KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 14, 2009

Terlalu banyak dosa BN terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat Perak. Bersediakah BN minta maaf dengan Nizar?



TERLALU panjang senarai tindakan salah dan melampau dilakukan Barisan Nasional (BN) terhadap kerajaan Pakatan Rakyat (PR) Perak. Sama ada perlakuan itu membabitkan BN sebagai sebuah parti, beberapa pemimpinnya secara peribadi atau pun pihak-pihak lain yang mengukuhkan tindakan BN itu secara umumnya, kesemua mereka telah mencemarkan demokrasi dan undang-undang, mengheret dan menghina institusi istana serta menyebabkan suasana tidak keruan dalam negara, ulas rakan saya, Mohd Nasir Awang dari Besut terengganu.

Apabila Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Isnin (11 Mei) lalu memutuskan Dato’ Seri Mohamad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah, maka itu bermakna kerajaan PR dipimpinnya adalah kerajaan yang sah di sisi undang-undang.

Nizar dilantik menerajui kerajaan PR selepas pakatan DAP, PAS dan Parti Keadilan Rakyat (Keadilan) memenangi 31 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak pada pilihan Raya Umum ke-12, Mac 2008.

Kerajaan itu bagaimana pun dirampas BN menerusi satu komplot tidak bermoral dan membelakangkan undang-undang pada awal Februari lalu. Berbekalkan keyakinan terhadap haknya, Nizar memfailkan semakan kehakiman pada 13 Februari lalu.

Beliau menuntut perisytiharan mahkamah bahawa beliau adalah Menteri Besar yang sah. Beliau juga memohon perintah injunksi bagi menghalang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor dari BN, Dato’ Dr Zambry Abdul Kadir yang dilantik sebagai Menteri Besar pada 6 Februari lalu, atau ejennya daripada menjalankan tugas sebagai Menteri Besar.

Nizar juga memohon perintah supaya Zambry memberikan tunjuk sebab bagaimana dan mengikut dasar atau kuasa apa beliau berhak memegang jawatan itu.

Keputusan mahkamah yang memihak kepada Nizar sekaligus meletakkan Zambry sebagai ‘Menteri Besar haram’. Kerajaan dibentuk BN sebelum ini juga sebuah ‘kerajaan haram’ dan para anggota Exconya juga ‘Exco haram’. Segala perancangan, keputusan, tindakan dan perbelanjaan oleh mereka juga boleh dikategorikan sebagai ‘haram’.

Apa juga komen, ulasan, tuduhan dan dakwaan dilontarkan mereka terhadap Nizar dan para pemimpin PR lain juga kini terbukti palsu. Segala label negatif dan buruk itu kini selayaknya dikembalikan kepada BN dan para pemimpinnya.

Ya, memang banyak lontaran fitnah dan dakwaan jahat dilonggokkan terhadap para pemimpin PR Perak, khususnya Nizar. Rakyat dapat menyaksikan, membaca dan mendengar segala macam label negatif dan buruk yang keluar dari para pemimpin BN.

Ia diulas dan dipanjangkan oleh segenap peringkat pendokong BN, dari para pemimpin politik, ahli akademik, aktivis sosial mahu pun penggiat media. Persepsi serong dan jahat itu disebarluas pula oleh segenap saluran media yang memihak parti itu.

Nizar dicap sebagai penderhaka terhadap Sultan Perak. Beliau dituduh punca ketegangan dan kekusutan di negeri itu apabila enggan menerima tindakan menyeretnya turun dari jawatan Menteri Besar.

Beliau terus dimalukan menerusi beberapa siri tindakan tidak beretika oleh BN sebermula hari pertama rampasan kuasa dilakukan. Beliau dihalang memasuki pejabatnya. Setelah berjaya memasukinya, beliau disergah pula agar segera meninggalkan pejabat itu.

Menteri Besar itu juga dihalau dari kediaman rasminya. Kegagalan cubaan demi cubaan BN merampas kenderaan rasmi digunakannya juga diperbesarkan media secara serong bagi menggambarkan Nizar sebagai seorang yang degil dan gila kuasa.

Satu persepsi umum cuba dibentuk BN kononnya Nizar dan para pemimpin PR Perak tidak tahu menghormati undang-undang dan peraturan. Kononnya tindakan mereka mempertahankan hak dan kuasa pemerintahan milik mereka sebagai mencemarkan demokrasi. Malah ungkapan paling laris disebut ialah mereka mengengkari titah Sultan, sekaligus menghina institusi istana.

Tidak cukup setakat itu, BN secara rakus telah ‘meragut’ jawatan Speaker Dun disandang Adun Tronoh, V. Sivakumar, menerusi satu episod tidak bertamadun minggu lalu. Malangnya, BN beserta segala alat propaganda dan manipulasi kuasanya menggambarkan sebaliknya. Adun-Adun PR pula yang didakwa tidak bertamadun, mencetuskan kekacauan yang memalukan negara dan berbagai lagi.

“Mana-mana pihak yang melontarkan fitnah dan dakwaan buruk terhadap beliau (Mohamad Nizar dan PR Perak) sebelum ini patut minta maaf,” tegas Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengulas keputusan mahkamah yang memihak Nizar itu.

Memang itulah yang sebaiknya dilakukan BN. Meminta maaf secara terbuka terhadap Nizar dan PR. Tambahan pula akhbar di hari sama memuatkan laporan Perdana Menteri yang menyeru semua pihak mematuhi undang-undang dalam menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Soalnya, apakah BN dan semua pihak yang telah memfitnah Nizar dan rakan-rakannya itu bersedia memohon maaf?

Tiada ulasan: