KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 16, 2009

Tok Guru Nik Aziz mahu 13 Mei olah momentum baru



SEMUA wakil media dan media online termasuk bloggers menghadiri satu sidang media khas yang akan diadakan oleh YAB. Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat pada 13 hb Mei 2009, jam 11 pagi di Dewan Teratai, Kompleks SUK Kota Darul Naim.
Pada sidang media itu, Tok Guru Nik Aziz, yang sudah menjadi Menteri Besar Kelantan selama hampir 19 tahun mengumumkan suatu penawar kepada rakyat Malaysia untuk memperkukuhkan perpaduan nasional. Sidang media tersebut juga telah disiarkan secara langsung menerusi www.kelantan.tv. Ikuti kenyataan penuh Mursyidul Am PAS merangkap Menteri Besar Kelantan ini, sempena imbas kembali Tragedi Hitam 13 Mei 1969.


Bismillahir Rahmanir Rahim

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan keturunan, supaya kamu saling berkenalan (dan beramah mesra diantara satu sama lain). Sesungguhnya orang yang paling mulia dari kalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dari kalangan kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan (akan keadaaan dan amalan kamu)." - (Surah Al-Hujurat: Ayat 13)

Dengan perkembangan-perkembangan laporan di pelbagai segmen kehidupan baik luar negara mahupun dalam negeri, yang sejak akhir-akhir ini lebih bnayak menimbulkan kerisauan, berbanding dengan berita, akhbar dan harapan yang lega untuk kita semua, saya seolah-olah dapat merasakan betapa rakyat kita sudah semakin berada dalam rasa resah, ketidak tentuan dan serba salah.

Mereka bukan tidak ada sebuah kerajaan atau tidak ada pemimpin tetapi apalah daya mereka apabila mereka tidak lagi terasa yang kehidupan mereka dilindungi. Apa yang ada di carta semak "harapan sebuah kebahagiaan' yang dijanjikan untuk diri, keluarga, agama dan negara mereka; hampir semua kabur dan sedang berada dalam suasana yang cukup berkecamuk.

Walaupun di sana terdapat banyak masjid yang indah-indah, teks khutbah, janji, piagam, lagu patriotik dan ikrar yang dilaung dan digantung mana-mana tetapi ia sekadar deklarasi-deklarasi kosong yang tiada roh.

Ini kerana ia kehilangan kujujuran. Ia ketiadaan berkat kerana ia tidak diseru hasrat ikhlas untuk benar-benar memelihara adab dan agama, demokrasi dan keamanan serta perpaduan dan kesejahteraan. Dalam banyak kes dan contoh, apa kepentingan awam menjadi milik kroni bagi pihak proksi dan rakan kongsi unutk tujuan-tujuan persendirian.

Di atas nama mahukan politik yang stabil demi memperkukuhkan ekonomi negara, pengukuhan kerajaan telah dilakukan melaui projek-projek pembangunan. Dari situlah bermulanya ketirisan, pembaziran, rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Mereka yang memegang amanah, telah mengkhianati amanah.

Contoh tipikal ialah apa yang telah dan sedang berlaku di Perak sekarang. Maka, jadilah banyak slogan yang baik-baik itu menjadi motto kosong yang tidak memberi apa-apa kesan dan harapan pemulihan.

Selaras dengan ini, jika tarikh 13 Mei sebelum ini sering dirujuk kepada tragedi buruk yang menghitamkan sejarah perpaduan kaum di negara kita maka saya kira tanggal 13 Mei untuk masa-masa ke hadapan boleh kita jadikan sebagai tanggal yang boleh mencetus momemtum baru.

Hari ini, 13 Mei 2009 Masehi bersamaan 18 Jamadil Awal 1430 Hijrah, izinkan saya mengajak diri saya dan seluruh rakyat Malaysia supaya kembali mencintai diri sendiri terlebih dahulu. Untuk mencintai diri demi untuk selamat di Yaumul Qiamah seperti yang sering orang Islam ulangi di setiap kali solat kita pertama-tamanya perlu sihat dan selamat terlebih dahulu.

Dari itu, kita perlu pula sentiasa berada dalam keadaan yang sentiasa tenang, tenteram dan gembira. Untuk Bahagia, tenang dan gembira, tentu kita wajib hidup dalam sebuah disiplin hidup beragama. Kembalilah kepada ajaran agama dan bertaqwalah kepada Allah SWT - itu permis kebahagiaan yang pertama.

Kedua, kita perlukan sebuah kerajaan yang betul- betul berjiwa rakyat. Oleh kerana kita telah memilih system demokrasi berparlimen sebagai aliran pemerintah dan premis hidup bernegara, maka kita perlu diberikan hak sivil, kebebasan bersuara, berhimpun secara aman, menghormati prinsip pengasingan kuasa dan "rule of law and natural justice" serta segala amalan hak asasi manusia seperti yang dijamin oleh perlembagaan.

Ini bertindak sebagai asas pra syarat utama bagi seluruh rakyat Malaysia. Rakyat perlu diberi atau di kembalikan semula hak- hak tersebut jika ia telah dirampas dari tangan mereka selama ini.

Ketiga, setiap rakyat dari pelbagai bangsa, agama, etnik, dan keturunan perlu mendapat perlindungan keselamatan dari segala gangguan jenayah ragut, rogol, rampas, bunuh, bom, dan bakar yang semakin menjadi- jadi.

Selagi rakyat tidak merasa selamat dan terasa dilindungi ketika menjalani dan melaksanakan kehidupan beragama dan aktiviti mencari rezeki seharian - terasa dipelihara keselamatan mereka dari segi nyawa, maruah, air muka, tubuh badab dan harta benda dari difitnah dan di musnah - maka selama itulah kerajaan yang bertanggungjawab tidak boleh merasa selamat.

Ini soal hak yang sangat asas. ia menjadi hak asasi milik setiap setiap rakyat yang wajib dipelihara, sentiasa diberi dan selamanya dihormati. Mari kita jadikan tanggal 13 mei 2009 sebagai titik tolak perubahan ke arah memperkukuhkan suasana hidup beragama, mempereratkan persaudaraan dan muhibah serta menolak mana-mana pihak yang merosakkan perpaduan kaum dengan mencetus isu- isu perkauman yang bukan-bukan untuk mengaut 'mileage' politik bagi melanjutkan hayat perjuangan mereka berasaskan semangat kebangsaan.

Kepada semua orang islam tanpa mengira bangsa, izinkan saya berseru supaya hayatilah mesej dan roh lafaz salam "assala mu’alaikum warahmatullah" dengan sepenuhnya. Di sana ada makna persaudaraan yang sangat dalam.

Bagi seluruh rakyat Malaysia pada amnya, mari kita kukuhkan ukhuwwah dalam semangat Pakatan Rakyat berbilang kaum untuk memulihkan demokrasi di Malaysia dengan menolak segala amalan kezaliman, rasuah dan ketidakadilan.

1 ulasan:

Albakr Allatifi berkata...

Assallamualaikum,
Tuan, tentang polimik tragedi 13 Mei pada tahun 1969 terlalu banyak diperkatakan. Pastinya semua orang tahu, kenapa dan bagaimana? Parti Pas mengunakan peristiwa ini sebagai contoh bagaimana Umno dan juak2 nya yang menyebabkan berlakunya.
Tuan Mizi, jika asal orang Selangor,NS atau Melaka tentu tahu perkara sebenar yang menyebabkan trajedi ini. Saya sendiri tidak pasti usia saudara. Jika belum sampai 50tahun umur, pasti tidak akan dapat cerita yang jelas, melainkan dari mulut ke mulut atau dari buku TAR.
Apa yang saya rasa kurang baik bagi PAS bila menjaja kehulu kehilir ini angkara Umno. Saya rasa ini tidak tepat.
Memanglah orang kelantan dan mereka yg tinggal diPantai timur serta yang di utara tidak terlibat langsung dalam trajedi ini.
Bapa saya dan saya sendiri adalah simpatis parti PAS sejak saudara belum lahir kedunia lagi.Malah TG Nik Aziz belum lagi dikenali dalam PAS itu sendiri.
Apa yang sangat mengecewakan saya, (bapa telah lama ke rahmahtullah), ialah kenyataan serta tafsir2 yg di Keluarkan TG Nik Aziz akhir2 ini, seolah menafikan apa yg kami lakukan dlm trajedi itu salah dan di adu domba oleh Umno. Ini fitnah jahat dan dijadi peristiwa di Perak sebagai contoh jahat pihak lawan. Bagi saya ini semua adalah perlakuan politik, yang bijak berstrategi akan menang. Jadi di Perak BN menjadi serigala yang membaham sereban ayam PR.
Semua ini "political ploy" maka seharusnya PR lebih bijak dihari yg mendatang.
Memperlecehkan peristiwa 13 Mei bukan caranya.Saya amat terasa malah ramai dikalangan kami anak negeri selangor, NS dan bekas 5 Btn RAMD rasa terkilan dengan cemuhan PAS ini.
Seharusnya Nik Aziz sebagai seorang yg mursyid harus banyak tahu atau eloklah berdiam sebagaimana Tg Hadi yg saya rasa lebih "prolific".
Saya cuma berdoa agar PAS sedar tentang hal ini.Kepentingan Islam dan politik Islam mestilah menjadi "prime priority" bukan untuk nafsu ingin berkuasa demi untuk memerintah jangan nanti" dulu megatakan Umno " biar cita2 tercapai dengan menghalalkan cara yg jelas haram". renung2 kan lah!