BICARA MALAM MINGGU
Sebagai pemain media, saya acapkali diingatkan pensyarah saya sewaktu menuntut di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya dulu, Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah agar bersifat objektif dan profesional dalam melaporkan berita.
Dr Abu Hassan mengajar saya subjek Retorik. Beliau antara yang terserlah sebagai tenaga akademik dalam memperjuangkan kebebasan media dan melakar sejarah tersendiri mempopularkan media baru, ketika orang tidak tahu, tidak mahu dan memandang entang kewujudan media tanpa wayar, media maya dengan kemajuan internet ini.
Beliau bertegas, tidak kira bloggers itu menyebelahi mana-mana pihak, media baru seharusnya digunakan sebagai alat bagi membantu masyarakat diselamatkan daripada rasuah, pecah amanah, penyelewengan atau menjadi alat propaganda murahan sesetengah pihak sehingga menggadaikan tanggungjawab tulen.
Tanpa mengira parti mana yang melakukan kesalahan atau fitnah adu domba tersebut, jika perkara itu benar semua bloggers bertanggungjawab tanpa mengira parti yang mereka sokong. Ini adalah paksi dan garis kerja profesional dalam melaporkan sesuatu berita, yang sudah tentu tidak dimekarkan dengan cerita busuk dan jahat.
Selasa lalu, 17 Januari, saya terbaca cerita sensasi tentang dua bloggers Umno yang disaman oleh seorang ahli perniagaan. Penulis blog pro-Umno itu ialah Papagomo dan Parpukari disaman sehingga RM10 juta setiap seorang kerana didakwa memfitnah ahli perniagaan Abdul Razak Mohd Noor.
Abdul Razak melalui firma guaman Netto & Co pada 3 Januari lalu mengeluarkan surat tuntutan ke atas kedua-dua mereka dan juga satu notis tuntutan yang disiarkan pada akhbar utama Sabtu lalu.
Peguam Abdul Razak, Ruben Netto memberitahu anak guamnya itu terpaksa menggunakan notis awam kerana beliau tidak mempunyai cara lain untuk membela dirinya.
Notis berkenaan menamakan Wan Muhammad Azri Wan Deris sebagai pemilik blog Papagomo dan Mohamad Salim Iskandar sebagai pemilik blog Parpukari. Begitulah indahnya nama asli kedua-dua bloggers Umno ini.
Abdul Razak mendakwa bahawa Papagomo melalui posting di blog pada 11 Disember tahun lalu dan Parpukari melalui posting pada 4 Disember dan 12 Disember tahun lalu telah memfitnah dirinya.
Mereka memfitnah Abdul Razak dengan memanggilnya penyanggak dan menuduhnya menipu kerajaan serta bersekongkol dengan pembangkang dan melabelnya sebagai tidak tahu bersyukur kepada Umno.
Kata peguamnya, tuntutan RM10 juta daripada Papagomo dan Parpukari itu wajar dan menambah Abdul Razak adalah pemegang lesen telekomunikasi yang berhubungan dengan perkhidmatan jalur lebar dan satelit dengan kerjasama dari Telekom Malaysia.
Abdul Razak membekalkan rakyat negara ini dengan perkhidmatan jalur lebar melalui kerjasama dengan Telekom Malaysia, beliau adalah orang yang agak berpengaruh dari segi perkhidmatan yang ditawarkan itu.
"Tetapi dengan artikel-artikel yang berbaur fitnah ini, bank-bank dan Telekom memanggil anak guaman saya dan menuntut jawapan berhubung apa yang sedang berlaku," katanya.
Bukanlah mudah untuk menjejak kedua-dua bloggers Umno ini. Susah juga. Netto memberitahu beliau dimaklumkan bahawa Papagomo telah menemui dengan beberapa penulis blog lain dan meminta nasihat bagaimana mengendalikan saman berkenaan manakala Parpukari setakat ini mengabaikan notis undang-undang itu.
Selain daripada ganti rugi, mengikut surat yang dihantar pada 3 Januari lalu, Abdul Razak menuntut untuk kedua-dua mereka untuk menarik balik dakwaan mereka dari blog mereka serta membuat permohonan maaf.
Jika tiada reaksi dari penulis blog berkenaan, Netto menambah, saman akan difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur seawal Jumaat ini ataupun paling lewat pada awal minggu depan.
Papagomo sebelum ini pernah mencetuskan kontroversi, termasuk mendakwa anak Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng meramas buah dada rakan pelajar perempuan tetapi dakwaan itu akhirnya terbukti tidak benar.
Berdasarkan saman itu, rakyat sudah melihat apa yang dihidu selama ini. Nama mereka berdua cukup meluat disebut oleh para penyokong Pakatan Rakyat. Mereka dikenali sebagai "pencacai" dan "pemfitnah" nombor satu di alam maya dengan pelbagai posting yang bukan-bukan.
Kini, bukan lagi tekaan atau andaian. Dua bloggers kontroversi bernama Papagomo dan Parpukari jelas "kambing" gembalaan Umno. Ia sukar dikawal kerana ia "kambing" bebas dan punyai naluri nafsu serakah tersendiri.
Pengerusi Unit Media Baru Pemuda Umno, Tun Faisal Ismail Aziz mengakui bahawa Umno tidak dapat mengawal penulis blog tertentu seperti Papagomo dan Parpukari yang sering menyiarkan tulisan berunsur fitnah di laman berkenaan.
Secara berlapik, Tun Faisal yang juga Exco Pemuda Umno Malaysia, menegaskan dia tidak menyokong pandangan (tulisan) tertentu yang di ketengahkan dalam blog mereka, namun beliau mengakui laman berkenaan menyumbang kepada pengaruh Umno, lebih-lebih lagi ketika menghadapi pilihan raya kecil dan pilihan raya umum.
Tun Faisal sendiri lebih bimbang apabila berdepan dengan pemilihan Umno. Ini kerana kedua-dua bloggers ini akan bersaing antara satu sama lain. Bersaing untuk menjatuhkan pemimpin terntu dengan mendedahkan tembelang dan jembalang mereka.
"Nak kawal blogger Umno sendiri bukan senang. Apa cara kita hendak kawal mereka?," kata Tun Faisal lagi ketika ditemui di satu majlis diskusi pengguna laman blog Twitter, malam 19 Januari lalu.
Papagomo dan Parpukari merupakan penyokong Umno tetapi menyifatkan diri mereka sebagai penulis blog bebas. Itulah yang mampu diungkapkan oleh Tun Faisal. Beliau tidak memberitahu, berapa bayaran yang Umno sumbat ke kantung mereka.
Namun secara umumnya, dapat diagak, tentulah ada bayaran untuk mereka "lintang-pukang" spin berita, mengadu-domba dan membina fitnah agar persepsi rakyat dapat mengikut telunjuk mereka, yakni ibu jari Umno.
Memanglah Umno tidak upaya melatakkan syarat kerana kedua-dua bloggers ini buaknnya jentera propagada Umno atau jentera penerangan Umno yang diselia secara profesional ikut acuan parti kebangsaan Melayu itu.
Walaupun dengan penetapan syarat tertentu oleh Umno, mana-mana bloggers dan 'Cybertrooper' mempunyai pendirian sendiri kerana "tidak ingin terikat dengan peraturan-peraturan tertentu." Kebebasan inilah menyenakkan Umno pada ketika tertentu dan menggembirakan Umno pada ketika tertentu yang lain.
Tun Faisal menjadikan sikap ini sebagai lesen untuk membenarkan tindakan melampau kedua-dua "kambing" gembalaan ini untuk menghentam Pakatan Rakyat dan individu tertentu yang tidak disenangi oleh Umno.
"Dalam keadaan tertentu mereka juga mengkritik dan menyerang pemimpin BN. Jadi kenapa kita hanya diminta mengawal mereka apabila mereka mengkritik dan menyerang pemimpin pembangkang?," soalnya lagi bagi merasionalkan kepentingan Umno di belakang kedua-dua "kambing" itu.
Secara umumnya, Umno juga tidak menyokong serangan peribadi yang dilancarkan oleh "kambing-kambing" ini, seperti yang dilakukan ke atas Exco Kerajaan Selangor, Elizabeth Wong. Adun PKR itu dilanda kontroversi apabila foto separuh bogel beliau tersebar di laman pro-Umno bermula Februari 2009.
Tindakan terhadap dua bloggers Umno yang disaman Abdul Razak itu, merupakan suatu musibah daripada ketidakcerdikan dan kesan ketidakbijakan menggunakan media baru sebagai alat untuk berpatisipasi secara intelektual dalam akedamik.
Rakyat mendapati tindakan yang dikenakan ke atas kedua-dua bloggers ini merupakan satu reaksi apabila sifat amanah tidak ada, sebaliknya ketaksuban politik mengatasi kewarasan intelektual.
Ini menyebabkan nilai baka politik ini mencederakan pemikiran yang baik. Ia merupakan pengajaran kepada semua pihak tanpa mengira menyokong mana-mana pihak. Inilah yang selalu diungkap Dr Abu Hassan kepada saya. dan inilah yang didendangnya dalam Pemukiman Bloggers Pakatan Rakyat awal tahun lalu di Ampang.
Dr Abu Hassan tetap menegaskan, apa yang penting ialah akedamik dan kewarasan seseorang itu, kerana media baru sepatutnya digunakan sebagai instrumen berpatisipasi dalam demokrasi bagi menghapuskan tragedi seperti rasuah, pecah amanah dan lain-lain kebobrokan yang memusnahkan bangsa, negara dan agama.
Namun, kefahaman pemain media baru terhadap tanggungjawab tulen masih dipersimpangan. Baik bloggers Pakatan Rakyat mahupun Umno-BN, etika permaian acapkali menyimpang dan kasar. Latihan dan pendedahan meluas tentang baik buruk media baru, patut dihitamkan sehitam-hitamnya agar ada sempadan yang dijadikan tembok pagar.
Semenjak dilantik mengetuai Unit Media Baru Pemuda Umno pada 2010, Tun Faisal mengakui beliau telah melatih seramai 1,800 orang untuk bergiat di ruang siber melalui penulisan blog dan juga menyertai laman sosial.
Secara peribadi, beliau bagaimanapun hanya mengenali seramai 27 orang daripada jumlah tersebut. Bermakna ada ramai lagi. Bukan sahaja tidak dikenali muka wajahnya, tetapi juga feel dan gelagatnya. Sikap serta pendiriannya.
'Cybertrooper' berkenaan dilatih untuk menyerang pembangkang dan juga untuk melengkapi fungsi media arus perdana yang lebih banyak melaporkan dasar dan implementasi kerajaan
"(Latihan tersebut) sama ada anda kelirukan orang atau beritahu sisi cerita yang lain," katanya lagi berjenaka.
Nota Gambar: Tarmizi Mohd Jam sering bertukar-tukar fikiran dan mengundang Pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya, Prof. Madya Dr Abu Hassan Hasbullah ke diskusi tertutup mengenai media cetak dan media baru.