KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 28, 2009

Kenyataan balas Najib beri tamparan kepada Presiden PPP yang sah, Dato' M Kayveas

PERDANA Menteri Dato' Seri Najib akan memeriksa status Parti Progresif Penduduk (PPP) dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) sebelum mengesahkan perlu merasmikan mesyuarat agung parti komponen Barisan Nasional itu.

Kenyataan ini menjadi tamparan kedua kepada presidennya, Dato' M Kayveas dalam masa tiga hari setelah penentang kuatnya Dato' T Murugiah juga diangkat presiden sah PPP dalam mesyuarat tergempar penyokongnya, Ahad lalu.

Najib yang juga Pengerusi BN, berkata PPP menjemput beliau untuk majlis itu yang dijadual 7 Jun ini, lapor sebuah agensi berita.

"Nantilah saya akan dapat laporan dari ROS... Mereka (PPP) telah menjemput saya tapi saya perlu periksa dengan ROS dahulu status PPP," katanya sewaktu diminta mengulas kehadiran beliau susulan krisis yang makin meruncing melanda parti tersebut.

Terdahulu Perdana Menteri menghadiri perhimpunan bersama warga kumpulan Felda di Dewan Perdana Felda, Kuala Lumpur.

Murugiah, yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, sebelum ini dipecat sebagai anggota PPP atas tuduhan melanggar perlembagaan parti.

Selain melantik beliau, mesyuarat tergempar di Putrajaya juga membatalkan pemecatan Murugiah dan sebaliknya memecat Kayveas sebagai presiden.

Kayveas pula masih menegaskan beliau masih Presiden PPP yang sah, jawatan yang disandangnya sejak 1993, dan menyelar tindakan Murugiah mengadakan mesyuarat tergempar itu tanpa mendapatkan kelulusan Majlis Tertinggi PPP.

Akhbar hari ini melaporkan bahawa Murugiah menyerahkan keputusan mesyuarat itu kepada ROS di Putrajaya beberapa hari lalu.

Tiada ulasan: