KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Disember 10, 2009

Dr Aziz Bari perjelas isu Perlembagaan Malaysia Islam atau sekular?

KUALA LUMPUR: Isu negara Islam dan negara sekular sentiasa dibangkitkan dalam mana-mana forum mengenai perlembagaan. Begitulah yang terjadi dalam forum sempena pelancaran Kempen "Perlembagaanku" anjuran Majlis Peguam baru-baru ini.

Kempen yang dipengerusikan oleh Edmund Bon yang mengetuai Jawatankuasa Undang-undang Perlembagaan Majlis Peguam cuba mempromosikan perlembagaan di kalangan rakyat biasa.

Turut hadir dalam majlis forum yang sebahagian besarnya disertai oleh masyarakat bukan Islam dan bukan Melayu itu ialah bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Dato' Abdul Kadir Sulaiman dan Pengerusi Majlis Peguam, Ragunath Kesavan.

Ahli Exco Kerajaan Kedah, Dato' Taulan Rasul turut hadir dalam majlis pelancaran yang dilakukan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' VK Liew.

Forum yang cuba menghuraikan apakah sebenarnya perlembagaan itu disertai oleh lima orang panelis yang terdiri daripada Profesor Emeritus Dato' Dr Shad Faruqi, Profesor Dr Abdul Aziz Bari, Profesor Madya Dr Azmi Sharom, Peguam Haji Sulaiman Abdullah dan Peguam Malik Imtiaz Sarwar.

Ia dipengerusikan oleh Peguam, Dato' Ambiga Sreenivasan, bekas Pengerusi Majlis Peguam.

Isu negara Islam dan negara sekular tidak disentuh sewaktu forum. Ia dibangkitkan dalam sesi soal-jawab oleh Datin Paduka Marina Mahathir dan turut dipersetujui oleh Ivy Josiah.

Bagaimanapun Irene Fernandez yang turut hadir nampaknya tidak begitu senang dengan isu tersebut.

Panelis berbeza pendapat dalam memberi respon kepada soalan Marina itu. Aziz dan Sulaiman mengambil pendirian yang sama dan mengatakan bahawa perlembagaan dan negara ini tidak sekular.

Azmi dan Malik berpendapat sebaliknya, ia sebagai sekular. Sementara Shad Faruqi mengambil pendirian di tengah-tengah, ia adalah gabungan kedua-duanya.

Aziz berkata dengan adanya Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang mengisytiharkan bahawa negara ini "mempunyai agama" yakni Islam ia dengan sendirinya telah membuang ciri sekular (mengandaikan sifat ini wujud).

Selain itu, beliau berkata ada banyak lagi peruntukan dalam perlembagaan yang menentang ciri sekular yang didakwa.

"Kita ada peruntukan di bawah Perkara 12(2) yang membenarkan wang pembayar cukai untuk digunakan bagi tujuan Islam", kata Aziz.

Beliau berkata ada banyak lagi peruntukan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan perlembagaan-perlembagaan negeri yang menyanggah ciri sekular yang dikatakan.

Katanya negara sekular ialah negara yang tidak ada langsung unsur agama di dalam pentadbiran rasminya.

Apa pun, tambah Aziz, isu yang dibangkitkan itu bukanlah isu yang penting. Sebaliknya ia boleh memecah-belahkan rakyat khususnya dalam keadaan ada isu-isu lain yang lebih kritikal dan lebih relevan.

"Ini termasuk soal ISA, hak asasi dan hak-hak lain yang penting untuk semua, tak kira mereka Islam atau sebaliknya", tambahnya.

Kata Aziz lagi, peruntukan-peruntukan yang mengkanunkan kedudukan Islam itu tidak membahayakan orang bukan Islam. "Kita harus melihat peruntukan-peruntukan berkenaan dalam konteks sejarah dan realiti negara ini," tegasnya.

Azmi pula berpendapat bahawa menafikan sifat sekular negara ini berbahaya.

"Ini kerana sekiranya Malaysia tidak sekular maka undang-undang dan tindak-tanduk rakyat akan dinilai dari kacamata agama dan ini berbahaya kepada orang bukan Islam", hujahnya lagi.

Malik pula berhujah bahawa ciri sekular negara ini ditekankan oleh penghakiman Tun Salleh Abas dalam kes Che Omar bin Che Soh yang diputuskan pada 1988.

Bagi Shad Faruqi perlembagaan negara mempunyai kedua-dua ciri dan tidak betul untuk mengatakan ia seratus peratus sekular. Selain itu, katanya, ungkapan sekular itu sendiri mempunyai makna yang berbagai-bagai dan semua orang tidak sependapat dalam soal itu.

Diminta mengulas lanjut selepas forum itu Aziz berkata ungkapan sekular mungkin boleh diterima dalam konteks Islam jika kita melihat penggunaan konteks 'urusan dunia' dalam hadith berhubung dengan kes ladang tamar di zaman Rasulullah SAW.

"Dalam hadith itu, baginda menyatakan bahawa sahabat tersebut lebih arif dalam soal-soal yang menjadi bidang kerjanya", katanya.

Aziz berkata perkataan 'sekular' itu berasal dari bahasa asing, khususnya bahasa Latin. Ia mempunyai maksud yang berbagai-bagai dan tak perlulah sesiapa bergaduh kerananya. Apalagi bagi mereka yang tidak faham ungkapan itu dan tak faham pula perlembagaan.

Beliau berkata, Salleh Abas nampak tidak jelas dalam apa yang disebutnya sebagai 'undang-undang sekular' dalam kes 1988 itu tetapi kalau ada orang bukan Islam hendak terus mendakwa perlembagaan ini sekular, itu hak mereka.

"Kalau itu yang mereka nampak apa yang kita hendak sibuk. Biarkan. Bagi saya perlembagaan ini ada sifat lain yang telah pun dibuktikan dengan jelas melalui peruntukan-peruntukannya. Ibarat ada orang yang berperi-peri mengatakan dunia ini rata sedangkan ia adalah bulat. Mengapa perlu kita pedulikan mereka sedangkan ilmu yang kita miliki memberi kita keyakinan bahawa dunia ini bulat?" tegasnya.

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

My brother recommended I might like this web site. He was entirely right.
This post truly made my day. You can not imagine simply how much time I had spent for this info!
Thanks!

Have a look at my website - website

Tanpa Nama berkata...

Everything is very open with a really clear explanation
of the issues. It was definitely informative.
Your website is very useful. Thanks for sharing!

Also visit my page ... cheap car insurance quotes