifah Yang berkuasa; dan ia akan menguatkan dan mengembangkan ugama mereka (ugama Islam) Yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan ia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh). mereka terus beribadat kepadaKu Dengan tidak mempersekutukan sesuatu Yang lain denganKu. dan (ingatlah) sesiapa Yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang Yang derhaka”. - (An-Nur:55)

Tiada ulasan: