KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 23, 2009

Benarkah ulama PAS makin lesu, mandom dan tidak bermaya?



PEMILIHAN pucuk pimpinan Pas bulan depan bukan sekadar menyaksikan pertembungan calon-calon daripada golongan ulama dan profesional, malah akan memperlihatkan juga sejauh mana kecenderungan parti itu terus mempertahankan perjuangannya menegakkan pemerintahan Islam, ulas Norhayati Muda.

Kira-kira 20 tahun lalu parti ini berpegang kuat kepada pendekatan ideologi agama yang radikal sehingga ada penyokong dan pemimpin parti sanggup melabel penyokong UMNO sebagai kafir kerana didakwa bersengkokol dengan parti-parti politik bukan Islam.

Malah, berita seperti "satu masjid dua imam" khususnya di negeri-negeri seperti Kelantan, Kedah dan Terengganu bukan perkara pelik pada ketika itu, seperti juga cerita mengenai keluarga yang berpecah-belah dan jiran tetangga bermusuhan gara-gara perbezaan fahaman politik.

Hari ini Pas mempamerkan imej yang amat berbeza. Selain bekerjasama dengan DAP yang didominasi kaum Cina dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang sememangnya liberal, suara ulama radikal semakin lesu.

Isu kafir-mengkafir lenyap, keazaman parti untuk menubuhkan negara Islam, melaksanakan undang-undang hudud sudah tidak kedengaran lagi. Mungkin kematangan berpolitik menyebabkan isu-isu itu digugurkan atau mungkin juga ia ditenggelami pengaruh pemimpin golongan profesional dengan pendekatan yang liberal.

Barangkali selepas menyedari bahawa pengaruh golongan profesional semakin meluas dalam parti, segelintir pemimpin Pas telah menekankan pentingnya golongan ulama menyandang dua jawatan tertinggi parti iaitu presiden dan timbalan presiden. Namun ada juga yang membantah pandangan itu.

Mereka termasuklah Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang berpandangan bahawa golongan profesional dan ulama adalah sama kerana untuk memimpin, keduaduanya harus mempunyai pengetahuan dunia dan akhirat.

Pandangan Nik Abdul Aziz itu dilihat sebagai cubaan meredakan perselisihan antara golongan radikal dan sederhana memandangkan masih ada pihak yang tidak dapat menerima golongan profesional sebagai pemimpin mereka.

Hakikatnya, menurut beberapa pemerhati politik, Pas tidak mempunyai pilihan selain membiarkan ia diterajui golongan profesional jika ia mahu terus dipilih pada pilihan raya umum.

Parti itu, kata mereka, telah menyedari bahawa pendekatan radikal tidak mampu mengekalkan sokongan bukan Islam seperti yang sedang dinikmati parti itu sekarang.

"Pas sekarang berpolitik secara realiti iaitu berjuang untuk kuasa. Dulu mereka berjuang untuk menegakkan ideologi tetapi sekarang ideologi dah tipis," kata Prof. Dr. Mohamad Agus Yusoff dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Pensyarah Pusat Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi itu berkata, Pas kini berbaik-baik dengan parti politik yang didominasi bukan Islam berlandaskan satu matlamat iaitu untuk menumbangkan BN.

"Sekarang rakyat pelbagai kaum dapat menerima pendekatan Pas, jadi mereka akan kekalkan pendekatan sederhana ini selagi mereka dapat sokongan," katanya.

Sekalipun kehadiran golongan profesional ini, yang turut dikenali sebagai kelompok Erdogan, memberi manfaat kepada Pas daripada segi sokongan masyarakat, hakikatnya kata Mohamad Agus, mereka juga membawa bibit-bibit kurang sihat dalam parti seperti perebutan kuasa. Pemilihan parti itu kali ini menyaksikan pencalonan paling ramai dalam sejarah parti itu.

Sungguhpun Datuk Seri Abdul Hadi Awang menang tanpa bertanding sebagai presiden, timbalannya Nasharuddin Mat Isa ditentang tiga calon termasuk dua Naib Presiden sekarang terdiri Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Husam yang dikelompokkan sebagai Erdogan diuar-uarkan calon popular untuk menang walaupun ada pandangan menyatakan calon golongan ulama Datuk Dr. Haron Din adalah gandingan terbaik Abdul Hadi.

Sekalipun ada yang melihat ia petanda amalan demokrasi yang semakin subur dalam Pas, bagi Prof. Dr. Ahmad Atory Hussain daripada Universiti Sains Malaysia, perebutan jawatan itu juga satu petunjuk tentang pudarnya amalan syura dalam parti itu.

"Nampaknya Pas mengamalkan demokrasi ala-Barat, bukan lagi syura iaitu amalan mesyuawarah dan bertolak ansur," kata pensyarah Dasar Awam dan Politik Malaysia itu.

Ahmad Atory berpendapat golongan Erdogan lambat-laun akan menguasai pemilihan Pas kali ini memandangkan parti itu kini didominasi golongan muda yang berfahaman sederhana.

"Golongan ulama dah tak ramai, sudah tua-tua. Yang ramai sekarang adalah golongan muda, profesional dan mereka akan mencorakkan pucuk pimpinan baru. Mungkin pada pemilihan kali ini tidak ketara sangat, tapi saya yakin mereka akan menyerlah pada pemilihan akan datang," katanya.

Prof. Dr. Ahmad Atory berkata, suka atau tidak, penyokong Pas khususnya kelompok radikal yang masih ada di peringkat akar umbi terpaksa menerima gaya kepimpinan baru yang akan diselitkan oleh golongan profesional ini.

Prof. Madya Dr. Ghazali Mahyuddin dari UKM turut bersetuju dengan pandangan itu dan menyifatkan Pas telah mula berpijak di bumi nyata kerana menyedari golongan ulama sahaja tidak mampu menarik sokongan masyarakat pelbagai kaum.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan suara ulama akan terus dipinggirkan dan seterusnya menjadi golongan minoriti dalam parti.

"Perubahan ini sebenarnya perkara biasa dalam politik dan Pas adalah parti politik, jadi tidak perlu dihairankan kalau pada pemilihan nanti yang ramai menang adalah kumpulan profesional.

"Memanglah masih ada penyokong akar umbi yang tegar dengan pendekatan radikal dan mungkin tidak dapat menerima kehadiran pemimpin yang sederhana ini, tetapi saya jangka mereka akan terus dalam parti selagi ada pemimpin bergelar ulama,'' kata Ghazali yang meragui parti itu akan kembali kepada pendekatan lama.

Kalau mereka kembali, mereka akan dipencilkan oleh rakan sekutu mereka, tegasnya.

"Tetapi dalampolitik ini susah nak dijangka. Kita tengok sahajalah apa perkembangannya selepas ini sebab saya yakin golongan profesional akan mendominasi pemilihan kali ini,'' katanya.

Jika mahu dirumuskan perubahan yang berlaku dalam parti kedua terbesar orang Melayu selepas UMNO itu, tidak keterlaluan jika dikatakan Pas kini menggunakan pendekatan yang pada suatu ketika memberi sokongan besar kepada UMNO dan BN.

Mengamalkan pendekatan sederhana dan menjanjikan keadilan dan kesejahteraan untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, UMNO dengan kerjasama rakan-rakan dalam BN, berjaya menambat hati rakyat selama berdekad.

Berpegang pada tiket serupa, Pas yang kini sekutu kepada PKR dan DAP mentarbiahkan rakyat bahawa parti itu mampu memenuhi kehendak rakyat dengan menegaskan ajaran Islam juga menekankan keadilan dan kesejahteraan untuk semua.

Sekalipun penganalisis politik yakin asas penubuhan Pas yang antara lain mahu mewujudkan negara Islam belum berubah, persoalannya ialah sejauh mana pemimpin golongan profesional ini mampu mempertahankannya.

Atau, mungkinkah keinginan untuk berkuasa akan mengatasi perjuangan asal pemimpin terdahulu dan apakah saki-baki golongan ulama yang masih ada akan membiarkannya.

Tiada ulasan: