KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 23, 2009

Dewan Perniagaan Cina rayu Sultan Perak mohon bubar Dun bagi merealisasikan konsep “Satu Malaysia”

AKHBAR Sin Chew Daily pada Ahad lalu memaparkan berita bertajuk Dewan Perniagaan Cina Wilayah Persekutuan dan Selangor Desak Bubar DUN. Ia melaporkan perhimpunan agung tahunan dewan itu sebulat suara meluluskan usul merayu Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ia untuk membolehkan pemilihan semula, agar pengundi negeri Perak mengundi memilih kerajaan mereka.

Perhimpunan itu berpendapat, kemelut politik negeri Perak yang membawa kesan dan risiko terhadap undang-undang Perlembagaan yang sangat serius.

Ia menyebabkan hubung kait struktur perundangan dalam negara ini semakin bercelaru. Sebab itulah menurut mereka, baginda Sultan Perak perlu membubarkan DUN.

Begitu juga akhbar Oriental Daily pada hari yang sama. Ia juga mengenai Dewan Perniagaan Cina tetapi di Negeri Sembilan. Menurut akhbar itu, dewan berkenaan telah mengutuskan sepucuk surat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Isi surat itu ialah rayuan agar DUN Perak dibubarkan untuk mengembalikan kuasa politik kepada rakyat.

Dewan itu juga menjelaskan, mereka turut merayu Perdana Menteri supaya melakukan tindakan keras terhadap budaya politik nepotisme dan birokrasi dalam pentadbiran kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri juga digesa supaya menangani amalan rasuah yang menghalang kemajuan negara, meneruskan sistem telus yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, memastikan pelaksanaan dan amalan perundangan berjalan dengan berkesan.

Dewan itu turut memuji pelbagai langkah pembaharuan oleh pentadbiran Najib dan berharap ia dapat dilaksanakan segera.

Bagaimanapun, demi merealisasikan konsep “Satu Malaysia”, Perdana Menteri didesak agar membubarkan DUN Perak dengan secepat mungkin.

Tiada ulasan: