KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mei 20, 2009

Mampukah Mahkamah Rayuan ambil alih "suara keramat rakyat" dalam menamatkan konflik di Perak?



KEMELUT politik di Perak masih belum nampak jalan penyelesaiannya. Selepas lega seketika bila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 11 Mei lalu memutuskan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar yang sah, Mahkamah Rayuan nampaknya lebih senang untuk memanjangkan krisis tersebut, ulas Irwan Muhamad Zain.

Sehari selepas keputusan yang dibuat hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Abdul Aziz Abdul Rahim yang mengesahkan Nizar sebagai Menteri Besar, hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Mohd Ali memutuskan untuk menerima permohonan Dato' Seri Zambry Abdul Kadir supaya menangguhkan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi sehari sebelumnya.

Ketika hakim Abdul Aziz dilihat ingin segera menamatkan krisis politik Perak, hakim Ramly pula mahu agar kemelut itu berpanjangan dan lebih rela rakyat terus memaki hamun institusi kehakiman yang telah sekian lama tercalar akibat keputusan-keputusan yang berat sebelah.

Ramly boleh saja menggunakan kuasanya untuk menolak permohonan Zambry bagi membolehkan krisis politik Perak yang berlanjutan sejak tiga bulan yang lalu diselesaikan segera.

Namun malangnya Ramly memilih untuk membiarkan rakyat Perak terus menerus berada dalam kebingungan dengan apa yang berlaku. Beliau juga mahu agar mahkamah dan hakim dilihat mempunyai kuasa untuk memilih dan menentukan siapa yang layak menjadi Menteri Besar dan kerajaan untuk mentadbir sesebuah negeri.

Ramly mungkin lupa dalam proses demokrasi, kuasa memilih kerajaan terletak ditangan rakyat bukan di bawah mahkamah dan juga hakim, kerana yakin dengan kuasa yang ada pada rakyat itu lah maka Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang tetap bertegas supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan segera bagi menyerahkan mandat memilih kerajaan diserahkan kembali kepada rakyat yang lebih layak untuk menjadi hakim.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ketika ditanya wartawan mengenai keputusan yang dibuat Ramly menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi KUala Lumpur berkata, beliau dan menteri besar yang lain tidak dilantik oleh mana-mana mahkamah dan hakim, oleh itu wajar jika di Perak juga perlantikan menteri besar dan kerajaan diserahkan kepada rakyat.

Lebih mengelirukan bila media pro kerajaan bertindak melebihi apa yang diputuskan oleh mahkamah kerana mengumumkan Zambry sebagai menteri besar yang sah sedangkan Mahkamah Rayuan tidak membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan tidak pula mengesahkan Zambry sebagai Menteri Besar. Mahkamah Rayuan hanya menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Segalanya ini tidak akan berlaku jika Barisan Nasional (BN) menghormati pilihan yang telah dibuat oleh rakyat Perak.

Namun, bukan BN namanya jika tahu menghormati rakyat biarpun Perdana Menteri baru, Dato' Seri Najib Tun Razak ke sana ke mari mempromosikan slogan 'Satu Malaysia, Rakyat diutamakan, Pencapaian didahulukan'.

Tindakan merampas kuasa secara 'luar tabiee' membuktikan BN tidak pernah mengutamakan rakyat sebaliknya kepuasan diri yang lebih diutamakan. Najib dalam kenyataan beliau kepada media bila diajukan soalan sama ada bersedia untuk membubarkan Dun bagi membolehkan rakyat menentukan pilihan mereka tetap berkeras untuk tidak menuruti kehendak rakyat.

Sebaliknya beliau mahu mengadakan perbincangan dengan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat bagi mencari jalan penyelesaian. Tawaran untuk mengadakan perbincangan itu sebenarnya hanya satu helah Najib bagi menampakkan beliau seorang pemimpin yang lebih suka berunding. Tetapi dalam menawarkan perundingan itu, Najib tetap berdolak-dalik bila ditanya tentang cadangan supaya Dun Perak dibubarkan.

Keengganan Najib untuk membubarkan Dun menampakkan BN takut untuk berhadapan dengan realiti rakyat hari ini sudah menolak BN. Ramai yang menjangkakan jika Dun dibubarkan, BN akan mengalami kekalahan teruk dan analisa ini amat ditakuti Najib sebagai Perdana Menteri yang baru dilantik.

Kekalahan BN akan menjadi kayu ukur sejauh mana penerimaan rakyat terhadap parti itu selepas 8 Mac 2008 dan juga apa nasib yang bakal diterima mereka dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti.

Biarpun Najib menafikan BN takut untuk berdepan dengan pilihanraya di Perak kerana bimbang akan kalah tetapi jawapan beliau itu dilihat sekadar untuk menyedap hati sendiri. Ketakutan BN untuk berdepan dengan rakyat bukan hanya di Perak tetapi juga di negeri-negeri lain. Contohnya untuk menghadapi Pilihanraya Kecil Dun Penanti, BN masih tidak menamakan calonnya malah pernah membayangkan untuk tidak bertanding.

Ketakutan Najib untuk berhadapan dengan rakyat di Perak semakin bertambah bila mentornya Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jika diadakan pilihanraya negeri sudah tentu BN akan mengalami kekalahan. Mahathir, yang kembali menyertai Umno April lalu berkata jika pilihanraya negeri diadakan ia hanya membazirkan wang rakyat.

Kenyataan terbaru Mahathir jauh berbeza dengan apa yang disuarakan beliau ketika krisis politik Perak baru bermula Februari lalu. Ketika itu, Mahathir yang masih berada di luar Umno bertegas supaya krisis politik di Perak diselesaikan dengan cara menyerahkan kepada rakyat untuk menentukan kerajaan yang mereka mahukan.

Kini, selepas kembali ke pangkuan Umno dan protegenya Najib sudah menjadi Perdana Menteri, Mahathir membuat kenyataan berbeza dan senada dengan Perdana Menteri. Sikap dan kenyataan berbeza Mahathir itu tidak menghairankan kerana beliau memang dikenali dengan sikap suka mengeluarkan kenyataan yang berbelit-belit.

Berbeza pula dengan bekas Presiden Semanagat 46 yang juga telah kembali kepada Umno, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) yang konsisten mahukan supaya pilihanraya negeri diadakan. Ku Li sejak awal berlakunya episod rampasan kuasa di Perak tetap tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Najib dan pembantunya, Dato' Seri Ahmad zahid Hamidi.

Bagi Pakatan Rakyat, mereka sepakat menyatakan kesediaan bertemu Dato' Seri Najib Razak demi mengukuhkan demokrasi dan institusi kerajaan dalam mencari penyelesaian kemelut politik Perak.

Bagaimanapun, mereka juga percaya langkah terbaik adalah melalui pembubaran Dun dan pilihanraya semula peringkat negeri seperti disarankan oleh beberapa pihak, termasuk ahli politik BN dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).

Pakatan Rakyat mengambil sikap terbuka dan bersedia untuk bertemu dengan perdana menteri untuk memperkukuh demokrasi dan institusi kerajaan Perak. Perak dilanda kemelut politik bila BN merampas pentadbiran Pakatan Rakyat secara haram dengan tidak meneghormati pilihan yang telah dibuat rakyat Perak selain tidak menghormati undang-undang tubuh negeri Perak.

Ekoran rampasan kuasa itu Sultan telah meminta Mohammad Nizar supaya melepaskan jawatan menteri besar. Baginda kemudiannya memperkenankan perlantikan Zambry dari BN sebagai menteri besar yang baru.

Bagaimanapun, 11 Mei lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengisytiharkan Nizar sebagai menteri besar Perak yang sah. Namun esoknya, Zambry mendapat perintah penangguhan penghakiman tersebut sehingga selesai rayuannya.

Pada 14 Mei, Nizar pula memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah penangguhan tersebut, yang akan didengar 18 Mei nanti. Kemelut di Perak ini akan berterusan selagi Dun tidak dibubarkan untuk rakyat menjadi hakim bagi menentukan kerajaan pilihan mereka.

Jika Najib, serius mahu mengutamakan rakyat sewajarnya beliau merelakan pembubaran Dun Perak dan menerima apa jua keputusan yang dibuat oleh rakyat Perak. Andai pilihan raya negeri tidak diadakan, amat malang bagi rakyat Perak kerana mereka tidak diberi peluang untuk menjadi hakim yang sebenar dan menamatkan kemelut yang berlaku sejak tiga bulan yang lalu.

Sekali lagi ditegaskan, tiada pilihan lain untuk menamatkan krisis politik Perak ini melainkan dibubarkan segera Dun dan mengadakan pilihanraya negeri. Atas nama demokrasi, kembalikan kuasa kepada rakyat Perak. Biar mereka menentukan kerajaan pilihan mereka bukan hakim atau mana-mana mahkamah.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Mahkamah akan ikut suara dan kehendak pemimipin sumbang yang memerintah. Sebab ramai hakim yang duduk di meja hakim sebernarnya adalah Ketua Cawangan atau Bahagian Umno.Cepat naik pangkat kalau pegang jawatan seperti itu. Hakim yang tegas dan ikut undang undang akan bercuti atau ditamatkan kontrak. Macam Hakim SM Komati dalam kes DSAI.