KLIK JOM FOLO DI SINI

Jumaat, Januari 20, 2012

Apa strategi Mustafa Mohamad mahu jatuhkan Kerajaan PAS Kelantan dalam PRU-13?

MINDA SAFAR JUMAAT


Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Dato' Seri Mustapa Mohamed mengesahkan dia sudah mempunyai senarai lengkap bakal calon-calon BN (Umno) yang akan bertanding dalam PRU-13 akan datang.

Menjawab pertanyaan wartawan, kata Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, di peringkat negeri, tugasnya sudah selesai tetapi terserahlah kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN untuk bersetuju atau sebaliknya dengan senarai yang dihantar.

Berlawanan dengan apa yang Mustapa katakan itu, dalam masa yang sama dia memaklumkan belum bertemu dengan semua bahagian dalam usahanya mengenal pasti calon-calon yang berpotensi dipilih dan seterusnya boleh memberi saingan kepada calon-calon Pakatan Rakyat (PR) dalam PRU-13 nanti.

BN (baca Umno) sebenarnya sudah lama terliur dan mengidam mahu kembali berkuasa di Kelantan. Ini bukan sesuatu yang menjadi rahsia dan macam-macam formula mereka sudah mencubanya, namun rakyat Kelantan tetap menolak BN apabila tiba masanya.

Memetik kata seorang cendikiawan di sebuah menara gading di Malaysia, kematangan rakyat Kelantan di dalam memilih parti mana yang sepatutnya memerintah Negeri Kelantan, memang tidak boleh dipersoalkan.

Apa tidaknya, ketika Angkatan Perpaduan Ummah (APU) dahulu, rakyat Kelantan yang didakwa oleh pemimpin BN sebagai bergelut dengan kemiskinan boleh memilih lambang Semangat 46 dan APU – seterusnya menolak lambang dacing.

Selepas itu, mereka boleh memilih KeADIlan walaupun lambang ini cukup baru bagi mereka jika dibandingkan dengan lambang neraca yang memenuhi jalan-jalan dan tiang lampu di merata tempat.

Atas sebab itu, keunikan orang Kelantan memilih parti mana yang hendak mereka jadikan kerajaan memang luar biasa. Bukan sedikit propaganda yang Umno-BN lakukan demi memburuk-burukkan PAS dan sekutunya, KeADILan tetapi bila tiba saat pilihan raya, orang Kelantan membuktikan duit ringgit bukan alasan mengapa mereka perlu memilih BN.

Hari ini, apabila Menteri Besar (MB) Kelantan, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat mengumumkan hasratnya mahu bertanding lagi dalam PRU-13, Mustapa dan timbalannya Dato' Dr Awang Adik Hussein antara orang Kelantan yang paling rimas dan risau.

Mana mungkin mereka mampu menandingi pengaruh Tuan Guru Menteri Besar yang jelas selama 21 tahun mentadbir Kelantan, tidak kedengaran ada menerima sumbangan berjumlah RM100,000 dimasukkan ke dalam akaun peribadinya untuk diberi kepada rakyat di kawasan pilihan raya yang diwakilinya.

Orang Kelantan sudah ditawarkan dengan nama Mustapa sebagai bakal MB Kelantan jika BN menang, tetapi rakyat Kelantan menolak. Kemudian, rakyat Kelantan ditawarkan dengan Dr Awang Adik Hussein sebagai MB Kelantan jika BN menang, pun rakyat Kelantan menolak dengan mengalahkan BN dalam pilihan raya.

Hari ini, untuk menghadapi PRU-13, apakah lagi tawaran yang bakal ditawarkan oleh BN kepada orang Kelantan? Apakah Tan Sri Annuar Musa bakal ditawarkan bakal menjadi MB Kelantan? Atau Dato' Alwi Che Ahmad atau ada nama-nama baru?

Memang ada orang Umno di Kelantan yang menang pilihan raya tetapi mereka tidak sempat mengangkat sumpah sebagai MB kerana kemenangan BN tidak mencukupi untuk mereka menubuhkan kerajaan. Kenapa Umno beriya-iya sangat mahu merampas kembali Kelantan dari tangan PAS dan Pakatan Rakyat? Tentulah ada sebabnya. Kelantan terlepas dari tangan BN (Umno) dalam era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri dan Pengerusi BN.

Dr. Mahathir sendiri berhempas pulas mahu merampas kembali Kelantan. Beliau sendiri pernah melantik dirinya menjadi Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Kelantan. Namun, ia tidak memberi apa-apa kesan. Kemudian Dr Mahathir melantik Tengku Razaleigh Hamzah yang dikatakan masih dihormati rakyat Kelantan, namun keputusan pilihan raya tidak membuktikan apa yang diperkatakan itu.

Mustapa dan Annuar juga pernah dilantik memegang jawatan penting dalam Umno Kelantan, pun mereka tidak mendapat sokongan rakyat Kelantan. Kini, selepas Tun Abdullah Ahmad Badawi juga gagal berbuat sesuatu  dalam usaha merampas kembali Kelantan, kini Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak pula memberi mandat kepada Mustapa untuk membuktikan sesuatu.

Utusan Malaysia, akhbar arus perdana yang dikaitkan dengan 'akhbar Umno' berusaha memburuk-burukkan kepimpinan Tuan Guru MB Kelantan. Harapan mereka agar rakyat Kelantan kali ini menolak PAS dan Pakatan Rakyat dengan isu-isu seperti bekalan air kotor, pembangunan yang tidak boleh dibanggakan dan masjid yang tidak banyak dibina oleh Kerajaan Negeri Kelantan.

Jika laporan Utusan Malaysia boleh diambil kira, esok jika ada pilihan raya, memang rakyat Kelantan akan menolak PAS dan Pakatan Rakyat. Malangnya, walaupun orang Kelantan membaca Utusan Malaysia tetapi mereka tidak mempercayainya.

Kelebihan yang PAS ada ialah, parti itu boleh letakkan sesiapa sahaja yang mereka mahu, walaupun bukan anak Kelantan bertanding di Kelantan. Apakah Umno boleh melakukannya? Jawapannya tentulah tidak boleh.

Inilah yang menakutkan Umno. Mereka letakkan calon anak tempatan tetapi tidak boleh menang. Mereka letakkan calon yang berkelulusan tinggi, juga tidak boleh menang. Mereka sudah mencuba segala-galanya, hingga mereka kini terfikir, letaklah sesiapa sahaja dan terserah kepada nasib sama ada menang atau kalah.

Apa lagi yang Umno mahu gunakan untuk dijadikan isu menentang PAS di Kelantan? Jawapannya mudah. Umno sudah ketandusan isu dan Umno sudah kering modal. Yang boleh, mereka hanya memasang angan-angan mahu berkuasa dan menjanjikan bulan dan bintang kepada rakyat Kelantan, jika BN menang dan berkuasa semula di Kelantan.

Bayangkan, dalam Umno Bahagian Pasir Puteh, terdapat 31 calon yang mendakwa mereka layak menjadi calon di lima kawasan pilihan raya. Apakah mereka gila atau sasau? Ketika semua kawasan-kawasan itu dimenangi PAS, mereka bergaduh sama sendiri untuk menawarkan diri menjadi calon.

Itu sekadar satu contoh. Belum lagi di kawasan Tumpat, Tanah Merah dan Rantau Panjang. Masing-masing berangan-angan mahu bertanding dan mahu dipilih menjadi calon BN. 

Tiada ulasan: