PAS Kawasan Kubang Kerian Sabtu lalu sebulat suara mencalonkan Mohamad Sabu bertanding jawatan Timbalan Presiden pada Muktamar PAS Ke 58 ini

Mesyuarat kawasan itu Sabtu lalu sebulat suara mencalonkan Mohamad bertanding jawatan berkenaan. Jawatan tersebut kini disandang oleh ahli parlimen Bachok Nasharuddin Mat Isa, lapor Malaysiakini.
Mohamad memerlukan satu lagi pencalonan untuk layak jawatan tersebut dalam muktamar PAS Jun ini. Bagi jawatan presiden, naib presiden dan jawatankuasa pusat, mesyuarat tersebut menyerahkan kepada jawatankuasa kawasan untuk memilih calonnya.
Malaysiakini difahamkan sudah terdapat pertemuan di kalangan pemimpin tertentu yang berusaha memberi laluan kepada Mohamad yang juga timbalan pesuruhjaya PAS Pulau Pinang bertanding kali kedua merebut jawatan berkenaan.
Malah, menurut sumber, sudah ada kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur membuat keputusan mencalonkan Mohamad merebut 'kerusi panas' itu. Ibu pejabat parti Islam itu menetapkan tarikh mesyuarat agung dan pemilihan bagi 179 kawasannya bermula semalam hingga 10 Mei ini.

Selepas pengumuman itu, Mohamad tidak menolak kekalahannya mungkin disebabkan pepecahan undi dengan penyokong Husam. Kali ini, Mohamad dilihat yakin dan bersedia apabila dalam masa dua minggu lagi, beliau akan mengumumkan pendirian sama ada bertanding ataupun tidak bagi jawatan berkenaan.
Umum awal April
Ditanya Malaysiakini mengenai masa yang sesuai untuk beliau mengumumkan pendiriannya, Mohamad berkata: "Tengok awal bulan April ini. Tak lama dah... Awal bulan April, telefon semula," katanya sambil memberitahu perlu mendapatkan maklum balas rakan-rakannya terlebih dahulu.

Dalam masa yang sama, Nasharuddin sebagai penyandang kerusi itu kini dikatakan tidak akan mempertahankan jawatan itu manakala sumber mendakwa Husam pula akan memberikan laluan kepada Mohamad.
Kedua-dua mereka bagaimanapun setakat ini belum membuat sebarang kenyataan rasmi berhubung pendirian mereka. Mohamad dikatakan antara pemimpin yang cenderung anti kepada idea kerajaan perpaduan yang dikaitkan dengan Nasharuddin dan presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Berdasarkan peraturan parti, setiap calon perlu mendapat sekurang-kurangnya dua pencalonan di peringkat kawasan bagi melayakkan bertanding dalam mana-mana jawatan dalam parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan