KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 16, 2009

Presiden PAS Dato Seri Abdul Hadi menang tanpa bertanding


DATO' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden PAS bila tiada pencalonan dari mana-mana kawasan yang mencabar beliau untuk mengisi jawatan nambor satu PAS itu, lapor Irwan Muhamad Zain.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali menegaskan hanya satu kawasan yang mencalonkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menentang Ustaz Hadi sebagai Presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan PAS ke-55 parti itu, Jun depan.

Setiap calon, tegas Mustafa, perlu mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan bagi melayakkan diri bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan.

"Bila tarikh pencalonan ditutup 8 Mei lalu, hanya PAS kawasan Bukit Bintang mencalonkan Tok Guru Nik Aziz untuk bertanding jawatan Presiden.

"Lain-lain kawasan tetap mencalonkan Ustaz Hadi dan kerana itu beliau yang telah menyatakan persetujuan untuk mengekalkan jawatan menang tanpa bertanding," jelas beliau kepada Harakah.

Menurut Mustafa, sehingga 8 Mei lalu, iaitu tarikh tutup menghantar senarai pencalonan kawasan kepada pusat, sebanyak 137 kawasan daripada 176 telah menyerahkan senarai pencalonan mereka. Baki 39 kawasan yang lain gagal menghantar senarai pencalonan mereka atau gagal mengadakan mesyuarat agung sebelum tarikh tutup pencalonan yang telah ditetapkan.

Katanya, seramai 125 calon layak bertanding untuk jawatan-jawatan utama dalam parti. Setiap calon perlu mendapatkan dua pencalonan bagi melayakkan diri untuk bertanding.

Calon-calon yang layak juga, jelas beliau, telah dihantar surat bagi menyatakan jumlah pencalonan yang mereka diterima dan mereka perlu menjawab surat tersebut, sama ada akan bertanding atau menarik diri. Tarikh tutup membalas surat tersebut pada 25 Mei ini.

Mustafa juga menjelaskan calon-calon yang menarik diri selepas bersetuju untuk bertanding, nama mereka akan tetap dicetak dikertas undi.

"Jumlah pencalonan kali ini merupakan terbanyak berbanding pemilihan yang diadakan sebelum ini," jelas beliau.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap sebanyak dua calon layak bertanding manakala Timbalan Pengerusi Tetap enam calon yang layak. Ustaz Abu Kassim Abdullah dan Hussain Ismail merupakan calon yang layak bertanding jawatan Pengerusi Tetap.

Hussain turut dicalonkan untuk jawatan Timbalan Pengerusi Tetap bersama Ishak Surin, Misbahul Munir Masduki, Nasuruddin Daud, Tengku Puji Tengku Hamid dan Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah.

"Bagi kedua-dua jawatan ini hanya seorang bakal terpilih bila perwakilan membuat undian nanti," jelas Mustafa.

Seramai lima orang dicalonkan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden PAS yang kini disandang oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa. Empat calon lain untuk jawatan ini terdiri daripada Dato' Paduka Husam Musa, Mohamad Sabu, Dato' Seri Azizan Abdul Razak dan Dato' Dr Haron Din.

Sementara itu, Husam, Mohamad Sabu, Nasharuddin dan Azizan juga turut menerima pencalonan bagi jawatan Naib Presiden bersama 12 calon lain.

12 calon tersebut terdiri daripada Salahuddin Ayob, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Mahfuz Omar, Ustaz Ahmad Awang, Dato' Ustaz Harun Taib, Dato' Dr Hassan Mohd Ali, Ustaz Idris Ahmad, Dato' Kamaruddin Jaffar, Dato' Mohd Amar Abdullah, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan Ustaz Taib Azamuddin Md Taib.

Tiga orang daripada 16 calon ini bakal menduduki kerusi Naib Presiden bagi penggal 2009 ke 2011. Bagi pencalonan Ahli Jawatan KUasa PAS Pusat pula, seramai 86 orang layak bertanding dan 10 orang daripada mereka terdiri daripada calon muslimat.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Saleh antara yang dicalonkan untuk jawatan tersebut selain Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

Exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Dr Halimah Ali dan Senator Mumtaz Md Nawi juga turut dicalonkan untuk jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat. Hanya 18 orang calon bakal dipilih oleh perwakilan, untuk jawatan ini daripada 86 pencalonan yang diterima.

Bagi jawatan Pemeriksa Kira-kira, seramai sembilan orang calon layak bertanding dimana hanya dua orang bakal terpilih.

Tiada ulasan: