KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Pemuda PAS akan bahas usul pemilihan calon wakil rakyat elak melompat parti!


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat akan membahaskan usul memantapkan mekanisme pemilihan calon parti itu dan Pakatan Rakyat pada pilihanraya umum nanti agar tidak berlaku lagi wakil rakyat yang berpaling tadah seperti di Perak, lapor Malaysiakini.

"Kita tidak mahu kejadian di Perak berulang. Lompat parti, menyebabkan kejatuhan kerajaan Pakatan di Perak," kata Ketua Penerangan Pemuda PAS Suhaizan Kaiat. Usul itu dibawa oleh Dewan Pemuda PAS Perak, katanya.

Suhaizan berkata, jawatankuasa usul dewan itu akan membuat saringan peringkat akhir pada 3 Jun ini, sehari sebelum muktamar sayap itu berlangsung di Markaz Tarbiah PAS di Gombak.

Pengerusi jawatankuasa usul muktamar PAS ke-55, Datuk Mahfuz Omar mengesahkan kemelut politik di negeri itu, yang berlarutan sejak awal Februari lalu, akan menjadi usul penting.

Dasar kontroversi Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang mendapat bantahan popular dan isu liberalisasi ekonomi yang diumumkan perdana menteri sebulan lalu akan turut dibahaskan.

Mengulas usul-usul daripada tiga sayap utama parti, Mahfuz yang juga ketua penerangan PAS berkata:

"Memang ada pelbagai usul daripada dewan-dewan (sayap parti), tetapi kita belum pasti ia akan diterima atau ditolak (dalam muktamar dewan masing-masing)." PAS kini sedang menyaring dan usul-usul itu dijangka dapat dimuktamadkan sehari sebelum muktamar parti itu bermula 5 Jun ini.

Sementara beberapa isu dalaman parti seperti cadangan pindaan perlembagaan untuk menggalakkan penyertaan bukan Islam dalam Kelab Penyokong PAS (KPP) akan disentuh sewaktu membahaskan usul dasar presiden, tambah Mahfuz.

Dalam mesyuaratnya Sabtu lalu, Dewan Muslimat pula menerima tujuh usul termasuk satu yang akan dibahaskan di perhimpunannya di dewan Majlis Bandaraya Shah Alam.

Ketua jawatankuasa usulnya Wan Ubaidah Wan Omar berkata, usul menggesa kerajaan melanjutkan cuti bersalin kepada kakitangan kerajaan kepada 90 hari, tidak dihadkan jumlah kelahiran.

Tambahnya, juga ADUN Kijang, cadangan tersebut mengikut dasar yang telah dilaksanakan oleh Kelantan. Usul-usul yang diterima tanpa bahas termasuklah menggesa kerajaan menghadkan tayangan filem berunsur ganas di televisyen.

Tiada ulasan: