KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 23, 2009

Haron Din enggan lawan Timbalan Presiden PAS, tarik diri dari bertanding!



PERSAINGAN merebut jawatan Timbalan Presiden Pas semakin menarik apabila seorang lagi calon, Datuk Dr. Haron Din menarik diri sekali gus membuka ruang kepada pertarungan tiga penjuru antara penyandang, Nasharuddin Mat Isa dan dua Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Penarikan diri Haron yang juga Timbalan Musyidul Am Pas bukan sesuatu yang mengejutkan kerana beliau pernah membuat keputusan yang sama walaupun layak bertanding jawatan nombor dua itu pada Muktamar Pas 2003 dan 2005.

Haron sewaktu mengulas mengenai keputusan berkenaan berkata, beliau sememangnya tidak berniat untuk bertanding apa-apa jawatan dalam parti itu dan pendiriannya telah diketahui oleh kepimpinan Pas.

Bagaimanapun menurut beliau, terdapat Pas kawasan yang tetap membuat pencalonan tersebut. Sehubungan itu, beliau tidak akan menyerahkan borang jawapan pengesahan untuk bertanding pada Isnin ini.

"Pada saya jawatan adalah satu amanah dan saya tidak pula mencarinya. Andai kata saya mendapat pencalonan yang paling tinggi sekalipun, saya tetap tidak akan bertanding," katanya sewaktu dihubungi.

Kelmarin, Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak turut menarik diri daripada bertanding dengan alasan mahu menumpukan perhatian pada tugasnya sebagai Menteri Besar.

Walaupun sering dinafikan, kebanyakan media termasuk portal berita melihat pemilihan dalam Pas kali ini melibatkan pertembungan antara ulama yang pro kepada Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan 'puak Erdogan' yang pro-Anwar.

Penarikan diri Haron dan Azizan itu membolehkan Nasharudin muncul sebagai calon tunggal mewakili aspirasi kepimpinan ulama.

Sementara itu, Haron sewaktu ditanya adakah keputusan beliau itu akan mengecewakan ahli parti, beliau dengan tegas menjelaskan: "Lebih penting ialah saya tidak mengecewakan diri sendiri, saya ada prinsip."

Tiada ulasan: