KLIK JOM FOLO DI SINI

Rabu, Mac 23, 2011

Anwar dakwa Najib, Rosmah terlibat mencatur kes liwat



Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim mendakwa pengendalian kes dicaturkan oleh pihak tertentu melibatkan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat Saiful Bukhari Azlan dan dirinya.

"Asas yang disebut oleh pendakwa, jelas bertindak bagi pihak tuan-tuan dan puan mereka kerana ternyata Najib dan Rosmah terlibat dari awal," katanya kepada pemberita pada satu sidang media di bangunan Parlimen baru-baru ini.

Malah, Anwar mempertikaikan tindakan pihak siasatan yang tidak melakukan tindakan yang sama mengambil DNA daripada dua kes yang telah dimaklumkan sebelum ini iaitu melibatkan dua pemimpin utama kabinet.

"Kenapa tidak tuntut daripada Najib memberikan DNA dalam pembunuhan Altantuya? Kenapa tidak minta DNA dari Rais Yatim dalam kes rogol pembantu rumah Indonesia?" ujarnya ketika ditanya alasan terhadap desakan kumpulan demonstrasi yang mahu beliau menyerahkan DNA dalam kes liwat membabitkan dirinya dan bekas pembantu peribadinya, Saiful Bukhari.

Pada masa yang sama, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh juga membidas institusi kehakiman dan penyiasatan kes liwat beliau yang dirasakan tidak munasabah. Ketika menjawab soalan pemberita pada sidang media di Bangunan Parlimen baru-baru ini, beliau mempertikaikan mekanisme penyimpanan DNA yang dilakukan pihak penyiasatan yang diragui.

"Bagaimana mungkin air mani yang disimpan dalam almari daripada tarikh kejadian masih boleh digunakan tanpa memasukkannya ke dalam freezer (peti ais). Ia boleh jadi berubah bentuk dan struktur sekaligus menjejaskan rupa asal DNA itu.

"Ini semua tidak masuk akal," tegasnya.

Sementara itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut menyelar tindakan penghakiman dalam kes tersebut yang disifatkan sebagai kes politik."Ia merupakan satu kes yang bersifat politik dalam menghadapi Pilihan Raya Umum akan datang," katanya.

Pada sidang media yang sama, Anwar turut memaklumkan bahawa Pakatan rakyat telah bersetuju untuk menghantar satu rombongan menemui dua Menteri Besar negeri Pakatan Rakyat iaitu Kedah dan Kelantan bagi membincangkan isu loteri dan judi.

"Kita telah bersetuju untuk menghantar satu rombongan pimpinan Pakatan Rakyat iaitu Tian Chua, Anthony Loke Siew Fah, Dato' Mustapa Ali dan beberapa orang yang lain berjumpa dengan kedua-dua MB ini bagi membincangkan perlaksanaan undang-undang ke atas dua perkara tersebut.

"Ia akan diadakan dalam tempoh terdekat ini," katanya lagi.

Tiada ulasan: