KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Penemuan Senjata: PAS desak Hishamuddin, Zahid beri penjelasan segera kenapa dikaitkan dengan politik!

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Menteri Dalam Negeri, Dato' Seri Hishamuddin Hussein dan Menteri Pertahanan, Dato' Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi penjelasan bagaimana senjata boleh diseludup masuk ke negara ini, lapor Irwan Muhd Zain.

Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayob dalam satu sidang media di Pejabat Agong PAS menegaskan, kedua-dua menteri tidak boleh bersikap lepas tangan dalam soal yang melibatkan keselamatan negara ini.

Beliau juga mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) membentangkan kertas putih di parlimen yang akan mula bersidang pada 15 Jun nanti berhubung perkara tersebut.

"Kalau senjata yang ditemui itu diseludup dari negara jiran, apa yang Hishamuddin dan Zahid buat sedangkan kementerian mereka terlibat menjaga soal sempadan negara?

"Selain itu juga saya mendesak agar KDN membentangkan kertas putih di parlimen mengenai isu yang sama bila dewan rakyat mula bersidang pada 15 Jun nanti," tegas beliau lagi.

Salahuddin juga menyatakan rasa kesal bila pihak polis cuba mengaitkan penemuan senjata api dan peluru di kawasan semak berhampiran kilang Tasek Cement dengan parti politik.

Beliau menegaskan, polis pada mulanya menjelaskan penemuan senjata itu masih diperingkat awal siasatan dan meminta wartawan bersabar tetapi esok harinya membuat kenyataan penemuan senjata itu ada kaitan dengan politik.

Justeru itu, beliau menuntut agar pihak polis mengadakan siasatan terbuka sebelum mengaitkan penemuan senjata ini dengan mana-mana pihak.

Akhbar New Straits Times (NST) pada 26 Mei lepas melaporkan Ketua Polis Perak, Dato' Zulkifli Abdullah mendedahkan penemuan lapan senjata api dan 100 peluru dalam sebuah semak berhampiran kilang Tasek Cement.

Dalam laporan itu juga Zulkifli dipetik sebagai berkata terlalu banyak persoalan yang belum terjawab mengenai senjata itu dan meminta wartawan supaya bersabar. Namun pada 27 Mei, akhbar yang sama melaporkan sumber polis berkata bahawa senjata yang mereka jumpa dalam semak dekat Tasek Cement tu ada kaitan politik.

Tiada ulasan: