KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mei 25, 2009

Gelaran "Menteri Besar Mahkamah" patut diberi kepada Nizar, kata Zambry



MENTERI Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir hari ini berkata gelaran "Menteri Besar Mahkamah' patut diberikan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yang telah memulakan proses mahkamah bagi mendapatkan pengisytiharan bahawa beliau adalah Menteri Perak yang sah.

Beliau berkata oleh kerana proses mahkamah itu dimulakan oleh Mohammad Nizar, sewajarnyanya gelaran itu diberikan kepada bekas menteri besar Perak itu dan bukan dirinya.

"Jadi proses mahkamah itu dilakukan oleh Nizar, bukannya saya. Tok Guru (Mursyidul Am PAS Nik Abdul Aziz Nik Mat) yang saya hormati pun manusia juga, dia pun buat silap dan bukannya manusia maksum.

"Jadi saya tolong perbetulkan sedikit pandangan Tok Guru itu," kata Zambry kepada pemberita di sini hari ini semasa diminta mengulas kenyataan Menteri Besar Kelantan itu Sabtu lepas bahawa beliau adalah "Menteri Besar Mahkamah" dan tidak mewakili seluruh rakyat Perak.

Terdahulu Zambry mengadakan perjumpaan dengan dua orang perenang Selat Inggeris, Zahra Ma'soumah dan Salman Ali Shariati Abdul Halim di pejabatnya di sini.

Jumaat lepas, Mahkamah Rayuan mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak yang sah dalam satu keputusan sebulat suara selepas mendapati keputusan Mahkamah Tinggi pada 11 Mei lepas bahawa Mohammad Nizar adalah Menteri Besar yang sah adalah salah.

Sementara itu, Zambry menolak kemungkinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) pimpinannya akan mendapatkan perkenan Sultan Perak Sultan Azlan Shah untuk mengadakan sidang khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak sebagai jalan penyelesaian kemelut politik di negeri itu.

"Sekarang ini kita berpandukan kepada apa yang telahpun diputuskan oleh mahkamah.Meskipun kita mempunyai peruntukan-peruntukan yang diberikan tetapi proses yang berlaku sekarang ini ialah proses perundangan.

"Jadi biarlah proses perundangan itu mengambil tempatnya dan kita mengharapkan semuanya akan berjalan seperti biasa," katanya mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam bahawa langkah itu merupakan pilihan terbuka kepada BN tetapi tidak semestinya ia satusatunya jalan menentukan kerajaan mana ada suara majoriti.

Tiada ulasan: