KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 23, 2009

Nasrudin ditentang Zaki, Nuridah dilawan 3 calon lain dan Harun Taib menang tanpa bertanding



TIMBALAN Pesuruhjaya Pas Terengganu, Datuk Harun Taib menang tanpa bertanding jawatan Ketua Dewan Ulama parti itu apabila semua lapan negeri mencalonkan beliau bagi jawatan berkenaan.

Harun pernah menerajui Dewan Ulama selama 10 tahun sehingga 2007 apabila memberi laluan kepada Timbalannya, Datuk Mohamed Daud Iraqi menang tanpa bertanding jawatan itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, Pesuruhjaya Pas Johor, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed pula menang tanpa bertanding bagi jawatan Naib Ketua Dewan Ulama.

Beliau berkata, dua lagi sayap parti itu iaitu Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat bakal menyaksikan pertandingan di peringkat ketuanya.

"Bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda akan menyaksikan pertandingan antara Nasrudin Hassan Tantawi yang juga penyandang Timbalan Ketua dan Mohamad Zaki Ibrahim yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran.

"Pertandingan bagi jawatan Ketua Dewan Muslimat bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru antara penyandang Nuridah Mohd. Salleh dengan Dr. Mariah Mahmud (Ahli Parlimen Kota Raja), Azizah Khatib Mat (bekas Ketua Dewan Muslimat Pahang) dan Dr. Asiah Ali.

"Semua nama yang disenaraikan ini mesti menjawab surat tawaran untuk menjadi calon selewat-lewatnya 25 Mei ini," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini. Hadir sama ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Hassan Shukri.

Mengikut Perlembagaan Pas, seseorang itu hanya memerlukan satu pencalonan sahaja dari mana-mana negeri untuk melayakkan diri bertanding setiap jawatan dewan terbabit.

Menurut Mustafa, jawatan Timbalan Ketua Dewan Ulama menyaksikan pertandingan antara penyandangnya yang juga ADUN Sanglang, Hashim Jasin dengan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob.

Bagi Dewan Pemuda pula, katanya, lima orang dicalonkan. Masing-masing untuk bertanding jawatan Timbalan dan Naib Ketua termasuk anak kepada Mursyidul Am Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang dicalonkan untuk kedua-dua jawatan itu.

Katanya, Dewan Muslimat pula menyaksikan empat orang dicalonkan untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua termasuk penyandangnya, Wan Hasrina Wan Hassan dan tiga orang untuk Naib Ketua.

"Seramai 41 orang dicalonkan untuk bertanding jawatan ahli jawatankuasa kerja (AJK) Dewan Ulama, termasuk Mohamed yang tidak mempertahankan jawatan Ketua. Sebanyak 45 orang pula dicalonkan sebagai AJK Dewan Pemuda dan 39 orang (Dewan Muslimat)," jelasnya.

Tambah Mustafa, hanya lapan negeri telah menghantar pencalonan bagi Dewan Ulama dan masing-masing 12 negeri bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan jumlah pencalonan yang diterima oleh setiap calon atas alasan bagi mengelakkan spekulasi berlebihan dalam media.

Sementara itu, Mustafa memaklumkan senarai muktamad calon yang bertanding hanya akan diumumkan pada 26 Mei ini setelah semua calon menjawab surat tawaran yang telah dihantar kepada mereka.

Tiada ulasan: