KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Januari 19, 2012

Sokong syor Dinsman beri gelaran Sasterawan Rakyat berserta saguhati RM60,000 kepada Azizi Abdullah

PERJUANGAN TEGAR

Cadangan sekumpulan budayawan agar negeri-negeri Pakatan Rakyat menganugerahkan gelaran Sasterawan Rakyat kepada Allahyarham Azizi Abdullah berserta wang tunai RM60,000 turut dipersetujui penulis dan aktivis politik. 

Exco Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat menyambut baik cadangan itu bagaimanapun penganugerahan tersebut bukan hanya kepada Azizi Abdullah sebaliknya kepada sasterawan-sasterawan yang berjasa kepada negara.

Jelasnya, anugerah Sasterawan Rakyat kepada Allahyarham Azizi  sebagai permulaan dan boleh di ketengahkan kepada individu lain yang berhak.

"Kita perlu ada satu panel dalam Pakatan Rakyat yang melihat sumbangan para sasterawan untuk diberikan anugerah kepada mereka yang difikir layak menerimanya," katanya kepada Harakah.

Penulis, Ainon Mohd menyokong cadangan itu kerana karya Azizi memang bermutu tinggi. Beliau mengagumi karya Azizi yang menyuarakan hati sanubari rakyat dalam masa yang sama Allahyarham menjadi jurucakap isu-isu rakyat.

"Allahyarham jadi orangnya sendiri, karyanya sendiri, dan juga watak dalam karya memang rakyat. Dalam karya beliau memang merakamkan hati sanubari dan cerita rakyat orang yang tertindas dan isu-isu kemasyarakatan yang melibatkan rakyat marhain," katanya. 

Sementara itu, penulis Faisal Tehrani turut bersetuju dengan usaha itu walaupun ia bersifat politik dalam masa yang sama ia menyaingi apa yang kerajaan persekutuan lakukan.

Tambahnya, memberi penghargaan dan anugerah untuk seniman bukan hak satu pihak, jadi sesiapa sahaja yang hendak menghargai seniman boleh melakukan perkara sama seperti Kerajaan Persekutuan.

"Siapa sahaja boleh menghargai dengan apa cara... selama ini sudah pun banyak anugerah dan tidak ada salah pun kerajaan Pakatan Rakyat menganugerahkan kepada mana-mana individu," katanya.

Beliau juga berpendapat penganugerahan itu tidak hanya sekali sahaja malah ia perlu konsisten di samping ada usaha-usaha giat untuk mengupas karya-karya Allahyarham yang berpihak kepada rakyat.

"Kita kena ambil kira jangan hanya sekali. Maknanya nanti kalau satu kali apa hasilnya? Kena ada usaha-usaha mengupas karya-karya beliau," katanya.

Baru-baru ini, Presiden Seniman Paksi Rakyat, Che Shamsuddin Othman atau Dinsman ketika berucap di  Konvensyen Pakatan Rakyat yang berlangsung di Kedah, mencadangkan keempat-empat kerajaan negeri Pakatan Rakyat menyumbang RM60,000 dan memberi gelaran Sasterawan Rakyat kepada Allahyarham Azizi Abdullah.

Tiada ulasan: