KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 14, 2011

Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan: Berhati-hati dengan mainan licik BN di Kg Baru



Kampung Baru sebenarnya sudah lama wujud. Kampung Baru bukan kampung yang baru diwujudkan, walaupun cerita mahu membangunkan kampung di tengah-tengah ibukota ini baru sekarang kedengaran. Maka, Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru mahu dibentangkan di Parlimen – untuk memberi kuasa kepada Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar mempunyai kuasa besar terhadap pembangunan ini.

Kenapa sekarang Umno nampak peri mustahaknya Kampung Baru dibangunkan? Apakah sebelum ini, sebelum PAS menang kerusi Parlimen Titiwangsa, di mana Kampung Baru terletak di sini, Kampung Baru mahu dikekalkan sebegitu rupa.

Tetapi selepas PRU 12 yang lalu, apabila buat pertama kalinya PASmenang kerusi Parlimen Titiwangsa, melalui wakilnya, Dr. Lo’ Lo’ Mohd Ghazali, Umno nampak peri pentingnya kampung ini dibangunkan dan perlu ada Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2010.

Sekali imbas, ia seperti sesuatu yang melucukan. Sebelum ini, wakil rakyat kerusi Parlimen di sini, bermula dari Parlimen Setapak, melalui wakilnya Allahyarham Dato' Idris Ibrahim, Allahyarham Dato' Idris Basri dan bila bertukar kepada Parlimen Titiwangsa, ia diwakili berpenggal-penggal Dato' Seri Dr. Suleiman Mohamed, Umno tidak pernah serius mahu membangunkan Kampung Baru.

Kalau ada pun yang bercakap soal pembangunan Kampung Baru, ia seperti bermusim. Kemudian, bila beralih bulan, cakap-cakap itu menjadi semakin sejuk dan Kampung Baru terus didilupakan.

Tiba-tiba, selepas Umno tidak lagi mewakili kawasan ini, maka mereka sibuk mahu membincangkan soal Kampung Baru. Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak juga dilihat kerap ke Kampung Baru, bukan untuk membeli juadah berbuka puasa tetapi kerana ada program memberi sumbangan kepada Masjid Jamek Kampung Baru.

Dan menteri yang bertanggungjawab, Dato' Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin, juga semakin kerap mengaturkan pelbagai perjumpaan dengan NGO dan orang perseorangan, khusus mahu bercakap hal Kampung Baru.

Mereka semua, beria-ia sangat. Macam-macam idea dilontarkan termasuklah kononnya mahu membawa pelabur dari Timur Tengah melaburkan di dalam pembangunan Kampung Baru. Dalam masa yang sama, kerisauan tuanpunya tanah di Kampung Baru masih belum terjawab kerana mereka takut, Kampung Baru akan tergadai dek kerana mengejar pembangunan.

Cuma, orang Kampung Baru berasa lega kerana geran tanah Kampung Baru terjamin dari segi hak Melayu atas kuasa Sultan Selangor. Ini jelas dan ini juga dikatakan menjadi penghalang kepada pelaburan luar masuk.

Kuntau sana kuntau sini, tuan punya tanah dan pewaris mereka harus berhati-hati dengan cadangan pembentangan Rang Undang-Undang Perbadanan Pembangunan Kampung Baru ini kerana, jangan menyesal selepas segala-galanya hilang! 

Walau apa pun niatnya, yang akan melaksanakan ialah manusia. 
Pegawai-pegawai itu – adalah mereka yang terdedah kepada penyelewengan. Jika tidak berhati-hati, angkara mereka yang pandai dan berpelajaran di Kementerian Wilayah dan Kesejahteraan Bandar itu, akhirnya pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru akan menangis mengenangkan nasib mereka yang teraniaya.

Memang betul, pembangunan tidak boleh dihalang. Ia akan berlaku sama ada kita suka atau tidak. Lihat sahaja apa yang sudah berlaku di sekeliling Kampung Baru, disebabkan pembangunan begitu pesat, menjadikan Kampung Baru di Kuala Lumpur ibarat penempatan setinggan yang cukup menjijikkan.

Itulah sebabnya, rata-rata yang mengikuti perkembangan ini hairan, jika benar-benar Kampung Baru mahu dibangunkan, sebenarnya dalam era kepimpinan Tun Dr. Mahathir Mohamad, ia boleh dilakukan.

Bayangkan, KLIA tidak ada, boleh diadakan oleh Dr. Mahathir Mahathir. KLCC yang tidak tergambar difikiran, boleh dibangunkan di era Dr. Mahathir. 

Belum lagi disebut Putrajaya, Cyberjaya dan banyak lagi, tetapi yang menghairankan Dr. Mahathir tidak terfikir untuk membangunkan Kampung Baru.

Kalau pun beliau terfikir, kenapa beliau gagal membangunkan Kampung Baru, ketika itu sekejap wujud jawatan Menteri Wilayah Persekutuan dan sekejap tidak wujud dan dinamakan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri – tetapi Kampung Baru begitulah, seperti apa yang kita lihat hari ini.

Umno begitu berminat untuk melihat Kampung Baru membangun. Menteri yang bertanggungjawab, Raja Nong Chik dilihat sanggup meninggalkan pembangunan di Lembah Pantai, kawasan yang Umnonya dia menjadi ketua, demi melihat Kampung Baru dibangunkan.

Raja Nong Chik yang pernah tewas sekali ketika mempertahankan kerusi Ketua Umno Bahagian Lembah Pantai di tangan Dato' Shahrizat Abd Jalil, kini kembali memenangi kerusi itu, tetapi apakah dia dipilih bertanding mewakili BN di kerusi Parlimen Lembah Pantai, tiada siapa yang mampu mengesahkannya.

Sepatutnya, Raja Nong memberi fokus yang lebih kepada kawasannya sendiri, termasuk memperindahkan lagi Little India di Brickfield daripada terlalu banyak bercakap soal pembangunan Kampung Baru.

Kampung Baru perlu dibangunkan dan pewaris tanah di Kampung Baru tentunya bersedia menghadapi pembangunan tersebut, dengan syarat Umno jangan terlalu sibuk untuk menjadi hero dalam soal  membangunkan Kampung Baru.

Tidak ada sejarah, pembangunan yang dilaksanakan oleh mereka yang bergelumang dalam Umno akhirnya pembangunan itu tidak terlepas ke tangan orang lain. Berapa banyak bangunan Umno, termasuk Ibu Pejabat Umno sendiri pernah terlelong kerana Umno tidak cekap menguruskannya.

Usah disenaraikan bangunan Umno bahagian-bahagian yang sudah dilelong dan disita, beberapa bahagian Umno sendiri timbul cerita kewangan yang cukup meragukan. Ada kepimpinan Umno bahagian mempunyai dua akaun – yang kedua-duanya membelanjakan duit tanpa mengikut peraturan.

Itulah sebabnya, jika pemilik tanah di Kampung Baru dilanda kerisauan, tentulah kerisauan itu berasas kerana mereka sudah melihat sendiri perangai mereka yang memimpin Umno, tidak meletakkan soal kejujuran dan ketulusan (ketelusan) di depan.

Mereka berkira-kira, berapa bahagian mereka dan besar mana komisen yang mereka akan dapat dengan membuat dan pembawa pembangunan di satu-satu tempat.

Tiada ulasan: