KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mei 27, 2009

Pemimpin utama Pemuda dan Ulama PAS Pusat, menang tanpa bertanding


PERALIHAN kuasa dalam Dewan Pemuda Pas Pusat berjalan lancar apabila kesemua tiga jawatan tertinggi iaitu ketua, timbalan ketua dan naib ketua dimenangi tanpa pertandingan, lapor Utusan Malaysia.

Ia diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Pas, Datuk Mustafa Ali pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas di sini hari ini.

Ulama muda, Nasrudin Hassan Tantawi yang juga bekas Timbalan Ketua Dewan Pemuda kini secara sah menerajui sayap itu setelah tiga pesaingnya berkompromi dan menarik diri.

Sebelum ini, antara nama yang disebut akan mencabar Nasrudin ialah bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Kelantan, Mohamad Zaki Ibrahim; Naib Ketua Dewan Pemuda Pas, Azman Shapawi Abdul Rani dan Exco Pemuda Pas, Mohd. Firdaus Jaafar yang juga Ahli Parlimen Jerai.

Bagi jawatan Timbalan Ketua, Azman Shapawi dipilih memegang jawatan itu dan Ahmad Sabki Yusof sebagai Naib Ketua.

Sementara itu, Dewan Ulama juga menyaksikan tiada pertandingan bagi kesemua jawatan tertinggi bermula daripada pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, ketua, timbalan ketua dan naib ketua.

Datuk Harun Taib dipilih menerajui dewan itu dengan dibantu oleh Timbalan Ketua, Datuk Ahmad Yaakob yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan dan Naib Ketua, Datuk Dr. Mahfodz Mohamed.

Bagaimanapun, berbeza pula dengan Dewan Muslimat yang bakal menyaksikan persaingan sengit bagi semua jawatan tertinggi iaitu pengerusi dan timbalan pengerusi tetap, ketua dan timbalan ketua.

Hanya jawatan naib ketua Dewan Muslimat tidak dipertandingkan apabila muka baru Senator Mumtaz Md. Nawi menang tanpa bertanding.

Tiada ulasan: