KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, Mac 21, 2011

Anwar nafi bukan lelaki dalam video seks Datuk T dan sifatkan video Carcosa merupakan satu rekayasa jahat musuh politik




Ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan keras menafikan dakwaan bahawa beliau merupakan lelaki dalam video seks yang didedahkan pagi ini. Bercakap dalam satu sidang media petang ini, Anwar menyifatkan dakwaan seks itu sebagai "fitnah jahat" dan "jijik" yang "diselaras di peringkat kuasa tertinggi."

Katanya, lagi, tuduhan berkenaan juga bertujuan mengaibkan beliau dan keluarganya. Pada masa video itu dikatakan dirakamkan, Anwar berkata beliau berada di rumah bersama kakitangannya, isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail serta anak-anak dan cucu-cucunya.

Kemaskini Twitter, Facebook

Katanya, beliau juga telah mengemaskini Twitternya pada masa itu, yang akan membuktikan bahawa beliau bukan lelaki dalam video tersebut. Tambahnya, beliau juga telah merekodkan tulisannya di Twitter pada tempoh berkenaan "supaya boleh memperkukuhkan hujah (beliau)."

“Melainkan anda melihat saya (mengemaskini Twitter) pada masa aksi itu," katanya lagi.

Bagaimanapun semakan ke atas rekod Twitter Anwar menunjukkan bahawa catatan-catatannya telah dibuat pada jam 9.20 malam dan 11.39 malam, tetapi tidak ada catatan dibuat antara jam 10.23 malam dan 10.45 malam, ketika video itu didakwa dirakam.

Bila seorang wartawan membangkitkan soal ruang waktu itu kepadanya, Anwar tidak menjelaskannya. Beliau hanya menjawab "tak apa, kita ada rekod (Twitter dikemaskini)".

(Turut dikesan, banyak kemaskini dibuat pada malam berkenaan di laman Facebooknya, termasuk 12 catatan antara jam 10.09 malam dan 10.52 malam. Tidak pasti pada masa ini, sama ada catatan itu dihasilkan secara automatik.)

Sambil tersenyum Anwar juga berkata, lelaki dalam video itu mempunyai perut yang "lebih buncit" berbanding beliau.

"Memang diberitahu kepada saya bahawa gambar itu mirip kepada gambar saya. Cuma perut orang itu jauh lebih buncit dari saya," katanya yang disambut gelak ketawa oleh para pemimpin PKR yang turut hadir di sidang media berkenaan. Anwar turut berdiri untuk membolehkan jurufoto mengambil gambar perutnya.

Jam tangan

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau tidak mengetahui siapakah "Datuk T" yang dilaporkan terlibat dengan tayangan video berkenan. Dalam pada itu, beliau turut mengulas mengenai seutas jam tangan yang didakwa sebagai miliknya oleh "Datuk T." Jam tangan itu didakwa telah hilang di lokasi rakaman video seks berkenaan.

Anwar ditanya wartawan: "Adakah Datuk Seri kehilangan seutas jam tangan Omega?"

Anwar menjawab, soalan yang sepatutnya ditanya adakah beliau memiliki jam sebegitu. Anwar seterusnya berkata, beliau mempunyai jam seperti itu.

"Tanya (Wan) Azizah. Dia yang simpan...," katanya lagi sambil tersenyum.

Buat Laporan Polis

Ditanya lanjut, Anwar berkata beliau akan membuat laporan polis sebaik mengenalpasti siapakah pihak yang bertanggungjawab membuat tayangan berkenaan.

"Saya sedang merujuk kepada peguam untuk melihat apakah isunya. Saya belum melihat (video itu), saya tidak tahu siapa pembuatnya, saya tidak tahu sama ada ia akan diedarkan," katanya. Dalam sidang media di ibu pejabat parti itu, beliau turut menyifatkan dakwaan tersebut sebagai "serangan fitnah jahat terbaru dalam bentuk video."

"Visual yang ditayang tengahari di Carcosa merupakan satu rekayasa jahat musuh politik yang berhasrat untuk membantutkan kemaraan saya, PKR dan Pakatan Rakyat.

"Kita tentu menuntut kepada pimpinan politik negara dan musuh politik Pakatan Rakyat agar hentikan politik kotor dan lucah ini. Jangan heret rakyat dan negara terjebak dalam politik kotor dan lucah kamu," katanya lagi yang membacakan satu kenyataan.

1 ulasan:

otaklunyai berkata...

Ya Allah Ya Tuhan Kami. Engkaulah Penguasa Yg paling Agung dan yg Paling Berkuasa. Kami hamba2 Mu memohon perlindungan dari segala fitnah dan kezaliman oleh golongan yg sesat ini. Berilah kami Ketenangan dan Istiqamah bermunajat kepada Mu dalam menghadapi dugaan Mu ini Ya Allah. Sesungguhnya hanya dengan izin Mu Ya Allah segala fitnah dan kezaliman ini terjadi. Oleh itu Kami memohon agar kami dan keluarga kami diselamatkan dari segala bala ini.

Kembalikanlah segala fitnah dan kejahatan ini kepada mereka yg bertanggungjawab dan yg terlibat melakukannya agar menjadi pengajaran supaya mereka tidak kembali kepada Mu dengan dosa besar ini. AMIN YA RABBAL ALAMIN..