KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 14, 2009

Jangan tuduh sebarangan Pakatan Rakyat, BN paling layak pengamal undang-undang rimba! - YB Hatta Ramli


"NAJIB tidak mahu sebarang tentangan terhadap kerajaan yang mereka fikir sudah kuasai hari ini, kalau kerjasama yang disebut itu berbentuk saranan kepada sultan untuk membubarkan dewan undangan negeri untuk memberi semula kuasa kepada rakyat. Itu kita setuju," demikian menurut Ahli Parlimen Kuala Krai Dr Mohd Hatta Ramli. Ikuti temubual wartawan SALMIYAH HARUN bersama beliau baru-baru ini sebelum munculnya keputusan penghakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap perbicaraan keabsahan Menteri Besar Perak:

Dato' Zambry Abdul Kadir dalam sidang medianya begitu juga Dato' Seri Najib Tun Razak baru-baru ini telah menuduh Ahli Dewan Undangan Negeri Pakatan Rakyat tidak mengikut undang-undang pada sidang dewan 7 Mei sehingga mencetuskan kekecohan. Apa respons awal Dr?

Mereka yang tidak mengikut undang-undang ialah BN. Ini kerana tidak patuh kepada keputusan speaker yang berkuasa di dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak. Dalam dewan memang speaker diberi kuasa mengikut peraturan yang mesti dipatuhi antaranya beberapa keputusan yang dibuat iaitu menolak usul dalam kamar, begitu juga untuk meminta mereka yang digantung keluar dewan.
Ini semua peraturan yang telah dibuat oleh speaker dengan kuasa yang ada pada beliau. Jadi apabila perkara ini tidak dipatuhi itulah menimbulkan kekecohan dalam dewan. Tambahan pula BN melanggar peraturan dan membuat mesyuarat sendiri dengan melantik speakernya sendiri sedangkan speaker sah masih ada di dalam dewan.
Di samping memanggil orang-orang yang tidak patut berada di dalam dewan iaitu anggota keselamatan bertindak terhadap speaker semuanya ini melanggar peraturan dewan. Jadi merekalah yang memulakan melanggar undang-undang menyebabkan kekecohan berlaku.

Bagaimanapun sidang 7 Mei lalu dijalankan sebelum keputusan Mahkamah Tinggi putuskan tentang keabsahan siapa Menteri Besar Perak yang sebenarnya. Apa agaknya motif mereka baut macam itu?

Kemungkinan mereka cuba untuk mempengaruhi keputusan mahkamah ini dengan mengambil alih kekuasaan di dalam dewan. Kini keputusan mahkamah telah memihak kepada kita, kalau mereka buat sidang selepas mahkamah membuat keputusan mereka tidak akan ada kedudukan yang absah.
Sebab itulah mereka perlu menyegerakan sidang dewan sebelum mahkamah membuat keputusan. Bagaimanapun Pakatan Rakyat boleh bertindak dari sudut politik walaupun kerajaan BN sudah merampas Perak dalam sidang dewan baru-baru ini. Rakyat sudah sedar di Perak ada usaha-usaha mereka merampas kuasa, dan berkuasa melalui 'kudeta'. Saya yakin rakyat tidak akan memberi sokongan kepada kerajaan yang dinaikkan melalui proses tidak mengikut peraturan.

Najib Tun Razak ada menegaskan mereka (BN) boleh bekerjasama dengan Pakatan Rakyat di Perak tetapi tidaklah sehingga membentuk kerajaan campuran. Hanya wujudkan sikap 'hormat-menghormati' antara satu dengan yang lain. Apa agenda yang Dr boleh nampak dari sikap 'terbuka' Najib itu?

Najib tidak mahu sebarang tentangan terhadap kerajaan yang mereka fikir sudah kuasai hari ini. Kalau kerjasama yang disebut itu berbentuk saranan kepada sultan membubarkan dewan undangan negeri untuk memberi semula kuasa kepada rakyat, itu kita setuju.
Tetapi kalau tujuan bersifat rasional dan kita tidak lagi bising-bising serta bersedia menerima apa sahaja, saya nampak itu satu tindakan mengelak bantahan daripada rakyat. Jadi kita tidak nampak apa benda yang dia cadangkan sebenarnya.

Apakah rampasan kuasa yang dibuat oleh BN itu menepati kehendak rakyat dan terkandung unsur hormat menghormati seperti di dakwa oleh Najib?

Itulah yang tidak munasabahnya. Kalau dakwaanya untuk kita 'hormat menghormati' adalah tidak munasabah untuk kita tabik kepada kerajaan yang dibentuk melalui cara haram, lebih rela kita kalah jika pilihan raya di Perak diadakan.
Yang paling dekat ialah keputusan pilihan raya Bukit Gantang telah menunjukkan rakyat telah menolak BN. Itu lebih dekat suara rakyat berbanding dengan kononya kehebatan mereka dalam dewan undangan negeri. Bagi saya tidak ada sebab mereka mengharapkan penghormatan daripada kita yang diperlakukan sedemikian.

Rata-rata pemimpin BN termasuk Najib Tun Razak seolah-olah mereka telah mengikut undang-undang ketika sidang 7 Mei termasuk 'mengangkat' keluar Speaker V.Sivakumar sedangkan segala pergelutan itu bercanggah dan berlawanan peraturan?

Merekalah yang melanggar peraturan dan arahan speaker. Sedangkan speaker masih lagi sah dan sedang mengendalikan dewan. Pihak BN pula, ke arah satu sudut di dalam dewan seolah-olah macam sidang mereka sendiri. Ini lebih teruk daripada sidang bawah pokok yang diuar-uarkan sebelum ini.
Mencari satu sudut dalam dewan berkumpul sesama sendiri dan membuat keputusan sendiri dan menganggap ia keputusan dewan. Kemudian melaksanakan tindakan seperti membawa polis masuk mengangkat dan mengheret speaker keluar dewan seterusnya dikurung. Ini adalah cara pengurusan rimba.

Dalam sidang baru-baru ini polis semakin jelas dilihat bertindak sebagai jentera keselamatan BN. Mengapa keadaan ini boleh terjadi?

Kalau sekadar mereka (polis) bertindak di luar dewan membuat tangkapan dan mengadakan sekatan jalan raya, menghalang orang ramai ke sidang dewan, ini pun satu hal. Kita tetap membantah membuat tangkapan ini seperti ia mengugut rakyat, menegur kerana berpakaian hitam ini satu tidak munasabah.
Tetapi ini bukan baru. Apa yang menyedihkan kita, sidang dewan ini dicemari dengan kehadiran mereka yang tidak ada sebab untuk berada di dewan serta melaksanakan tindakan yang keji.
Saya cukup risau kalau berlaku dalam Dewan Rakyat, polis masuk ramai-ramai heret speaker atau ahli perlimen keluar, misalnya. Ini boleh berlaku di parlimen jika kita biarkan apa yang berlaku di Perak, tanpa teguran dan bantahan.
Jadi, apakah pandangan dunia dan rakyat terhadap sikap sedemikian. Saya kesal dan tidak dapat terima langsung polis dipergunakan dan rela dipergunakan oleh pihak-pihak lain. Saya harap polis berasa sangat malu dan menyedari mereka bertindak diluar kuasa mereka.

Media arus perdana dilihat cuba menyembunyikan fakta sebenar apa yang terjadi pada sidang dewan undangan, sebaliknya media ini bersama BN menggodam Pakatan Rakyat kononnya Pakatan yang memulakan kekacauan...

Memang mereka menggunakan kaedah yang sama iaitu menggunakan media arus perdana. Malangnya bagi mereka kerana hari ini media-media ini tidak lagi menjadi sumber utama untuk mendapatkan maklumat. Rakyat sudah melihat sendiri apa yang berlaku di Perak melalui siaran langsung di internet.
Rakyat tahu siapa sebenarnya yang memulakan segala kekacauan di Perak. Media boleh menipu sebahagian rakyat yang langsung tidak ada sumber media yang lain. Jadi mereka yang menjadi penggerak kepada pemikiran masyarakat, misalnya orang-orang terpelajar mereka ini sudah tentu menyedari bahawa BNlah yang menjadi puncanya dan saya yakin maklumat ini merebak di kalangan rakyat.

Kalau dulu ada Menteri Besar dan Exco haram, kini ditambah pula dengan speaker haram telah meletakkan Perak dalam kemelut semakin kornik. Apa sikap PAS dalam menyelesaikan isu yang berlarutan ini?

Kita melihat politik di Perak semakin menjunam ke lubuk yang tidak ada penghujungnya. Jadi ia tidak baik kepada sebuah negeri yang memerlukan kestabilan dan hanya boleh dikembalikan keredaan dengan pilihan raya semua.

Tiada ulasan: