KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mei 20, 2009

Empat negeri saksikan satu lawan satu rebut Ketua Pemuda PAS Negeri - Sabky Yusuf

MUKTAMAR Tahunan PAS ke 55 yang akan berlansung di Stadium Malawati, Shah Alam, Selangor, pada 5 hingga 7 Jun depan, telah menyaksikan pengekalan dan pertukaran barisan kepimpinan baru dan lama bagi Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat PAS negeri-negeri, lapor Roy Rasul.

Mereka telah diangkat pada mesyuarat tahunan kedua-dua dewan itu oleh negeri masing-masing sebelum muktamar tahunan dewan peringkat pusat diadakan seiring bersama Muktamar Tahunan PAS Pusat ke 55 nanti.

Menurut Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Sabky Yusuf, kebanyakan kepimpinan baru Dewan Pemuda negeri-negeri menang tanpa bertanding bagi sesi 2009-2011, dan sebahagiannya dipilih melalui pertandingan.

Katanya, jarang berlaku pertandingan dalam pemilihan barisan ketua-ketua pemuda negeri tetapi kali ini beberapa negeri memilih untuk bertanding. Bagaimanapun, bagi proses pemilihan tersebut Dewan Pemuda PAS Pusat menyerah kepada negeri-negeri untuk memilih ketuanya.

Bagi mereka yang menang tanpa bertanding termasuklah Ustaz Ya'kub Abu Seman (Perlis), Ustaz Yusni Mat Piah (Pulau Pinang), Ustaz Hasbullah Ridzwan (Selangor), Kamaruzaman Mohamad (Wilayah Persekutuan) Ustaz Khairul Anuar Abdul Wafa (Negeri Sembilan) dan Ustaz Kamaruddin Sidek (Melaka).

Selain mereka turut menang tanpa bertanding ialah Ustaz Suhaimi Mohd Saad (Pahang), Ustaz Mohd Nor Hamzah (Terengganu), Lahirul Latigu (Sabah) dan Abang Eddy Allyanni Abang Fauzi (Sarawak).

Sementara itu empat negeri menyaksikan pertandingan satu lawan satu. Di Kedah Ustaz Ahmad Yahya menang mengalahkan Ahli Parlimen Jerai, Ustaz Mohd Firdaus Jaafar. Sementara itu di Perak, Ustaz Mohd Zawawi Abu Hassan muncul sebagai ketua pemuda yang baru menewaskan Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Ya’akob, ekoran pengunduran ketuanya, Ustaz Norazli Musa.

Khairul Faizi Ahmad Kamil pula berjaya mengekal jawatan yang disandangnya sebelum ini sebagai Ketua Pemuda PAS Johor, apabila Suhaizan Kaiat yang mencabarnya tewas.

Di Kelantan pula, jawatan tersebut dimenangi Adun Mengkebang, Ustaz Mohd Latif Abdul Rahman. Beliau menewas anak Menteri Besar Kelantan, Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Aziz yang sebelum ini adalah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS negeri. Pertandingan itu ekoran pengunduran ketuanya, Mohd Zaki Ibrahim yang melepasi umur.

Sabky percaya barisan kepimpinan yang baru itu akan menjalankan tanggungjawab dengan baik selaras dengan cabaran parti yang kian mencabar dan semakin kompleks dengan lanskap politik negara yang kini memihak kepada Pakatan Rakyat.

"Saya harap mereka akan meneruskan agenda gerak kerja pemuda sebelum ini," katanya ketika dihubungi sambil menyifatkan pemilihan kali ini berlansung dalam keadaan harmoni dan penuh ukhuwah.

Tiada ulasan: