KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 12, 2012

Utusan busukkan Muslimat PAS untuk balut kecederaan teruk Umno

>> KOMENTAR MUKA BUKU


NAMPAK sangat Umno-BN hilang arah apabila Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim dibebaskan daripada pertuduhan meliwat pembancuh kopi bernama Saiful Bukhari Azlan, 26 tahun.

Lidah tak rasmi Umno, seperti Utusan tidak menampilkan pembebasan itu sebagai berita utama, sebaliknya mencipta berita lain yang dianggap lebih menguntungkan Umno. Itulah feel dan akidahnya dalam memperkasakan parti Melayu yang kian ditendang oleh rakyat.

(Gambar: Dr Mariah mengetuai bacaan Surah Yaasin dan Mathurat pada hari perhimpunan 901 di hadapan Mahkamah Tinggi)

"Apalah 'kesilapan' yang sedikit ini dibandingkan dengan dosa rasuah, penyelewengan, kezaliman, penolakan hukum hudud yang dilakukan pimpinan Umno-BN serta Fitnah I dan Fitnah II terhadap Anwar?" soal Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siri Mariah Mahmud.

Memang betul, berbanding dosa-dosa Umno yang "akhbar" dilakukan mereka selama 54 tahun ini, persepsi buruk cuba dialihkan Utusan untuk menggilap semula imej parti Melayu yang kian cedera parah itu, sebagai "pendinding" kepada libasan maut Mahkamah Tinggi yang membebaskan Anwar.

Barangkali juak-juak dan pencacai Umno sudah amat bersedia untuk merakamkan aksi-aksi sedemikian dengan niat untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat. 

Saya akui, mereka cekap untuk melaksanakan niat jahat itu, demi memulihkan sokongan rakyat terutamanya orang-orang Melayu terhadap Umno.

Utusan Malaysia hanya memainkan tugas itu. Menghebahkan gambar dari rakaman YouTube kegembiraan sebahagian Muslimat PAS, Wanita Keadilan dan penyokong Pakatan selepas pengumuman pembebasan Anwar Ibrahim dengan memilih "mempertikaikan" akhlak Muslimat PAS.

Jika ia dilakukan oleh wanita Umno atau Puteri Umno, sudah tentulah ia bukan menjadi isu. Pernah dalam Pilihan Raya Kecil Permatang Pauh sewaktu Anwar bertanding, pelbagai aksi lucah, tunggeng punggung, isyarat jari dilancarkan pemuda dan puteri yang berpakaian rasmi mereka terhadap para penyokong Pakatan Rakyat, sewaktu hari penamaan calon.

Dan memang tiada siapa hairan, jika aksi itu dilakukan oleh Umno dan para pencacainya. Itulah kerja mereka seperti yang digambarkan oleh lidah tak rasminya Utusan, dalam memburuk-burukkan pihak lain.

Dr Mariah memberitahu, kegembiraan yang dizahirkan secara nyanyian beramai-ramai dan senikata yang dialun secara spontan telah menaikkan kemarahan penyokong Umno dan BN. Ini membuka peluang mereka untuk membina persepsi negatif terhadap PAS dan Muslimatnya.

Setelah gagal Fitnah II, agaknya mereka gian untuk meneruskan siri-siri fitnah yang baharu. Dan sudah tentulah, fitnah mereka bersifat eksklusif dan kolar putih dengan bantuan media konservatif yang tidak lagi menjadi arus perdana.

Isu akhlak diputar kerana Umno tahu, PAS mementingkan akhlak. Oleh kerana Anwar sering dikaitkan dengan isu-isu Islam dan dianggap tokoh Islam moderet, maka mahu tak mahu fitnah liwat dikemukakan bagi merudumkan nilai akhlaknya.

Ini menjadi pegangan orang-orang Melayu. Memainkan isu akhlak amat berkesan untuk menjatuhkan seorang imam, tok bilal, mahupun kerjaya yang lebih besar dari itu. 

Malah kalau ada ketua-ketua cawangan PAS yang terpalit dengan isu akhlak, maka "pencenlah" dia daripada terus aktif. Apatah lagi, jika ia melibatkan pimpinan peringkat negeri dan Pusat.

Bagi saya, inilah yang sedang diputar oleh Umno. Ia merupakan kesinambungan usaha jijik mereka untuk mencederakan tubuh PAS dengan menggambarkan akhlak muslimatnya buruk, hodoh dan busuk.

Apa yang terang lagi bersuluh, rakaman itu sebenarnya hendak ditujukan Utusan yang tok dalangnya Umno, kepada ahli-ahli PAS dan para penyokong parti Islam itu, yang tidak hadir pada Kempen Bebaskan Anwar 901.  

Dengan melihat rakaman tersebut secara di luar konteks peristiwa, maka akan menimbulkan rasa amarah yang membara terhadap muka-muka muslimat yang terbabit. 

Melalui laporan itu, Utusan mengimpikan Muslimat PAS berantakan sesama sendiri dengan harapan yang begitu tinggi akan mengundang Dewan Ulama PAS membidas, atau mana-mana tokoh ulama menyelar 'kesilapan' itu. 

Ini sudah tentu akan memudaratkan PAS dan Utusan boleh menyambut dan mensensasikannya.

(Gambar: Muslimat PAS mengadakan sujud syukur sebaik keputusna pembebasan Anwar diumumkan).

Ketika hiruk-pikuk isu pemecatan Hassan Ali menyelinap dalam PAS, dari atas hingga ke bawah, persepsi buruk akhlak muslimat ini dilihat sengaja diatur oleh Utusan untuk menunjuk dan menimbulkan rasa resah sebahagian penyokong PAS yang sekarang dipasak dengan idea-idea bernas Umno, kononnya PAS telah lari dari perjuangan asal.

Di kalangan ahli-ahli PAS, tidak kurang juga yang memamah persepsi buruk seperti yang disebut oleh Hassan Ali itu. Malah sejak 2008, konsep tahaluf siasi yang diperkenalkan oleh PAS untuk bekerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat sudah dilagang Umno sebagai meniru BN.

Lebih ekstrem dan dilihat terkesan apabila Umno memutarkan filem "kuda tunggangan DAP" bagi mengiyakan kepada umum, tentulah terutamanya kepada ahli-ahli PAS bahawa parti itu sudah tergelincir daripada landasan sebenar dengan hujah membuang perkataan "Negara Islam" dan menggantikannya dengan "Negara Berkebajikan".

"Kami menduga ianya akan memberi persepsi negatif terhadap muslimat PAS. Kepada mereka yang mungkin tidak pernah turun ke jalan raya untuk demonstrasi dan tidak mungkin memahami perasaan mereka yang sentiasa berhadapan dengan kezaliman pihak berkuasa, biasa disembur dengan gas pemedih mata dan air beracun," kata Dr Mariah.

Apa yang tidak "kenanya" dengan gelagat muslimat PAS pada hari itu? Mereka antara "kaki demo" yang berani, cekal dan keras hati. Sudah tentulah, dalam keadaan himpunan aman begitu, dan ditokok pula keputusan Mahkamah Tinggi yang tidak terduga, mengundang rasa gembira yang amat sangat.

Mereka menterjemahkan unjuk rasa, perasaan gembira yang tidak terkata. Tidak kurang juga wanita dan muslimat yang melinangkan air mata atas keputusan itu. 

Jika himpunan dan demontrasi lain, mereka berfikir dan berfikir untuk berdepan dengan corta FRU, pancutan air asid dan asap bom pemedih mata. 

Berfikir untuk melangkah kaki, menyelamatkan diri. Hari itu, semuanya tiada. Dalam kepala hanya ada satu, Anwar akan di penjara. Tiba-tiba, sebaliknya terjadi.

Sesiapa yang ada bersama pada 9 Januari 2012 itu, mereka tahu sebahagian Muslimat PAS dan wanita yang hadir telah berhimpun di satu sudut tempat berhimpun untuk bermunajat kepada Allah SWT, membaca Yaasin, Ma’thurat dan salawat untuk membebaskan Anwar.

Sebaik sahaja muslimat habis membaca Yaasin, pengumuman pembebasan Anwar diumumkan. Bukankah ini satu kegembiraan buat pejuang keadilan dan kebenaran di mana-mana pun?

Saya melihat, sebahagian muslimat telah mengadakan sujud syukur sebaik sahaja keputusan diketahui di tempat perhimpunan.

Semasa mereka bergerak keluar daripada tempat parkir menuju ke Masjid Wilayah Persekutuan mereka berselawat beramai-ramai tetapi ini semua tentulah tidak pula dipaparkan ke dalam YouTube, kerana ia bertentangan dengan niat jahat dan agenda Umno.

Walhal, selepas berselawat beramai-ramai itu, barulah mereka menyanyikan lagu reformasi dengan spontan sekitar 10 ke 15 minit.

Bayangkan, semua mereka hadir dari sebelum Subuh, bimbang datang lambat akan dihalau atau dihalang masuk ke lokasi, maka sudah tentulah sesiapapun akan terlalu gembira dengan pembebasan Anwar itu.

Dr Mariah mengakui, tidak ada percampuran dengan lelaki dan perempuan, tidak ada pendedahan aurat, tidak ada lenggang- lengguk yang menggiurkan, intonasi suara bukan intonasi yang jatuh kepada haram, dan perkataan yang digunakan tidaklah lucah seperti yang lazim dilakukan oleh wanita, puteri dan pemuda Umno sewaktu mengejek penyokong Pakatan Rakyat.

"Kalau kita singkap sirah Rasulullah saw, apabila Nabi s.a.w. sampai di Madinah baginda di sambut oleh muslimat dengan nanyian dan rebana untuk menzahirkan kegembiraan," kata Ahli Parlimen Kota Raja yang mengutip majoriti undi paling besar dalam PRU-12 yang lalu.

Melodi yang dimainkan, adalah melodi sering dimainkan oleh pancaragam sekolah yang digunakan ianya melodi nyanyian reformasi yang selama ini digunakan oleh anak muda semasa berdemo.

Mungkin barangkali yang kasar dan menyakitkan hati juak-juak Umno ialah slogan "Mampus Umno". Walhal slogan ini sudah amat intim dan popular di kalangan Pakatan Rakyat sejak pemecatan Anwar daripada Umno lagi, tahun 1998.

Malah jika dilihat, budaya wanita Timur Tengah pun begitu. Mereka akan bertepuk-tepuk dan mengangkat-angkat tangan sambil bernyanyi, sebagai tanda menunjuk rasa kegembiraan. Malah mereka lebih jauh kehadapan dalam menyatakan tentangan terhadap kebobrokkan pemerintah, dan beraksi atas jalanraya.

Jelas Dr Mariah: "Saya pernah bersama dengan Gerakan Islam Wanita di peringkat antarabangsa, Sudan, Indonesia, Algeria , Mesir dan lain-lain negara Islam yang lebih bersemangat dalam menyanyikan lagu-lagi jihad."

"Hanya orang yang tidak mendalami hukum sahaja yang membangkitkan isu suara wanita itu aurat pada ketika ini," ujarnya lagi.

Saya bersetuju dengan Dewan Muslimat PAS Pusat, bahawa apa yang berlaku bukan satu kesalahan dan dosa, dan ia juga bukan kayu ukur akhlak dan moral muslimat. Ia cuma diambil kesempatan oleh Umno untuk membungkus kelemahan parti itu yang kian membusuk, apabila Anwar terlepas bebas.

Namun, tindakan Muslimat PAS memohon maaf kepada sesiapa yag tersinggung dengan episod itu, amat terpuji. Walaupun pada pandangan saya, apa yang terjadi hanyalah kejutan budaya, event baharu yang selama ini dilihat bukan satu budaya dan trend muslimat.

Kalau ada yang terasa, mungkin kerana mereka tidak tahu konteks sebenar peristiwa. Kalau masih juga sakit hati, mungkin kerana mereka gagal membezakan persepsi Utusan yang berniat jahat itu atau kerana mereka memang pembaca Utusan tegar. 

Apapun, perangkap bukanlah sesuatu yang dapat dilihat. Jika dapat ditenung, bukanlah perangkap namanya. Pada masa depan, Muslimat PAS patut lebih berhati-hati dengan perangkap Umno-BN, agar tiada wajah gembira boleh dilukis secara buruk dengan warna-warna hitam dan gelap, bagi menghodohkan Muslimat dan mencederakan PAS. 

Kepada Ketua Muslimat, Siti Zailah Mohd Yusof; Timbalannya, Dr Mariah Mahmood; Ketua Penerangan, Aiman Athirah Al-Jundi, beberapa Exco yang dilihat hadir, Ustazah Nuridah Salleh dan Cikgu Normala Sudirman serta aktivis muslimat, diucapkan tahniah dan selamat berjuang!

4 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

DOSA tetap DOSA...mana mungkin APA saja dibuat UMNO rasmi atau tak rasmi semua DOSA belaka sedangkan APA SAHAJA PAS buat semua betul belaka?

Tanpa Nama berkata...

Tang mana DOSA nya tu?

Dahan Jati berkata...

Muslimat PAS nampak lebih mengagungkan Anwar berbanding pemimpin PAS sendiri, lebih baik tukar menjadi ahli PKR. Nampak sangat ,taasub, sampai sujud syukur. Ini menunjukkan PAS sudah dibayangi PKR, walaupun ahli PAS yang ramai datang tu..

Tanpa Nama berkata...

Lots of folks are experiencing this dilemma on the first launch of Or WINDOWS 7.



Also visit my homepage Installous iOS 7 (http://minecraftminigamesonline.com)