KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

KEMPEN: PAS Batu sasar 50 ekor lembu melalui SAMIK2010

KUALA LUMPUR: PAS Kawasan Batu mensasarkan 50 ekor lembu untuk sambutan Korban Perdana Aidiladha dengan memperkenalkan Skim Ansuran Mudah Korban 2010 atau 'SAMIK2010' kepada ahli-ahli dan orang ramai yang ingin melakukan ibadat tersebut pada tahun hadapan.

Menurut Bendaharinya, Haji Rosden Ahmad Yassin, skim ini akan bermula Januari depan dan dilancarkan pertengahan Disember ini oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob bagi membolehkan borang-borang penyertaan diedarkan kepada mereka yang berminat.

Tegasnya, PAS Kawasan Batu mensasarkan 50 ekor lembu untuk Korban Perdana 2010 nanti, setelah yakin respons ahli-ahli dan orang ramai begitu komited terhadap usaha yang dilakukan oleh parti itu pada Aidiladha yang baru lalu.

"Kami rasa terpanggil dan mahu jadikan ia acara tahunan. Untuk itu, tahun depan kami sasarkan 50 ekor lembu dikorbankan. Mungkin lebih. Itu ikut penyertaan dan sambutan terhadap SAMIK2010," ujar beliau kepada Sanggahtoksago.Com.

Rosden ditemui sejurus usai Himpunan PAS For All di Markas Tarbiah PAS Pusat, Taman Melewar Sabtu lalu, sempena pelancaran Sambutan Jubli Perak 25 Tahun PAS Kawasan Batu.

Ia dilancarkan oleh Mursyidul AM PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Berceramah sama AJK PAS Pusat, Hanipa Maidin dan Ahli Parlimen Batu, Tian Chua.

Pada majlis itu, Kelab Penyokong PAS (KPP) Kawasan Batu turut dilancarkan oleh Pengerusi KPP (India), En. Balasubramaniam. Turut hadir, Ahli Majlis Syura PAS, Ustaz Hassan Shukri dan Haji Ahmad Subky Abdul Latif.

Mengulas lanjut, Rosden berkata, skim ansuran mudah ini dicipta bagi membuka peluang yang lebih besar penyertaan ahli dan orang ramai dalam ibadah korban pada tahun depan. Untuk sebahagian lembu, PAS Batu menetapkan bayaran RM300 sahaja.

Program ini juga, tegasnya, akan menyenangkan peserta membuat bayaran ansuran mudah sebanyak RM30 sebulan untuk satu bahagian lembu bermula Januari depan, selama 10 bulan dan jumlah lengkap akan terkumpul RM300 pada Oktober 2010.

Bagai yang terlewat, boleh memulakan bayaran mudah ini mulai Februari berikutnya.

Bagaimanapun, beliau berkata, terdapat dua kaedah bayaran selain SAMIK2010 iaitu secara tiga kali bayar atau sekaligus.

Untuk itu, ujarnya lagi, PAS kawasan hanya akan menerima seramai 350 peserta bagi mencapai sasaran 50 ekor lembu, jika terdapat penyertaan lebih, ia akan diputuskan kemudian.

Borang-borang penyertaan boleh diperolehi selepas 10 Disember ini tetapi mereka yang berminat boleh terus menghantar nama penuh, no telefon, alamat dan cara bayaran melalui Sistem Pesanan Ringkas (SMS) kepada talian 019-2310109 untuk direkodkan.

Keterangan lanjut hubungi Yang Dipertua, Haji Ishak Surin (013-3291966) Timbalan Yang Dipertua, Haji Suhaimi Abd Rahman (019-3648805) Naib Yang Dipertua, Tarmizi Jan (019-2051419) Setiausaha, Haji Ismail Yahya (013-3847899) dan Bendahari, Haji Rosden Yassin (019-2310109).

Pada 29 November lalu, lebih 100 ahli PAS Kawasan Batu bertungkus-lumus menjayakan Korban Perdana sejak jam 8 pagi lagi. Empat ekor lembu ditumbangkan dan dagingnya diagih-agihkan kepada golongan fakir miskin berdekatan.

Antara yang hadir, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad, Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Pusat, Hajjah Salbiah Abdul Wahab bersama beberapa Exco Muslimat Wilayah Persekutuan dan Yang Dipertua PAS Kawasan Batu, Haji Ishak Surin.

Najib berdepan kemusnahan: Tok Guru Nik Aziz terus berdoa dalam gelap di malam buta

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan yang juga Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan tetap mengangkat tangan ke langit berdoa kehadrat Allah SWT agar wang royalti yang menjadi hak Kerajaan Kelantan disalur Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak mengikut perjanjian asal yang termeterai.

"Dalam menangani hal-hal yang berbelit-belit seperti inilah kadang-kadang, hati saya cepat terluka. Dalam keadaan-keadaan beginilah juga, kedua belah tangan saya menjadi cukup ringan untuk diangkat ke langit.

"Jika orang marah saya berdoa dan mengadu kepada Allah secara kuat dan terbuka di tempat ramai dalam kes penganiayaan ini, maka siapakah yang boleh menghalang saya dan rakyat saya dari terus berdoa dalam gelap di malam buta biarpun bersendirian?

"Saya pasti, pada akhirnya Allah tidak akan bersama dengan orang-orang yang menindas, zalim dan menekan. Bahkan Dialah (Allah) yang kamu seru lalu Dia hapuskan bahaya yang kamu pohonkan kepadaNya, jika Dia kehendaki dan kamu lupakan apa yang kamu sekutukan (dengan Allah dalam masa kamu ditimpa bahaya itu).- (Maksud Surah al-An 'am, Ayat 41)" tegas beliau.

Ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jubli Perak PAS Batu, Sabtu 5 Disember di Markas Tarbiah PAS Taman Melewar, Tok Guru Nik Aziz menegaskan doa beliau tidak salah selagi Perdana Menteri tidak menunaikan janji yang telah termerai dalam isu royalti minyak kepada Kerajaan Kelantan.

Katanya, doa beliau yang menimbulkan kontroversi baru-baru ini, sebenarnya mohon agar Allah membetulkan pandangan Najib yang juga Presiden Umno berhubung isu royalti minyak, dan bukanlah sesuatu yang pelik, tetapi ada orang yang terasa.

"Buat perkara yang jahat atas muka dunia, mesti kita minta musnahkan. Lepas tu marah. Habis nak cakap macam mana lagi, nak tolong orang jahat. Takkan nak doa kat orang jahat. Ya Allah Ya Tuhan ku, tolong lah orang jahat ini. Mana boleh.

"Beliau (Najib) nak beri (royalti) beri. Kalau tak beri, beliau berdepan dengan kemusnahan," Tok Guru Nik Aziz mengulangi ketegasannya.

Bahkan, kata beliau, doa orang kafir yang dizalimi pun mustajab disisi Allah SWT, inikan doa orang Islam yang dinafikan haknya dan dizalimi.

Terdahulu, dalam satu demonstrasi menyokong kepimpinan Tok Guru Nik Aziz di Kota Bharu, Jumaat 4 Disember, Tok Guru yang juga Adun Chempaka menyifatkan penafian terhadap bayaran royalti minyak seperti dituntut kerajaan negeri sebagai "melanggar keadilan asasi".

"Perkara ini bercanggah dengan (prinsip) keadilan asasi dan selagi tidak bagi (royalti petroleum), kita doa sampai 'pecah perut' orang itu," tegas beliau sambil disambut dengan laungan takbir.

Beliau hairan bagaimana Perdana Menteri boleh mendakwa tindakannya masih mengikut lunas undang-undang dalam isu pemberian wang ihsan untuk Kelantan.

"Hari ini pula, Perdana Menteri berkata bahawa beliau hanya akan mengikut undang-undang. Setahu saya, Akta Pembangunan Petroleum 1974, itulah undang-undangnya dan Ku Li lah (Tengku Razaleigh Hamzah) yang terlibat secara langsung dalam merangka serta menentukan kandungannya.

"Undang-undang mana lagi? Sedangkan apa yang Ku Li sebut itulah undang-undangnya!" tegas beliau kepada media.

Bagi Tok Guru Nik Aziz, apa yang dijelaskan Ku Li sudah cukup jelas untuk dituruti.

Katanya, dalam konteks hak royalti 5% Kerajaan-Kerajaan Negeri, Ku Li menyebutnya begini: "The States’ rights to 5% of profit derived from the extraction of any petroleum resources is based on a quid pro quo according to which the States vested entirely and in perpetuity all their rights and claims to petroleum resources to PETRONAS. In return for this Petronas is legally bound to pay the states the 5% directly."

Tegas beliau, keengganan Kerajaan Pusat memberi royalti kepada Kelantan dengan menukarnya dalam bentuk pemberian wang ihsan bukan sahaja akan melanggar Akta Pembangunan Petroleum 1974, bahkan lebih besar, Kerajaan Pusat juga akan dilihat menidakkan perjanjian yang sama terhadap negeri-negeri lain sekaligus menafikan hak rakyat di negeri-negeri tersebut.

Mustahil kerajaan-kerajaan negeri lain tidak khuatir dengan sikap dan pendirian Kerajaan Pusat pimpinan Umno-Bn yang tidak konsistan ini, soal Tok Guru Nik Aziz.

Sehingga kini, orang nombor satu Kelantan itu tidak boleh menerima pengisytiharan Perdana Menteri tentang wang royalti ditukar kepada wang ihsan dan beliau tetap akan terus berdoa kehadrat Allah SWT.

Menjawab tuduhan Timbalan Pengerusi Umno Kelantan, Dato' Awang Adek dalam kenyataannya di Pasir Mas pada 6 Disember 2009 kononnya Tok Guru Nik Aziz seorang yang 'celupar', beliau menyifatkan keceluparan Umno dan Awang Adek tidak terbanding dengan 'celupar' beliau.

"Saya dilihat celupar semata-mata kerana mempertahankan hak rakyat Negeri Kelantan untuk mendapatkan royalti. Saya dilihat celupar kerana ingin terus berdoa kepada Allah SWT agar Allah membuka pintu hati Perdana Menteri dan tidak terus menzalimi rakyat Kelantan.

"Saya dilihat celupar semata-mata kerana menegur Presiden Umno diatas keengganan beliau untuk memberikan royalti itu kepada sebuah kerajaan negeri yang sah.

"Saya dipandang celupar kerana mendoakan kemusnahan kepada sesiapa jua yang zalim kerana royalti itu hak dari perut bumi kami. Ia hak yang termaktub melalui sebuah perjanjian bertulis yang sempurna di tahun 1974.

Tok Guru Nik Aziz bertanya, celuparkah beliau semata-mata kerana jujur membaca dan menafsir maksud perjanjian itu (petroleum) tanpa keliru?

Soalnya lagi, kenapa harus ditukar pemberian dari royalti kepada wang ihsan dan diberi pula melalui sebuah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)?

Semua orang tahu, katanya, JPP itu bukan kerajaan, sebaliknya ia seperti Jabatan Pertanian atau Jabatan perkhidmatan Haiwan, dan ia cuma sebuah jabatan kerajaan.

"Pada saya sikap Umno yang sekular selama inilah yang menghalalkan dia bertindak sebegitu liar. Ini kerana agama Islam telah diletak di luar dari kandang politik dan pemerintahan. Dia (Umno) meletakkan soal dosa pahala diluar dari urusan pemerintahan," tegasnya lagi.

Barangkali bagi Umno, katanya, agama tidak lebih dari pengertian 'religion' seperti apa yang difahami oleh Barat dan inilah punca atau ibu kepada segala keceluparan Umno baik dalam isu royalti di Kelantan atau pelbagai isu keadilan, rasuah, demokrasi dan good governance di sepanjang 52 tahun pemerintahan.

Tok Guru Nik Aziz turut menggariskan lima perkara mengapa Umno mesti ditentang.

Pertama kerana sikap Umno yang menolak Islam syamil yakni Islam komprehensif padahal Allah Taala menyebut, 'ud khulu fis silmikaafah' iaitu hendaklah kamu terima Islam secara keseluruhannya tetapi ini amatlah mendukacitakan. Sepanjang berpuluh tahun menegur pendirian yang salah ini, seingat beliau, belum pernah menerima respons pemimpin Umno baik secara bertulis ataupun lisan.

Kedua, katanya, sesungguhnya amalan Umno bercanggah dengan amalan Nabi SAW sendiri dan pada bila-bila masa sekalipun, tidak ada ruang dalam hidup Nabi SAW, dalam hidup para khalifah dan para sahabat r.a. yang mengasingkan politik dengan agama dan agama dari politik.

Ketiga, di dalam al-Quran, segala keperluan hidup manusia meliputi masalah sosial, masalah akidah, masalah ekonomi, masalah rumah tangga, masalah aman dan damai, masalah protokol dan hubungan diplomatik termasuk mengirim surat kepada semua raja dan pembesar negara; semua sekali ada disentuh dan ia disempurnakan lagi oleh riwayat dan hadith-hadith Nabi SAW.

Keempat, apabila manusia mengasingkan politik dari agama, nak ganti dengan apa di tempat yang lompang itu? Ia sama ada mereka turut penjajah atau turut nafsu amarah. Dengan amalan songsang berkenaan apa jaminan di akhirat kelak, apa yang mereka tiru selain dari Islam itu, akan mendapat keredhaan Allah?

Dan yang kelima, jika hidup dapat diurus sendiri tanpa perlu menurut Islam, apa gunanya manusia dikirimkan oleh Allah SWT seorang Nabi? Manusia boleh fikir sendiri dan berbuat sesuatu mengikut nafsu sendiri? Pegangan dan amalan ini cukup sinonim dengan parti Umno dan inilah parti serta orang yang sebenar-benarnya boleh digelarkan sebagai bermulut celupar.

GST untuk gemukkan kroni BN - Swe Koh PRM

KUALA LUMPUR: Pengumuman Kerajaan Pusat untuk melaksanakan sistem cukai GST sebanyak 4% mulai bulan September 2011 dengan tujuan menambah tabung pendapatan negara disatkan sebagai langkah baru BN untuk mempakej semula elit BN-UMNO supaya mereka teruys berkuasa dan memeras wang titik peluh rakyat untuk diboros wewenangnya, serta mengemukkan kroni BN.

Ketika menegaskan perkara ini, Setiausaha Agungnya, Koh Swe Yong menyifatkan dasar 'rakyat didahulukan' sebagai gimik politik bagi meraih balik sokongan dan kepercayaan rakyat terhadap BN yang telah lesap.

"PRM bertanya, 10 tahun yang lalu, kenapa bajet kerajaan BN alami defisit? Jawapannya diketahui umum, kerajaan BN adalah “kerajaan cari makan”. Dasarnya hanya menjaga kocek kroni dan saudara-mara di kelilingnya.

"Ini membolehkan segelintir individu mengaut kekayaan dan cepat kaya menerusi cara tidak bermoral dan tidak mengikut peraturan," tegas Koh ketika ditemui.

Beliau menegaskan, sistem cukai GST terpaksa dilaksanakan BN kerana sumber-sumber alam kekayaan negara telah semakin kurang, maka elit BN tiada pilihan lain untuk menyambung dasar boros dan menggemukkan kocek diri sendiri.

Mereka tegasnya, hanya boleh berputar dengan pemerasan terhadap rakyat untuk mengaut dan mendapatkan wang ringgit bagi membiayai tabiat membazir dan boros sewaktu sumber-sumber alam di negara melimpah.

Koh berkata, sebelum cukai GST dilaksanakan, antara 27 juta penduduk di negara ini, tidak sampai tiga juta penduduk dikenakan bayaran cukai pendapatan.

Ini kerana pendapatan yang lain rendah atau kanak-kanak atau pesara, tidak sampai jumlah yang boleh dikenakan cukai. Katanya, jika cukai GST berkuatkuasa, kesemua 27 juta pendudduk di negara ini dikenakan cukai, tidak ada sesiapa pun dikecualikan, bahkan termasuk bayi yang baru dilahirkan.

"Ini bukan sahaja akan membebankan rakyat golongan bawahan, yang selama ini tidak perlu membayar cukai kerana pendapatannya rendah. Pada masa yang sama, kerajaan BN akan menurun kadar cukai pendapatan individu dan syarikat, ini akan melebarkan jurang antara yang miskin dengan yang kaya," jelasnya.

Sekiranya jurang ini terus melebar, Koh yakin akan timbul masalah ketidak-stabilan dalam masyarakat dan sistem cukai ini akan mengakibatkan yang miskin menjadi lebih miskin, dan juga melenyapkan pekedai-pekedai kecil yang sedang ditolak ke pinggir kelenyapan oleh pasaraya raksasa yang berasal dari negara asing.

Kedai-kedai kecil ini, tegasnya akan tutup kedai kerana tidak berupaya bersaing dengan pasaraya yang mendapatkan barangan mereka langsung daripada pengeluar. Bilangan penganggur di negara ini akan bertambah. Inflasi dan kesusahan yang mengikutinya pasti berlaku.

Kerajaan bazirkan RM550 juta untuk BTN

KUALA LUMPUR: Ahli Jawatankuasa Lajnah Ekonomi PAS Pusat, Wan Ubaidah Wan Omar menyelar Kerajaan Pusat yang tidak berhati-hati dalam menyalurkan peruntukan khususnya dalam program Biro Tata Negara (BTN).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pendedahan Ahli Parlimen Ipoh Timur, Lim Kit Siang berhubung kos BTN yang berjumlah RM550 juta dalam tempoh 10 tahun.

"Untuk kos yang sebegitu besar, kita tidak melihat sebarang kesan yang efektif dan konstruktif terhadap peserta yang menghadirinya," katanya kepada Harakah.

Tegasnya, program yang berbentuk 'doktrinisasi' itu seharusnya menanamkan rasa cintakan negara dan bukannya cintakan Umno-BN.

"Malangnya, dengan kos yang telah 'dihanguskan' itu kerajaan masih perlu menghadapi masalah gejala sosial yang semakin meningkat apabila kes dadah, Aids, pembuangan anak, dan sebagainya bertambah setiap tahun.

"Pihak penganjur sepatutnya memastikan kandungan BTN yang telah dilaksanakan sebelum ini komprehensif dan bukannya menghancurkan golongan belia yang merupakan aset negara," kata Wan Ubaidah yang juga Bendahari Dewan Muslimat PAS Pusat.

Katanya, beliau tidak terkejut dengan pendedahan para peserta yang pernah menghadiri kursus ini yang mendakwa pihak penganjur mendoktrin minda mereka agar sayang pada Umno-BN selain mengugut mereka agar tidak menyokong selain parti itu.

"Bagaimana hendak melahirkan golongan yang profesional jika pemikiran dikongkong serta ditakutkan? Mungkin sebab itulah gejala rasuah kian berleluasa kerana ramai pengampu yang dilahirkan kursus BTN itu," ujarnya.

Oleh yang demikian, beliau yang juga Exco Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan Negeri Kelantan mengesyorkan agar kos tersebut lebih baik disalurkan bagi membantu pembangunan rakyat termiskin dan infrastruktur kawasan yang memerlukan.

Dalam perkembangan yang sama, isu BTN terus mendapat perhatian akhbar-akhbar berbahasa Cina apabila akhbar China Press pada Selasa lalu menyiarkan artikel bertajuk 'Liew Chin Tong dedah peruntukan RM74 juta untuk BTN'.

Menurut akhbar itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera mendakwa, BTN mendapat peruntukan sebanyak RM74 juta pada tahun ini dan peruntukan itu lebih RM4 juta berbanding peruntukan parlimen iaitu RM70 juta.

Chin Tong mendakwa, jumlah itu terlalu banyak dan sangat 'memeranjatkan' kerana ia semata-mata untuk menanam fahaman perkauman.

Kata beliau lagi, menurut Bajet BTN 2010 itu, ia akan mengambil 224 pekerja tetap tahun depan dan penambahan itu tidak sepatutnya berlaku kerana BTN kini bermasalah.

"Berbanding peruntukan untuk Jabatan Perdana Menteri (JPM), bajet untuk parlimen sangat sedikit," kata ahli parlimen itu yang turut membandingkan bajet untuk JPM dan parlimen secara panjang lebar.

Sementara itu, Pengerusi DAP, Lim Kit Siang dalam http://blog.limkitsiang.com menyelar kerajaan dengan mendedahkan perbelanjaan BTN berjumlah RM550 juta dalam tempoh 10 tahun.

"BTN telah membelanjakan sebanyak RM 550 juta dalam tempoh 10 tahun sejak tahun 2000 sehingga 2009 dan ia telah mencetuskan sentimen perkauman sehingga menyebabkan ramai para cendekiawan lari ke luar negara."

Berdasarkan belanjawan tahunan untuk tempoh 10 tahun terakhir yang berjumlah RM548 juta, berikut adalah perincian kos tersebut mengikut tahun.

Bagi tahun 2000, kira-kira RM28,928,500 dibelanjakan manakala setahun selepas itu, tahun 2001 sebanyak RM27,172,300 pula dibelanjakan. Kos tersebut meningkat kepada RM34,199,700 pada tahun berikutnya dan terus meningkat lagi pada tahun 2003 kepada RM35,620,163. Kos tersebut meningkat lebih daripada sekali ganda iaitu RM86,165,889 pada tahun 2004 namun mengalami sedikit pengurangan iaitu RM68,160,330 pada tahun selepasnya.
Pada 2006, kos BTN berkurang lagi kepada RM43,097,076 tetapi bertambah kepada RM74,339,400 pada tahun lalu iaitu RM76,348,700. Bagaimanapun, pada tahun ini kos nya berkurang sedikit tetapi masih lagi pada angka yang besar iaitu sebanyak RM74,023,100.

Menurut Belanjawan 2010, kira-kira RM62.5 juta diperuntukkan untuk tujuan Kursus BTN.

"Ia melibatkan sejumlah wang yang besar. Bagaimana mungkin wujud justifikasi untuk membelanjakan peruntukan besar untuk sebuah agensi bagi melaksanakan kesinambungan agenda yang bertentangan dengan semangat perpaduan bagi memecah belahkan rakyat Malaysia kepada perkauman, sepertimana yang dinyatakan beberapa pemimpin pelajar Institusi Pengajian Tinggi Awam baru-baru ini,"

Terdahulu, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM), Mohd Ridzuan Mohamad menyifatkan Kursus BTN sebagai 'tidak sesuai' yang menyuntik sentimen perkauman dan tidak membantu melahirkan kepimpinan dalam persatuan pelajar.

Selain itu, ahli Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Hisyamuddin Che Ali berkata Fakulti Pengajian Islam mengadu bahawa sentimen perkauman sememangnya diajar pada kursus-kursus BTN dengan memaklumkan orang Cina merupakan pendatang yang dibawa masuk ke negara ini.

Mengapa pejam mata khianat janji PM?

KUALA LUMPUR: "Kita (umum) hanya mempertikaikan doa laknat Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sebaliknya tidak nampak pembohongan (khianat janji) Najib Tun Razak terhadap rakyat Kelantan," demikian tegas Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan apakah tindakan Najib Tun Razak yang menggantikan royalti dengan wang ihsan itu betul dari segi syarak.

Katanya, jika tindakan Najib itu betul (menggantikan duit royalti dengan wang ihsan) maka doa laknat yang diminta oleh Menteri Besar Kelantan itu juga betul.

"Bila Najib tidak bayar royalti minyak, bermakna orang yang melanggar perjanjian itu adalah orang yang berbohong.

"Malangnya, pembohongan Najib itu pula, kita tidak tengok sebaliknya tengok doa laknat Tok Guru. Padahal doa laknat itu berikutan tindakan Najib yang enggan beri royalti," katanya ketika dihubungi.

Justeru katanya, orang akan melihat sebelah pihak sahaja iaitu Tuan Guru sebaliknya tidak menilai apa yang dilakukan oleh Najib terhadap rakyat Kelantan.

"Ayat Al-quran ada menyebut dan bermaksud "tidak ada permusuhan melainkan kepada orang yang zalim"," katanya.

Sebelum ini, Tuan Guru Nik Aziz mendoakan agar Perdana Menteri mengubah fikiran supaya memberikan royalti kepada negeri itu, jika tidak beliau akan berdoa supaya Allah menghapuskan masa depan Najib dan Umno.

Dalam pada itu, Najib Tun Razak berkata beliau tidak akan meminta Tuan Guru Nik Abdul Aziz memohon maaf berhubung hasratnya berdoa kepada Allah supaya memusnahkan masa depan beliau dan Umno jika Kerajaan Pusat enggan memberi royalti minyak kepada Kelantan.

Siasat segera Mr Political Toll yang jadi SU Politik PM

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengadakan siasatan segera ke atas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Dato' Mohd Shafie Abdullah berikutan pendedahan rasuah dan campurtangan yang disebut dalam ucapan Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong di Dewan Rakyat 7 Disember lalu.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo Lo Mohd Ghazali yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat memberitahu Harakah, siasatan segera itu perlu dilakukan memandangkan dakwaan yang membabitkan Shafie itu sangat serius, malah ia membabitkan nama baik Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

"SPRM perlu bertindak segera memandangkan ia satu dakwaan yang serius, dan paling kita kesali hari yang sama (7 Disember) Choo Keong mendedahkan isu itu di Dewan Rakyat, Shafie menyerang Choo Keong.

"Hari ini Choo Keong telah membawa isu itu dibawah Perkara 80 Peraturan Mesyuarat, dan meminta satu siasatan ke atas serangan itu, dan Speaker telah setuju untuk menubuhkannya.

"Ini soal keselamatan ahli parlimen. Kita tidak mahu insiden yang sama yang pernah berlaku ke atas Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Karpal Sing terjadi ke atas ahli parlimen lain," kata Dr Lo Lo yang juga satu-satunya ahli parlimen PAS di Wilayah Persekutuan.

Selain itu, beliau mahu SPRM bertindak segera ke atas Shafie dengan mengadakan satu siasatan yang telus, berani dan tidak bias sepertimana yang berlaku sebelum ini kepada beberapa pimpinan Pakatan Rakyat.

"Kalau dalam isu membabitkan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat, hanya laporan dalam blog sahaja SPRM terus bertindak dengan pergi segera ke Kota Bharu untuk menyiasat, mengapa tidak dalam kes Shafie ini?

"Ini telah disebut dengan jelas oleh Choo Keong dan beliau sendiri sanggup mendedahkan buktinya. Ini disebut dalam ucapan Choo Keong semalam (7 Disember)," katanya lagi.

Dr Lo' Lo melahirkan harapan agar SPRM yang bakal diterajui 'pengemudi' baru, Dato' Abu Kassim akan memulihkan semula intergriti badan itu yang sebelum ini dicop sebagai perkakas BN.

Dengan pendedahan Choo Keong itu, beliau berharap Perdana Menteri juga bertindak untuk membersihkan namanya kerana ia satu keaiban kepada nama baik beliau, kata Dr Lo Lo lagi.

Dalam ucapan di Dewan Rakyat 7 Disember, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong telah mendesak SPRM dan DBKL memandang serius terhadap 'kegiatan' Shafie Abdullah ("Mr Political Toll") dalam pentadbiran DBKL dari gerai haram ke Development Order dan projek-projek tertentu di bawah kawalan DBKL.

Pada 5 November 2009 semasa perbahasan Bajet 2010 peringkat dasar Choo Keong telah membangkitkan beberapa perkara untuk perhatian Menteri Wilayah Persekutuan, Dato' Raja Nong Chik untuk meminta penjelasan.

"Perkara campurtangan Dato' Shafie telah jadi satu rahsia terbuka di DBKL. Saya berharap Dato' Bandar mengambil perhatian terhadap kegiatan 'Mr Political Toll' ini di dalam pentadbiran dan pengurusan DBKL," katanya.

Semua kakitangan tangan DBKL telah tahu dengan teliti perkara ini kecuali Perdana Menteri, Najib Tun Razak kerana beliau terlampau sibuk dengan pentadbiran negara, kata beliau.

Choo Keong mendedahkan, sebuah restoran (bukan gerai, kerana perluasannya lebih daripada 10 kaki kali 30 kaki) dibuat dengan melanggar semua undang-undang dan dibina di atas tanah kerajaan.

Sebelum ini di tapak yang sama telah ada gerai (bukan restoran) dan DBKL merobohkan gerai tersebut kerana ia melangar undang-undang DBKL dan menggunakan tanah rezab kerajaan, katanya.

Beliau mendakwa, Menteri pun tahu bahawa restoran tersebut dimiliki oleh orang kuat Persatuan Penjaja yang juga sahabat karib 'Mr Poltical Toll'.

Dalam perbahasan yang sama, Choo Keong juga menyentuh mengenai campur tangan Shafie dalam pemilihan jawatankuasa Surau al-Ehsaniah, di Rumah Pangsa Danau Kota, Wangsa Maju.

Choo Keong mendakwa, Shafie memberi senarai 29 ahli-ahli untuk menjadi jawatankuasa surau tersebut dan ia diterima dengan penuh oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi).

"Saya tidak percaya bahawa PM berminat dalam urusan demikian. Penduduk-penduduk di rumah pangsa Danau Kota amat marah tentang campurtangan beliau tetapi aduan mereka tidak ditimbang oleh Jawi," katanya.

Choo Keong turut bertanyakan soalan kepada menteri, mengenai kepentingan Shafie dalam syarikat Evergreen Sdn Bhd melalui pembekalan alatan kepada pusat-pusat Latihan Khidmat Negara semasa PM menjawat jawatan Menteri Pertahanan.

"Saya tahu bahwa dia adalah sahabat karib John Tee, Pengarah Urusan, Evergreen Sdn Bhd? Apa kepentingan dia dalam Bukit Kiara Development Sdn Bhd melalui nama isterinya sebagai Lembaga Pengarah, dan apa kaitan dia dengan Maju Bangun Sdn Bhd syarikat yang mendapat kontrak melalui Khazanah Holding?," soalnya.

Selain itu, Choo Keong turut bertanyakan apa kepentingan Shafie perolehi dengan mendapat 30 lot tapak pasar malam 'Up Town Danau Kota' sedangkan 500 penduduk telah menandatangani petisyen meminta Dato' Bandar memindah pasar malam tersebut ke kawasan yang jauh.

"Takkan PM pun ada kepentingan dalam soal ini. Sama ada Shafie terlibat dalam kelulusan Development Order untuk membina shopping complex di atas sebidang tanah yang digazetkan dalam Deraf Plan KL 2020 untuk Masjid Desa Sri Hartamas?," soalnya

Choo Keong turut memberitahu Dewan Rakyat, pada 13 Ogos 2008, Ahmad Zaidi Ramlan telah membuat satu laporan rasuah terhadap Shafie kepada SPRM, namun tiada tindakan diambil terhadap beliau.

Bagaimanpun, Choo Keong berharap SPRM yang tidak lama lagi diketuai oleh Dato' Abu Kassim akan memain peranan yang bebas dan menyiasat perkara-perkara yang yang telah dibangkitkan dalam Parlimen terhadap Mr Political Toll.

"Dan saya juga berharap PM akan mengambil tindakan yang serius terhadap Setiausaha Politik yang memcemarkan nama baik beliau," tegasnya.

Kerajaan Malaysia sudah habis duit? - Salahuddin

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu melaksanakan pelan pemulihan ekonomi bagi mengawal keadaan negara yang sedang mengalami kemelesatan daripada krisis ekonomi yang kronik.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata negara memerlukan reformasi ekonomi bagi menjamin pertumbuhan yang lebih pesat.

"Oleh sebab itu, kita serius dalam menilai semua tindakan yang dibuat oleh pihak kerajaan bagi menyelelamatkan kewangan negara meruncing," katanya kepada media.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu turut bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang mendakwa kewangan negara kini semakin parah.

Akhbar China Press pada 2 Disember pula menyiarkan berita bertajuk 'Adakah keadaan kewangan negara hampir menemui ajalnya?' dalam ruangan Perbincangan Rakyat.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Tony itu, Salahuddin melahirkan kebimbangan kerana pihak yang akan menjadi mangsa kepada situasi ini adalah rakyat.

Hal ini diburukkan lagi dengan cukai baru yang diperkenalkan iaitu cukai perkhidmatan dan barangan (GST).

"Ini(GST) yang paling digeruni kerana ia akan memangsakan rakyat yang sebelum ini telahpun tertindas," ujarnya.

Sementara itu, Tony Pua menerusi artikel dalam akhbar China Press itu mendakwa, beliau dimaklumkan "kerajaan sudah tidak ada duit" sebelum Bajet 2010 diumumkan pada akhir Oktober lalu.

"Apabila dikaji Bajet 2010, semua menteri tidak kira di dalam dewan atau di luar, berkata kerajaan semakin kehabisan wang. Saya sendiri tidak percaya. Ia memang sangat menakutkan.

"Kerajaan telah gunakan sepenuhnya duit dari sumber petroleum. Setiap sen duit itu semua telah habis digunakan oleh kerajaan," katanya.

Menurut Salahuddin, paling malang semua duit itu digunakan untuk pengurusan kerajaan dan bukannya untuk menjana ekonomi negara.

"Akhirnya bayaran balik pinjaman negara semakin lama semakin tinggi," dakwanya.

Oleh itu katanya, kerajaan cuba melakukan apa sahaja untuk mendapat duit. Ia termasuk yang nampak remeh seperti cukai minimum RM50 untuk setiap kad kredit. Keadaan itu katanya, akan membolehkan kerajaan mendapat hasil tambahan RM500 juta dan ia adalah wang rakyat.

Katanya, pelbagai cukai baru yang membebankan rakyat diperkenalkan termasuk cukai perkhidmatan dan barangan (GST) yang akan dikenakan pada 2011.

"Maka orang kaya atau miskin juga dikenakan cukai. Ketika ini hanya 6.7 peratus penduduk negara ini dikenakan cukai tetapi apabila GST diperkenalkan, semua akan terima beban.

"Nampaknya dalam tempoh 20 tahun ini, rasuah di kalangan pegawai kerajaan semakin berleluasa dan kini kerajaan kehabisan duit. Kerajaan terpaksa mengemis kepada rakyat tetapi rakyat sebenarnya menjadi mangsa disebabkan pelbagai cukai tersebut.

"Kini rakyat semakin sedar bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak cekap menguruskan wang negara," kata Salahuddin lagi.

Bukan saja kursus, PAS mahu BTN dihapuskan gagal tanam kecintaan terhadap negara

KUALA LUMPUR: Program Biro Tata Negara (BTN) terus mendapat pelbagai reaksi pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Bagaimanapun, pandangan tersebut disangkal Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man yang berpendapat pandangan Mahathir yang mempertahankan kursus doktrin Umno-BN itu ketinggalan zaman.

Jelasnya, Kursus BTN bukan sahaja tidak relevan untuk diteruskan tetapi Umno-BN lah sebenarnya yang sudah tidak relevan.

"BTN patut dihapuskan kerana ia bukan sahaja tidak relevan tetapi Umno-BN juga patut dihapuskan kerana tak relevan lagi," katanya kepada media.

Beliau yang turut mempunyai pengalaman menyertai kursus tersebut mendakwa program yang diwajibkan pada sesetengah golongan termasuk pegawai kerajaan itu sememangnya bersifat perkauman serta bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang dilaung-laungkan Umno-BN.

"Saya sendiri pernah menyertai BTN dan sememangnya mereka menanamkan semangat perkauman yang bertujuan untuk mengukuhkan kuasa dan pengaruh Umno-BN di negara ini.

"Bagi saya, ia bukan setakat perlu dirombak sebaliknya seluruh sistem BTN itu mesti dihapuskan," ujarnya.

Hujahnya, program itu tidak sedikitpun berkesan dalam membina bangsa yang baik dan jiwa rakyat yang mempunyai jatidiri peserta sebaliknya penuh dengan ugutan dan hasutan agar memperkukuhkan kuasa politik Umno-BN.

"BTN tidak boleh mengukuhkan perpaduan apatah lagi menguatkan kefahaman Islam dalam konteks cintakan negara," katanya lagi.

Menyentuh mengenai komentar Mahathir, beliau tidak terkejut dengan pandangan yang diberikan.

"Saya tidak terkejut kerana sejak zaman Mahathir lagi, BTN sudah tidak relevan," ujarnya lagi ketika diminta mengulas mengenai tindakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Nazri Aziz yang menyelar Mahathir yang mengatakan BTN tidak perlu dirombak kurikulumnya kerana tidak racist (perkauman).

Nazri dipetik sebagai berkata, Mahathir racist kerana menyokong BTN yang racist.

"Ini bermakna, Nazri mengaku bahawa BTN memang sangat racist!" tegas Tuan Ibrahim.

Sementara itu, akhbar Nanyang Siang Pao bertarikh 6 Disember lalu turut menyiarkan artikel berhubung BTN dengan tajuk "Kenapa buka mulut sahaja terus menafikannya?"

Artikel tulisan Chua Yaw Wee itu mempertikaikan perbezaan pendapat antara Menteri di JPM, Nazri Abdul Aziz dan Timbalannya, Ahmad Maslan berkaitan isu itu.

Menurutnya, Nazri mahu kandungan Kursus BTN dirombak bagi memenuhi konsep 1Malaysia tetapi Ahmad berkata, kandungan kursus tersebut telah pun memenuhi aspirasi gagasan itu.

"Bagaimana dalam satu kementerian ada perbezaan pendapat? Kami rakyat jelata mahu tahu yang mana satu betul? Perbezaan pendapat akan membuat semua orang rasa muak. Ia menunjukkan keputusan kurang cerdik oleh kerajaan. Menteri sendiri tidak jelas tanggungjawab mereka.

"Perbalahan antara kaum langsung tidak dapat ditangani dengan baik. Jadi bagaimana orang ramai boleh menaruh sepenuh kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan?" katanya.

Menurut Yaw Wee, sekurang-kurangnya kerajaan mesti menyelidik dan bukannya terus menggeleng kepala menafikan sesuatu isu apabila ia dibangkitkan.

Beliau turut mempertikaikan jumlah peruntukan yang terlalu banyak - RM74 juta - yang disalurkan untuk BTN melaksanakan program-programnya dan menganggap ia sebagai satu pembaziran.

52 tahun Umno beri tanggapan buruk tentang Islam

KUALA LUMPUR: Jika masyarakat bukan Islam di negara ini takut untuk mendekati Islam, maka pihak yang harus dipersalahkan adalah Umno-BN kerana memberikan tanggapan yang buruk dan salah mengenai agama suci itu.

Demikian ujar Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Ahmad Yaacob kepada media, ketika mengulas mengenai pengaruh parti itu dalam mengelirukan umat Islam dan bukan Islam di negara ini.

"Umno berusaha untuk menanamkan rasa takut terhadap perlaksanaan Islam sebagai suatu cara hidup dan budaya seperti berkhatan, sehinggalah pensyariatan undang-undang yang lebih serius seperti hudud, supaya orang bukan Islam mendapat gambaran bahawa Islam adalah agama yang menakutkan dan menyusahkan," katanya.

Jelasnya, peranan yang lebih aktif untuk menjayakan hasrat mereka ini diteruskan parti komponen BN, MCA agar mereka menakut-nakutkan orang Cina mengenai Islam.

Walau bagaimanapun, beliau yang juga Yang DiPertua PAS Tumpat menegaskan inisiatif untuk membetulkan kekeliruan tersebut kini dibantu rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.

"Rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat sekarang ini dapat menerima penjelasan yang kami (PAS) berikan dengan baik malah mereka menghormati amalan dan pegangan Islam," ujar Ahmad.

Menyentuh mengenai isu undang-undang Islam seperti Hudud yang disalah tafsirkan oleh sesetengah pihak, beliau berkata gambaran yang diberikan adalah bertujuan agar rakyat memandang serong kepada perlaksanaan hukum tersebut seolah-olah ianya menindas dan menzalimi penganutnya termasuk masyarakat bukan Islam.

"Kita di Kelantan telah mengusulkan undang-undang Hudud dan ianya diluluskan di peringkat Dewan Undangan Negeri.

"Namun apabila ia(undang-undang hudud) sampai ke peringkat perbahasan di Dewan Rakyat - ianya disekat dan tidak diberikan laluan dengan alasan peruntukan perlembagaan negara," katanya lagi.

Berdasarkan reaksi para pemimpin Umno, maka Ahmad menegaskan parti yang memperjuangkan dasar kebangsaan itulah sebenarnya yang takut kepada Islam dan undang-undang Allah.

"Sebenarnya Umnolah yang takut kepada perlaksanaan Islam dan undang-undang Allah.

"Sebab itu mereka berusaha untuk menakut-nakutkan rakyat khususnya bukan Islam agar tidak menyokong Islam," ujar Ahmad lagi.

Umno bertanggungjawab luluskan lesen arak dan judi

KUALA LUMPUR: Umno sebagai teras dalam Barisan Nasional (BN) yang bertanggungjawab memberi kelulusan lesen arak di negara ini, kata Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Syura Ulama PAS, Ustaz Ahmad Awang.

Dalam erti kata yang lain, dakwanya kerana tindakan Umnolah yang menyebabkan jualan arak di negara ini berleluasa.

Dakwanya yang juga bekas Naib Presiden PAS, sebilangan orang Melayu tertentu menjadi pengarah-pengarah dalam lembaga yang terlibat dalam kilang-kilang arak.

"Memang kerajaan Barisan Nasional ini walaupun mereka tahu dalam enekmen pentadbiran agama negeri-negeri, orang Islam tidak boleh terlibat langsung dalam arak tetapi mereka yang memberi lesen dalam perniagaan arak.

"Dalam BN ini, isu arak, judi dan sebagainya mereka tak peduli langsung," dakwa Ustaz Ahmad semasa dihubungi.

Bidasnya, sama juga dengan isu judi yang diluluskan BN.

Katanya, Umno tidak mahu melaksanakan perintah dan hukum-hukum syariat Islam walaupun mewujudkan enakmennya di peringkat negeri-negeri atau di Wilayah Persekutuan pula sebagai akta mengenai agama Islam tetapi tidak boleh laksanakan mereka.

Buktinya, peristiwa di kelab malam The Zouk, Jalan Ampang, Kuala Lumpur, isu pemecatan bekas mufti Selangor, Allahyarham Dato' Ishak Baharom, dan peristiwa di kelab malam, The Ship, Damansara Utama, Selangor, yang berlaku beberapa tahun lalu, dakwanya kerajaan mengarah supaya ditarik balik saman ke atas mereka yang ditahan penguatkuasa agama negeri-negeri tersebut.

"Ini bermakna kerajaan pemerintahan BN sendiri yang buat undang-undnag, peraturan, enakmen atau akta tetapi untuk melaksanakannya mereka hadapi masalah."

Katanya, sepanjang pemerintahan selama 52 tahun di negara ini, Umno sebenarnya gagal dalam isu arak.

Bahkan katanya, semasa mula-mula Kerajaan Kelantan menyekat atau menyempit penjualan arak dan mengharamkan judi pemimpin pertikaikan tindakan yang diambil kerajaan negeri itu.

"Ini menunjukkan mereka memang tidak suka kalau arak dihadkan jualannya. Bagaimana pun Kerajaan Kelantan di bawah pimpinan Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat Nik Aziz teruskan juga.

"Alhamdulillah sampai sekarang di Kelantan jualan arak tidak tidak termasuk di hotel-hotel dan kalau ada pun di tempat-tempat tertentu, itu pun untuk orang bukan Islam," ujarnya.

Keadaan ini kata Ustaz Ahmad, menunjukkan Umno bukan berjuang atas dasar Islam tetapi hanya untuk Melayu.

Islam terus terpinggir di bawah Umno-BN - Dr Haron Din

KUALA LUMPUR: Islam akan terus terpinggir dan dipinggirkan sekiranya Umno-BN terus memerintah di negara ini.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din menegaskan sejak parti itu memerintah, kedudukan agama yang dilaung-laungkan sebagai agama rasmi negara ini semakin jatuh.

"Sejak diberi mandat memerintah Malaysia sejak 1957 sehingga kini, Islam terpinggir malah dipinggirkan kerajaan tanpa memberi perhatian serius untuk menjadikan Islam sebagai suatu cara hidup yang sebenar seperti mana yang disebutkan dalam doa iftitah yang bermaksud "Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam"," katanya kepada media.

Sebaliknya, beliau berkata rakyat terpaksa menghadapi kerenah Umno dalam pentadbiran apabila agama bukan lagi menjadi tumpuan dan bukan agama yang menjadi pemangkin kehidupan tetapi nilai-nilai kebendaan yang sempit, kehidupan yang tidak berteras kepada agenda yang penuh dnegan agenda merosakkan Islam, mengagung-agungkan budaya Barat serta memastikan kepentingan individu tertunai.

"Sedangkan agama (Islam) terabai. Inilah kerajaan yang kita lihat sepanjang pemerintahan Umno," ujarnya.

Beliau yang juga bekas Pensyarah Jabatan Syariah Universiti Kebangsaan Malaysia memberikan bukti isu tersebut.

"Sejak merdeka memang sudah ada undang-undang pentadbiran, Majlis-majlis Agama Islam Malaysia, iaitu undang-undang pentadbiran undang-undang Islam - terdapat peruntukan kecil kepada Majlis-majlis Agama Islam Negeri yang rata-rata hanya dalam bidang undang-undang keluarga Islam - itu pun tidak menyeluruh.

"Akan tetapi, undang-undang tidak pernah berkembang dan tidak dipertingkatkan. Mereka tidak memberi perhatian untuk mengemaskini undang-undang itu," katanya lagi.

Ustaz Haron menyatakan dalam undang-undang kekeluargaan Islam maskahwin daripada dahulu sehingga kini masih lagi bernilai RM80, RM25 dan sebagainya - malah wang untuk bayaran khuluk hanya bernilai RM1 sampai ke hari ini.

"Adakah undang-undang seperti ini relevan dalam keadaan masyarakat yang sudah jauh ke hadapan?

"Dalam konteks kesalahan jenayah seperti minum arak dan khalwat yang hanya didenda dengan bayaran beberapa ratus ringgit sahaja.

"Adakah ini undang-undang Islam atau undang-undang yang disogok kepada Islam yang tidak boleh diterima oleh Islam?" tegasnya.

Ustaz Haron menegaskan lagi, kesalahan dalam Islam tidak boleh ditebus dengan wang ringgit yakni denda sebagai tebusan.

Hal ini ujarnya, termasuk dalam perkara yang dinamakan sebagai 'assuhtu' iaitu satu istilah al-Quran yang bermaksud harta haram.

Oleh itu, katanya lagi, dalam sejarah mahkamah pada zaman Rasulullah, sahabat dan seterusnya, mereka yang melakukan kesalahan sedemikian akan dikenakan hukuman sama ada hudud yang tidak akan berubah selama-lamanya atau qisas yang juga tidak berubah selama-lamanya atau takzir - iaitu mengenakan hukuman sama ada penjara, membayar wang daerah atau hukuman fizikal dan tiada yang mengenakan denda wang.

Ustaz Haron menempelak pentadbiran kehakiman di negara ini yang didakwa merendah-rendahkan kedudukan Mahkamah Syariah berbanding Mahkamah Sivil.

"Malah sampai kepada peringkat perkara yang diputuskan Mahkamah Syariah boleh dirujuk kepada Mahkamah Sivil seolah-olah merendah-rendahkan Mahkamah Syariah yang terletak di bawah Mahkamah Sivil.

"Hal ini melambangkan penghinaan kepada Islam," ujarnya lagi.

Islam ujarnya, adalah agama Allah yang menjamin keselesaan hidup di dunia dan kebahagiaan di akhirat - yang tidak boleh berlaku dengan sendiri.

"Akan tetapi ianya boleh menjadi realiti dengan manusia yang diberikan kuasa dengannya memerintah sesebuah negara.

"Hendaklah pemerintah peka dan tahu tugasnya untuk membela agama serta memastikan agama itu berfungsi," katanya lagi.

Dengan demikian jelas Ustaz Haron, hiduplah agama dan selamatlah manusia daripada azab Allah dengan kehidupan yang dijanjikan Hasanah di dunia dan akhirat.

Najib tidak mahu gandingan Soi Lek-Tiong Lai jadi kenyataan

SEBELUM Pengerusi BN, Dato' Seri Najib Tun Razak ke Trinidad dan Tobaga baru-baru ini, beliau mengakui mahu bertemu dengan tiga puak dalam MCA dan dalam masa yang sama, meminta timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengadakan mesyuarat dengan mereka bagi mencari jalan ke arah pemilihan semula pimpinan parti itu.

Kebetulan, setelah Muhyiddin menyanggupi tugas itu, dia mengarahkan semua pimpinan MCA supaya ‘menutup mulut’ dari mengeluarkan sebarang kenyataan kepada media bagi meredakan ketengangan yang tidak kunjung padam.

Dalam masa yang sama, Muhyiddin memberi tempoh seminggu kepada pimpinan MCA untuk mencari kata sepakat, namun Presidennya, Ong Tee Keat dikatakan kurang sihat untuk kehadapan menemui Muhyiddin, seterusnya gagal hadir di Parlimen bagi menjawab bagi pihak Kementerian Pengangkutan yang diserang kiri dan kanan dalam pelbagai isu.

Hari ini, tempoh seminggu yang Muhyiddin berikan itu sudah berakhir dan adakah krisis MCA kini sudah selesai dan satu titik pertemuan telah ditemui?

Jika dulu, BN akan menyerahkan tugas berdepan dengan DAP kepada MCA dan Gerakan tetapi kini, Umn terpaksa bersendirian bila berdepan dengan DAP.

Dalam masa yang sama, Umno juga perlu mempertahankan dirinya dari serangan PAS dan PKR, malangnya, kecederaan teruk yang dialami Umno menghalangnya untuk terus bertahan.

Najib dan Muhyiddin barangkali lebih kepada mahukan pemilihan semula MCA dibuat secpat mungkin tetapi Tee Keat sejak awal-awal memilih untuk tidak akan mengikut kehendak mana-mana pihak bagi diadakan semula pemilihan dalam masa terdekat.

Tee Keat dan timbalannya, Dr. Chua Soi Lek barangkali terbayangkan ‘saham kemenangan’ mereka merudum, sedangkan puak satu lagi, Liow Tiong Lai terus dilanda kekecewaan kerana kedudukannya sebagai timbalan presiden diketepikan begitu sahaja oleh ROS.

Ketika Tiong Lai dikatakan mempunyai satu pertiga sokongan dari keseluruhan perwakilan, gabungan semula Tee Keat dengan Soi Lek menjadikan situasi kini semakin tidak menentu.

Tee Keat sudah menjamah kerusi Presiden. Soi Lek hanya perlukan setakuk sahaja lagi untuk ke situ. Dalam masa yang sama, Tiong Lai juga mempuyai peluang setara saingannya.

Najib dan Muhyiddin mungkin risau jika Soi Lek menjadi Presiden. Dalam masa yang sama, gandingan Tee Keat-Tiong Lai seperti mustahil.

Pastinya, Najib dan Muhyiddin juga tidak mahukan gandingan Soi Lek-Tiong Lai, samalah seperti apa yang ada sekarang. Formula penyelesaiannya kini ialah dengan kedua-dua mereka ini, Tee Keat dan Soi Lek berundur.

Persoalannya, siapakah antara Najib dan Muhyiddin yang sanggp berdepan dengan Tee Keat dan Soi Lek untuk memberitahu formula yang ada dalam fikiran kedua-dua pemmpin BN ini.

Satu ketika, Tee Keat pernah menuduh ada orang besar dalam MCA mahu menubuhkan parti baru kerana tidak bersetuju dengannya.

Namun, Soi Lek sudahmenafikannya! Ketika tuduh menuduh itu berlaku, tiada siapa yang menyangka Tee Keat dan Soi Lek boleh berbaik semula. Tetapi inilah politik ketika Tee Keat merasakan dia terancam, Majlis Presiden parti menjadi penyelamatnya dengan memecat Soi Lek.

Apabila Soi Lek bingkas dengan desakan mengadakan EGM, Tee Keat diselamatkan sekali lagi oleh Majlis Presiden parti, dengan menukar hukuman pecat kepada pengantungan.

Sepatutnya Najib dan Muhyiddin masuk campur lebih awal sebelum ‘nasi menjadi bubur’ dalam kemelut ini, malangnya, kedua-dua mereka sengaja tidak mahu menyelamatkan Tee Keat dan Soi Lek kerana kedua-duanya mempunyai masalah peribadi yang sudah menjangkit kepada parti.

Ketika CC mengumumkan Tiong Lai disahkan sebaga timbalan presiden, Najib dan Muhyiddin barangkali seronok buat seketika kerana jika apa-apa berlaku dengan Tee Keat, penggantinya ialah Tiong Lai dan bukan Soi Lek.

Malangnya, keseronokan Najib dan Muhyiddin itu hanya seketika apabila Tee Keat membuat kejutan dengan menghubungi semula Soi Lek supaya kembali bersama-samanya untuk berdepan dengan Tiong Lai yang sudah dianggap tidak sabar-sabar untuk mendpatkan jawatan tertinggi.

Tiong Lai menafikannya. Dalam masa yang sama, kedua-dua sayap parti menyokong Tiong Lai. Tee Keat sekali lagi diselamatkan dengan memecat empat AJK Pusat, termasuk mengenepikan ketua-ketua sayap dari menganggota Majlis Presiden.

Dari segi logik akal, krisis ini tidak mungkin mampu diselesaikan. Buatlah pemilihan semula, ia akan bercelaru juga. Yang menang tidak akan dapat sokongan semua dan yang kalah akan menimbulkan kecelaruan.

Bantah membantah akan berlarutan dan MCA akan terus bergolak hinggalah kepada pilihanraya umum yang akan datang. Ketika itu, pemilihan calon-calo MCA di kawasan yang bermasalah akan menyebabkan BN lebih kelam-kabut.

Di kalangan pimpinan Umno, Naib Presidennya, Dato' Seri Hishammuddin Hussei dilihat cukup kerap mengeluarkan kenyataan yang menyentuh MCA. Mungkin dia tidak yakin Muhyiddin mampu memainkan peranan untuk menyelesaikan krisis ini. Maka, kenyataan-kenyataannya seolah-olah menawarkan diri kepada Perdana Menteri supaya menyerahkan tugas yang gagal dipikul Muhyiddin itu kepadanya.

Namun, setakat ini Najib tidak memberi sebarang respon kenyataan Hishammuddin tetapi beberapa kenyataan Muhyiddin terhadap MCA kelihatan mendahului Najib.

Nasib baiklah akhbar arus perdana rajin memperbesarkan isu yang melibatkan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Aziz Nik Mat, menyebabkan Umno dapat meredakan sedikit fokus orang ramai terhadap krsisis MCA ini.

Jika tanpa bantuan media arus perdana, MCA, Umno dan BN lebih buruk citranya kini dengan pelbagai masalah yang timbul ini.

Kemelut Umno Kedah dalam mencari ketua untuk hadapi PRU-13

ADA 15 kawasan Parlimen di Kedah. Ada 15 ketua bahagian Umno di Kedah. Ada 15 ragam dan mereka ini, berpuak-puak – yang nyata, ada orang Perdana Menteri, ada orang bekas Perdana Menteri dan ada orang – makan keliling!

Tentunya rencana ini mengejutkan. Tetapi dalam Umno Kedah, ramai pemain wayang kulit. Masing-masing mahu menjadi tok dalang. Keikhlasan, mereka letak di bawah tapak kasut.

Di Pejabat Umno negeri, masing-masing membina kubu mempertahankan kepentingan. Masing-masing mengampu boss, untuk mencari makan dengan Umno. Malangnya, apabila melihat pokok sudah hamper tumbang, masing-masing melompat ke pohon yang dilihat lebih kukuh dan rending.

Inilah budaya mereka dalam Umno Kedah! Bercakap banyak, memberi alasan memang kegemaran mereka, bekerja malas dan akhirnya bila kalah pilihan raya masing-masing salah menyalah antara satu sama lain.

Ketika Tan Sri Osman Aroff menjadi Menteri Besar, mereka bernaung di bawah ketiak Osman. Bila mereka dengar Osman hampir jatuh, mereka berbondong-bondong meninggalkan Osman dengan mencari tempat naungan baru.

"Pelik apa dengan Osman jika akhirnya Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mahu bertanding sebagai perwakilan G7 ke Kuala Lumpur dicantas?,” kata seorang pemerhati politik dari UUM.

Dr. Mahathir meninggalkan kepimpinan Umno bahagian Kubang Pasu selepas 22 tahun mengetuainya. Sebelum Dr. Mahathir, bahagian ini diketuai Osman. Osman pun orang Kubang Pasu ketepikan, sama seperti mereka menyingkirkan Dr. Mahathir.

Yang menyingkirkan Dr. Mahathir bukan musuh dari luar tetapi adalah bekas Setiausaha Politiknya, yang diamanahkan menjadi ketua bahagian selepasnya. Begitu sekali politik Umno Kedah, hanya kerana Dr. Mahathir sudah hilang kuasa dan ketika Tun Abdullah Ahmad Badawi menjadi Presiden Umno.

Suatu ketika, apabila ada berita mengatakan Tan Sri Sanusi Junid mahu dilantik menjadi MB Kedah, orang Umno Langkawi menumpaskan Sanusi sebagai ketua bahagian itu. Mereka tidak mahu mendengar nasihat Dr. Mahathir padahal ketika itu, Dr. Mahathir adalah Perdana Menteri dan Presiden Umno.

Bagi mempertahankan egonya, Dr. Mahathir tetap melantik Sanusi menjadi Menteri Besar walaupun Sanusi bukan di kalangan ketua-ketua bahagian di Kedah. Malahan, Sanusi turut dilantik menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah.

Maka jadilah Sanusi ketua kepada ketua-ketua bahagian walaupun Sanusi bukan dari kalangan ketua bahagian.

Siapa yang Sanusi lantik menjadi Setiausaha Badan Perhubungan? Sanusi lantik Setiausaha Politiknya, Dato' Rozai Shafian. Padahal, kebiasaannya, penjawat jawatan setiausaha perhubungan adalah dari kalangan ketua bahagian. Namun, Sanusi merubahnya!

Ini semua cerita lama. Cerita di mana, ketika Dr. Mahathir masih lagi berkuasa, pun ada bahagian di Kedah yang tidak memperdulikan kehendaknya. Apatah lagi apabila dia sudah kehilangan kuasa, Umno bahagian yang pernah diketuainya selama 22 tahun juga turut memalukannya.

Tiba-tiba, ada cadangan yang mahukan Dr. Mahathir menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kedah. Tiba-tiba juga ada cadangan, walaupun tidak dibuat secara terbuka, mahukan anak Dr. Mahathir, Dato' Mukhriz diberikan peluang bertanding di peringkat Dewan Undangan Negeri (Dun).

Bukankah ini cadangan yang melucukan? Dr. Mahathir khabarnya tidak bersedia menerima perlantikan itu jika mahu dilakukan tetapi khabarnya Muhkriz memang mengharapkan namanya dicalonkan di mana-mana kerusi Dun setelah di Parlimen, kedudukannya seperti tidak diperdulikan.

Perlu disebut, Mukhriz adalah Ahli Parlimen BN yang pernah menulis surat mencadangkan supaya Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi meletakkan jawatan apabila keputusan PRU 12, Mac 2008 tidak memberi kelebihan kepada BN untuk mengekalkan majoriti 2/3 di Parlimen dan lima negeri terlepas ke tangan pembangkang.

Dalam era Abdullah, Mukhriz tidak dilantik memegang apa-apa jawatan, walaupun Abdullah yang mempersetujui Mukhriz disenaraikan sebagai calon BN di Parlimen Jerlun, ketika Dr. Mahathir sedang kuat menyerang kepimpinan Abdullah.

Di manakah bermulanya cadangan yang melucukan ini timbul? Ia timbul ketika ketua-ketua bahagian di Kedah buntu untuk mencari seorang ketua di kalangan mereka untuk mengemudikan Umno dan BN di Kedah untuk menghadapi PRU 13.

Antara ketua bahagian yang senior, Dato' Ahmad Lebai Sudin yang mengetuai Umno Bahagian Pokok Sena baru sahaja dilepaskan dari tindakan disiplin kerana dakwaan mensabotaj calon BN di Parlimen Pokok Sena, DUN Bukit Pinang dan Dun Bukit Lada.

Ketua Umno Bahagian Jerlun, Datuk Abu Hassan Sarif adalah muka baru di kalangan ketua bahagian walaupun dia sudah menjadi Adun Kota Siputeh sejak empat penggal lalu – kini terpaksa menanti saat-saat kehilangan kerusi yang diwakilinya kerana ponteng persidangan Dun.

Ketua Umno Bahagian Sik, orang baru. Kulim-Bandar Baharu, orang baru, Kuala Kedah, orang baru, Baling, muka baru, Sungai Petani, muka baru. Yang agak senior, ketua bahagian Alor Setar.

Namun, ketua bahagian Alor Setar ini tidak diyakini mampu mengepalai angkatan perang menghadapi PRU 13 walaupun kini sudah diberi kepercayaan menjadi timbalan pengerusi badan perhubungan.

Itulah sebabnya, di dalam Umno negeri, ketua bahagian Alor Setar ini diberi jawatan tinggi tetapi di Dun Kedah, jawatan Ketua Pembangkang disandang Ketua Umno Bahagian Padang Terap.

Jika Dr. Mahathir betul-betul dilantik memegang jawatan pengerusi perhubungan di Kedah, masihkah ada rasa hormat di kalangan ketua-ketua bahagian yang menganggotai jawatankuasa badan perhubungan ini?

Mungkinkah Dr. Mahathir akan dipermainkan sekali lagi sebagai mana yang pernah mereka lakukan ketika mereka menyingkirkan Dr. Mahathir dari menjadi perwakilan G7 dan menendang keluar Sanusi dari Langkawi hanya kerana mereka mahu menghantar mesej kepada Dr. Mahathir yang masih menjadi Perdana Menteri, dengarlah sama suara orang di bawah dan bukan hanya mahu arahannya sahaja perlu dipatuhi oleh orang bawah.

Ditulis oleh IDRIS SAMAD

52 tahun berkuasa, maruah Islam makin terhakis di bawah payung Umno

MUQADIMAH: "Kita tidak boleh meletakkan harapan kepada orang yang tidak cintakan Islam. Kalau kita letakkan harapan kepada Umno memang kita akan kecewa..." demikian tegas Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man apabila memperkatakan soal pengkhianatan Umno terhadap Islam. Bukan sahaja Umno tidak berusaha menangani gajala murtad, tidak menyelesaikan masalah ajaran sesat, tetapi kaut untung daripada penjualan arak dan judi. Ikuti butiran interbiu eksklusif SALMIYAH HARUN bersama beliau baru-baru ini.

Selama Umno memerintah negara lebih 50 tahun, parti itu pernah menegaskan Islam dan Melayu akan tergugat jika kuasa mereka hilang. Apa pandangan Dato' dalam hal ini?

DATO' TUAN IBRAHIM: Ini adalah pendekatan Umno mengaitkan Islam dengan bangsa. Ia adalah satu strategi Umno untuk memperkukuhkan cengkaman mereka di negara ini.
Apabila mereka memperkukuhkan serta mengaitkan tentang Melayu maka sentimen nasionalisme yang ditanam di akar, sekaligus tunjang Umno itu akan bertambah kuat.
Sedangkan pada waktu yang sama penekanan dalam aspek ini menyebabkan orang bukan Islam yang hendak bersama Islam seolah-olah akan rasa bukan Islam atau Melayu dan ini bertentangan dengan konsep sebenar Islam.
Walaupun kita tidak nafi semangat Melayu dengan Islam di negara ini agak kuat, tetapi meletakkan agama dengan bangsa itu bertentangan dengan roh Islam sebenarnya. Keadaan ini memberi gambaran seolah-olah agama kuat apabila Umno kuat. Sedangkan realiti yang kita tengok 52 tahun Umno memerintah Islam masih berada di tahap yang sama melainkan lambang-lambang sahaja kerana kepentingan ekonomi.

Maksud Dato' Islam di bawah payung Umno masih ditakuk lama?

Iyalah. Penghayatan Islam semakin hari semakin teruk. Sebagai contoh suatu masa dahulu kita jarang mendengar kes anak-anak zina hari ini ia menjadi perkara biasa.
Begitu juga najis dadah makin lama semakin teruk, malangnya yang mengetuai Pemadam adalah Perdana Menteri, Timbalannya dan menteri-menteri kabinet semua Islam. Tetapi ia masih menunjukkan kegagalan Umno menghayati roh Islam kepada rakyat.

Apakah pengkhianatan terhadap Islam yang Dato' lihat sepanjang Umno memerintah negara ini?

Pengkhianatan besar Umno pertama-tamanya adalah pencabulan hukum Allah. Banyak perkara yang Allah secara terang-terangan mengatakan haram disebut dalam Al-Quran, tetapi Umno pula memberi kebenaran misalnya arak, judi, dan kelab-kelab malam yang terangan tidak membina siasah manusia bahkan agama tidak membenarkan. Bagi saya ini merupakan pencabulan Umno iaitu menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah. Selain itu Umno juga memperalatkan institusi-institusi yang melibatkan ekonomi Islam contohnya pusat zakat.

Mengapa Dato' kata begitu?

Sebagai elemen yang menonjolkan nilai-nilai Islam, ini bagus untuk nampakkan Islam tetapi dalam waktu yang sama elemen-elemen yang lain selain elemen ekonomi masih lagi gagal. Misalnya dari sudut pendidikan. Tidak ada kesungguhan daripada kerajaan untuk memartabatkan institusi agama, antaranya bantuan berkapita Sekolah Agama Rakyat ditarik balik. Misalnnya di Pahang purata satu sekolah agama dalam satu daerah.
Begitu juga pencabulan tulisan jawi sewaktu masa dahulu, menyebabkan generasi kini tidak reti bahasa Al- Quran. Pengkhianatan yang besarnya adalah hala tuju pembinaan ummah, rakyat dan remaja kita. Kita tidak tahu kemana hala tuju yang hendak dibawa. Inilah merupakan pengkhianatan besar kepada remaja dan masyarakat Islam. Umno seolah-olah tidak meletakkan satu garis panduan dan dasar yang jelas. Contohnya beginilah kalau kita memerintah, apa modul rakyat yang hendak kita bina?
Membina rakyat yang bermoral sebagai contoh. Tetapi realiti yang berjalan bertentangan! Dengan nilai-nilai moral. Hatta kita lihat isu-isu yang berlaku dalam kegawatan sosial semua sepakat mengatakan puncanya adalah kerana tiada didikan agama atau lemahnya sistem pendidikan agama.

Adakah Umno gentar untuk perkasakan didikan agama ini?

Umno baik, kerajaan baik, dalam waktu yang sama takut memperteguhkan didikan agama kerana menganggap apabila menitik beratkan nilai agama, bermakna menyokong pembangkang. Peringatan kepada bangsa Melayu sendiri apa berlaku di Kelantan Umno menarik balik royalti minyak. Dalam masa yang sama Umno pertahankan dan menjulang Melayu tetapi dalam kes di Kelantan, Umno juga menjadi pengkhianat besar kepada orang Melayu. Inilah antara yang jelas dan boleh dinilai oleh rakyat selain mengkianati hukum Allah.

Apakah dasar Islam Hadhari yang diperkenalkan zaman Tun Abdullah Badawi dan kini bertukar menjadi 1Malaysia pada zaman Najib Tun Razak membuktikan Umno tidak mempunyai dasar yang jelas?

Umno memperalatkan agama sebab apabila seseorang tokoh mewujudkan satu slogan untuk menarik sokongan rakyat dan rakyat pula percaya. Bila mana pemimpin itu hilang akan wujud slogan baru. Bila Dr. Mahathir letak jawatan, sebelum itu beliau mewujudkan satu matapelajaran pendidikan pemikiran Mahathir di institusi pendidikan awam. Di universiti-universiti diajar subjek pemikiran Tun Mahathir.
Apabila naik Abdullah Badawi, mereka pula mengajar Islam Hadhari di IPTA dan sebagainya. Bila Abdullah Badawi turun, sekarang ini pula One Malaysia.
Jadi mereka seolah-olah tidak ada satu dasar yang tetap rakyat dibawa kepada isu-isu yang kononya untuk menaikkan imej seseorang pemimpin. Jadi saya yakin apabila Najib jatuh selepas ini mungkin Umno akan mewujudkan slogan yang baru pula.
Dalam masa yang sama rakyat menanggung kos yang besar terhadap satu-satu gagasan yang dibawa misalnya One Malaysia, berapa juta wang dibelanjakan.

Pengkhianatan Umno tidak mahu melaksanakan hukum Hudud walaupun ianya jelas dituntut agama. Mengapa keadaan ini berlaku?

Dalam kes ini, Umno bukan sahaja tidak mahu laksanakan hukum Allah ini bahkan menghalang usaha Kerajaan Kelantan melaksanakan hukum ini. Umno masih lagi menyekat usaha Kerajaan Kelantan sehingga hari ini.
Sepatutnya kalau Umno menekankan Islam dan sebagainya, ia wajar mempunyai plan jangka panjang mahu melaksanakan hukum itu dan apa pelaksanaan yang hendak dibuat.
Setakat ini kita tengok Umno langsung tidak ada perancangan, tidak ada usaha ke arah melaksanakan hukum Hudud. Jadi dalam waktu yang sama apabila PAS memerintah, Umno masih lagi menyekat.
Rakyat seolah-olah meletakkan kita tidak mahu melaksanakan hukum tuhan sebenarnya Umnolah penghalang usaha kita hendak melaksanakan hukum hudud. Sebagai Kerajaan Pusat yang One Malaysia, beri kuasa kepada negeri-negeri yang dimenangi oleh Pakatan Rakyat ini untuk melaksanakan dasar itu sebagai percubaan untuk kita laksanakan kejayaan hukum Islam dalam menangani gajala-gajala sosial.

Apakah Umno sendiri tidak yakin bahawa PAS dan Pakatan Rakyat tidak boleh melindungi Islam dalam negara ini, sebab itulah mereka menghalang PAS melaksanakan dasar seperti itu?

Umno bukan sahaja tidak yakin kepada kita tetapi Umno sendiri tidak ada kesungguhan. Misalnya di Pahang apabila Mahkamah Tinggi Syariah menghukum sebat ke atas Kartika Sari, menteri pula boleh membuat kenyataan tukang sebat tidak ada.
52 tahun Umno memerintah, enakmen undang-undang yang sudah ada sepatutnya tindakan untuk melakukan hukuman itu sudah beres. Dalam hal ini bukan sahaja telah menyedarkan Umno bahkan menunjukkan Umno sendiri tidak akan bersedia untuk melaksanakan Islam. Tidak mahu kepada Islam. Kalau Umno nak...lain cara dia.
Sebagai contoh berapa tindakan kerajaan terhadap mereka yang rosak akidah iaitu penganut agama Bahar, tidak nampak tindakan bersungguh kerajaan memerangi ajaran sesat ini.
Hanya segelintir sahaja yang mereka bertindak. Dalam kes Ayah Pin sampai sekarang masalah itu tidak selesai. Sama juga ajaran Bahar dan Qadyani yang merosakkan akidah umat Islam tetapi tidak ada tindakan secara total.

Bagaimana pula dalam kes murtad yang saban hari semakin berleluasa, apakah ini satu pengkhianatan Umno yang dilihat seolah-olah mahu menyembunyikan bahana ini?

Dalam isu murtad saya lihat Umno cuba menutup. Apabila isu ini dibangkitkan ada sahaja pihak Umno cuba menutup isu ini. Dan menegaskan isu murtad ini tidak perlu dibesar-besarkan. Isunya bukan soal hendak uar-uarkan tetapi soal akidah umat Islam mesti diselamatkan. Kalau berlaku gejala murtad apa yang sepatutnya kerajaan buat? Inilah yang dibangkitkan banyak pihak.
Mufti Perak Dato' Harussani telah mendedahkan dengan angka-angka yang luar biasa, sebagai amaran untuk kerajaan mencari jalan bagaimana hendak menangani masalah itu. Malangnya tidak ada usaha atau tindakan yang mahu menghalang umat Islam yang murtad.

Apa yang Dato' mahu perkatakan tentang pengkhianatan Umno ini?

Kita tidak boleh meletakkan harapan kepada orang yang tidak cintakan Islam. Kalau kita letakkan harapan kepada Umno memang kita akan kecewa. Sebabnya dasar Umno sendiri tidak meletakkan Islam sebagai dasar dan tunjang utama mereka.
Dasarnya tidak merujuk kepada Al-Quran dan Hadis sebagai panduan.
Sebagai parti lebih bersifat nasionalis dan pragmatisme, kita tidak mungkin boleh berpegang kepada satu parti yang besifat bermuka-muka seperti ini.
Jadi jalan yang terbaik rakyat mestilah membuat perubahan yang besar, jika rakyat mahu melihat masa depan mereka yang cemerlang dari segi moral dan akhlak, mereka tidak banyak pilihan melainkan balik kepada Islam sebagaimana diperjuangkan PAS. Sedaya mampu untuk kita laksanakan walaupun dihalang.
Walaubagaimana pun, kita tetap berusaha sehingga kini kita sudah berjaya dengan dasar yang dibuat akhirnya boleh diterima oleh semua termasuklah bukan Islam.

Siasat adik Najib! SPRM lembab, pengakuan P Balasubramaniam jelas

KUALA LUMPUR: PAS mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis menyiasat segera adik Perdana Menteri, Dato' Mohammad Nazim Razak seperti dalam dakwaan penyiasat bebas, P Balasubramaniam mengenai pembabitan beliau dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan, satu siasatan terbuka perlu dibuat SPRM dalam isu ini kerana ia juga membabitkan persoalan sogokan atau rasuah.

Bercakap kepada media, Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sebelum ini SPRM telah bertindak dengan pantas terhadap beberapa kes yang melibatkan pembangkang.
Namun dalam kes-kes membabitkan tokoh penting dalam Umno/BN, SPRM dilihat 'lambat' bertindak termasuk dalam pengakuan penting Balasubramaniam ini, katanya.

"Siasatan ini penting kerana ia membabitkan kes besar yang tidak boleh dipandang ringan oleh SPRM. Ia babitkan imej negara. Apa yang didakwa dalam pengakuan itu ialah orang yang dekat dengan Perdana Menteri," katanya lagi.

Selain itu, beliau juga mendesak agar Najib Tun Razak turut bertindak membersihkan 'imej' beliau dan adiknya itu, agar isu setiap kali timbul isu pembunuhan Altantuya ini, mereka tidak dikaitkan.

Sebelum ini, dalam pengakuan pertama Balasubramaniam juga menyebut keterlibatan Najib, namun hingga kini selepas dilaporkan beberapa akhbar antarabangsa termasuk The Liberations, Najib masih belum bertindak membersihkan namanya.

"Dalam perkembangan terbaru ini, kita mahu melihat jika Najib tidak ada kaitan dengan isu itu, beliau perlu bertindak mengikut saluran yang ada, ini persoalan serius yang membabitkan imej negara," tegas Salahuddin lagi.

Pada 2 Disember lalu, pimpinan Pemuda Pakatan Rakyat telah menghantar satu aduan kepada SPRM agar menyiasat dakwaan penyiasat bebas, P Balasubramaniam mengenai pembabitan adik Perdana Menteri dalam kes Altantuya Shaariibuu.

Dalam laporan itu, Pemuda Pakatan Rakyat mendakwa, siasatan itu berkaitan isu pertukaran akuan sumpah Bala dan hubungan mangsa dengan Perdana Menteri.

Pemuda Pakatan Rakyat juga menyebut, Dato' Mohamed Nazim Razak serta seorang peniaga permaidani Deepak Jaikishan sebagai individu yang perlu disiasat.

Bercakap kepada media, Ketua Angkatan Muda KeADILan (AMK), Shamsul Iskandar Mohd Akin memaklumkan laporan tersebut dibuat berdasarkan rakaman temuramah dengan Balasubramaniam.

Balasubramaniam adalah merupakan saksi utama dalam kes pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibu selain bertugas selaku penyiasat persendirian kepada Abdul Razak Baginda yang turut dituduh bersubahat dalam pembunuhan wanita Mongolia itu.

Balasubramaniam juga merupakan bekas anggota polis Cawangan Khas, mengumumkan akuan bersumpah pada tahun lepas, 3 Julai dengan mengaitkan Najib dalam kes tersebut.

DAP anjur upacara khatan beramai-ramai

IPOH: DAP buat pertama kali dalam sejarah politik negara akan menganjurkan majlis berkhatan beramai-ramai di masjid sebagai tanda hormat kepada orang-orang Islam dan untuk membuktikan perjuangan parti itu adalah untuk semua bangsa dan agama.

Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming mengumumkan, DAP Taiping akan menganjurkan ucapacara tersebut pada pagi Ahad, 6 Disember ini bertempat di Masjid Expo Kamunting.

Majlis ini julung kali diadakan dan seramai 75 kanak-kanak akan menjalani upacara tersebut dengan penuh adat dan berwarna-warni. Pasukan kompang dan majlis siram air turut akan diadakan.

Nga yang juga Ahli Parlimen Taiping, memberitahu media, Pengerusi DAP Perak, Dato Ngeh Koo Ham juga turut akan menganjurkan satu majlis berkhatan beramai-ramai melibatkan 100 orang pelajar di Permatang Kerian, Pantai Remis dibawah program yang sama di Parlimen Beruas.

DAP menghormati Islam dan perjuangan parti ini untuk semua bangsa dan agama, katanya.

Nga juga merakamkan penghargaan dan berterima kasih kepada para petugas khususnya ahli-ahli PAS yang banyak membantu menjayakan majlis penuh bersejarah tersebut.

GST akan bebankan rakyat bawahan - Dr Dzulkifli

KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat menubuhkan sebuah pasukan khas bagi memantau Akta Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang akan dilaksanakan kerajaan dalam tempoh 18 bulan akan datang.

Pasukan petugas pemantau GST (Anti-GST Task Force) itu dianggotai tiga wakil ahli parlimen bagi setiap parti.

Menurut Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr. Dzulkifli Ahmad, penubuhan kumpulan petugas tersebut bertujuan untuk mengkaji akta sedia ada yang berkaitan serta cadangan Rang Undang-Undang.

"Tujuan penubuhan pemantau GST ini juga bagi memformulasikan pelan tindakan untuk jangka pendek dan panjang. Ia juga bagi menyedia dan melengkapkan pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dalam isu GST serta menjalankan sesi sumbang saran dengan rakyat dan memberi kefahaman secara menyeluruh terhadap kesan GST," katanya sewaktu sidang media di lobi Parlimen pada 2 Disember lalu.

Jelasnya, adalah tidak munasabah kerajaan menggunakan alasan pelaksaan GST untuk tujuan menambah hasil pendapatan cukai kerajaan sebanyak RM 1 bilion.

Dzulkifli menegaskan, GST yang akan menggantikan cukai jualan dan perkhidmatan ini akan memberikan kesan yang parah kepada rakyat khususnya kepada mereka yang berpendapatan rendah.

"Pada pandangan kami pengenalan GST ini akan meninggalkan kesan dan impak yang parah khususnya kepada golongan berpendapatan rendah.

"Kami mahu membawa isu ini sebagai isu yang cukup penting kerana persoalan bagaimana ia akan meninggalkan impak kepada rakyat bukan hanya isu politik tetapi sekaligus akan mejejaskan kehidupan rakyat yang sudah terbeban dengan pelbagai cukai dan penarikan semula subsidi," tegasnya.

Tambah Dzulkifli, kumpulan petugas pemantau GST ini akan melaporkan secara terus kepada Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat.

Selain Dzulkifli, dua orang lagi wakil daripada PAS yang akan memantau GST ialah Ahli Parlimen Tumpat, Dato' Kamarudin Jaafar dan Ahli Parlimen Kota Raja, Dr Siti Mariah Mahmud.

DAP pula diwakili Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong dan Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago.

Manakala KeADILan diwakili Ahli Parlimen Machang, Saifudin Nassution, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail dan Ahli Parlimen Selayang, William Leong.

Bekas Pengarah sahkan BTN hasut benci ulama

KOTA BHARU: Sudah terantuk bagi tergadah. Itu perumpamaan bagi menggambarkan peranan sebenar Biro Tata Negara (BTN) yang diumumkan kerajaan untuk dirombak selepas dikritik hebat pemimpin Pakatan Rakyat.

Sehingga kini Selangor dan Pulau Pinang tidak membenarkan pegawai dan kakitangan kerajaan negeri terbabit mengikut latihan di BTN.

Biar pun cuba dinafikan berkali-kali kerajaan Barisan Nasional (BN) dan bekas pegawai kanan BTN, namun hari ini mereka mulai mengakui agensi itu diwujudkan bagi memperkukuhkan kedudukan Umno dan BN.

Jauh sekali untuk memupuk semangat cintakan negara.

Bekas Pengarah BTN Terengganu, Rosli Abdullah berkata, modul kursus yang diajar di BTN selepas 1998 lebih menekankan pengukuhan peserta terhadap Umno.

"Peserta kursus juga diajar memusuhi pemimpin parti-parti Pakatan Rakyat khususnya ulama dalam PAS. Doktrin yang diajar lebih bersifat perkauman," ujarnya ketika ditemui di sini.

Oleh itu katanya, tindakan kerajaan Selangor dan Pulau Pinang menghalang kakitangannya menghadiri kursus di BTN dianggap tepat sekali.

Rosli yang juga pernah dilantik Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan BTN pusat, berkata, propaganda termasuk tuntutan Hindaf juga turut diasak kepada peserta kursus di BTN.

"Modul kursus BTN di awal era 1990-an berbeza khususnya sewaktu di bawah seliaan bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim kerana turut ditekan soal pendidikan Islam," katanya.

Beliau kini berkhidmat sebagai Timbalan Pengurus Tabung Amanah Tok Kenali memberitahu keberkesanan kursus BTN sekitar tahun berkenaan menyebabkan rakyat turun ke bawah ketika berlaku reformasi yang diketuai Anwar.

"Sekarang kursus di BTN tidak lagi ditekankan isu pendidikan Islam, sebaliknya lebih menjurus kepada propaganda Umno, isu perkauman dan memburukkan ulama dalam PAS.

"Kini mereka melakukan apa sahaja untuk mengekalkan kemenangan BN pada pilihan raya umum akan datang," ujarnya lagi.

Beliau juga berkata, setiap peserta mengikuti kursus selama lima hari bagi melengkapkan modul yang disediakan.

Rosli juga mencadangkan kerajaan negeri di bawah Pakatan Rakyat menganjurkan sendiri kursus khas untuk kakitangannya bagi melayakkan mereka mendapat kenaikan pangkat.

Kenapa Umno takut dengan senjata orang mukmin? - Tok Guru Nik Aziz

SETELAH menerima memo bantahan bertulis yang disampaikan oleh setiausaha saya pada pagi ini, maka sahlah yang di luar pintu sana ada sekumpulan orang yang sedang berbuat bising.

Saya tidak pasti sama ada mereka mendapat permit, katanya dari sasaran yang dihajatkan 2,000 orang peserta, tetapi rupanya yang tiba hanya sekadar 200 orang sahaja.

Hairannya orang Umno Pasir Mas yang mengetuai penghantaran memo bantahan tersebut dan bukan Umno negeri. Kenapa boleh jadi begitu?

Mereka menggunakan topeng Jemaah Rakyat Perihatin Kelantan di kepala suratnya. Ini lagi pelik. Sudah malukah menggunakan nama Umno sehingga berselindung di sebalik JRPK? Jika tidak salah saya, ada satu lagi topeng yang selalu di gunaka oleh Ahli Parlimen Pasir Mas yang disebut Majlis Tindakan Rakyat Kelantan (MTRK).

Sudahlah begitu, senaskah CD yang ada disebut kononnya disertakan bersama memo ITU untuk dijadikan bahan bukti khutbah Hari Raya saya, tidak pula disertakan.

Belumpun saya meneliti butir kandungan bantahan itupun saya sudah dapat menyukat betapa tidak terutusnya sebuah rancangan yang kononnya mahu menggugat sebuah kerajaan yang kukuh lagi sah. Apa tidaknya, masaalah menantu saya di PMBK sudah beres, malah tajaan haji saya juga sudah selesai.

Setelah membelek memo dua muka surat yang ditandatangani oleh empat orang, manakala 18 lagi tidak bernama dan tidak bertandatangan, maka hati saya sudah tawar untuk membaca kandungannya.

Apapun, setelah membacanya sepintas lalu, terdapat dua tuntutan yang dibawa oleh mereka, iaitu; Pertama, meminta saya menarik balik dan memohon maaf di atas ‘doa kemusnahan ke atas pemimpin Umno’ yang tidak memberi royalti kepada rakyat Kelantan.

Kedua, mendesak saya supaya meletak jawatan Menteri Besar.

Menyentuh tuntutan pertama, mengapa harus saya hiraukan suara budak-budak Umno yang tak sampai 200 orang itu supaya saya meminta maaf sedangkan Presiden Umno selaku orang nombor satupun tidak menyuruh saya meminta maaf atau menarik balik.

Dalam hal ini, jika mahu menganalisa dan mengulas doa saya, maka ia hendaklah mengambil doa itu keseluruhan. Kenapa tak sebut doa saya meminta dan memohon kepada Allah SWT diperbetulkan jalan berfikir Perdana Menteri supaya menerima Islam yang syamil.

Dari segi Islam, doa adalah satu permohonan. Jika kita rajin membuka sejarah doa-doa yang diambil oleh para Nabi, kita tentu boleh berjumpa dengan kandungan doa Nabi Musa AS dan Nabi Muhammad saw sendiri yang pernah mendoakan bala kepada musuh Islam.

Jika kita membuka himpunan hadith dalam Ridhatus Solihin, kita akan berjumpa dengan maksud doa yang berbunyi begini: "Wahai Tuhan, tolong balas bela, ke atas mereka yang zalim."

Maksud doa yang hampir sama ini juga turut terkandung dalam Qunut Nazilah berbunyi: "Wahai Tuhan, musnahkan golongan kafir dan munafiq".

Kita kena faham bahawa selain daripada orang-orang kafir yang melawan Nabi saw, orang munafik juga ramai. Mari kita bersama-sama menyemak dua ayat ini:

1. "Dan sesungguhnya Allah telah menurunkan kepada kamu di dalam Al-Quran bahawa apabila kamu mendengar ayat-ayat Allah diingkari dan diperolok-olokkan (oleh orang-orang kafir), maka janganlah kamu duduk berserta mereka, sehingga memasuki perbicaraan yang lain kerana sesungguhnya (kalu kamu berbuat demikian), tentulah kamu serupa dengan mereka. Sesungguhnya Allah akan mengumpulkan semua orang-orang munafik dan orang-orang kafir di dalam Jahannam. - (Surah An Nisa’: Ayat 140)

2. "Sesungguhnya orang-orang munafik itu (ditempatkan) pada tingkatan yang paling bawah dari neraka. Dan kamu sekalian sekali-kali tidak akan mendapat seorang penolongpun bagi mereka'. - (Surah An Nisa': Ayat 145)

Dengan ini tidak hairanlah di dalam permulaan surah Al-Baqarah hanya terdapat dua ayat iaitu ayat enam dan tujuh yang merujuk kepada orang kafir.

Yang selebihnya, yakni 13 ayat, iaitu ayat lapan hingga 20, Allah SWT merujuk terus kepada fiil perangai puak-puak munafik.

Jika diteliti sirah junjungan kita Nabi Muhammad SAW, kita akan berjumpa dengan kisah bagaimana Bani Ri’lin dan Bani Zakuan yang membunuh pendakwah.

Sebagai reaksi balas di atas perbuatan terkutu ini, Nabi saw meminta supaya Allah SWT menurunkan kutukan ke atas kedua-dua ini melalui tujuh tahun kemarau yang panjang sebagaimana yang pernah Allah turunkan di zaman Nabi Allah Yusoff di Mesir.

Menyentuh tentang tuntutan kedua, musthail saya perlu akur dan meletakkan jawatan semata-mata kerana digesa oleh 200 orang budah-budak nakal, bawah pohon jati di pintu masuk SUK.

Jika saya perlu meletakkan jawatan atas sebab desakan Umno, maka sudah tentu saya berbuat begitu semasa Tan Sri Annuar Musa menjadi Ketua Pembangkang di dalam Dewan Undangan Negeri Kelantan sekaligus menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan tiga empat tahun yang lalu.

Akan tetapi, alhamdulillah, saya tetap masih duduk di kerusi ini sampai ke hari ini. Sebaliknya, pemimpin Umno itu pula yag ‘ghaib’ dari arena politik tanah air.

Saya kadang-kadang menjadi hairan memikirkan telatah orang Umno ini. Dalam Dun Kota Seputih misalnya, mereka cukup beria-ia untuk mempertahankan diri dengan menggunakan instrument mahkamah untuk mengelak dari memasuki pilihan raya.

Itu bagi kerusi dia yang selamat; itupun masih berdalih untuk diuji melalui pilihanraya. Sebaliknya mereka cukup ghairah untuk mendesak saya mengosongkan kerusi Menteri Besar sedangkan tiada apa-apa keadaan sedikitpun yang memaksa suasana atau menyalahi undang-undang yang membolehkan saya membuat pengosongan.

Kepada ramai pemimpin PR kita sudah lama dapat membaca bahawa telah menjadi ‘grand design’ mereka untuk mencipta suasana yang tidak tenteram di semua negeri-negeri Pakatan Rakyat. Kita tahu itu. Bukan kita tidak tahu.

Secara logiknya, semua orang kena faham bahawa saya bekerja dengan Parti Islam SeMalaysia. Jika Umno yang mendesak saya, maka saya sewajarnya boleh bersyukur; bahkan berbangga kerana saya sudah dikira berjaya mengkucar kacirkan Umno. Mereka sudah keluh kesah.

Jik (katakanlah) saya terus dilarang juga untuk memohon kemusanahan Umno secara terbuka, maka saya masih lagi boleh mengangkat doa secara bersedirian.

Saya masih boleh meminta supaya umat Islam terus berdoa secara senyap-senyap agar Allah SWT menurunkan kemusnahan kepada mana-mana pihak, termasuklah pemimpin Umno yang menyekat Islam dan menyekat pemberian wang royalti itu dari melalui tangan Kerajaan Negeri Kelantan.

Oleh TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ NIK MAT
Mursyidul Am PAS

Husam ulangi royalti memang hak Kelantan, Najib mungkir janji

KUALA LUMPUR: Dalam satu rancangan forum, Agenda Awani (Astro Awani), Exco Kanan Kerajaan PAS Kelantan, Dato' Paduka Husam Musa mengulangi pendirian agar kerajaan pusat memberikan hak royalti minyak kepada Kelantan.

Forum yang dikendalikan pengacara, Suhami Sulaiman itu turut menampilkan anak bekas Setiausaha Agung Umno (Tan Sri Mohammed Rahmat), Dato' Nurjazlan Mohammed yang juga ahli Parlimen Kulai.

Pada awalnya, forum selama 30 minit terbitan Astro Awani itu membincangkan isu banjir yang mana Husam dan Nurjazlan diminta mengemukakan idea 'luar kotak' bagi mengatasi masalah banjir.

Namun apabila topik forum beralih kepada persoalan pengurusan kerajaan, Husam menggunakan kesempatan yang ada bagi mengutarakan persoalan penganiayaan kerajaan BN yang menafikan hak royalti minyak kepada Kelantan.

Beliau menyebut beberapa fakta mengenai perjanjian yang telah dibuat antara kerajaan negeri pada tahun 1974 ketika mula Akta Petroleum Negara diwujudkan yang mana ketika itu ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah sebagai Pengerusi Petronas yang pertama.

Meskipun disindir beberapa kali oleh Nur Jazlan kononnya Husam 'lari topik', namun Husam berkeras menyatakan pendirian fakta bahawa beberapa telaga minyak termasuk Bintang, dan Cakrawala adalah berada dalam perairan Kelantan.

Beliau mengecam tindakan Kerajaan Malaysia yang sehingga ke hari ini menafikan hak rakyat Kelantan, malahan sanggup mendaratkan hasil bumi Malaysia itu di Thailand walaupun kedudukan Kelantan dengan pelantar minyak lebih dekat berbanding negara jiran.

Sementara itu, Ku Li sekali lagi menjelaskan beliau akan membuat penjelasan pada ceramah umum di Kelantan untuk menerangkan perkara sebenar berlaku dalam isu perjanjian minyak antara Petronas dengan negeri yang mempunyai aktiviti petroleum.

Menurutnya, isu minyak yang melanda Kelantan sekarang bukanlah isu politik kerana ia menyentuh kepentingan orang ramai dan perjanjian yang dimeterai antara Petronas dan negeri terbabit haruslah dihormati oleh semua pihak termasuklah Kerajaan Pusat.

“Masa belum ditentukan lagi, bila kita semua sepakat untuk menjelaskan perkara ini kepada umum, saya akan hadir memberikan penjelasan sebenar,” katanya kepada media mengulas isu minyak Kelantan yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat di Lobi Parlimen.

Tengku Razaliegh adalah individu yang bertanggungjawab mengasaskan Petronas yang ditubuhkan pada 17 Ogos 1974 dan dengan termaktubnya Akta Kemajuan Petroleum pada 1 Oktober 1974, Petronas telah diberi hak, kuasa, kebebasan dan keistimewaan di dalam mengendali dan memajukan sumber petroleum di Malaysia.

Tengku Razaleigh Hamzah sahkan wang ihsan tiada dalam perjanjian

KUALA LUMPUR: "Petronas terikat untuk membayar tunai lima peratus daripada aktiviti tersebut. Wang ihsan tiada dalam perjanjian yang saya buat dahulu. Saya yang buat Akta Peroleum Negara 1974. Tidak terlintas pada masa itu untuk menyebut mengenai wang ihsan hanya diberi kepada orang yang minta sedekah"

Perkara tersebut dijelaskan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (Ku Li) kepada media di lobi Parlimen baru-baru ini sewaktu mengulas mengenai isu royalti minyak di Kelantan.

Jelas beliau, isu tuntutan royalti minyak oleh kerajaan Kelantan bukan isu politik kerana ia menyentuh kepentingan orang ramai dan melibatkan perjanjian yang termeterai antara Petronas dan kerajaan negeri yang mempunyai aktiviti petroleum.

Ku Li menegaskan perkara tersebut akan dijelaskan pada ceramah umum di Kelantan untuk menerangkan perkara sebenar dalam isu perjanjian antara Petronas dan negeri yang mempunyai aktiviti petroleum.

Beliau menjelaskan hak negeri untuk mendapatkan wang tuntutan ganti rugi berdasarkan aktiviti petroleum merupakan hak rakyat negeri tersebut.

Katanya, dalam perjanjian antara Petronas dahulu, ia tidak dipanggil wang royalti tetapi wang tersebut dipanggil 'cash payment' dan ia terpulang kepada orang ramai untuk menamakan bayaran tersebut.

Terdahulu, Ahli Parlimen Gua Musang itu, dalam kenyataanya mendakwa tindakan menidakkan hak tuntutan lima peratus kepada Kelantan boleh menyebabkan negeri-negeri pengeluar minyak lain mempersoalkan status pembayaran mereka kerana ia menggambarkan Petronas dan Kerajaan Pusat tidak menghormati Akta Petroleum Negara.

DAP pertahan doa Tok Guru Nik Aziz yang dituju kepada Najib Tun Razak

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak perlu meletak jawatan kerana beliau seorang pemimpin bersih, berintegriti, beramanah dan berwawasan.

Ahli Parlimen Taiping, Nga Kor Ming menegaskan, Mursyidul Am Pas itu
tidak perlu tunduk ke atas tohmahan penyokong Umno yang membuat protes terhadap beliau berhubung isu doa.

Beliau yang juga Timbalan Bendahari Agong DAP berkata, kenyataan Tok Guru adalah benar dan mewakili rakyat jelata Kelantan yang menunggu sekian lama menuntut hak asasi mereka memandangkan Kelantan telah dianaktiri oleh Kerajaan Persekutuan selama ini.

"Hasrat Tok Guru adalah baik. Kenyataan beliau berasaskan kepada perjanjian Petronas dengan Kerajaan Kelantan pada 1970-an. Mengikut perjanjian itu, Kerajaan Persekutuan harus membayar royalti minyak kepada Kelantan sejumlan RM1.7 billion.

"Dana tersebut boleh digunakan untuk membangun Kelantan dan rakyat Kelantan akan menerima manfaat dari pendirian Tok Guru yang tegas itu," katanya.

Jelas Adun Pantai Remis ini lagi, ketika PAS menguasai Terengganu pada 1999, Kerajaan Persekutuan dengan serta-merta memberhentikan bayaran royalti minyak kepada Terengganu, malahan mencari dalih menggelar royalti minyak dengan jolokan 'Wang Ihsan'

Tambahnya, amalan diskriminasi tersebut merupakan penghinaan kepada sistem demokrasi negara seolah-olah wang royalti minyak kurniaan Tuhan adalah tabung Umno.

Bagaimanapun katanya, apabila BN memenangi Terengganu pada 2008, Kerajaan Persekutuan terus membayar royalti minyak sebanyak RM461 juta.

"Fakta ini terbukti bahawa BN mengamalkan amalan diskriminasi dan tidak dapat bezakan tabung parti dengan wang rakyat. Jika kerajaan pimpinan Najib gagal melayan Kelantan dengan adil dan saksama, maka berdoa supaya beliau berundur memang selaras dengan prinsip amalan demokrasi dan cogan kata beliau 'rakyat didahulukan'.

"Pemimpin Umno yang membenarkan ahli-ahli mereka memijak gambar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon malahan membakar gambar Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak layak untuk menegur Tok Guru Nik Aziz," katanya.

Nga yakin Tok Guru Nik Aziz adalah seorang tokoh agama dan pemimpin yang berwibawa, bersih, berintegriti serta berwawasan.

"Beliau tidak makan duit rakyat, tidak rasuah mahupun salah guna kuasa. Saya minta pemimpin BN tepuk dada, tanya selera, selesaikan skandal rasuah berbillion ringgit dulu yang merugikan rakyat sebelum buat tuntutan yang bukan-bukan," katanya.

Federalisme dinilai semula jika Najib berkeras

KUALA LUMPUR: Negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat (PR) perlu membuat kajian dan penilaian semula terhadap konsep federalisme jika kerajaan pusat yang dikuasai Barisan Nasional (BN) terus berkeras dengan sikapnya yang enggan menyerahkan bayaran tunai royalti petroleum kepada kerajaan Kelantan, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Persekutuan Malaya yang terbentuk pada tahun 1957 dan selepas itu Malaysia pada tahun 1963 adalah persekutuan 13 negeri yang bersama-sama mewujudkan sebuah negara berdaulat.

"Tanpa 13 negeri tersebut, tidak ada persekutuan Malaysia. Oleh itu, sempadan Malaysia di darat, laut dan udara wujud kerana gabungan 13 negeri tersebut.

"Wilayah Malaysia di laut, sama ada di pesisir pantai atau Zon Ekonomi Ekslusif, iaitu dalam kawasan 200 kilometer dari pantai, menjadi milik Malaysia kerana wujudnya 13 negeri tersebut," katanya.

Menurut Ahli Parlimen Kubang Kerian itu, apabila dibentuk Malaya dan selepas itu Malaysia, ada hak-hak 13 negeri tersebut yang diserahkan kepada kerajaan persekutuan termasuk pesisir pantai.

Hak-hak tersebut diserahkan dengan persefahaman bahawa apa jua yang menjadi hak kerajaan negeri tidak boleh dikhianati oleh kerajaan persekutuan, katanya.

"Apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) berkeras enggan menyerahkan bayaran tunai wang royalti kepada kerajaan Kelantan, beliau telah mengkhianati konsep federalisme yang terbentuk pada tahun 1957 dan 1963 itu.

"Beliau juga mengkhianati dan menghina Perlembagaan Malaysia kerana konsep federalisme adalah antara bahagian terpenting dalam perlembagaan tersebut," kata Salahuddin.

Sebab itulah, katanya, negeri-negeri yang dikuasai PR perlu mengkaji dan menilai semula terma-terma yang membentuk konsep federalisme itu.

Beliau juga menyeru kaukus ahli-ahli parlimen berkaitan royalti petroleum menuntut agar komposisi ahli lembaga pengarah Petronas diubah untuk memastikan penyertaan wakil dari negeri-negeri pengeluar minyak untuk memastikan kepentingan negeri-negeri tersebut.

"Saya juga akan mencadangkan kepada kaukus tersebut supaya industri hiliran petrokimia dan gas diwujudkan di keempat-empat negeri pengeluar minyak kini iaitu Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

"Kerajaan-kerajaan negeri berkenaan mestilah diberi peluang untuk membentuk usahasama untuk mewujudkan industri hiliran tersebut, sama ada dengan Petronas atau pihak lain dalam industri berkenaan," katanya.

Usahasama tersebut, katanya, bukan sahaja mewujudkan peluang pekerjaan di negeri-negeri berkenaan malah memberi manfaat kepada kerajaan negeri-negeri tersebut dengan penyertaan dalam usahasama itu.

Umno sudah tidak boleh diubati lagi - Ustaz Nasa

KUALA LUMPUR: Pendedahan bekas Presiden Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai masalah dalaman yang membarah dalam parti itu sekarang, membuktikan realiti sebenar, Umno sudah tidak boleh diubati lagi.

Demikian ditegaskan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa kepada media di lobi parlimen baru-baru ini.

"Saya percaya masalah yang didedahkan itu bukanlah satu perkara yang baru berlaku sebaliknya ia telah berakar umbi dalam parti Umno sehingga ianya sudah tidak boleh diubat lagi," tegasnya.

Jelas Ustaz Nasharuddin, walaupun pelbagai usaha dibuat untuk memperbaiki imej parti itu ianya tetap tidak dapat mengubah apa-apa dengan dasar yang diamal berteraskan kebangsaan itu.

"Meskipun pelbagai usaha diambil Umno untuk membaiki imej mereka, ia tetap tidak berjaya.

"Oleh yang demikian, PAS mahu rakyat berikan sokongan kepada Pakatan Rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 akan datang sebagai suatu harapan baru kepada masa depan Islam, Melayu dan negara ini," katanya.

Bagaimanapun, Ustaz Nasharuddin yang juga ahli parlimen Bachok turut menempelak kenyataan yang dibuat Mahathir yang tidak berani mendedahkan masalah ini semasa beliau masih lagi memegang jawatan nombor satu parti itu.

"Kenapa beliau tidak berani untuk mengeluarkan kenyataan ini semasa beliau masih lagi menjadi Presiden Umno? Mengapa sekarang baru hendak bising kerana masalah ini bukannya baru berlaku?" tegasnya lagi.

Mengulas lanjut mengenai kenyataan Mahathir yang mendakwa ramai veteran Umno yang berminat untuk menyertai Pakatan Rakyat, beliau berkata PAS sentiasa mengalu-alukan penyertaan mereka.

"PAS sentiasa mengalu-alukan sesiapa sahaja yang ingin bersama kita untuk melakukan perubahan. Kita terbuka kepada mana-mana pihak untuk menyertai PAS," katanya.

Ulama PAS Kelantan sokong tuntutan 5% royalti

DEWAN Ulama PAS Kelantan menyokong penuh tuntutan royalti minyak sebanyak lima peratus kerana:

1. Sudah terdapat perjanjian yang melibatkan Kerajaan Negeri, Persekutuan dan Petronas. Di mana dalam perjanjian petroleum 1974 secara jelas menyatakan kerajaan negeri berhak mendapat royalti sebanyak lima peratus dari hasil petroleum. Hal ini juga diakui sendiri oleh YM Tengku Razalegh Hamzah selaku pengerusi Petronas yang terlibat secara langsung dalam penggubalan perjanjian petroleium di waktu itu seperti yang dipetik oleh Sinar Harian (30 November 2009).

2. Berasaskan semangat federalisme dan demokrasi, maka kerajaan negeri Kelantan selaku pihak yang diberi amanah oleh rakyat dalam urusan pemerintahan dan pentadbiran adalah bertanggungjawab juga dalam memelihara dan menyelia kebajikan, kemaslahatan, kepentingan rakyat termasuk sumber ekonomi negeri secara adil dan beramanah.

Oleh itu, kerajaan negeri yang mendapat mandat dari rakyat dengan majoriti yang besar dalam pilihan raya yang lalu adalah pihak yang sah menurut amalan demokrasi dan hukum perjanjian tersebut sebagai pihak yang berautoriti dalam mengurus dan mentadbir royalti tersebut.
Berasaskan fakta seperti yang termaktub dalam perjanjian, prinsip keadilan dan semangat federalisme dan demokrasi, kerajaan Kelantan berhak menuntut royalti tersebut agar rakyat Kelantan boleh menikmati faedah dari royalti tersebut sama seperti yang dinikmati oleh negeri-negeri Sabah, Sarawak dan Terengganu sebelum ini.
Penafian terhadap hak royalti, penukaran kepada wang ehsan dan penyerahan faedah petroleum ini kepada pihak lain adalah merupakan perbuatan khianat dan tidak bertamadun.


Dengan ini saya Dato' Muhammad Daud Iraqi selaku Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan bagi pihak Dewan Ulama PAS Kelantan menyambut saranan Tuan Guru Dato' Menteri Besar agar seluruh rakyat tanpa mengira fahaman politik untuk sama-sama bersatu mempertahan dan menuntut hak mereka ini.

Sementara itu buat masa kini, kita mampu bermunajat dan berdoa kehadrat Allah agar dibukakan hati pihak yang terlibat sehingga hak rakyat ditunaikan.

Kita juga menyeru dan berdoa agar pihak yang terlibat menginsafi bahawa perbuatan menafikan hak rakyat adalah sangat tidak beretika dan zalim. Kita juga bersama-sama menyokong Tuan Guru Menteri Besar dalam mengutuk perbuatan tersebut kerana perbuatan mengambil atau menafikan hak rakyat, menghianati amanah dan perjuangan sememangnya sangat dikutuk oleh agama serta menyalahi hukum dunia.

Di samping itu, ia turut menodai perinsip demokrasi dan semangat federalisme yang menjadi ideology negara.

Sebagai renungan, Allah berfirman dalam Surah Al-Isra’ ayat 34 yang bermaksud "hendaklah kamu menaunaikan janji, sesungguhnya perjanjian itu akan diperosalkan oleh Allah di akhirat nanti".

Surah An-Nisa’ ayat ke 28 pula Allah berfirman yang bermaksud "Allah memerintah supaya amanah itu diserahkan kepada ahlinya (yang berhak)."

Manakala Rasulullah dalam sebuah Hadis mengutuk pihak yang menghianati perjanjian dengan menyifatkannya sebagai salah satu dari tanda atau sifat orang munafiq.

Nabi SAW juga mengingatkan mereka yang menghianati atau menzalimi orang lain, dimana Baginda bersabda yang bermaksud; "Wahai hamba-hambaKu, sesungguhnya Aku telah mengharamkan kezaliman ke atas diriKu dan Aku menjadikannya haram di antara kalian, maka janganlah kalian saling menzalimi." - (H.R.Muslim).

Dalam satu lagi Hadis beliau bersabda yang bermaksud; "Takutlah kamu kepada doa yang yang dizalimi, biarpun dia itu seorang kafir, sesungguhnya di antara Allah dan si kafir (yang dizalimi) yang berdoa itu tiada hijab (halangan) antaranya". - (Sahih Al-Jaami’ 119).

Berhubung dengan kepimpinan Tuan Guru, Dewan Ulama PAS Negeri Kelantan juga mengambil pendirian untuk terus menyokong beliau mengekalkan kepimpinannya dalam kerajaan dan parti.

Buat masa ini, Tuan Guru dilihat masih mampu untuk meneruskan pentadbirannya. Ketokohan dan budaya pemerintahan seperti yang ditunjukkan beliau masih menjadi contoh yang terbaik dan tetap disegani kawan dan lawan.

Pemimpin boleh datang dan pergi silih berganti, memang benar kita sudah mempunyai berisan pelapis yang layak untuk menyambung kepimpinan beliau, namun tokoh pemimpin seperti beliau sangat susah untuk ditemui dalam dunia sekarang ini.

Oleh DATO' MOHAMAD DAUD IRAQI

Mahathir sendiri sahkan Umno kini amat kronik

KUALA LUMPUR: 'Kebusukan Umno sehingga ke usus' adalah satu pendedahan daripada 'doktor peribadi' Umno yang mengesahkan lagi tanggapan umum yang melihat Umno daripada zahirnya sememangnya dalam kesakitan dan tenat.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan menegaskan kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Umno busuk daripada peringkat rendah hingga ke peringkat tertinggi menggambarkan parti tersebut mengalami 'sakit yang kronik'.

"Jika masyarakat melihat keadaan Umno yang 'pucat' dan 'tidak bermaya' pendedahan Tun Dr Mahathir yang umpama 'doktor peribadi Umno' itu menunjukkan Umno menghidapi sakit yang kronik , sukar untuk dipulihkan dan tiada vaksin yang dapat memulihkan 'kebusukan sehingga ke usus' itu," katanya.

Jelas Ustaz Nasruddin, kenyataan Mahathir, parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) lemah dan tidak mampu menjayakan BN antara kenyataan konsisten beliau sejak berundur daripada memimpin negara.

Katanya lagi, kenyataan bahawa Umno dipimpin perasuah sekali lagi diulang Mahathir yang menggambarkan Umno dan BN menuju kehancuran.

"Masyarakat menyedari Umno menuju kehancuran walaupun ia cuba diperbaiki dengan slogan dan pendekatan baru, namun semua itu tidak berjaya mengaburi mata rakyat.

"Keputusan Pilihan Raya Umum ke 12 telah membuktikan rakyat menolak parti tersebut. Sebagai 'orang tua' Umno, Mahathir juga telah banyak kali menyuarakan keresahannya tentang 'kedhaifan' Umno. Dan kenyataannya kali ini memperkukuhkan lagi Umno dan BN sebenarnya gagal untuk menambat hati rakyat," tegasnya.

Dr Aziz Bari perjelas isu Perlembagaan Malaysia Islam atau sekular?

KUALA LUMPUR: Isu negara Islam dan negara sekular sentiasa dibangkitkan dalam mana-mana forum mengenai perlembagaan. Begitulah yang terjadi dalam forum sempena pelancaran Kempen "Perlembagaanku" anjuran Majlis Peguam baru-baru ini.

Kempen yang dipengerusikan oleh Edmund Bon yang mengetuai Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam cuba mempromosikan perlembagaan di kalangan rakyat biasa.

Turut hadir dalam majlis forum yang sebahagian besarnya disertai oleh masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Abdul Kadir Sulaiman dan Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan.

Ahli Exco Kerajaan Kedah, Dato' Taulan Rasul turut hadir dalam majlis pelancaran yang dilakukan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' VK Liew.

Forum yang cuba menghuraikan apakah sebenarnya perlembagaan itu disertai oleh lima orang panelis yang terdiri daripada Profesor Emeritus Dato' Dr Shad Faruqi, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Profesor Madya Dr Azmi Sharom, Peguam Haji Sulaiman Abdullah dan Peguam Malik Imtiaz Sarwar.

Ia dipengerusikan oleh Peguam, Dato' Ambiga Sreenivasan, bekas Pengerusi Majlis Peguam.

Isu negara Islam dan negara sekular tidak disentuh sewaktu forum. Ia dibangkitkan dalam sesi soal-jawab oleh Datin Paduka Marina Mahathir dan turut dipersetujui oleh Ivy Josiah.

Bagaimanapun Irene Fernandez yang turut hadir nampaknya tidak begitu senang dengan isu tersebut.

Panelis berbeza pendapat dalam memberi respon kepada soalan Marina itu. Aziz dan Sulaiman mengambil pendirian yang sama dan mengatakan bahawa perlembagaan dan negara ini tidak sekular.

Azmi dan Malik berpendapat sebaliknya, ia sebagai sekular. Sementara Shad Faruqi mengambil pendirian di tengah-tengah, ia adalah gabungan kedua-duanya.

Aziz berkata dengan adanya Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa negara ini "mempunyai agama" yakni Islam ia dengan sendirinya telah membuang ciri sekular (mengandaikan sifat ini wujud).

Selain itu, beliau berkata ada banyak lagi peruntukan dalam perlembagaan yang menentang ciri sekular yang didakwa.

"Kita ada peruntukan di bawah Perkara 12(2) yang membenarkan wang pembayar cukai untuk digunakan bagi tujuan Islam", kata Aziz.

Beliau berkata ada banyak lagi peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan-perlembagaan negeri yang menyanggah ciri sekular yang dikatakan.

Katanya negara sekular ialah negara yang tidak ada langsung unsur agama di dalam pentadbiran rasminya.

Apa pun, tambah Aziz, isu yang dibangkitkan itu bukanlah isu yang penting. Sebaliknya ia boleh memecah-belahkan rakyat khususnya dalam keadaan ada isu-isu lain yang lebih kritikal dan lebih relevan.

"Ini termasuk soal ISA, hak asasi dan hak-hak lain yang penting untuk semua, tak kira mereka Islam atau sebaliknya", tambahnya.

Kata Aziz lagi, peruntukan-peruntukan yang mengkanunkan kedudukan Islam itu tidak membahayakan orang bukan Islam. "Kita harus melihat peruntukan-peruntukan berkenaan dalam konteks sejarah dan realiti negara ini," tegasnya.

Azmi pula berpendapat bahawa menafikan sifat sekular negara ini berbahaya.

"Ini kerana sekiranya Malaysia tidak sekular maka undang-undang dan tindak-tanduk rakyat akan dinilai dari kacamata agama dan ini berbahaya kepada orang bukan Islam", hujahnya lagi.

Malik pula berhujah bahawa ciri sekular negara ini ditekankan oleh penghakiman Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar bin Che Soh yang diputuskan pada 1988.

Bagi Shad Faruqi perlembagaan negara mempunyai kedua-dua ciri dan tidak betul untuk mengatakan ia seratus peratus sekular. Selain itu, katanya, ungkapan sekular itu sendiri mempunyai makna yang berbagai-bagai dan semua orang tidak sependapat dalam soal itu.

Diminta mengulas lanjut selepas forum itu Aziz berkata ungkapan sekular mungkin boleh diterima dalam konteks Islam jika kita melihat penggunaan konteks 'urusan dunia' dalam hadith berhubung dengan kes ladang tamar di zaman Rasulullah SAW.

"Dalam hadith itu, baginda menyatakan bahawa sahabat tersebut lebih arif dalam soal-soal yang menjadi bidang kerjanya", katanya.

Aziz berkata perkataan 'sekular' itu berasal dari bahasa asing, khususnya bahasa Latin. Ia mempunyai maksud yang berbagai-bagai dan tak perlulah sesiapa bergaduh kerananya. Apalagi bagi mereka yang tidak faham ungkapan itu dan tak faham pula perlembagaan.

Beliau berkata, Salleh Abas nampak tidak jelas dalam apa yang disebutnya sebagai 'undang-undang sekular' dalam kes 1988 itu tetapi kalau ada orang bukan Islam hendak terus mendakwa perlembagaan ini sekular, itu hak mereka.

"Kalau itu yang mereka nampak apa yang kita hendak sibuk. Biarkan. Bagi saya perlembagaan ini ada sifat lain yang telah pun dibuktikan dengan jelas melalui peruntukan-peruntukannya. Ibarat ada orang yang berperi-peri mengatakan dunia ini rata sedangkan ia adalah bulat. Mengapa perlu kita pedulikan mereka sedangkan ilmu yang kita miliki memberi kita keyakinan bahawa dunia ini bulat?" tegasnya.