Rakyat berhak untuk menggerakkan bantahan bagi menentang undang-undang yang tidak adil termasuklah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan saman ekor kerana mereka berhak untuk menuntut undang-undang yang adil dan telus.
Demikian tegas Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) ketika diminta oleh Harakah untuk mengulas kenyataan Profesor Dr Rohimi Shafie dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengenai Kempen Anti Saman Ekor (KASE) yang dipimpin oleh Naib Presiden PAS, Dato Mahfuz Omar.
Aziz berkata apa yang KASE lakukan adalah sah dan wajar sebelum ada lagi tindakan yang lebih teruk dan melanggar undang-undang oleh pihak kerajaan.
"Mungkin tidak ramai yang ingat bagaimana polis enggan melaksanakan undang-undang di Terengganu ketika PAS mentadbir negeri itu antara 1999 dan 2004 atas alasan ia tidak adil dan polis adalah agensi Persekutuan.
Tindakan PDRM itu jelas melanggar undang-undang kerana di bawah Akta Polis 1967 adalah menjadi tugas polis untuk menguatkuasakan undang-undang, baik Persekutuan maupun negeri", katanya.
Aziz berkata KASE tidak melanggar sebarang peruntukan undang-undang.
"Mana ada peruntukan undang-undang yang melarang apa yang KASE buat?" soalnya sambil menyifatkan apa yang KASE lakukan masih dalam kerangka undang-undang.
"Saya fikir apa yang dicadangkan, baik dalam bentuk pendapat atau langkah yang berdasarkan kepada peruntukan undang-undang adalah sesuatu yang dibenarkan; khususnya dalam negara demokrasi seperti Malaysia", tegas Aziz lagi.
Dalam kenyataannya, yang disiarkan sebuah akhbar tempatan Rohimi, yang dinaikkan pangkat profesor pada 2009, menyifatkan apa yang dilakukan oleh KASE sebagai nakal dan menggalakkan rakyat melanggar undang-undang.
Profesor UKM itu sebelum ini banyak memberi tumpuan kepada undang-undang antarabangsa. Aziz berkata dalam negara demokrasi undang-undang perlu mencerminkan kehendak dan keperluan rakyat.
"Meskipun undang-undang sering dikatakan bertujuan baik pelaksanaannya sering menyimpang dan rakyat, melalui gerakan massa, berhak untuk menuntut reformasi. Ini boleh dilakukan melalui pemansuhan atau pindaan", terangnya.
Pakar perlembagaan itu berkata ahli-ahli akademik perlu melihat sesuatu isu dalam konteks yang lebih luas dan mereka juga perlu melihat keberkesanan undang-undang dan tidak hanya meminta rakyat setia membuta tuli.
"Sarjana tidak harus menyempitkan pandangan mereka dalam bentuk yang terlalu teknikal dan tidak melihat kesan yang lebih luas", ujarnya. Aziz berkata saman ekor ini jelas telah menimbulkan keresahan yang meluas.
"Macam-macam yang telah kita dengar dari saman yang diterima oleh mereka yang tidak memandu kendaraan sehinggalah kepada penubuhan syarikat untuk mengendalikan saman. Ini semua menjadi masalah dalam keadaan ekonomi yang tertekan sekarang," tegas beliau.

0 ulasan:
Catat Ulasan