KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Mei 28, 2009

Menyelami sejarah penubuhan Kepimpinan Ulama PAS - Ustaz Idris Ahmad



USTAZ Idris Ahmad menulis begini: GOLONGAN Ulama’ merupakan golongan yang lebih memahami Islam dan semangat menentang penjajah. Mereka jugalah yang banyak memegang peranan memimpin dan mengembangkan PAS di seluruh tanah air. Kekentalan PAS dengan doktrin agama dan politik yang tidak boleh dipisahkan telah mempengaruhi dan meresapi kuat ke dalam pemikiran parti Islam melalui wadah politik. - (Zulkifli Muhammad, 1954: 13).

Oleh kerana Pas adalah sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar maka ia telah mendapat sokongan dari orang ramai terutama di kalangan tuan guru dan ustaz. Mereka ini adalah kelompok yang mempunyai penyokong di peringkat akar umbi. Ini dapat dilihat Presiden PAS yang pertama (dulunya Yang Dipertua Agung Pas) dipimpin oleh ulama atau sekurang-kurangnya golongan agama kecuali di zaman Dr. Haji Abas Alias. Tanpa diminta para pendukung dan ahli-ahli PAS telah meletakkan mereka sebagai pemimpin meskipun di dalam perlembagaan PAS yang awal tidak menyebutkan tentang kepimpinan ulama.

Walaupun sebuah Dewan ulama sudah wujud pada peringkat awal, hampir sama dengan penubuhan PAS (Alias Muhamed, 1992: 94) tetapi agak kurang dalam menentukan dasar dan pembawaan parti. Kedudukan Dewan ulama hanya setanding dengan dewan-dewan lain yang tidak mempunyai autoriti yang besar. Ketuanya berada di dalam Dewan Harian bersama-sama dengan Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat. Waktu ini kedudukan ulama dalam hiraki parti tidak dipandang sebagai kata pemutus. Sehinggalah terdapat desakan di kalangan ahli bahawa perlunya ulama’ ditempatkan dan diinstitusikan dalam parti PAS.- (Harun Taib 2000: 4)

Beberapa fenomena telah berlaku dalam parti dan luar parti telah menuntut PAS melakukan perubahan kepimpinan yang lebih dinamik dan sesuai dengan tuntutan zaman. Ini telah menggerakkan Pas untuk mewujudkan kepimpinan ulama bagi mengembalikan fungsi kewujudan PAS sebagai parti politik dan gerakan Islam. PAS melihat dekad-dekad kebelakangan ini semacam ada usaha untuk memencilkan peranan ulama di mana peranan ulama diletakkan di bidang ibadah sahaja. PAS berusaha untuk meletakkan Ulama di tempat yang sepatutnya seperti pada zaman kegemilangan awal dahulu.

Faktor-faktor kesedaran terhadap Islam sejak tahun 1970an telah menggalakkan munculnya pertubuhan-pertubuhan yang bergerak atas nama Islam dalam menjalankan aktiviti daKwah di seluruh negara. Badan dakwah yang lahir seperti ABIM, (Angkatan Belia Islam Malaysia) dianggotai oleh pelajar dalam negeri dan luar negeri untuk merealisasikan cita-cita perjuangan Islam berdasarkan al-Quran dan al-Sunnah selain daripada itu terdapat pergerakan seperti Tabligh dan al-Arqam. (Chandra Muzaffar, 1978: 53-55)

Penglibatan tokoh-tokoh ABIM ke dalam PAS jelas selepas kekalahan PAS di Kelantan pada Mac 1978 ekoran surat Pak Muhammad Natsir (Ketua Umum Masyumi) kepada Datuk Mohd Asri haji Muda supaya ABIM menyelamatkan PAS - (Subki Latif, 2003: 3)

Hubungan intim ini boleh dilihat ketika pilihanraya umum 1978, dimana beberapa tokoh besar ABIM. seperti Ustaz Fadhil Nor (waktu itu Timbalan Presiden ABIM) dan Ustaz Nakhaei Haji Ahmad Naib Presiden ABIM, Syed Ibrahim Syed Abdul Rahman (Bendahari ABIM), Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Yang Dipertua ABIM Negeri Terengganu) dan Ustaz Yahya Othman (Ahli Syura ABIM) telah bertanding atas tiket Pas. Dengan pembabitan mereka secara langsung dalam PAS telah membawa satu pembaharuan dalam jentera dan fikrah perjuangan untuk merealisasikan PAS sebagai sebuah gerakan Islam.- (Muhammad Abu Bakar, 1987: 147).

Mereka mula membawa pendekatan dan mengenepikan sentimen nasionalisme Melayu kepada pendekatan Islam yang syumul dan bergerak sebagai sebuah gerakan Islam dan pembentukan sebuah Negara Islam yang tulin. (Esposito, John L., John O. Voll, 1996: 134, Abdul Ghani Ismail, 1987: 19) Pembabitan mereka dalam PAS menyebabkan pengaruh Dato’ Asri semakin merosot, terutama selepas jatuh Kelantan ke tangan Barisan Nasional pada tahun 1978.

Bibit-bibit perpecahan dalam PAS di bawah kepimpinan Dato’ Asri mula muncul berkaitan dengan keputusan beliau membawa PAS menyertai Kerajaan Campuran 1972,3 dan kemudian Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 1974.

Tindakan ini menyebabkan Pas terbahagi kepada dua puak, pro dan kontra. Asri mendapat mandat untuk masuk BN dalam tahun 1974 melalui muktamar PAS, daripada 352 yang hadir, 143 sokong, 19 bekercuali dan 190 menentang (Alias Mohamed, 1978: 170. Mauzy, 1983: 75-84). Banyak dari kalangan orang penting telah meninggalkan parti seperti Ustaz Abu Bakar Hamzah (Setiausaha Agung), Amaludin Darus, Ahmad Fakhruddin (bekas Ketua Pemuda Pas Kelantan). Ada di kalangan mereka yang mengundi calon PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaya) atau calon bebas bagi menentang calan BN(Hussin Mutalib,1990: 109, D.K. Mauzy, 1983: 75-84, John Funston, 1980: 294) Kemenangan revolusi Iran turut juga mempengaruhi ahli PAS untuk menolak kepimpinan Dato’ Asri sebagai Yang Dipertua Agung dalam muktamar Tahunan ke 28.(Kamarudin Jaafar 2000: 5, Alias Muhamed, 1994: 178-179, Zambry Abd. Kadir, 1995: 310). Ahli-ahli Pas mengharapkan Yang Dipertua PAS Dato’ Mohd Asri dapat menunjulkan imej Islam yang jelas dalam menghadapi dasar penerapan nilai-nilai Islam Umno (Alias Muhamad,1984: 85-86).

Ditambah pula suasana berpuak,5 memilih kawan dan kaum kerabat beliau dalam apa-apa jawatan atau calon pilihanraya telah menimbulkan rasa kurang puas hati atas kepimpinan beliau.- (Kamarudin Jaafar 2000: 5).

Faktor-faktor inilah telah melonjak untuk melihat bahawa kepimpinan beliau tidak relevan dengan semasa dan beliau perlu berundur dan diganti dengan pemimpin yang lebih dinamis.

Menurut Ustaz Hassan Shukri, sebenarnya semangat kesedaran Islam yang dibina melalui Gerakan Insaf, Gerakan Syuhada’, Gerakan Seksi Pembinaan Mental (SPEM) antara 1968 hingga 1975 telah memulakan idealisme kepimpinan Ulama’ dalam parti. Begitu juga pada pertengahan 1970 an, bekas ketua Dewan Pemuda PAS Ustaz Abu Bakar Hamzah yang berkrisis dengan Dato’ Mohd Asri Muda telah membangkitkan soal "pemimpin buta al-Quran" yang merupakan gagasan awal terhadap perlunya kepimpinan Ulama memimpin PAS (Abu Bakar Hamzah, 1989: 142). Menurut Ustaz Yahya Othman apabila peningkatan dan penyusunan tarbiyyah telah meningkatkan kesedaran terhadap keperluan PAS untuk dipimpin oleh Ulama.

Bibit-bibit awal kearah kepimpinan ulama sudah nampak kelihatan apabila pada tahun 1978 Dewan Pemuda PAS telah meluluskan satu usul supaya pemilihan kepimpinan parti dilakukan secara syura dan Ulama diberikan kedudukan yang lebih penting. (Minit Muktamar Dewan Pemuda PAS Malaysia 1978: 27-32, Kertas Muktamar Tahunan Pas Pusat Ke 25: 39:40) Usul ini dilihat seperti menyindir Datuk Mohd. Asri yang mengamalkan demokrasi terpimpin kerana dalam kepimpinannya Ulama duduk dikelas dua. - (Husin Mutalib 1990: 111)

Usul ini telah dikemukakan oleh Ustaz Nakhaei Haji Ahmad dan diluluskan oleh Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat. Maka Dewan Pemuda PAS Pusat telah membentuk Jawatankuasa Penapis yang dianggotai oleh Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat, Ustaz Fadhil Noor, Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan cikgu Mustafa Ali selaku lembaga penapis kelayakan calon. Mereka yang akan bertanding dalam Jawatankuasa Dewan Pemuda PAS Pusat mestilah memenuhi kriteria keperibadian Islam, adil dan boleh berijtihad - (Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS 1978-1979: 27-32).

Golongan muda dalam PAS telah mengatakan bahawa PAS diasaskan oleh para Ulama dan seharusnya para Ulama yang berkemampuan mewarnai gerakan dan haluan PAS dalam meneliti liku-liku politik negara( Nasarudin 2001: 36). Mereka melihat Dato’ Asri yang memimpin PAS gagal menunjukkan kemampuan untuk bergerak sebagai sebuah parti Islam malah ia tidak banyak beza dengan UMNO dari segi cita-cita Melayunya dan terdapat lagi beberapa orang pemimpinnya tidak memaparkan watak Islam. Kepada golongan fundamentalis pada ketika itu PAS tidak menepati kehendak atau idea sebuah pergerakan Islam (Rahman Shaari, 1983: 49).

Selepas daripada itu maka beberapa muhasabah awal diadakan terhadap punca kekalahan PAS di Kelantan sehingga beberapa pemimpin PAS Kelantan telah meletakkan jawatan kerana mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan tersebut.10 Beberapa usaha telah dibuat untuk meletakkan PAS di atas landasan perjuangan Islam yang sebenar dengan menterjemahkan kitab seperti Ma’alim Fi Attariq karangan Syed Qutb, beberapa karangan al-Maududi dan karangan Mohd Nasir Indonesia, beberapa terjemahan Hadis, Quran mengenai ayat jihad dan politik.

Perkara ini dibincang di dalam usrah, maka muncul kuliah-kuliah Jumaat, kuliah haraki dan beberapa kegiatan tarbiyyah dan sebagainya. Namun begitu terdapat segelintir di kalangan pemimpin PAS memandang sepi usaha pembaharuan yang hendak meletakkan PAS di atas landasan yang betul.

Oleh itu mereka berada di takuk lama sedangkan pengikut di bawah menghala ke arah harakah Islam yang syumul. Akibat daripada itu timbulah satu perselisihan di antara kedua-dua belah pihak. Sehingga mewujudkan satu gelombang yang besar dalam parti untuk menuntut perubahan.

Terdapat juga faktor krisis dalaman yang mempercepatkan proses kepimpinan Ulama’. Ini berlaku apabila pertandingan merebut jawatan Timbalan Yang Di Pertua Agung PAS Pusat antara Ustaz Haji Yusuf Rawa dan Ustaz Abu Bakar Umar. Di dalam pertandingan tersebut Ustaz Abu Bakar Umar telah tewas, walau bagaimana pun Dato’ Asri Haji Muda telah melantik Ustaz Abu Bakar Umar sebagai Setiausaha Agung untuk mengganti ustaz Nakhaei Haji Ahmad dan melantik Bendahari pula ialah Haji Hassan Muhammad seorang yang pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Kerja Umno Malaysia.

Tambahan pula Umno di bawah kepimpinan Dr. Mahathir Mohammad telah dikejutkan dengan satu dasar penerapan nilai-nilai Islam dengan melaksanakan projek Bank Islam, Takaful, Universiti Islam dan banyak lagi projek-projek atas nama Islam. Dasar ini belum pernah dikemukakan untuk tatapan rakyat oleh pemimpin sebelumnya.

Tetapi zamannya telah memberi satu gelombang baru pada pencinta-pencinta Islam untuk merealisasikan Islam sebagai satu cara hidup. (Vidhu Verma, 2002: 95) Banyak orang yang telah tertarik dengan stail kepimpinan yang akan dibawa oleh beliau sebagai contohnya saudara Anwar Ibrahim16 yang begitu lantang mengkritik dasar-dasar kerajaan yang dianggap tidak Islamik semasa memimpin Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). - (Ozay Mehmet, 1990: 49, Kamarudin Jaafar, 1986: 181, John Gullick And Bruce Gale, 1986: 272, Rahman Shaari, 1983: 10, Aziz Zariza Ahmad, 1988: 188, Chong Kek Yoong, 1987: 17, Hassan Haji Hamzah, 1990: 54-58).

Dalam pada itu hubungan Dewan Pemuda PAS dengan kepimpinan induk agak dingin terutama dengan Yang Dipertua PAS sehingga timbul dakwaan Dewan Pemuda menjadi parti dalam parti - (Penyata Tahunan Dewan Pemuda PAS Pusat 1981-1982: 3).

Akibatnya beberapa rundingan diadakan untuk meredakan keadaan melalui setiausahanya Haji Ahmad Subki Abdul Latif dengan Dato’ Mohd Asri Muda tetapi gagal. Haji Mustafa Ali yang menjadi ketua pada masa itu merasakan bahawa Dato’ Asri sudah tidak berkemampuan lagi untuk memimpin PAS (Abdul Halim Mahmood, 1983: 21). Malahan beberapa lajnah (biro) dalam parti tidak memberi kerjasama yang baik kepada beliau seperti Setiausaha Agung, Ketua Pemuda dan Ketua Dewan Ulama .(Mastika Jan 1983: 8-12)

Kemuncak di dalam tindakan untuk mengenepikan kepimpinan Asri secara drastik maka Dewan Pemuda PAS telah mengadakan Muktamar tahunan Ke 23 secara berasingan dengan Muktamar PAS Pusat, Perkara ini adalah satu tindakan yang luar biasa.

Menurut Dato’ Mustafa Ali muktamar ini dibuat secara berasingan kerana sebagai satu isyarat untuk memprotes kepimpinan Dato’ Asri . Dengan ini Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat tidak dirasmikan oleh Dato’ Asri, sebaliknya dirasmikan oleh Ustaz Fadhil Mohd. Noor pada ketika itu menjawat sebagai Naib Presiden PAS. Sehingga hari ini peraturan itu diguna pakai, iaitu Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat diadakan secara berasingan dengan diawalkan sehari daripada Muktamar PAS Pusat.

Tetapi mengikut yang tercatat kenapa Muktamar ini dibuat dahulu daripada Muktamar PAS Pusat ialah untuk membolehkan diadakan pameran selama dua hari untuk memeriahkan muktamar. - (Minit mesyuarat Dewan Pemuda PAS Pusat 12 Jun 1982: 4)

Tindakan yang dibuat oleh DPP telah menimbulkan kemarahan kepada kepimpinan lama tetapi mendapat sanjungan daripada order baru (golongan yang menyokong perubahan). Di dalam muktamar ini gagasan kepimpinan ulama’ dikemukakan.

Menurut Sabki Abdul Latif usul ini dikemukakan apabila muktamar pemuda di Bukit Mertajam tidak ada usul, maka beliau selaku Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, pada waktu itu telah berbincang dengan Mustafa Ali, Wan Mutalib Embong di Rumah almarhum Hasan Salahudin Haji Khalil (AJK DPP Pusat) di Bukit Mertajam, apabila tidak ada usul maka beliau mencadangkan supaya usul mengenai kepimpinan Ulamadikemukakan dalam muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat dan diluluskan.

3 ulasan:

Zorro berkata...

Salam, info yg baik. Saya sebagai orang muda berasa terpegun dengan kisah perjuangan PAS dahulu. Namun yg dahulu telah berlalu. Apapun sekarang kepimpinan Ulama' wajib dikekalkan sampai bila-bila. Sekian.

Tanpa Nama berkata...

I don't even know how I ended up here, but I thought this post was good. I do not know who you are but certainly you're goіng to a famouѕ blogger іf
you are not already ;) Chеeгs!

Fеel free to surf to my blοg ... payday loans

Tanpa Nama berkata...

I'm amazed, I have to admit. Rarely do I come across a blog that's
both educative and amusing, and let me tell you, you have hit the nail on the head.

The issue is something that not enough men and women are speaking intelligently about.
I'm very happy that I stumbled across this in my search for something regarding this.

Here is my web site - instant short term loans online