KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, Mei 30, 2009

Mike Tyson, Mohamad Zain boikot kehadiran Najib di Selangor

Jika dilihat kepada kehendak Umno Selangor, memang Najib dialu-alukan datang ke Selangor tetapi apa yang mengejutkan, kedatangan Najib tidak mendapat sambutan yang diharapkan apabila Muhammad dan Mohd Zin, antara nama besar di Selangor 'memboikotnya'


KETIKA Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Razak menyusun perlantikan Pengerusi Perhubungan Umno negeri-negeri, tentulah tujuannya mahu memperkuatkan kepimpinan Umno negeri-negeri dengan suntikan baru.

Malangnya, harapan Najib itu tidak kesampaian. Umno Selangor yang diketuainya, tidak solid di belakangnya apabila dua dari 22 kepimpinan bahagian, menolak kehadiran Presiden Umno itu sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Untuk catatan, lima negeri mendapat pengerusi perhubungan baru iaitu Selangor (Najib), Wilayah Persekutuan (Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin), Terengganu (Datuk Seri Hishammuddin Hussein), Pulau Pinang (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) dan Kedah (Datuk Seri Mohd Shafie Afdal).

Dua bekas menteri kabinet, Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Datuk Seri Ir. Mohd Zin Mohamad jelas 'tidak menghormati' Pengerusi Perhubungan Umno Selangor itu, dengan tidak hadir pada mesyuarat pertama Umno negeri yang dipengerusi Najib.

Najib tentunya sudah menjangka, Muhammad dan Mohd Zin tidak akan dapat 'bersamanya' kerana selepas Muhammad kalah bagi jawatan Timbalan Presiden Umno, Muhammad dipinggirkan oleh Najib dari jawatan yang disandang Muhammad iaitu Ketua Penerangan Umno dan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri.

Ketika seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang dikenakan tindakan disiplin dan dilarang bertanding, dilantik menganggotai MT, Muhammad yang kalah di tangan Muhyiddin, tetapi mendapat undi hampir 1,000 disisihkan dari jawatan-jawatan penting.

Muhammad juga hilang jawatan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah yang baru disandangnya.

Bagi Mohd Zin pula, walaupun sejak sekian lama dia dikenali sebagai 'orang Najib' tetapi dalam penyusunan kabinet, Najib menolak namanya keluar dari senarai. Mohd Zin yang merupakan Ketua Umno Bahagian Sepang dan menang di tempat ke 6 daripada 25 kerusi MT dengan undi 1,854 turut menerima nasib seperti Muhammad, hilang jawatan Menteri Kerja Raya.

Tempat Zin, digantikan Datuk Shahziman Abu Mansor yang menang tempat ke 9, dengan undi 1,705. Apa sebab Najib 'membuang' dua wakil Selangor ini tidak siapa dapat mengulas dengan tepat tetapi – ramai yang merasakan Najib mahu menjauhkan dirinya dari 'orang-orang Tun Abdullah Ahmad Badawi' dari kabinetnya.

Ketika Najib tidak memberi tempat kepada bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo untuk jawatan-jawatan penting dalam Umno Selangor dan tidak melantiknya menganggotai MT, selepas dia kalah jawatan Ketua Pergerakan Pemuda, ramai yang hairan apa perlunya melantik Mohamad Khir sebagai Panel Pemikir Umno negeri.

Banyak juga benda-benda pelik yang Najib lakukan apabila menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno. Ketika nama Datuk Seri Rais Yatim dikekalkan sebagai anggota kabinet, ramai yang hairan mengapa Rais turut dilantik menjadi ahli MT.

Dari segi undi yang dikutip, Rais hanya mendapat sekitar 400 undi sedangkan Datuk Seri Mohamad Khaled Nordin mendapat 1,400 undi, tempat ke empat di belakang Datuk Seri Mohd Shafie Afdal bagi kerusi Naib Presiden Umno.

Adakan kerana Khaled orang Tun Abdullah menyebabkan dia tidak dilantik menganggotai MT?

Najib tidak perlu menjawab semua pertanyaan ini tetapi penyokong Umno akan terus tertanya-tanya, apakah strategi yang sedang disusun oleh Najib untuk mengemudi Umno bagi menghadapi PRU 13 akan datang?

Jika dilihat kepada kehendak Umno Selangor, memang Najib dialu-alukan datang ke Selangor tetapi apa yang mengejutkan, kedatangan Najib tidak mendapat sambutan yang diharapkan apabila Muhammad dan Mohd Zin, antara nama besar di Selangor 'memboikotnya'.

Beberapa pihak yang diminta mengulas situasi politik di Selangor ini berpendapat, sepatutnya Najib mendapat sokongan 100 peratus di kalangan ketua-ketua bahagian kerana dari segi pencalonan bagi jawatan Presiden Umno, Najib menerima 22 pencalonan daripada 22 bahagian.

Berbanding dengan Muhyiddin, hanya mendapat satu dari 22 bahagian pencalonan bagi jawatan Timbalan Presiden yang menyebabkan ada beberapa pihak di Selangor risau kalau-kalau Najib menamakan Muhyiddin sebagai Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor.

Artikel dari IDRIS SAMAD

Tiada ulasan: