KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 14, 2011

Najib sedang 'dorong' rakyat demontrasi jalan raya - Mohamad Sabu



Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mesti segera melaksanakan tuntutan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) jika tidak mahu mengundang rakyat turun berdemonstrasi di jalan raya. Pengerusi Jawatankuasa Demokrasi dan Mobilisasi PAS Pusat, Mohamad Sabu menegaskan perkara ini pada sidang akhbar di Pejabat Agung PAS bagi menyatakan sokongan parti itu terhadap tuntutan Bersih.

Katanya, secara keseluruhannya kerajaan dibawah pimpinan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Razak sedang mengundang, mengajak dan mendorong rakyat ke jalan raya. Ini kerana proses pilihan raya yang dilaksanakan dalam negara semakin tidak demokratik, ujarnya.

"Sebab itulah katanya sesetengah penulis blog meletakkan bahawa cara pilihan raya di Malaysia lebih kurang sama dengan Mesir dibawah regim Hosni Mubarak," tegas bekas Naib Presiden PAS itu.

Turut hadir pada sidang akhbar itu Bendahari PAS Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli; Ahli Jawatan Kuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ir Mohamad Nizar Jamaludin; Dr Dzulkifly Ahmad; Dr Syed Azman Syed Nawawi dan bekas calon PAS Dun Merlimau, Yuhaizat Abdullah.

Kata Mohamad, PAS mahukan pilihan raya yang adil dan kerana itulah PAS menyokong tuntutan Bersih itu. Beberapa perkara yang dituntut oleh Bersih termasuklah menggunakan dakwat kekal, memansuhkan undi pos, membersih dan mengemaskini daftar pemilih bagi mengelak pengundi hantu, liputan sama rata terhadap pembangkang dalam media perdana, tempoh berkempen sekurang-kurangnya 21 hari dan persempadanan semula mengikut tata cara SPR selepas merdeka sebelum pindaan.

Menurut beliau, jika Bersih membuat keputusan mahu mengadakan himpunan aman, PAS akan menyokong tetapi jika tidak PAS akan menilainya.

"Kita akan menunggu laporan daripada pimpinan PAS yang menganggotai Bersih," katanya.

Mohamad membidas sikap Pengerusi SPR dalam kenyataannya di sebuah akhbar perdana yang mahu tempoh kempen pada pilihan raya di Sarawak perlu dipendekkan kerana ditakuti pembangkang akan membuat provokasi.

"Ini adalah kenyataan yang berat sebelah. Jadi SPR sekarang telah menjadi penonton pilihan raya dan bukan lagi pengendali pilihan raya. Inilah yang perlu diperbetulkan kerana jika tidak, mereka inilah yang mengundang peristiwa Mesir ke Malaysia. SPR sepatutnya ambil tindakan dengan kenyataan yang melampau itu," tegasnya.

Ketika ditanya SPR mahu memendekkan tempoh berkempen pilihan raya di Sarawak, Mohamad berkata beliau menentang idea itu.

"Kami daripada mobilasi demokrasi menegaskan, tidak setuju sama sekali kalau kempen pilihan raya di Sarawak ditetapkan tujuh hari. Tempoh kempen mestilah sekurang-kurangnya 21 hari atau masa yang agak manusabah," katanya. 

Katanya tempoh berkempen tujuh hari di Sarawak adalah sesuatu yang tidak masuk akal kerana ia adalah negeri yang luas dan ada Dun sama besarnya dengan Melaka atau Perlis. Dakwanya, SPR ingin memberi kelebihan kepada BN yang mempunyai helikopter dan bot yang banyak untuk mereka sampai ke sesuatu tempat yang sukar seperti di luar bandar ketika berkempen.

Beliau yang juga AJK PAS Pusat menegaskan berlaku ketidakadilan kepada parti yang bertanding terutamanya mereka yang tidak mempunyai kewangan yang banyak dan terpaksa memikirkan bagaimana hendak bergerak dalam masa tujuh hari.

"Memandangkan bentuk muka bumi yang sebegitu rupa, termasuk taburan penduduk dan jika dibuat tujuh hari ini satu 'perogolan' terhadap demokrasi di Malaysia," jelas  bekas Ahli Parlimen Kuala Kedah itu.

SPR menurut Mohamad dilihat tidak lagi pengadil tetapi telah menjadi sebahagian daripada alat BN.

"PAS juga akan menjadikan pilihan raya di Sarawak untuk menilai perjalanannya dan menentukan bentuk respon mereka. Jika terdapat penggunaan jentera kerajaan di Sarawak ia akan menjadi dorongan kepada PAS untuk bertindak bagi membetulkannya," ujarnya.

Tiada ulasan: