Pemuda Umno diketuai oleh Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi (duduk tengah) membuat laporan polis terhadap Salehuddin Ayoh di Balai Polis Sungai Senam, Ipoh.
PERGERAKAN Pemuda Umno Perak hari ini membuat laporan polis selepas Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub mendakwa barisan hakim Mahkamah Rayuan yang terlibat dengan kes Menteri Besar Perak boleh dibeli.
Setiausahanya, Syamsul Baharin Putra Ahmad Shibi berkata, pihaknya amat memandang serius dakwaan berkenaan seperti yang telah disiarkan oleh harakahdaily.net semalam.
‘‘Sekiranya ada asas daripada segi perundangan, kami mendesak dengan sekeras-kerasnya supaya Menteri Dalam Negeri mengambil tindakan tegas.
‘‘Kenyataan tersebut adalah satu jenayah fitnah yang berniat jahat terhadap reputasi, integriti dan kebebasan institusi kehakiman yang kita percaya dan junjung selama ini,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Senam di sini hari ini.
Dakwaan tersebut disiarkan menerusi artikel bertajuk ‘Rayuan Nizar (Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin), Khamis ini: Pas bimbang Barisan Nasional (BN) beli hakim.’
Antara petikan laporan yang ditulis Irwan Muhammad Zain itu ialah: ‘‘...kami bimbang keputusan Khamis nanti akan berpihak kepada BN kerana hakim yang akan mendengar rayuan itu terdiri daripada mereka yang boleh dibeli...”
Syamsul Baharin Putra berkata, pihaknya percaya kenyataan itu dibuat secara sengaja, berniat jahat, menghina hakim, mencemarkan imej, mencabar integriti dan menjatuhkan reputasi institusi kehakiman negara.
Jelas beliau, ia memberi gambaran seolah-olah hakim-hakim di Malaysia boleh dibeli dan institusi kehakiman tidak bebas, adil dan bertanggungjawab.
‘‘Bukan sahaja ia menimbulkan prasangka buruk terhadap institusi kehakiman malah memberi imej negatif terhadap masyarakat antarabangsa.
‘‘Ini adalah kenyataan yang tidak bertanggungjawab oleh seorang rakyat Malaysia dan ia jelas sekali mengkhianati rakyat Malaysia sendiri,” ujarnya.
Katanya, Pemuda UMNO Perak sentiasa percaya dan yakin dengan kebebasan serta keadilan institusi kehakiman malah langsung tidak mempertikaikan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang memihak Mohammad Nizar.
‘‘Ini adalah contoh politik persepsi kebencian yang dimanipulasikan oleh Pas dan sekutunya dan juga satu gerakan untuk meruntuhkan institusi negara.
‘‘Dulu istana dihina dan dikeji, sekarang institusi kehakiman pula dihina dan dicemarkan. Jelas sekali kenyataan hakim boleh dibeli seolah-olah membaling kasut ke muka hakim itu sendiri,” katanya.
3 ulasan:
Pemuda UMNO bolih bela. Binghai and bahlol.
SIKIT SIKIT REPORT ....
MACAM TAK DE KERJA LAIN
muka macam baghal aje,pemuda umno takde keje lain ke ?
Catat Ulasan