KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mei 20, 2009

Mahfuz kata PAS milik semua pihak, buka hanya dikuasai oleh puak-puak tertentu!

KETUA Penerangan PAS Pusat, Dato' Mahfuz Omar menegaskan jawatan dalam PAS bukannya hak eksklusif untuk mana-mana kumpulan sahaja tetapi terbuka kepada setiap ahli parti yang layak berdasarkan kepada meritokrasi.

Beliau berkata, apabila seseorang pemimpin itu dipilih berdasarkan kepada meritokrasi yang mendapat sokongan padu daripada seluruh ahli, maka ia akan memperkukuhkan lagi kekuatan dan kesinambungan PAS.

PAS tegas Ahli Parlimen Pokok Sena ini, adalah sebuah parti milik semua pihak dan semua golongan seperti petani, pekebun, guru, kakitangan awam dan kerajaan, profesional dan juga ulama.

Katanya, tidak timbul PAS milik golongan tertentu sahaja kerana untuk mengukuhkan parti penglibatan semua pihak dari pelbagai golongan diperlukan bagi mempastikan parti duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan parti-parti utama di negara ini.

Beliau juga kecewa bila ramai pemimpin PAS yang ghairah memberikan pandangan kepada media arus perdana hingga menyebabkan timbul persepsi negatif, seolah-olah berlaku perpecahan dalam parti.

Mahfuz menegaskan, perbincangan terbuka bahawa hak beberapa jawatan dalam PAS hanya perlu diisi oleh kumpulan ulama dan profesional perlu dihentikan kerana 'polemik' itu memberikan imej buruk tentang wujudnya konsep kasta dalam parti.

"Perbincangan seperti ini akan menimbulkan persepsi adanya perpecahan dalam parti dan ia boleh melemahkan bukan menguatkan parti. Ia juga boleh menyebabkan ahli parti lain yang bukan daripada golongan ulama dan profesional berkecil hati dan akhirnya akan menjauhkan diri daripada parti.

"Saya minta hentikan 'polemik' seperti ini, kerana ia memberi mesej dan imej salah mengenai parti kepada akar umbi, seolah-olah PAS hanya dianggotai oleh dua kumpulan ini sahaja," katanya.

Tiada ulasan: