KLIK JOM FOLO DI SINI

Khamis, Julai 02, 2009

Umno terpaksa tolak debat, bimbang dasar anutan parti itu bercanggah dengan al-Quran


DEBAT terbuka antara Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak mungkin akan mencipta sejarah kedua selepas Debat Anwar-Shabeery Chik jika Najib tidak gentar menyahut cabaran itu.

Hanya melalui debat terbukalah satu-satunya peluang Najib untuk menyangkal dakwaan Tok Guru Nik Aziz bahawa Umno/BN bukannya sesat sebagaimana yang dilakukan oleh Pemuda Umno Kelantan.

Najib sebagai orang pertama dalam kerajaan wajar mencuri peluang keemasan ini untuk mempertahankan dasar perjuangan Umno/BN dan membuktikan kepada rakyat dasar Umno dan BN bukan sebagaimana yang didakwa "sesat" oleh Menteri Besar kelantan itu.

Hasrat mengadakan perdebatan itu dibuat susulan tindakan Pemuda Umno negeri membuat aduan polis 23 Jun berhubung kenyataannya dalam satu ceramah politik 21 Jun lalu, yang didakwa berbaur hasutan dan boleh mencetuskan ketegangan.

Aduan itu dibuat oleh Ketua Pemuda, Anuar Safian, di Balai Polis Kota Bharu jam 10.30 pagi dengan diiringi kira-kira 100 anggota pergerakan itu yang membawa beberapa sepanduk mengecam tindakan PAS bekerjasama dengan DAP dan PKR.

Ekoran tindakan Pemuda Umno itu, Tuan Guru Nik Aziz turut membuat draf surat jemputan rasmi kepada Perdana Menteri untuk mengadakan perdebatan berkenaan isu yang dibangkitnya dalam ceramah di Menek Urai itu.

Bagi Tok Guru Nik Aziz antara jalan terbaik untuk menyelesaikan isu PAS-Umno wajar dibincangkan secara berdepan, perkara itu tidak akan selesai dengan menggunakan media.

Namun, mantan Perdana Menteri yang menjadi mentor Najib, Tun Mahathir cepat-cepat memberi respons agar Najib tidak melayan cabaran Tok Guru Nik Aziz sebaliknya menyifatkan debat terbuka itu hanya membazirkan masa dan akan menjadi satu bentuk hiburan semata-mata.

Alasan mentor Najib itu, bagi Naib Ketua Dewan Ulama PAS, Dato' Dr Mahfodz Mohamed hanya menggambarkan Umno tidak berani berdepan dengan Tok Guru Nik Aziz.

"Kalau Umno tidak boleh menerima dakwaan Mursyidul Am PAS itu, sepatutnya mereka kena terima cabaran debat bagi membersihkan nama baik kononnya Umno dikatakan sesat," katanya ketika dihubungi.

Al-quran, hadis dan sunnah seharusnya menjadi asas kepada perjuangan Islam begitu juga kerajaan yang dilabelkan sebagai kerajaan Islam. Oleh yang demikian, asas itulah yang menjadi pegangan kepada pejuangan Islam, apabila orang Islam tidak ikut asas itu maka orang itu dalam golongan sesat, tegas Dr Mahfodz.

Katanya, sikap keterbukaan PAS melihat Umno dan PAS adalah sesama Islam dan apabila berdebat bukan sahaja menggunakan akal fikiran tetapi rujukan utama adalah Al-quran dan sunnah.

Mengulas tuduhan Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof Dato' Dr Kamarudin Kachar yang mendakwa kononnya Tok Guru Nik Aziz bukan pejuang Islam sebenar, Dr Mahfodz menyifatkan tuduhan liar itu keterlaluan. Sebaliknya beliau yakin, apa yang diperjuangkan oleh MB Kelantan itu adalah perjuangan Rasulullah SAW.

"Islam menyuruh kita bersatu padu berdasarkan al-Quran. Kena cermin dulu dan tengok muka kerana semua rakyat Malaysia tahu matlamat dan perjuangan Islam. Kalau benar! kenapa Najib tidak boleh terima tawaran debat terbuka," bidas Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan.

Islam mengajar umatnya berhujah bahkan menegakkan kebenaran adalah melalui hujah. Melalui debat itu, menurut Nasruddin, Umno dan BN bukan sahaja boleh menggunakan kesempatan untuk mengupas selain kemelut PAS-Umno bahkan berdebat berkaitan isu kepentingan rakyat seperti ekonomi atau sosial.

"Apabila pemimpin tertinggi membuka ruang sepatutnya Najib bersedia menerima, jika tidak dakwaan 'sesat' seperti yang amat dimarahi mereka itu, akan jadi benar lah,"
kata Nasruddin.

Anggapan pihak tertentu, debat itu tidak akan menyelesaikan masalah adalah salah kerana kebenaran itu dinilai melalui hujah kedua-dua pihak. Rakyat boleh memutuskan sama ada hujah itu benar atau salah melalui kekuatan berhujah.

Umat terdahulu sering mengajar supaya berhujah malangnya ramai pihak gagal berhujah kerana kerajaan menggunakan kekangan melalui ISA, OSA dan Akta Mesin Cetak untuk melindungi kelemahan mereka.

"Sampai bila masalah tidak akan selesai, sebaliknya menguatkan lagi persepsi Umno sebagai diktator yang tidak membenarkan atau tidak berani berdepan dengan rakyat," ujar Nasruddin.

Umno atau BN yang sudah lama memerintah negara ini dan merasakan mereka sudah Islamik tiada sebab untuk mereka tidak ambil tahu hujah Tok Guru Nik Aziz selaku individu yang arif soal Islam, tegas Ketua Jemaah Islam Malaysia (JIM), Zaid Kamarudin.

"Tuan Guru Nik Aziz bersedia untuk memberi hujah. Bebat ini cukup penting dan besar. Jadi, wajar didengar oleh kerajaan," katanya yang juga belum bersedia untuk menjadi orang tengah dalam debat terbuka itu.

Menjejaki panedapat rakan DAP berkenaan isu ini, Naib Pengerusi DAP Negeri Sembilan, John Fernandez mengakui kerajaan Umno dan BN pada hari ini kononnya mengaku sebagai sebuah Kerajaan Islam tetapi mereka tidak mengikut seratus peratus apa yang ditegaskan oleh agama itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Seremban menyokong penuh pelawaan Tok Guru Nik Aziz itu untuk berdebat dengan Najib.

Sementara itu, penolakan dua mantan Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dan Tun Abdullah Badawi disifatkan sebagai penghinaan atas kebijaksanaan Najib Tun Razak dalam membuat keputusan berhubung cadangan Tok Guru Nik Aziz itu.

Ketua Angkatan Muda KeADILan, Shamsul Iskandar Mat Akin menyifatkan dengan 'keputusan awal' dua mantan tersebut, dilihat seolah-olah Najib tidak memiliki kebijaksanaan dalam membuat keputusan.

"Biarkan Najib membuat keputusannya, sama ada ingin menerima mahupun menolak pelawaan Tuan Guru itu. Apabila mereka sibuk menyatakan ia (debat) membuang masa, dan sebagainya, seolah-olah menafikan kebijaksanaan Najib untuk membuat keputusan," tegas beliau.

Shamsul menyifatkan pelawaan Tok Guru itu yang dianggap terkehadapan, mengharapkan Najib menerima hasrat tersebut untuk melangkah ke kancah pembukaan minda dan wacana ke arah politik baru.

Malah, dengan langkah mengadakan debat dan perbincangan, khususnya secara terbuka Shamsul melihat ia bukan lagi persoalan baru, memandangkan pernah berlaku ketika debat Palestin antara Almarhum Ustaz Dato' Fadzil Mohd Nor bersama Tun Mahathir, dan debat minyak antara Shaberry Chik dan Anwar Ibrahim.

Shamsul juga berpendapat jika Najib ataupun Umno benar-benar ikhlas, pelawaan Tok Guru wajar dipersetujui, khususnya dalam mencari erti perjuangan Umno itu sendiri yang kadangkala mengulangi hujah-hujah lama yang sudah tidak relevan seperti memperjuangkan bangsa Melayu.

Pelbagai reaksi dari pimpinan Umno yang enggan melayan pelawaan Tuan Guru itu dilihat sebagai kebimbangan tentang 'takut kalah' berhujah yang akhirnya menyebabkan parti Melayu terbesar dipalit dengan persepsi baru, Umno sudah tidak relevan.

Atas alasan itu, kemungkinan besar Umno tidak akan bersetuju untuk berdebat dengan PAS atau Tok Guru Nik Aziz kerana ia hanya akan membuka pekung Umno yang tidak Islamik itu. Dari diketahui umum, dasar Umno bercanggah syarak adalah lebih berbaloi kemukakan hujah menolak agar Umno tidak dipersalahkan.

Ditulis Oleh TARMIZI MOHD JAM,
SALMIYAH HARON dan ANIS NAZRI

BN Kelantan cemas "cah keting" bakal menyungkurkan calonnya 14 Julai ini


PEMILIHAN Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon Umno mewakili BN dalam pilihan raya kecil Dun Manek Urai, 14 Julai ini dibuat bukan kerana dia calon terbaik yang BN ada tetapi kerana dua sebab yang pengundi perlu tahu.

Pertama namanya ada persamaan dengan nama Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat dan kedua, usaha BN mahukan undi golongan muda kembali kepada BN yang nyata kehilangan sokongan golongan ini.

Kebetulan, dia menyandang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno Kuala Krai, yang tidak memberi apa-apa kelebihan kepadanya kerana sejarah membuktikan, PAS lebih mudah mencari kemenangan di Dun Manek Urai, walaupun pernah tewas sekali dalam Pilihan Raya Umum ke-11, lima tahun lalu.

Umno dan BN mempunyai pengalaman yang cukup dahsyat sejak keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu dalam siri pilihan raya kecil, bermula di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Penanti.

Pening kepala Dato' Seri Najib Tun Razak memikirkan bagaimanakah cara untuk menarik minat golongan muda untuk menyokong Umno. Sudah macam-macam cara dibuat, termasuk membuka pelbagai peluang berinteraksi antara golongan belia dengan kerajaan tetapi, hasilnya, mereka masih tidak menampakkan minat kepada BN dan Umno.

Di Permatang Pauh, BN meletakkan seorang Adun yang menang ketika 'calon BN yang lain kalah' untuk menentang Dato' Seri Anwar Ibrahim. Keputusannya, BN kalah di situ.

Di Kuala Terengganu, Umno (BN) meletakkan ketua bahagian yang juga seorang Timbalan Menteri sebagai calon sebagai usaha mempertahankan kerusi Parlimen itu, namun kecundang di tangan PAS.

Di Bukit Gantang, Umno meminta 'orang-orang Umno' dari pelbagai peringkat mencalonkan siapa yang mereka akan sokong, namun Ismail Safian yang kini sudah dilantik menjadi Setiausaha Politik Menteri Besar Perak, tumpas.

Di Bukit Selambau, perebutan mahu meletakan calon masing-masing antara MIC dengan Umno meletakkan BN akhirnya terus kecewa manakala di Penanti, keyakinan untuk menang memang tiada langsung yang menyebabkan BN tidak meletakkan calon.

Hari ini, bila PAS mencadangkan supaya Umno tidak meletakkan calon di Manek Urai, Najib dan timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin diyakini oleh mereka yang mahu menunjukkan kehebatan di Kelantan, Umno menolaknya.

Ketika Najib mengatakan agak sukar untuk menang di kawasan yang memang merupakan kubu kuat PAS, namun Umno percaya jika 'modal' cukup, rakyat boleh dihulur dengan wang, mereka boleh menang. Syaratnya, kata mereka yang mahu mengampu kepimpinan Umno, calon BN mestilah yang tidak ada masalah.

Peringkat awal, nama bekas ketua bahagian, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah antara yang disebut-sebut tetapi disebabkan penyandang jawatan ketua bahagian sekarang, Datuk Ramzi Ab Rahman masih di situ dan tidak bergelar YB, agak bermasalah untuk BN menang kerana 'hubungan' tegang kedua-dua orang kuat Umno ini.

Ada juga usaha mahu meletakkan Ramzi sendiri sebagai calon tetapi 'bayang-bayang' Wan Zaid tidak pernah lekang dari batang tubuh Ramzi di Manek Urai.

Nama-nama lain, hanya sekadar pelengkap quota sahaja kerana memang sejak awal-awal lagi Umno memang mahu mencalonkan 'Pemuda' bertanding di sini kerana inilah yang belum pernah dicuba dalam pilihan raya–pilihan raya kecil di Permatang Pauh, Bukit Gantang dan Kuala Terengganu dahulu.

Pemilihan Tuan Aziz ini hanyalah satu 'percubaan' bagi persediaan menghadapi pilihan raya–pilihan raya kecil dan Pilihan Raya Umum ke-13 yang akan datang.

Veteran Umno memperlawa diri masing-masing dijemput untuk menjadi penceramah tetapi di kalangan mereka yang sedang berkuasa sekarang, seboleh-bolehnya tidak akan memberi peluang kepada veteran Umno terlalu menonjol.

Mereka, yang sedang berkuasa mahu mengenengahkan kawan masing-masing kerana dalam Umno, kroni dan klik memang tidak pernah selesai. Itulah sebabnya, belum pernah jika berlaku pertukaran Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri, jawatan-jawatan seperti Setiausaha, Bendahari dan Ketua Penerangan tidak bertukar.

Mereka akan melantik kawan mereka. Soal berkebolehan atau tidak, itu soal lain. Yang penting, regim baru mesti dengan kroni baru.

Umno akan menyerang peribadi calon PAS, Fauzi Abdullah yang merupakan seorang peniaga dan pemborong ikan di Kuala Krai. Hanya ini modal ampuh yang Umno ada kerana dari segi perjuangan dan pembangunan, modal ini sudah lama ditolak rakyat.

Ketika PAS yakin dengan mereka yang sering bersama dengan rakyat lebih layak di ketengahkan sebagai calon, Umno pula terpaksa berkali-kali menafikan berlaku 'cah keting' dalam soal pemilihan calon untuk bertanding di Dun Manek Urai.

Mustahil tidak ada 'cah keting'. Dan jika benar-benar memang tidak berlaku 'cah keting', kenapa Timbalan Presiden Umno perlu menafikannya?

Umno kepingin sangat hendakkan kemenangan. Biarlah kemenangan itu mungkin dengan 10 atau 100 majoriti tetapi, kemenangan itu yang mereka idam-idamkan. Jika calon BN ini menang, ia mungkin merupakan penawar duka yang sudah berpanjangan.

Namun, di kalangan pemimpin-pemimpin Umno di negeri-negeri lain, tiada siapa yang percaya calon Umno ini, Tuan Aziz Tuan Mat boleh menang. Malahan, perhubungan Umno negeri-negeri lain dikatakan tidak berminat untuk menghantar 'sebarang bantuan' ke Manek Urai kerana tidak mempunyai keyakinan BN boleh menang.

Orang Umno Kelantan mengharapkan Mustapa Mohamed membawa sesuatu kejayaan kepada parti itu setelah beliau menang tempat tertinggi dalam pertandingan MT Umno baru-baru ini. Namun, dalam masa yang sama, ramai juga risau jika Mustapa terlalu 'berjaya' hingga mampu menenggelamkan nama-nama besar lain di Kelantan.

Sedaya upaya, sama seperti Muhyiddin, Mustapa tentunya mahu membuktikan kepada Najib bahawa beliau memang diterima di Kelantan tetapi, masalah dalaman Umno di Kuala Krai, katanya berpunca dari Mustapa yang mencadangkan supaya Wan Zaid digugurkan dari mengetuai Umno bahagian itu, beberapa tahun lalu.

Najib tidak akan bersedia menerima kekalahan di Manek Urai kerana kekalahan ini akan menyebabkan orang akan mengatakan rakyat menolak Najib. Begitu juga Muhyiddin, kekalahan calon BN di Manek Urai juga merupakan 'penolakan' rakyat kepadanya selaku pengarah pilihan raya kecil ini, walaupun Mustapa adalah pengarah sebenar di peringkat negeri.

Tuan Aziz mungkin menempuh pengalaman pertama bertanding dan jika dia kalah, ini akan menimbulkan pelbagai cerita tidak elok antaranya dengan kepimpinan Umno Bahagian Kuala Krai. Sejarah membuktikan kepimpinan Umno bahagian ini tidak pernah tenang dan sentiasa bergolak.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD

BN dan Mustafa Mohamad berdolak-dalik dalam isu pembayaran royalti petroleum di perairan Kelantan

Ikuti interbiu ringkas bersama Ahli Parlimen Tumpat yang sempat ditemui di lobi Parlimen bagi memperkatakan isu tuntutan Kerajaan Kelantan terhadap pembayaran royalti minyak oleh Kerajaan Pusat:

Kenapa Kerajaan Pusat begitu liat hendak membayar royalti petroleum kepada Kerajaan Kelantan?

DATO' KAMARUDDIN JAFFAR: Terbukti, sememangnya ini merupakan dasar Tun Dr Mahathir yang daripada awal lagi ingin menafikan hak Kelantan terhadap royalti. Ini bukan sahaja di Kelantan tetapi apabila Terengganu jatuh ke tangan PAS royalti yang diberikan berpuluh tahun telah ditarik balik.
Di Kelantan bukan sekadar royalti tidak diberi kepada Kelantan tetapi pendaratan minyak juga dirancang supaya tidak didaratkan di negeri itu. Ini juga terbukti daripada sumber-sumber Petronas dan ianya dijelmakan dengan dasar dan keputusan supaya laluan minyak dan gas itu mendarat di Songkhla, Thailand.
Melalui paip akhirnya sebahagian daripadanya dibawa melalui bumi Thailand dan Kedah. Kerajaan Pusat di bawah BN memang sanggup mengambil risiko dan mengetepikan keuntungan dan kepentingan negara dengan mendaratkan gas dan minyak itu di Thailand. Mereka mengambil risiko keselamatan dan sebagainya menerusi paip membawa gas itu melalui Thailand ke negeri Kedah.

Tetapi BN kata kawasan pengeluaran minyak itu, dalam wilayah bertindih?

Isu yang dijawab oleh kerajaan dalam parlimen oleh Menteri kononnya kawasan itu bertindih dengan Thailand, sebenarnya itu tidak berbangkit kerana dalam soalan saya di parlimen pun telah dijawab bahawa 50 peratus Thailand dan 50 peratus Malaysia.
Yang kita tuntut itu bukan yang 50 peratus Thailand punya tetapi yang bahagian Malaysia. Tuntutan itu berlaku kita faham kerana dasar Malaysia juga untuk tidak terus menghadapi krisis dengan negara Thailand dengan tuntutan bertindih itu sama-sama setuju 50 peratus Thailand dan 50 peratus Malaysia.
Tetapi, itu kita tidak persoalkan. Sebaliknya kita tuntut yang 50 peratus bahagian di Malaysia itu yang tidak bertindih (dikatakan Kelantan dan Terengganu). Ia terletak di perairan Kelantan.
Yang bertindih ialah perairan Malaysia dan Thailand. Bahagian Malaysia itu tiada syak lagi bahawa ianya adalah bahagian perairan Kelantan.

Terdapat tujuh pelantar minyak di perairan Kelantan?

Ya, benar dengan perbincangan usahasama dengan kerajaan Malaysia-Thailand. Yang itu kita tidak nafikan dan kita mempunyai peta perairan itu sebagai bukti.

Ini menunjukkan BN diskriminasi dan menafikan hak rakyat Kelantan mendapatkan royalti ini?

Memang dasar BN daripada awal lagi untuk menafikan hak Kelantan kerana mereka menganggap Kelantan di bawah PAS dan mereka tidak nampak bagaimana akan boleh jatuh kembali kepada BN. Sebab itulah mereka merancang supaya Kelantan tidak mendapat satu sen pun daripada hasil minyak itu.

Pada pandangan Dato' apa tindakan yang perlu diambil oleh Kerajaan Kelantan untuk menuntut kembali royalti daripada Kerajaan Pusat?

Menurut laporan, Kerajaan Kelantan telah pun menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri. Ini merupakan langkah yang baik. Saya berharap Perdana Menteri menghormati permohonan kerajaan negeri ini atas tuntutan yang berasas. Kalau Perdana Menteri benar-benar mahu buktikan konsep keadilan, satu Malaysianya.

Kalau sekiranya Kerajaan Pusat tetap enggan untuk memberi kembali royalti itu, apa nasihat Dato kepada pengundi Manek Urai?

Kepada pengundi-pengundi di sana, walau apa keadaan pun mestilah sentiasa menyedari Kerajaan PAS Kelantan daripada awal lagi memperjuangkan hak dan kebajikan rakyat tanpa mengira suasana ekonomi ataupun setakat mana peruntukan yang diberikan Kerajaan Pusat kepada PAS.
Ini adalah bukti Kerajaan PAS mengutamakan rakyat walaupun kita tidak menggunakan slogan rakyat didahulukan tetapi sememangnya segala dasar kita mengutamakan rakyat negeri yang kita anggap sebagai penyokong setia kita.

Aura luar biasa "Abe Uji" di tengah lautan manusia sewaktu diumumkan jadi calon Manek Urai





KAMPUNG Manek Urai Lama dipisahkan dengan dunia luar oleh Sungai Lebir. Di sebelah barat, berdiri kukuh Bukit Kajang tempat penduduk mencari rezeki. Di situlah tumbuh subur pokok getah dan kelapa sawit.

Kampung yang terkenal dengan industri pembalakan suatu ketika dahulu, kini agak sunyi. Sekali sekala dikejutkan dengan bunyi kereta api yang membingitkan telinga.

Semua cerita indah dengan kekayaan hasil balak sudah berlalu. Ia sekarang tersimpan kuat dalam lipatan sejarah. Mereka yang pernah singgah di kampung tersebut tentunya masih ingat Sawmil Jaya dan Sawmil Kawan Setia (Jepun).

Bagaimanapun, selepas sebuah jambatan dibina merentangi Sungai Lebir, Manek Urai tidak sunyi lagi. Bunyi deruman enjin kenderaan kini semakin membosankan. Sebaik sahaja melintasi jambatan ke Kampung Manek Urai Lama kita boleh menemui simpang empat di banyak tempat. Di sebelah kiri dan kanan masjid ada simpang empat.

Setiap batang jalan hanya selesa dilalui sebuah kenderaan. Ketika berselisih sebuah kenderaan kena berhenti bagi memberi laluan kepada sebuah lagi. Biar pun jalan diturap agak sempit, namun kenderaan boleh meluncur ke laman rumah.

Manek Urai yang jarang disebut orang tiba-tiba menjadi popular mulai 22 Mei lalu. Rupa-rupanya berita kematian pemimpin yang disayangi telah menggemparkan negara. Haji Ismail Yaakob atau lebih dikenali Paksu Wil pergi tidak kembali lagi.

Ketika penduduk Manek Urai bersedih duka kehilangan pemimpin disayangi, Kampung Manek Urai sendat dengan kehadiran ramai manusia. Jambatan selorong yang sempit menyebabkan kesesakan lalu lintas sayup mata memandang.

Dan situasi yang serupa berulang kembali 26 Jun lalu. Kali ini lebih sendat dan padat. Deretan memanjang sehingga lima kilometer daripada jambatan. Biar pun jambatan itu ditutup kepada lalu lintas mulai jam 7 petang, namun kenderaan yang masuk lebih awal sudah melimpah.

Di dalam semak, tepi jalan dan di bawah pokok ada kenderaan yang diparkirkan. Masjid kampung itu juga sesak dengan kehadiran orang ramai. Suasana lebih hangat berbanding hari Jumaat.

Penduduk tempatan pun naik hairan dari mana datang begitu ramai manusia. Rupa-rupa malam yang penuh bersejarah itu bakal mengisytiharkan siapa pemimpin yang akan meneruskan perjuangan Paksu Wil. Legasi Paksu Wil dalam bahasa politik.

Ramai penduduk di Dun Manek Urai datang untuk melihat dari dekat wajah pemimpin rakyat itu. Beliau disambut bagai anak teruna. Seorang lelaki yang bertubuh tegak lengkap dengan serban, bersamping dan berbaju Melayu muncul di celah-celah orang ramai di masjid. Ramai orang sudah mengenalinya.

Ramai meluru berjabat tangan dengannya. Yang berada agak jauh hanya sekadar mengangkat tangan tanda persahabatan. Ramai teruja dengan tingkah lakunya, bukan lagi sekadar bersalam, digosoknya tangan ke belakang kenalan. Senyum menguntum panjang.

Itulah Mohd Fauzi Abdullah, 50 atau lebih mesra dipanggil Abe Uji. Seorang peniaga ikan yang sudah lama dikenali di Manek Urai.

Sebaik sahaja selesai solat Isya’ orang ramai yang memenuhi masjid berjalan ke padang bola kampung tersebut. Kedudukan dari jambatan hampir satu km. Bagi mereka yang datang lewat berjalan dua hingga tiga km terpaksa ditempuhi. Nasib mereka agak baik kerana matahari sudah sembunyikan diri.

Hanya malam yang dingin bersaksikan bintang di langit mengiringi lautan manusia yang memenuhi padang tersebut.

Sebuah akhbar tempatan dalam edisi lokal sekadar mencatat 2,000 orang hadir pada program tersebut, sebenarnya menambah lagi koleksi suara nyanyuk akhbar terbabit. Sedangkan program pengisytiharan calon Umno dua hari kemudian disebut 6,000 orang hadir. Akhbar berkenaan hanya mempersendakan orang luar yang tidak hadir.

"Pakcik juga terkejut dengan laporan akhbar tersebut, sedangkan kalau hendak dibanding secara kasar mungkin suku orang di majlis Umno, tiga suku orang lagi di program PAS. Saya hadir pada ceramah pengisytiharan calon PAS. Padang bola penuh dengan lautan manusia. Saya tidak tahu macam mana wartawan akhbar terbabit mengira," katanya.

Seorang penduduk Mariam Husin, 43 berkata, kehadiran pada ceramah di Manek Urai Lama lebih ramai berbanding ketika ceramah PAS di Laloh seminggu sebelum itu.

Biar apa pun malam 26 Jun lalu mencatat satu sejarah kegemilangan Manek Urai yang pernah mashyur dengan industri balak. Pada malam itu, Abe Uji diumumkan sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai.

Pengisytiharan itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat. Turut hadir Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dan Pengarah Pilihan Raya KeADIlan, Saifuddin Nasution Ismail.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Dato’ Abdul Halim Abdul Rahman, timbalannya, Dato’ Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato’ Ahmad Ya'akob, Dato’ Husam Musa, Dato’ Mohd Amar Abdullah dan Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Haji Abdul Fatah Haron.

Ketika diumumkan nama calon tersebut, suara takbir membelah kesunyian malam. Kelihatan ramai yang gembira dengan ketokohan calon yang ditampilkan.

Selepas pengisytiharan dibuat Tuan Guru Nik Abdul Aziz, Tuan Guru Abdul Hadi, Kit Siang, Saifuddin dan Abe Uji mengangkat tangan sambil berpegang erat di antara satu sama lain.

Jurugambar tidak melepaskan peluang merakam detik yang cukup bersejarah itu. Flash kamera sambar menyambar dituju kepada wajah Abe Uji dan pemimpin Pakatan Rakyat di pentas utama.

Pasukan unit amal dan anggota keselamatan PAS terpaksa bekerja keras malam itu memandangkan ramai yang ingin bersalam dengan Abe Uji.

Malam tersebut berakhir sebelum jam 12 malam. Bagaimanapun banyak kenderaan tidak dapat keluar melintasi jambatan ke Kampung Manek Urai Baru sehingga jam 1 pagi. Seorang petugas PAS di Markas Induk memberitahu kesesakan lalu lintas di jalan utama menghala ke Kuala Krai sehingga lima km.

Inilah fenomena pilihan raya di Manek Urai. Kemunculan calon yang berserban sejak muda biar pun bukan bertaraf ulama cukup disenangi masyarakat.

"Dia mampu menjadi galang ganti kepada Paksu Wil," kata Pak Mat, seorang penoreh getah dari Laloh.

Keadaan sebaliknya pula berlaku terhadap calon BN. Sehari selepas diisytiharkan calon, Tuan Aziz Tuan Mat terpaksa berhempas pulas menafikan dakwaan yang tersebar. Dia dikatakan pernah terbabit dengan penyalahgunaan kuasa dan rasuah.

Ada khabar di internet menyebut Tuan Aziz hidup bergaya ketika menjadi Pengurus Kesedar Perkilangan Sdn Bhd (KPSB).

Biar apa pun lebih 12,000 pengundi Manek Urai akan menjadi hakim 14 Julai ini. Siapa yang layak menggantikan Paksu Wil? Segala perkiraan sudah ada dalam kepala mereka.

Ditulis Oleh LANJUSOH

Calon PAS Manek Urai, Abe Uji pengganti serasi Paksu Wil di Manek Urai


MUQADDIMMAH: Manek Urai jarang disebut orang sebelum ini. Namun bermula 22 Mei lalu, semua tumpuan terarah ke kawasan hulu Kelantan itu. Suasana menjadi hangat bagi mencari calon terbaik mengisi tempat yang ditinggalkan Allahyarham Haji Ismail Yaakob (Paksu Wil). Paksu Wil pergi meninggalkan kita. Perjuangannya tidak terhenti di situ. Kehadiran Mohd Fauzi Abdullah, 50 atau lebih dikenali sebagai Abe Uji bagi meneruskan legasi Paksu Wil. Rakyat Manek Urai sayangi Paksu Wil. Hari ini Abe Uji tampil berusaha memikul tanggungjawab tersebut. Bagi mengenali lebih dekat lagi siapa Abe Uji, ikuti temubual Lanjusoh bersama beliau.

Apa perasaan Abe Uji selepas dipilih sebagai calon PAS bagi mempertahankan Dun Manek Urai?

MOHD FAUZI: Kita orang PAS kalau dipilih sebagai calon kita anggap ia sebagai satu amanah. Jadi kita kena pikul. Ini berbeza dengan pihak lawan apabila dipilih sebagai calon mereka berpeluang untuk merebut banyak projek kerajaan.
Sedangkan di akhirat kelak kita kena jawab apa yang dilakukan di atas dunia sekarang. Kita akan ditanya apa yang telah dibuat terhadap amanah yang diberi. Kalau tidak kena cara, kita akan mendapat bala atau azab nanti. Sebab itulah saya merasakan ia merupakan satu tanggungjawab yang berat terpaksa dipikul sekarang. Insya Allah saya akan berusaha melaksanakan tanggungjawab sedaya yang termampu.

Sedangkan sebelum ini ada dua tiga nama diangkat untuk dipertimbangkan sebagai calon PAS. Namun akhirnya Abe Uji yang terpilih. Apa kelebihan pada Abe Uji?

Kalau hendak dikirakan saya bukan sebagai calon yang terbaik di kalangan beberapa nama yang dikemukakan. Saya sebenarnya tidak jangka dicalonkan bagi mempertahankan Dun Manek Urai.
Saya hanya bekerja untuk Islam. Bagaimanapun, mungkin akar umbi dan cawangan melihat ada sesuatu maka mereka mencalonkan nama saya. Jadi saya terpaksa memikul hasrat mereka.

Ada segelintir pihak persoalkan Abe Uji bukan anak tempatan kerana tinggal di Guchil, tapi masih dalam Kuala Krai. Isunya bukan di Manek Urai. Tidakkah ini boleh mendatangkan masalah?

Biar pun saya tinggal Guchil, namun masyarakat di Dun Manek Urai tidak menjadi perkara asing bagi saya. Ini kerana saya sering datang dan pernah mengikuti program bersama Allahyarham Paksu Wil.
Dan Insya-Allah selepas ini, sekiranya penduduk di Manek Urai memberi mandat, saya akan mencari tempat yang sesuai untuk tinggal lebih dekat dengan mereka. Lagi pun saya juga mempunyai kakak yang tinggal di Laloh. Jadi saya akan berusaha mendekati lagi penduduk di sini.

Sebenarnya sejak bila Abe Uji mengenali rakyat Manek Urai?

Sejak menceburi diri dalam politik pada 1982. Saya sudah kenal rakan-rakan di Manek Urai. Ketika itu Kuala Krai menjadi pusat tumpuan bagi penduduk di jajahan ini. Mereka akan datang ke bandar untuk mencari keperluan harian. Ketika itu saya sudah mengenali mereka.
Hampir setiap hari saya bertemu dengan mereka kerana saya menjalankan perniagaan ikan di Pasar Besar Kuala Krai. Selain itu saya juga pernah turun ke kampung-kampung di Manek Urai menghadiri program dianjurkan parti. Pernah datang merasmikan mesyuarat agung peringkat cawangan. Boleh dikatakan kemenangan saya sebagai anggota jawatankuasa PAS Kuala Krai kerana mendapat sokongan daripada perwakilan dari cawangan dalam Dun Manek Urai.

Abe Uji mempunyai hubungan rapat dengan arwah Paksu Wil?

Sejak awal terlibat dengan PAS, saya sudah rapat dengan arwah. Saya selalu berhubung dengannya. Boleh dikatakan bermula sejak 1980-an lagi. Bermula dari situlah hubungan kami begitu rapat.

Ada pihak beranggapan perwatakan Abe Uji tidak jauh berbeza dengan Paksu Wil. Ini kerana mereka mudah menemui Abe Uji di kedai-kedai kopi. Benarkah demikian?

Kebiasaannya, saya hadir kalau ada kematian di kalangan penduduk kampung di sini. Saya juga sering datang apabila ada jemputan kenduri. Hubungan saya dengan penduduk di sini tidak pernah putus. Di Dun Manek Urai tempat yang selalu saya pergi iaitu di Chuchuh Puteri kerana ada kebun di situ. Selain itu selalu berkunjung ke rumah kakak di Laloh.

Umno telah mengumumkan bekas pengurus di Kesedar, Tuan Aziz Tuan Mat sebagai calon BN. Apakah Abe Uji tidak merasa sedikit kebimbangan?

Kalau tengok kepada apa yang berlaku hari ini kita tidak perlu merasa gusar untuk berdepan dengan sesiapa sahaja tokoh dari Umno di Manek Urai. Ini kerana biar pun tokoh berlainan, namun dasar parti mereka tetap sama.
Selain itu kita juga melihat penolakan rakyat terhadap BN belum lagi surut. Ia bermula di Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Umno hanya bergantung kepada kekuatan jentera kerajaan dengan kehadiran menteri yang silih berganti ke Manek Urai.
Biar pun mereka umpan dengan pelbagai projek bagi menarik simpati rakyat, namun ia bukan perkara yang baru berlaku. Rakyat sudah melihat apa yang telah mereka lakukan sebelum ini.

Mungkin ada sedikit kebimbangan kalau dibanding dengan pilihan raya kecil sebelum ini. Ini kerana di Manek Urai hampir 99 peratus pengundi ialah orang Melayu. Orang Melayu lebih mudah terpengaruh dengan umpan kebendaan?

Umno begitu mengharapkan dengan situasi tersebut kerana di tempat-tempat lain sudah terbukti kaum bukan Melayu menolak BN. Umno amat mengharapkan kelebihan tersebut.
Bagaimanapun kita berharap penduduk di sini tidak mudah terpengaruh dengan segala umpan yang diberikan. Lebih-lebih lagi dengan kehadiran penduduk tempatan yang begitu ramai pada majlis pengumuman calon PAS. Saya cukup terharu melihat mereka bersemangat sehingga memenuhi padang di Kampung Manek Urai Lama.

Pada pilihan raya umum lalu Abe Uji pernah dicadangkan sebagai calon PAS di Dun Guchil, namun pada saat-saat akhir kerusi itu diberi pula kepada KeADILan. Apa perasaan ketika itu?

Saya tidak merasakan apa-apa masalah biar pun pada peringkat awal disebut sebagai calon PAS di Guchil. Malah saya telah memberi kerjasama padu kepada Tuan Zamri Arif Tuan Zakaria bagi memastikan Dun tersebut dirampas semula Pakatan Rakyat.
Saya tidak pernah berdukacita terhadap apa yang berlaku. Ini kerana bukan cita-cita saya untuk menjadi wakil rakyat. Saya cuma memikulkan amanah apa yang diputuskan oleh parti. Begitu juga di Manek Urai sekarang saya, tidak ada cita-cita tinggi dalam politik. Namun apabila dicalonkan oleh parti, jadi terpaksalah saya memikul segala tanggungjawab yang diamanahkan.

Sekiranya Abe Uji dipilih sebagai wakil di Manek Urai apa agenda yang akan dilakukan?

Insya-Allah saya dan kawan-kawan di sini akan memikirkan apa perkara yang patut kita lakukan. Bagaimanapun kebiasaan di kawasan hulu masalah penyelesaian hak milik tanah menjadi keutamaan.
Jadi saya akan berusaha menyelesaikan perkara tersebut. Selain itu akan berusaha meneruskan apa-apa aktiviti dan kegiatan yang telah dilakukan arwah Paksu Wil. Sekarang rakyat di Manek Urai boleh dikatakan cukup bertuah kerana pembangunan sedang giat dilakukan sama ada di bawah peruntukan kerajaan pusat atau negeri. Kita bersyukur kerana rakyat mendapat kemudahan tersebut.

Sejak bila Abe Uji terlibat dengan PAS?

Bermula pada 1982 sebagai ahli di bandar Kuala Krai. Ketua Cawangan di Bandar Kuala Krai. Kemudian dilantik sebagai Bendahari Dun Guchil. Pernah dilantik sebagai Penyelia Dun Guchil. Dilantik pula sebagai Bendahari PAS Kawasan Kuala Krai.

Latarbelakang keluarga macam mana?

Ayah saya Abdullah Ismail. Ibu Limah Dollah. Mempunyai lapan adik beradik. Kakak sulung Mariam, isteri kepada pesara polis kini tinggal di Kampung Laloh, Manek Urai. Kedua, Prof Dr Siti Aminah bertugas sebagai pensyarah di UKM. Ketiga, Ibrahim seorang peniaga, keempat, Sabariah bekerja sebagai ketua jururawat di Hospital Temerloh, Pahang, kelima, Mohd Yazid seorang jurutera kini bertugas sebagai pengarah di Putrajaya, ketujuh Razali mempunyai syarikat juru ukur perunding di Pulau Pinang dan yang bongsu, Zaidi lepasan bidang IT di Australia.
Saya pula mempunyai lima anak, yang sulung belajar di USM, kedua lepasan SPM di Maahad Rahmaniah Kuala Krai, dua adiknya juga belajar di sekolah yang sama. Manakala yang bongsu baru darjah enam.

Pendidikan formal Abe Uji?

Saya belajar di Sekolah Kebangsaan Kuala Krai dan mengikuti pengajian agama di Pondok Sungai Durian. Sekarang lebih kerap belajar agama di Masjid Jauhar di depan Caltex. Saya juga dilantik sebagai bendahari masjid berkenaan.
Saya tidak dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi kerana ayah bekerja sebagai pengayuh beca. Pernah seorang abang saya mahu berhenti sekolah kerana tidak mampu membayar yuran. Saya dan adik beradik lain membantunya bagi membolehkan dia terus belajar. Dia seorang pelajar yang pintar.

Pesanan Abe Uji kepada pengundi di Manek Urai?

Saya berharap jentera parti di semua peringkat sama-sama mengembelingkan usaha bagi memenangkan perjuangan Islam. Kita perlu bekerjasama erat dengan rakan-rakan dalam Pakatan Rakyat.
Kita perlu kuatkan semangat dan tidak mudah lemah apabila berdepan dengan pihak lawan yang hadir dengan peralatan kerajaan. Kehadiran saya di Manek Urai bagi meneruskan usaha-usaha yang dilakukan Allahyarham Paksu Wil.
Kita perlu berpadu bagi mencapai matlamat tersebut. Perjuangan kita bagi menjunjung agama Allah. Pengundi usah mudah terpengaruh dengan tawaran kebendaan kerana ia hanya bersifat sementara. Ini kerana segala tindak-tanduk kita di atas dunia ini akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Apa nak jadi dengan Mufti berpolitik Tan Sri Harussani Zakaria?

SAYA tercari-cari kalau-kalau Mufti Perak, Dato’ Harussani Zakaria sewaktu memegang jawatan dalam kerajaan, atas sifatnya sebagai ulamak, pernah mengkritik kerajaan BN atau mana-mana tokoh politik dari parti komponen BN atas apa-apa isu yang bersangkut paut dengan Islam.

Sewaktu BN dengan rakus melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap umat Islam Memali pada tahun 1985 kita tidak mendengar barang sepatahpun kata-kata kecaman dari Harussani terhadap tindakan zalim golongan yang berhati binatang itu.

Apabila kerajaan PAS Kelantan dan Terengganu meluluskan kanun jenayah syariah yang di dalamnya terkandung hukum hudud, PAS telah diserang di segenap penjuru oleh pemimpin-pemimpin BN, termasuk pemimpin Umno. Bukan setakat PAS dibelasah, tetapi Islam diperlekehkan. Apa yang Dr. Mahathir tidak kata mengenai hukum hudud di perhimpunan agung Umno. Perwakilan Umno bertepuk mengejek setiap kali hudud dipersenda. Apa yang Harussani buat masa itu?

Bekas Mufti Selangor, Dato’ Ishak Baharom antara ulamak yang berani bersama dengan kebenaran, menyatakan bantahan terhadap golongan penentang hukum Allah sehingga dia dipecat. Mengapa Mufti Perak tidak bersama Mufti Selangor masa itu?

Sewaktu Anwar Ibrahim dipecat dan dihadapkan dengan konspirasi tuduhan liwat dan zina sehingga menimbulkan kegawatan politik dan ‘perpecahan besar’ (mengikut persepsi Umno yang Harussani mungkin berkongsi tafsiran mengenainya) Harussani hanya membisu. Mengapa dia tidak lantang menyatakan tentangan terhadap perbuatan khazaf yang dilakukan oleh penguasa? Anwar dibelasah dalam penjara hingga hampir maut, mengapa Harussani tidak mengeluarkan ayat-ayat Quran mahupun Hadis kepada pemerintah bahawa haram melakukan kezaliman?

Apabila kerajaan BN menarik balik bantuan kepada sekolah agama rakyat di seluruh negara sambil menuduh institusi pengajian tersebut hanya melahirkan golongan pelampau yang menyelewengkan ajaran Islam, mengapa Harussani tidak berkata apa-apa?

Tetapi sejak dahulu dan kini, Harussani cukup berselera untuk menyindir mahupun mengkritik PAS. Bekas Presiden PAS, Almarhum Dato’ Fadzil Noor pernah tersinggung dengan sindiran Harussani yang menasihatkan umat Islam (jelas ditujukan kepada ahli-ahli PAS) suapaya menanggalkan pakaian politik dan menyangkutnya di pagar masjid. Dato’ Fadzil menjelaskan bahawa Islam adalah agama yang syumul, tidak salah membawa politik ke dalam masjid.

Apabila BN hilang kuasa di Perak, Harussani dikatakan orang yang dipergunakan oleh Umno Perak untuk memujuk PAS membentuk kerajaan perpaduan Melayu/Islam. Ditakdirkan Umno berkuasa semula di Perak melalui penculikan dan rasuah, Harussani dikatakan antara orang yang cukup gembira kerana kerajaan dominasi Melayu/Islam kembali berkuasa. Sejak itu dia lebih selesa untuk mengeluarkan kenyataan demi kenyataan membidas PAS yang kadang-kadang dilihat lebih Umno dari Umno.

Terbaru beliau kononnya kecewa dengan sesetengah parti poltik yang didakwa parti Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan sesama Islam demi menegakkan ideologi politik.

Katanya, parti yang mendakwa Islam ini (sebut sajalah PAS) bertindak tidak seperti mana DAP yang tidak bergaduh sesama parti Cina lain malah sanggup pula bersatu demi kejayaan kaum sendiri.

Ucapannya yang senada dengan pejuang asobiyah kaumiyah Melayu itu dijadikan tajuk utama sebuah akhbar talibarut BN.

Kerajaan Perpaduan adalah jenama baru yang disensasikan oleh media-media propaganda BN dalam usaha memecahkan perpaduan Pakatan Rakyat sebagai gabungan yang dilihat hampir pasti menumbangkan BN dalam pilihanraya umum ke 13 nanti. Ia juga dijadikan ‘bahan bukti’ di kalangan orang Melayu bahawa kononnya PAS lebih menerima bukan Melayu dari menjalin perpaduan sesama Melayu/Islam.

Agak sukar untuk memahamkan Harussani dan ulamak-ulamak makan gaji semacamnya bahawa isu perpaduan Melayu akan muncul setiap kali Umno ditolak oleh pengundi. PAS pernah mengusulkan muzakarah dengan Umno sewaktu parti rasuah itu kuat. Dr. Mahathir yang jadi Presiden Umno ketika itu dengan angkuh berkata, “Sejak bila pula PAS tahu erti muzakarah?”

Tetapi muzakarah isu muncul selepas pilihanraya umum 1999 apabila Umno kehilangan banyak kerusi. Semua masih ingat bahawa usaha muzakarah itu hingga ke peringkat pertemuan antara Setiausaha Agung PAS dan Umno. Gagal juga akhirnya apabila beberapa permintaan PAS sebelum muzakarah diadakan gagal ditunaikan Umno. Apabila diusulkan semula muzakarah Umno-PAS selepas pilihanraya umum 2004, hanya dua patah perkataan yang diucapkan Pak Lah, “Tak perlu!”. Tak semua Melayu mudah lupa catatan sejarah itu.

Harussani dilaporkan berkata, “Saya amat berharap mereka yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan tetapi kembali menidakkannya, kembali mematangkan fikiran dan perasaan tanggungjawab kepada Allah untuk menyatupadukan umat Melayu dan Islam.”

Ruangan ini terlalu terhad untuk memahamkan Harussani bahawa Umno adalah sebuah parti yang telah banyak mengkhianati Melayu dan Islam. Bersekongkol memanjangkan hayat Umno bererti meneruskan kezaliman, rasuah yang berakar umbi, salah guna kuasa demi kroni, penyalahgunaan wang dan khazanah kekayaan negara, lambakan budaya maksiat dan penyuburan hedonisme serta penolakan terhadap hukum Allah dan syariatnya. Aulawiyatnya ialah mengalahkan Umno di Pusat. Biar runtuh ibu kemungkaran itu.

Lepas itu, baru kita boleh berkira-kira untuk berbincang isu perpaduan. Itu pun kalau masih ada benih Umno.

Ditulis Oleh ZULKIFLI YAHYA

Apakah kabinet Dewan Muslimat PAS Pusat kali ini menjadi kuasa pendesak terkuat dalam parti?

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Dewan Muslimat PAS Pusat telah melantik Kartini Ahmad sebagai Setiausaha yang baru bagi sesi 2009/2011 menggantikan Salbiah Abdul Wahab, yang kini diletakkan semula sebagai Ketua Penerangan. Sesi lalu, Salbiah adalah setiausaha dan sebelum itu disandang oleh Aiman Athirah Al-Jundi.

Exco Kerajaan Kelantan yang juga Adun Kijang, Wan Ubaidah Omar dilantik sebagai Bendahari. Sementara Ahli Parlimen Kota Raja, Dr. Mariah Mahamod dilantik Pengarah Pilihan Raya.

Berikut adalah senarai penuh Ahli Jawatan Kuasa mengikut lajnah dan jabatan. Pengerusi Lajnah Politik dan Pilihanraya, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Pengerusi Lajnah Tarbiyyah dan Pengkaderan, To’ Puan Fatimah @ Zainab Ibrahim; Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah; Aiman Athirah Al-Jundi.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Ekonomi dan Kewangan disandang oleh Khadijah Mahmud; Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusuf; Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan; Dr Najihatussalehah Ahmad; Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional, Dr. Halimah Ali Abdullah.

Pengerusi Lajnah Antarabangsa, Mastura Mohamad; Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Parlimen dan Dun (HepDUN), Senator Mumtaz Md Nawi; Pengerusi Lajnah Pengguna & Alam Sekitar, Nurul Huda Yusof Rawa; Pengerusi Lajnah Pendidikan, Wardatul Jannah As-Sofea.

Bekas Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Azizah Khatib Mat dilantik Pengerusi Lajnah Pertanian dan Asas Tani; Pengarah Nisa’, Dr Rosni Adam, Pengarah Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan (R&D), Prof Rohaya Yaakob; Pengarah Muslimat Legal Team (MusLET), Hazizah Kassim dan Pengarah Jabatan Teknologi Maklumat Muslimat (JITM), Dr. Huda Abdullah.

Dr. Asiah Ali yang bertanding merebut jawatan Ketua Dewan Muslimat pada mukatamar baru-baru ini dilantik Timbalan Pengerusi Tarbiyyah & Pengkaderan; Timbalan Pengerusi Lajnah Pemerkasaan Parti, Fatimah Wan Teh; Timbalan Pengerusi Ekonomi dan Kewangan, Puan Hawa Yaakob dan Timb. Pengarah Nisa’, Puan Muna Izzah Dato’ Fadzil.

Pada pemilihan lalu, Ustazah Nuridah Mohd Salleh kekal Ketua Muslimat. Manakala untuk Timbalan, Siti Zailah Mohd Yusof menewaskan penyandang Wan Hasrina Hassan. Bagaimanapun, Mumtaz Mohd Nawi menang tanpa bertanding untuk kerusi naib.

Kabinet Dewan Ulama PAS Pusat diharap mampu perkasa parti

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Ahli Jawatan Kuasa Dewan Ulama PAS Pusat kali pertama sesi 2009-2011, 18 Jun lalu telah memilih Ustaz Muhamad Zain Abdul Rahman sebagai setiausaha dan bekas speaker Kerajaan Terengganu, Dato' Husain Awang sebagai Pengarah Jabatan Pilihan Raya dewan itu.

Tiga penolong setiusaha turut dilantik, mereka ialah Ustaz Dr Badruzzaman Yusof, Ustaz Dr Azahari Aripin dan Ustaz Dr Shahbudin Ngah. Mesyuarat juga mengekalkan Ustaz Nik Muhamad Zawawi Salleh sebagai ketua penerangan dan bendahari diamanahkan kepada Ustaz Khairuddin Razali.

Seramai sembilan orang ahli jawatan kuasa tambahan turut dilantik. Mereka ialah Ustaz Jaliluddin Abdul Wahid, Ustaz Soid Md. Amin, Ustaz Wan Abdul Halim Wan Chik, Ustaz Haji Khirul Muntanazar Ismail, Ustaz Mokhtar Senik, Ustaz Mustafa Shaari, Ustaz Zolkharnain Abidin, Ustaz Nor Najhan Mohd Salleh dan Ustaz Mohd. Khairi Zainuddin.

Terdahulu, pada Muktamar Tahunan Dewan Ulama PAS ke-48 yang diadakan di Muzium Negeri Selangor, seramai sembilan orang ahli jawatan kuasa telah dipilih oleh perwakilan.

Mereka ialah bekas ketua dewan itu, Dato' Ustaz Mohamed Daud Al-lraqi, Dato' Ustaz Hassan Mohamad, Ustaz Mohamad Mustaffa, Ustaz Salleh Sani Harun Al-Hafiz, Ustaz Abdullah Abdul Razak, Ustaz Abu Bakar Abdullah, Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin, Ustaz Ismail Noh dan Ustaz Abdullah Husain.

Pada pemilihan itu, Ustaz Dato' Harun Taib menang tanpa bertanding sebagai ketua dewan ulama. Bagi jawatan timbalan dan naib juga, masing-masing disandang oleh Ustaz Dato' Ahmad Yaakob dan Ustaz Dato' Dr Mahfodz Muhamad. Mereka menang tanpa bertanding.

Isu laporan polis Pemuda Umno Kelantan terhadap Tok Guru Nik Aziz, jerat leher Umno. Pemuda ajak muzakarah, kalau berani!

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Pusat bersedia menganjurkan muzakarah terbuka dengan Pemuda Umno jika mereka mendakwa perjuangan yang dibawa oleh parti kebangsaan itu tidak menyalahi syariat sepertimana yang didakwa oleh Mursyidul Am PAS, Dato' Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, yang menyamakan Umno seperti ajaran sesat Ayah Pin, pengganas komunis dan Chin Peng.

Menurut ketua pemudanya, Ustaz Nasruddin Hassan, beliau mengharapkan supaya Pemuda Umno tidak menolak muzakarah ini sebaik sahaja surat jemputan rasmi dihantar kepada mereka dalam masa terdekat.

"Pada muzakarah itu nanti, Pemuda Umno boleh jelaskan bahawa perjuangan Umno tidak bercanggah dengan syatriat dan mereka tidak perlu mengelak dari menghadiri muzakarah ini jika mereka berada di pihak yang benar," tegas beliau.

Sementara itu, di Kelantan, Pengarah Pilihan Raya Kecil Manik Urai, Abdul Fatah Harun berkata, tindakan Pemuda Umno Kelantan membuat laporan polis terhadap Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Haji Nik Abdul Aziz bagaikan menjerat leher Umno sendiri dan memberi impak positif kepada PAS.

Dengan laporan polis tersebut, katanya, Umno dengan sendirinya membuka ruang kepada PAS untuk menjelaskan tentang perjuangan Umno yang sebenarnya.

Menurut Abdul Fatah, perjuangan Umno sememangnya sudah jauh menyimpang dari Islam dan memang diketahui umum mengenainya, malah mungkin ada di kalangan ahlinya sendiri menyedari hakikat tersebut.

"Ia (laporan polis) itu menjerat Umno sendiri, kerana perjuangan mereka memang sudah salah. Tidak ada yang salah dengan kenyataan Tuan Guru itu. Jika diajak berhujah pun, memang akan terbongkar susur galur perjuangan Umno yang salah itu," tegas beliau ketika diminta mengulas tindakan Pemuda Umno Kelantan, baru-baru ini.

Laporan polis itu dibuat berikutan kenyataan Menteri Besar Kelantan yang menyamakan Umno seperti ajaran sesat Ayah Pin, pengganas komunis dan Chin Peng, dalam ceramahnya, di Manik Urai, sebelum ini.

Tambah Abdul Fatah, tindakan Pemuda Umno itu akan memberikan impak positif kepada PAS kerana sudah lama PAS mempunyai hujah yang kuat tentang perjuangan Umno, malah rakyat juga mengetahuinya.

Katanya, tindakan Pemuda Umno itu tidak akan menggugat kerja-kerja parti menjelang hari pengundian, malah memberi ruang kepada PAS untuk menjelaskan kepada rakyat tentang perjuangan Umno yang sebenarnya.

Nasruddin desak Zaini Mohd Said mohon maaf pada Mursyidul Am PAS

KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan mendesak penulis, Zaini Hassan memohon maaf kepada Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat kerana menganggap Menteri Besar Kelantan itu seorang pengamal 'political animal'.

Beliau menyifatkan istilah 'political animal' yang digunakan oleh penulis tersebut dalam ruangan rencana Utusan Malaysia adalah berniat jahat untuk merendahkan kewibawaan Tuan Guru, Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Dalam kenyataannya kepada Harakah, beliau berpendapat adalah tidak wajar penulis tersebut merendahkan kewibawaan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah terbukti berjaya mendidik dan memimpin masyarakat dan rakyat di negeri Kelantan, juga Malaysia seluruhnya.

"Kesediaan Tuan Guru menarik balik kenyataannya sebelum ini menandakan sikap rendah diri serta ketinggian budi beliau selaku seorang ulama dan pemimpin Islam yang baik.

"Sebagai manusia biasa yang tidak lepas daripada salah dan silap, beliau (Tok Guru Nik Aziz) bersedia diperbetul dan diperbaiki dari masa ke semasa. Salah faham yang berlaku dalam PAS sebelum ini telah berjaya diselesaikan dengan semangat persaudaraan dan kasih sayang dengan baik tanpa sebarang dendam dan sengketa," tegasnya.

Apa yang berlaku katanya adalah satu hikmah yang memerlukan semua pihak mengambil pengajaran di sebaliknya.

Sehubungan itu beliau menasihatkan mana-mana pihak yang tidak memahami kedudukan sebenar apa yang berlaku dalam PAS tidak mengeluarkan sebarang kenyataan sebelum mendapat penjelasan dan gambaran tepat apa yang terjadi bagi mengelak sebarang kekeliruan dan salah anggap.

Kenapa perlu bayar RM1 juta kepada Tan Sri Jean Todt?

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar menegaskan pemberian peruntukan RM1 juta kepada tunang pelakon antarabangsa kelahiran Ipoh, Dato' Michelle Yeoh itu merupakan satu penyalahgunaan kuasa dan bercanggah dengan kenyataan Menteri Pelancongan, Dato' Seri Dr Ng Yen Yen baru-baru ini yang menjelaskan Todt berkhidmat sebagai sukarelawan yang tidak dibayar apa-apa gaji.

Beliau juga turut mempersoalkan tindakan Kementerian Pelancongan yang menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta kepada Dato' Seri Jean Todt sebagai duta pelancongan.

Mahfuz menegaskan, kementerian sepatutnya mengarahkan Lembaga Pembangunan Pelancongan (TDC) bagi menjalankan kerja-kerja mempromosikan Malaysia bukan kepada individu-individu seperti Todt.

"Sepatutnya TDC yang memainkan peranan yang lebih agresif dalam usaha untuk mempromosikan Malaysia kepada masyarakat luar. Kita tidak memerlukan individu seperti Todt untuk mempromosikan Malaysia kerana negara ini bukan terkenal dalam sukan permotoran. Wang sejumlah RM1 juta itu tidak akan memberi pulangan yang baik kepada pelancongan negara," tegas Mahfuz.

Mahfuz juga berkata biarpun Malaysia dikenali sebagai salah satu litar terkenal dalam perlumbaan F1, tetapi peranan yang boleh dimainkan oleh Jean Todt amat terhad kerana negara ini bukan jaguh terkenal dalam sukan permotoran.

Sementara itu, Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali mendakwa kementerian itu membelanjakan hampir RM1 juta dengan anggaran RM593,400 bagi mempromosikan negara dan memberi peruntukan sebanyak RM388,000 untuk percutian dalam negara serta sebidang tanah di Pulau Besar kepada Todt.

Azmin mendakwa beliau ada dokumen yang menunjukkan ada perhubungan antara Todt dan kementerian Pelancongan mengenai hal tanah.

Ng berkata Todt, bekas pengurus Formula 1 Ferrari dilantik sebagai duta Tourism Malaysia selama dua tahun pada Mei lepas. Beliau juga turut menolak dakwaan bahawa Todt diberikan sebidang tanah di Terengganu.

Slogan "1Malaysia" pembohong. Najib buktikan dengan bayar royalti petroleum kepada Kelantan segera!

KERAJAAN BN dibawah pentadbiran Dato' Seri Najib Tun Razak seharusnya menunaikan segera slogan mereka '1Malaysia, Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan' dilaksanakan bukan sekadar retorik semata-mata.

Untuk membuktikan Najib dan BN serius mengutamakan rakyat, langkah pertama yang harus dilakukan dengan cara membayar royalti petroleum berjumlah RM500 juta kepada Kerajaan Kelantan.

Membayar royalti petroleum yang tertunggak sejak tahun 2004 merupakan usaha mengutamakan rakyat kerana wang tersebut milik rakyat Kelantan jadi sewajarnya BN mengembalikan hak rakyat Kelantan bukan hanya menyerahkan kepada dua tiga kerat kroni untuk menikmati hasilnya.

Bagi Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri, Dato' Husam Musa tuntutan yang dibuat oleh kerajaan Kelantan sewajarnya dipertimbangkan oleh Perdana Menteri yang mahu mengutamakan rakyat.

Beliau berkata, Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menulis surat rasmi kepada Perdana Menteri berhubung perkara tersebut.

Mewakili seluruh rakyat Kelantan, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution pada 16 Jun lalu ketika bangun membahaskan Pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri 1995 mendedahkan sikap tidak adil kerajaan BN yang menganaktirikan rakyat Kelantan dengan cara menafikan hak mereka menerusi wang royalti petroleum sejak tahun 2004.

Beliau mengecam sikap pemimpin Umno-BN yang sering menyerang pemimpin PAS Kelantan dengan mengatakan mereka tidak pandai memerintah, tidak pandai mentadbir, tidak pandai membangunkan rakyat dan lain-lain sedangkan pada hakikatnya pemimpin Umno-BN menafikan hak yang sepatutnya dimiliki oleh rakyat Malaysia.

"Kerajaan BN sepatutnya membayar royalti petroleum ini kepada Kelantan kerana ia hak rakyat Kelantan dan bersesuaian dengan slogan satu Malaysia, rakyat didahulukan.

"Jika royalti ini diserahkan lebih banyak program kebajikan dapat dilaksanakan oleh kerajaan negeri Kelantan kerana dalam keadaan pendapatan yang tidak seberapa pun sudah banyak program kebajikan untuk rakyat dapat dilaksanakan," tegas beliau.

Saifuddin juga menegaskan kerajaan pusat perlu amanah dalam menjaga dan menbahagikan hak rakyat. Tidak ada sebab untuk menafikan hak mana-mana rakyat hanya kerana negerinya tidak diperintah oleh BN.

Pendedahan yang dibuat oleh Saifuddin di Dewan Rakyat itu mendapat respons dari Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Yusof yang mendesak Perdana Menteri memberi pertimbangan yang adil terhadap rakyat Kelantan dalam pemberian royalti petroleum di negeri tersebut.

"Kenapa Kelantan dinafikan haknya sedangkan negeri seperti Terengganu, Sabah dan Sarawak menerima royalti daripada hasil petroleum?

"Rakyat Kelantan turut membayar cukai dan Kelantan juga sebahagian daripada kerajaan Persekutuan, justeru saya berharap hak rakyat Kelantan dapat dikembalikan," tegas beliau.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang menegaskan, setiap kali isu mengenai pemberian royalti petroleum ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pakatan Rakyat dalam sesi soal jawab di Parlimen, menteri berkaitan memberi jawapan Kalantan tidak berhak ke atas royalti tersebut.

Siti Zailah juga menyelar pembohongan yang dilakukan oleh kerajaan yang disifatkan menganiayai pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong turut mendesak kerajaan menyegerakan pembayaran royalti petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan. Kerajaan BN, tegas beliau perlu menyerahkan royalti petroleum itu dinikmati oleh rakyat Kelantan bersesuaian dengan konsep '1Malaysia, Rakyat diutamakan' yang menjadi slogan pentadbiran Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak.

"BN perlu segera membayar royalti petroleum kepada kerajaan negeri Kelantan kerana ia milik rakyat negeri itu.

"Sesuai dengan konsep 1Malaysia, rakyat diutamakan, hak rakyat Kelantan tidak seharusnya dinafikan," tegas anak kelahiran Kelantan itu.

Wee juga menegaskan, jika kerajaan pusat membayar royalti tersebut, Kerajaan Kelantan boleh mengunakan wang tersebut untuk membangunkan negeri dengan lebih rancak lagi dan dapat memberi manafaat kepada rakyat.

BN, katanya, perlu mengembalikan hak rakyat Kelantan sepertimana yang dinikmati oleh rakyat Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Sependapat dengan beliau, Ahli Parlimen Padang Serai, Gobala Krishnan turut mendesak agar BN segera menyerahkan royalti petroleum kepada kerajaan PAS Kelantan. Beliau menegaskan, kerajaan BN perlu memandang juah ke hadapan dengan turut mementingkan kebajikan rakyat Kelantan.

"Saya mohon Najib tidak pilih kasih dan segera membayar royalti milik kerajaan Kelantan untuk dinikmati oleh rakyat negeri itu. Dengan menyerahkan royalti kepada kerajaan PAS Kelantan, BN boleh membuktikan mereka serius mengutamakan rakyat kerana rakyat Kelantan juga rakyat Malaysia," tegas pengasas Kelab Penyokong PAS itu.

Gobala juga menegaskan wang royalti itu dapat digunakan oleh pentadbiran Kelantan untuk menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negeri tersebut. Beliau turut kesal dengan sikap pemimpin BN yang sering menafikan Kelantan layak menerima royatlti petroleum.

Penafian tersebut, katanya, membuktikan pemimpin BN cuba menafikan hak yang sepatutnya dinikmati oleh rakyat Kelantan semata-mata kerana negeri itu diperintah oleh pembangkang sepertimana dilakukan terhadap Terengganu ketika PAS memerintah negeri tersebut pada tahun 1999 hingga 2004.

Sebanyak 13 trillion kaki persegi simpanan gas asli yang sudah diterokai terdapat di perairan Kelantan. Dengan jumlah tersebut, ia mencukupi untuk tempoh lebih kurang 500 tahun lamanya.

Kerajaan PAS Kelantan telah meluluskan pembinaan Terminal Pendaratan Gas Asli dan juga Supply Base untuk Petroleum dalam usaha memperkasakan hasil bumi Kelantan dan mempertahankan hak rakyat Kelantan.

Ditulis Oleh IRWAN MUHAMAD ZAIN

Umno patut belajar dari PAS atasi kemelut, setelah bergelut dengan Kerajaan Perpaduan


TUAN Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya tidak ada masalah dengan Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa. Isu yang menjadikan ia menimbulkan ketegangan ini ialah ura-ura mengadakan pertemuan bagi tujuan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

Kata-katanya yang mahukan Ustaz Nasharudin meninggalkan PAS dan meletakkan jawatan Ahli Parlimen Bachok sekiranya mahu menyokong cadangan mengadakan Kerajaan Perpaduan dengan Umno, sebenarnya pendirian tegasnya mengenai isu itu yang tidak boleh dibuat secara sombrono tanpa berbincang di peringkat presiden terlebih dahulu.

Kematangan dua Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub dan Dato' Mahfuz Omar yang mencadangkan supaya Nasharudin bersemuka dengan Mursyidul Am PAS bagi tujuan penyelesaian cara anak-beranak juga menjadikan suasana itu tidak terus keruh.

Sebagai seorang bapa yang berjiwa negarawan, Tuan Guru Nik Aziz juga tidak mahu ia berpanjangan dan menarik balik semua kata-katanya itu, apabila sah, cadangan penubuhan Kerajaan Perpaduan sudah ditamatkan.

Apakah sifat berjiwa besar dan pemaaf Tuan Guru Nik Aziz ini ada pada setiap manusia? Lebih-lebih lagi kepada mereka yang berjawatan tinggi dalam parti dan kerajaan. Mursyidul Am PAS ini mendahului yang lain, tidak perlu menyimpan apa-apa perasaan apabila isu yang menyebabkan ketegangan itu berjaya dirungkai dan yang penting pihak di luar sana khususnya Umno tidak dapat mengambil kesempatan dari ketegangan yang timbul itu.

Naib Ketua Pemuda Umno, Datuk Razali Ibrahim secara serta-merta mengalu-alukan Nasharudin supaya menyertai Umno. Malahan, di samping mengalu-alukan ‘kemelut seketika itu’ Umno nampak inilah ketikanya PAS dapat digoncang kestabilannya kerana berlaku pertembungan antara Mursyidul Am dengan Timbalan Presiden.

Kelebihan yang ada pada Nasharudin pula ialah apabila beliau memilih untuk ‘menutup mulut’ dari segala situasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan. Wartawan dari media massa arus perdana dihantar ke rumah Nasharudin untuk mendapatkan komennya mengenai keadaan itu, tetapi hampa.

Memetik kenyataan Tuan Guru Nik Aziz; Setelah berbincang dari awal hingga akhir dalam perjumpaan khas yang diadakan di Pejabat Agung (PAS) dalam semangat kekeluargaan bagi menangani permasalah dalam beberapa isu politik semasa, yang dibesarkan oleh media perdana, kami akhirnya bersetuju sebulat suara melupakan perihal salah tanggapan antara pemimpin atasan parti akibat daripada permainan politik parti Umno.

"Kami sama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus bersama-sama memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair.

"Kami juga bersetuju sebulat suara bahawa kerajaan perpaduan diberhentikan serta-merta seperti yang telah diputuskan oleh Presiden PAS bersama Pakatan Rakyat dalam satu kenyataan bersama di bagunan Parlimen jam 2.30 tadi (22 Jun 2009) yang menolak sepenuhnya idea kerajaan perpaduan.

"Oleh yang demikian, selaras dengan itu, saya selaku Musyidul Am PAS menarik balik segala kenyataan saya terhadap YB Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Presiden PAS dan dengan itu, ianya tidak berbangkit lagi."

Turut hadir dalam perjumpaan khas itu ialah Presiden, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Timbalan Mursyidul Am, Datuk Dr. Harun Din, Naib-Naib Presiden, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Sallahuddin Ayob dan Datuk Mahfuz Omar, Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali, bekas Naib Presiden, Ustaz Ahmad Awang, Ketua Dewan Pemuda Ustaz Nasruddin Hassan dan Ketua Dewan Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh.

Inilah kelebihan PAS jika dibandingkan dengan Umno. Umno menghadapi gelora yang agak panjang apabila Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin bercakap mengenai ‘pelan peralihan kuasa’ antara Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) dengan Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menyebabkan ‘ada rangkaian sahabat’ menjalankan kerja-kerja untuk menghalang Muhyiddin menang Timbalan Presiden Umno.

Malahan, usaha Muhyiddin untuk berjumpa dari hati ke hati dengan Abdullah tidak diterima sehinggalah Muhyiddin memohon maaf dari Abdullah di Perhimpunan Agung Umno yang menyebabkan Abdullah tidak dapat membuat pilihan lain, kecuali mengatakan ‘Pak Lah tak pernah berkecil hati dengan Muhyiddin’ walaupun umum tahu, Muhyiddin nyaris-nyaris tidak berjaya menjadi Timbalan Presiden, jika bukan kerana ‘bantuan’ Lembaga Disiplin Umno yang mengenakan tindakan terhadap seorang lagi calon Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Khabarnya, Najib sendiri tidak berani mempertahankan Muhyiddin di depan Abdullah kerana Najib tidak mahu nasibnya ‘terkulai layu’ seperti mana yang pernah berlaku terhadap tiga Timbalan Presiden sebelum Abdullah iaitu Tun Musa Hitam, Tun Ghafar Baba dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Begitu juga pertembungan antara Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dengan Tan Sri Rafidah Aziz juga tidak menyebabkan ‘salah seorang dari mereka’ sanggup menarik balik kata-kata yang sudah mereka hamburkan.

Mereka ‘bergaduh’ dan bermasam muka mungkin kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan agama yang cukup untuk ‘menarik balik segala kata-kata yang diucapkan’ ekoran satu-satu isu yang timbul.

PAS mendahuluinya. Umno kenalah belajar dari cara PAS menyelesaikan masalah. Dengan cara itu, parti akan bertambah kuat kerana tiada siapa yang terasa hati dan tiada siapa yang mengambil hati dalam ‘perbalahan’ yang tidak terduga.

Tepatlah kata bijak pandai, dalam politik, ‘jangan mudah berkecil hati, jangan mudah mengambil hati, jangan mudah terluka hati, jangan mudah terasa hati dan jangan mudah jauh hati tetapi orang politik mestilah selalu berhati-hati.

Musuh sentiasa menunggu dan jika kelemahan ini tidak diselesaikan secepat mungkin dan tidak ada pemimpin besar yang bersifat negarawan, maka yang untungnya bukan parti tetapi musuh yang mengharapkan perpecahan berlaku.

Ditulis Oleh IDRIS SAMAD

Lim Kit Siang bidas Najib kerana terus pelawa PAS bincang Kerajaan Perpaduan

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang membidas gesaan Perdana Menteri, Dato Seri Mohd Najib Tun Razak kepada PAS supaya menghidupkan semula cadangan pembentukan Kerajaan Perpaduan, kononnya demi kepentingan bangsa Melayu dan Islam.

Kit Siang menyifatkan gesaan itu bukan sahaja mencerminkan politik sempit tetapi condong kepada perpaduan satu kaum sahaja.

"Adakah beliau merestui jika perbincangan mengenai perpaduan antara kaum Cina diadakan oleh parti BN dan pihak lain... begitu juga jika perbincangan yang sama antara kaum India, Iban atau Kadazan?" tanya beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor.

Bercakap kepada media di lobi Parlimen, tokoh DAP itu berkata gesaan Najib membelakangkan slogan "1Malaysia" yang dicanangnya sebagai komitmen pentadbiran beliau dalam memupuk perpaduan kalangan pelbagai kaum.

"Kita sepatutnya mengadakan perbincangan perpaduan rakyat Malaysia dan Pakatan Rakyat bersikap terbuka jika mahu diadakan perbincangan bersama bagi semua isu-isu demi kepentingan negara," tambahnya lagi.

Beliau juga melontar persoalan sama ada parti-parti komponen BN akan terus menerima konsep 1Malaysia dalam keadaan Umno begitu cenderung mahu menubuhkan Kerajaan Perpaduan dengan PAS.

Kit Siang mencabar pemimpin parti komponen BN membuat pendirian terbuka dengan kesungguhan Umno untuk menjalin kerjasama politik dengan PAS atas alasan memelihara kepentingan Melayu.

"Adakah Ong Tee Keat (Presiden MCA) dan Koh Tsu Koon (Presiden Gerakan) bersetuju bahawa perbincangan perpaduan Melayu tidak bercanggah dengan 1 Malaysia? Mengapa mereka membisu mengenai perkara ini?" soalnya lagi.

Najib terus memainkan isu Kerajaan Perpaduan sebagai modal politik untuk meraih sokongan pengundi Melayu yang semakin pudar terhadap Umno. PAS telah pun secara rasmi menolak perlawaan itu dan menyatakan komitmen penuh untuk memperkasakan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan alternatif yang berwibawa bagi menggantikan BN.

Dalam satu kenyataan bersama Isnin lalu, ketiga-tiga pimpinan tertinggi Parti Keadilan Rakyat, PAS dan DAP menolak cadangan Kerajaan Perpaduan sebagai fitnah dan tohmahan jahat serta tindakan terdesak Umno untuk menggugat kekuatan Pakatan yang semakin mendapat dokongan rakyat.

Kenyataan itu ditandatangani oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang, Ketua Umum Keadilan, Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Salahuddin Ayob tegaskan tiada Kerajaan Perpaduan PAS-Umno lagi

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menegaskan atas dasar apa sekalipun PAS tidak akan meneruskan perbincangan mengenai Kerajaan Perpaduan dengan Umno/BN. Penegasan itu dibuat Salahuddin ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Rakyat di Tingkat 14 Bangunan Parlimen, 22 Jun lalu.

Menyokong pandangan itu, beliau pula menyatakan kenyataan tersebut sebenarnya adalah muktamad dan ini bermakna tidak akan ada lagi 'unity talk' dengan Umno. Malah bekas ketua Pemuda PAS Pusat itu, kelihatan gembira dengan perkembangan terkini yang seterusnya dilihat akan membuatkan Umno lemas.

Salahuddin turut memaklumkan akan ada satu himpunan besar-besaran di Stadium Malawati Shah Alam pada 30 Jun ini yang akan menampilkan kesemua pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat.

Himpunan itu adalah lapangan untuk menerangkan kepada ahli dan penyokong Pakatan Rakyat berhubung isu-isu terkini membabitkan Pakatan Rakyat terutama menyentuh kerajaan Perpaduan, ujarnya.

"Saya harapkan agar seluruh penyokong beramai-ramai datang ke himpunan ini," ujar Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Mengulas isu menghentikan perbincangan Kerajaan Perpaduan, seorang lagi Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar berkata, beliau meragui kesediaan Umno untuk meminta maaf secara terbuka kepada PAS dan rela melupakan sengketa lama ketika PAS disingkir daripada BN kira-kira 30 tahun lalu.

"Kalau ia hendak minta maaf, lama sudah ia minta maaf. PAS dah 50 tahun, dah ikhlas. Dan kalau dia kata itu sengketa lama. Yang sengketa baru ini macam mana?" katanya.

Malah kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, apabila PAS dan Pakatan Rakyat secara terbuka mengisytiharkan tamatnya perbincangan mengenai kerajaan perpaduan beliau memberi analogi bahawa 'Umno kini kehilangan tabung oksigen'.

Isu ini hanya akan menghentikan nafas Umno yang baharu sahaja segar seketika apabila memperalatkan agenda Kerajaan Perpaduan dengan membuat tohmahan kepada PAS. Apabila isu ini ditamatkan dengan kenyataan pimpinan Pakatan Rakyat, ia menutup talian hayat yang ada pada Umno/BN yang selama ini telah mengkucar-kacirkan Pakatan Rakyat dengan memutar-belitkan isu Kerajaan Perpaduan, ujarnya.

Tok Guru Nik Aziz mahu Mufti Perak belajar lagi politik Islam!

KOTA BHARU: Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dianggap tidak terdedah dengan sejarah politik Islam sehingga menganggap PAS sebagai punca perbalahan orang Melayu di negara ini, lapor Lanjusoh dari Kota Bharu.

"Kalau betullah PAS menjadi punca balah, maka Nabi Muhammad saw juga menjadi punca balah masyarakat Arab ketika itu. Ini kerana PAS meniru apa yang dilakukan Nabi Muhammad saw. Apakah Nabi Muhammad saw menjadi punca belah? Sedangkan apa yang berlaku punca pecah-belah datang daripada orang yang lawan Islam," kata Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Mursyidul Am PAS itu bertanya, pada masa ini siapa punca kepada perpecahan, parti Islam atau parti kebangsaan yang berteraskan sekular. Menurutnya, orang Islam kena tengok semula sejarah, adakah Nabi Muhammad saw menjadi punca perbalahan masyarakat ketika itu atau orang yang melawan ajarannya yang menjadi punca.

"Kalaulah Nabi Muhammad saw menjadi punca balah, maka apa yang dikatakan Mufti Perak itu betullah. Sedangkan baginda berbalah dengan bapa saudara dan masyarakat Arab bagi menegakkan Islam. Jadi siapa yang menjadi punca balah?" tegasnya di sini.

Sebuah akhbar harian menyiarkan kenyataan Mufti Perak yang dianggap kecewa dengan gelagat sesetengah parti politik yang mendakwa Islam tetapi sanggup berkelahi dan memutuskan tali persaudaraan bagi menegakkan ideologi politik mereka.

Memberi reaksi, Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, PAS ditubuh di Pulau Pinang oleh alim ulama yang asal berada dalam Umno. Namun katanya mereka keluar daripada Umno dan menubuh sebuah parti Islam pada 1951.

Beliau juga berkata, Umno ialah United Malay National Organization yang memperlihatkan parti itu berjuang berteraskan kaum.

"Jadi mengapa dia (Umno) sibuk dengan kita? Sedangkan dia parti Melayu. Pelawalah orang Melayu seramai yang boleh kerana mereka parti orang Melayu. Tetapi sekarang mengapa pula orang Melayu sudah ramai yang lari daripada Umno? Orang Melayu sudah lari kepada PAS, KeADILan dan DAP," tambahnya.

Menurutnya juga, Umno selama ini secara jelas menyebut "agama lain dan politik lain" dalam perjuangan mereka. Sedangkan Islam meminta manusia berpadu sama ada dengan orang Melayu, Cina mahupun India.

"Kalau perpaduan sebenar, biarlah semua kaum dalam BN dan Pakatan Rakyat berpadu," katanya. Oleh itu, beliau meminta supaya mufti terbabit lebih baik menggunakan masa yang berharga untuk mempengaruhi Umno supaya tukar dasar kebangsaan kepada Islam.

"Berapa sen harga kaum Melayu atau bangsa Arab di Padang Mahsyar kelak? Dalam keadaan PAS masuk Perikatan dahulu, dengan dijemput pun akhirnya PAS ditendang keluar. Inikan pula kita yang cuba sorong-sorong kepala. Sebab itu saya tengok sehari dua ini Umno macam orang gila talak pula," katanya.

Sebelum ini ketika mengadakan pertemuan dengan warga pendidik di Kuala Krai, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyebut perpaduan hanya diminati antara PAS dan Umno sahaja dan bukan melibatkan parti lain.

Mencari titik persamaan dalam perjuangan - Loke Siew Fook

KUALA LUMPUR: Penolakan agenda Kerajaan Perpaduan yang diputuskan pimpinan tertinggi PAS baru-baru ini sememangnya dialu-alukan oleh semua pihak, khususnya di kalangan anggota Pakatan Rakyat, KeADILan dan DAP, lapor Anis Nazri.

Keputusan itu dilihat memberi mesej jelas kepada penyokong Pakatan Rakyat tentang keteguhan gabungan itu, selain tamparan hebat kepada Barisan Nasional (BN) yang ingin menyaksikan perpecahan di kalangan Pakatan Rakyat.

Demikian ditegaskan Ahli Parlimen Rasah, Loke Siew Fook yang begitu mengalu-alukan keputusan pimpinan tertinggi PAS untuk 'melupakan' sebarang bentuk kerjasama dengan BN.

Selain membuktikan kebijaksanaan Pakatan Rakyat dalam menangani isu yang sengaja dikontroversikan BN itu, Loke yang juga Ketua Pemuda DAP Kebangsaan, menegaskan episod ini juga diharapkan dapat mengukuhkan lagi perpaduan di kalangan Pakatan Rakyat.

"Secara positifnya, dengan isu Kerajaan Perpaduan ini ia meningkatkan keyakinan dan kepercayaan di antara ketiga-tiga parti, yang menyaksikan kita tidak bergaduh sesama sendiri, sebaliknya menangani isu ini dengan bijaksana," tegas Loke.

Menurut beliau, dengan tertutupnya episod Kerajaan Perpaduan ini, pengukuhan di kalangan anggota Pakatan Rakyat dilihat sebagai langkah yang perlu dititikberatkan dalam mencari titik persamaan dalam perjuangan.

Sudah tentu, katanya hala tuju Pakatan Rakyat perlu dikukuhkan dengan memperhalusi dasar-dasar yang diputuskan bersama bagi kepentingan rakyat, melebihi kepentingan politik semata-mata.

Malah, Pakatan Rakyat juga perlu mengutamakan kerja-kerja kepada rakyat supaya perjuangan gabungan itu dapat dilihat dengan lebih berkesan, selain perbincangan dan pertemuan yang lebih kerap diadakan bagi mengukuhkan hubungan sesama sendiri.

"Namun, ia tidak bermakna kita tidak kukuh. Kita sudah kukuh, dan dalam masa sama perlu diperkukuhkan lagi dengan lebih baik dan padu," kata beliau.

Kocakan Kerajaan Perpaduan reda, Pakatan Rakyat berdiri teguh - Idris Ahmad

MUQADDIMMAH: Biarpun isu kerajaan perpaduan sudah berakhir, Umno masih memutar-belitkan lagi isu itu kononnya PAS menolak perpaduan khasnya di kalangan orang-orang Melayu. DAP turut dikaitkan, seolah-oleh PAS menolak Umno tetapi berkawan dengan parti itu. Namun kenyataan bersama PAS, KeADILan dan DAP menolak agenda Kerajaan Perpaduan benar-benar merimaskan Umno. Rancangan mereka untuk memecah-belahkan Pakatan Rakyat gagal. Ikuti buah fikir Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad dalam berkongsi pendapat mengenai isu yang menimbulkan "kebimbangan" selama 15 hari dalam PAS.

Isu Kerajaan Perpaduan telah selesai. Tetapi Umno nampaknya cuba memancing lagi untuk menyeret PAS dengan pelbagai kenyataan “meminang”. Pada pendapat Ustaz, apakah agenda tersirat Umno sebenarnya?

IDRIS AHMAD: Ini menunjukkan Umno hari ini dalam keadaan yang lemas. Orang lemas, nampak buaya pun mereka akan berpaut. Jadi, sekarang ini Umno bergantung kepada talian hayat kerana rakyat sudah mual terutama kalangan generasi muda dan mereka yang celik maklumat.
Hanya rakyat yang minoriti yang menyokong Umno. Maka dengan sebab itu kenyataan yang dikeluarkan oleh mereka menandakan mereka resah gelisah dengan penolakkan pimpinan PAS dan juga Pakatan Rakyat dengan isu Kerajaan Perpaduan. Terdapat di kalangan pimpinan Umno yang mengatakan kononnya Kerajaan Perpaduan ini bukan semua di kalangan pimpinan PAS yang menolak tetapi masih ada yang menerima.
Ini bertujuan untuk menimbulkan keraguan dan syak wasangka. Umno adalah parti yang gagal dan telah ditolak generasi muda dan sekarang ini kenyataan Najib Tun Razak menggambarkan seolah-olah PAS tolak ini menunjukkan satu syak wasangka dari kalangan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat kepada PAS.
Walhal PAS mempunyai disiplin dalam membuat sesuatu keputusan. Sebelum itu kita ada pelbagai pandangan seperti disiplin yang diajar oleh perjuangan PAS. Apabila membuat sesuatu keputusan pada mesyuarat pertama, kita akan menyokong walaupun sebelumnya kita berbeza pandangan. Ini sebagaimana kebiasaan apa saja yang kita hendak lakukannya.
Contohnya, sewaktu bersama-sama dalam Angkatan Perpaduan Ummah 46, dan Barisan Alternatif. Apabila ada keputusan kita ada pelbagai pandangan. Ada keputusan yang kita menyokong keputusan tersebut walaupun ada orang lain yang cuba hendak menggagalkan keputusan itu.

Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat secara jelas menolak agenda Kerajaan Perpaduan dan menyifatkan ia fitnah jahat Umno untuk memecah-belahkan PAS dan Pakatan Rakyat. Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz juga mempertegaskan penolakan Kerajaan Perpaduan ini pada hari yang sama, 22 Jun lalu. Apa implikasinya terhadap Umno bila isu ini ditamatkan?

Implikasinya, Umno kehilangan satu 'peluru' yang kekuatannya lebih hebat daripada 'C4' bagi menghancurkan Pakatan Rakyat yang kita bina dengan baik. Sebab itu, mereka (Umno) resah gelisah dengan keputusan nekad, iltizam dan komitmen yang ditunjukkan semua pimpinan Pakatan Rakyat dalam membuat keputusan tersebut.

Terhadap Pakatan Rakyat macam mana pula?

Setakat ini, kita akan meneruskan agenda yang telah kita pun teruskan selama ini untuk menjadi "kerajaan yang menunggu" dalam Pilihan Raya Umum ke 13 nanti. Pada saya, tidak mempunyai apa-apa masalah di kalangan pimpinan dan juga di kalangan pendokong-pendokong dengan keputusan yang kita buat pada 22 Jun baru-baru ini.

Kini Umno memutarbelitkan isu PAS sanggup ketepikan perpaduan Melayu tapi sedia bekerjasama dengan DAP. Boleh Ustaz jelaskan mengapa PAS tolak kerjasama dengan Umno dan menerima tahaluf dengan DAP?

Pertamanya kita lihat Umno sesama Umno pun dia tidak boleh hendak percaya. Sudah pastilah kita dengan Umno lagi tidak boleh percaya. Umno sama Umno pun bergaduh. Dia tak bersatu macam mana pula dia hendak bersatu dengan kita.
Jadi, kita nasihat Umno bersatu dengan dia dululah. Selesaikan rasuah politik dalam partinya. Bagaimana skandal moral dari kalangan pimpinan Umno yang melibat wanita seperti mana yang kita tahu. Soal senator dan bekas ahli parlimen itu menggambarkan Umno perlu selesaikan masalahnya dulu.
Lepas itu, baru bercakap soal orang lain. Kita tidak percaya Kerajaan Perpaduan tetapi lebih percaya dengan rakan-rakan Pakatan Rakyat dan terbukti sejak kita mengadakan pakatan bersama. Saya juga nasihatkan Umno jangan cuba untuk mengadu-dombakan kononnya PAS anti kepada perpaduan untuk berkawan dengan orang-orang Melayu sebaliknya rela untuk berkawan dengan orang DAP. Umno tidak perlu bermain api dalam hal ini.

Adakah PAS menghadapi sebarang masalah dengan DAP?

Setakat ini hari ini kita tidak hadapi masalah. Pada hal, kita tengok seperti mana di Pulau Pinang nampaknya diberikan kebebasan untuk kita menyebarkan dakwah kita dan juga memberi kefahaman Islam kepada masyarakat Islam dan kepada masyarakat bukan Islam. Keadaannya berbeza sewaktu Barisan Nasional memerintah di Pulau Pinang.
Sekarang ini tidak ada perkara-perkara yang kita anggap besar, yang menyebabkan kita rasa sukar atau susah untuk menghadapi DAP. Ini kerana mereka cerdik, rasional dan matang dalam politik, dalam apa saja cara sekali pun dan jika ada masalah yang timbul kita berbincangan dengan semangat kesefahaman di kalangan Pakatan Rakyat.

Apa yang menarik, berlaku kecelaruan... maaf kalau boleh disebut “kecelaruan” dalam PAS apabila isu ini ditimbulkan. Tetapi ia begitu pantas diselesaikan oleh pucuk pimpinan. Bagaimana PAS menguruskan kocakan dalaman ini dengan begitu baik?

Ini satu ilmu yang orang lain kena belajar. Kita boleh selesai dalam masa sehari saja. Dengan pulangnya Presiden PAS, Dato Seri Abdul Hadi Awang dari luar negara maka diadakan perjumpaan yang kita selesai secara ukhwah dan berlapang dada.
Ini kerana dispilin dan tarbiah yang diasuh dalam PAS menyebabkan kita boleh selesaikan kemelut yang ada dengan mengambil masa yang sesingkat mungkin. Ini kebijaksanaan dalam soal untuk menguruskan krisis yang berlaku di dalam parti. Ini satu kelebihan yang ada dalam parti kita (PAS) yang dididik dan diasuh pimpinan di semua peringkat.

Keinginan Umno untuk melihat Tok Guru Nik Abdul Aziz "berperang" dengan Timbalan Presiden PAS berjaya ditepis melalui pertemuan singkat 10 pemimpin kanan PAS, 22 Jun lalu. Mursyidul Am PAS, sudah menarik balik segala gesaannya terhadap Ustaz Nasharuddin keluar dari PAS dan meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen Bachok. OK, ini tidak berbangkit lagi, katanya. Apa komen Ustaz?

Pimpinan PAS ini mempunyai jiwa yang besar walaupun Tok Guru Nik Aziz sebagai Mursyidul Am. Pada dia (Tok GUru Nik Aziz), setelah mendengar penerangan yang jelas dia bersedia untuk memaafkan atau menarik balik kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
Ia perlu dicontohi oleh pimpinan muda dalam PAS supaya kita mempunyai jiwa besar dan pemaaf terhadap apa yang berlaku kepada orang-orang bawahan. Ini satu tindakan yang sangat baik.

Harapan Umno untuk melihat PAS kecundang di Manek Urai juga terburai dengan penolakan kerajaan perpaduan dan perdamaian antara Tok Guru Nik Aziz dengan Ustaz Nasharuddin. Adakah perkembangan ini benar-benar menyusahkan Umno di Manek Urai?

Memang menyusahkan. Ini kerana jika mendengar kenyataan yang dikeluarkan Dato' Mustafa Mohamad (Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan) beliau menyebut iaitu sebelum isu ini selesai beliau berkata isu Kerajaan Perpaduan ini, kita akan cuma jadikan aset untuk memenangi kerusi di Manek Urai. Tetapi selepas 22 Jun, Manek Urai telah terburai.

Kenyataan bersama Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat Lim Kit Siang untuk semua parti dalam Pakatan Rakyat mengulangi komitmen untuk terus bersama memperkasakan Pakatan Rakyat bagi membentuk Kerajaan Persekutuan yang akan datang. Bagaimana ini boleh dilakukan?

Sekarang ini bukan benda yang mustahil dan dengan izin Allah SWT, maka Pakatan Rakyat akan memerintah di peringkat pusat dengan syarat komitmen di kalangan semua ahli dan juga kita menaruh keyakinan kepada rakyat. Rakyat akan memberikan kejayaan kepada PAS dan ini bukan satu perkara yang mustahil untuk berlaku.

Tentang Pakatan Rakyat sebagai “kerajaan menanti”, pada pendapat Ustaz adakah “mood” rakyat hari ini benar-benar menolak Umno dan BN?

Secara umumnya kita lihat Insya-Allah, nampaknya mereka menolak Barisan Nasional dan rakyat akan hilang keyakinan kepada kerajaan Umno dan Barisan Nasional. Mereka beralih kepada Pakatan Rakyat.

Kenapa Ustaz berkata begitu?

Pertamanya apabila mereka melihat tentang peranan Umno yang diamanahkan untuk memerintah negara kita hampir 52 tahun, mereka gagal untuk menguruskan sama ada ekonomi, pengangguran di kalangan siswazah semakin tinggi, pembuangan pekerja semakin teruk walaupun BN memberi alasan keadaan ekonomi global yang memberi kesan kepada negara kita.
Sepatutnya, jika negara diurus dengan baik dalam pentadbirannya, saya rasa tidak timbul soal seperti mana yang berlaku pada hari ini. Ini kerana hasil mahsul negara kita cukup banyak seperti minyak, kelapa sawit, balak, getah dan sebagainya.
Negara lain tak ada seperti kita, tiba-tiba kita lihat negara kita gawat dalam ekonomi. Ia menunjukkan kegagalan pemimpin Barisan Nasional memimpin negara kita dengan baik. Terutama apabila mereka lihat di Kelantan, selama 20 tahun kita mampu bertahan.
Kita mampu membuat pembangunan dengan kemampuan yang kita ada walaupun mendapat kekangan kewangan dan dihimpitan serta tekanan yang diberikan Kerajaan Pusat, kita mampu memerintah Kelantan. Kalau dengan keadaan Kelantan begitu pun kita mampu untuk mentadbir maka sudah tentulah mereka lihat kalau PAS dan Pakatan Rakyat diberi mandat oleh rakyat , ia mampu hidup baik daripada diperintah Umno.

Maknanya Pilihan Raya Umum ke-13 nanti, Pakatan Rakyat akan ke Putrajaya, BN akan tumbang. Begitu?

Isya-Allah jika diizin Tuhan.

Apa yang menarik, kocakan dalaman PAS kini kembali bertaut, ukhwah bersama-sama dalam satu saf yang padu, untuk terus memperjuangkan keazaman PAS bagi mendaulat Islam di persada tanahair. Barangkali Ustaz ada nak perkatakan sesuatu dari apa yang terjadi...

Ya, pertamanya, ini satu hikmah juga untuk menguji bagaimana kehebatan pemimpin PAS dalam mengurus krisis. Keduanya untuk melihat bagaimana ahli-ahli PAS, penyokong-penyokong PAS di dalam mematuhi pimpinan PAS.
Ketiganya, untuk menguji kematangan rakyat di negara kita pada hari ini sama ada mereka ini percaya atau tidak dengan media yang mainkan peranan untuk melaga-lagakan pimpinan dalam negara ini.
Di sebalik hikmah yang tersurat dan tersirat, pada saya penuh keyakinan, PAS mampu untuk menghadapi cabaran lebih daripada itu kerana kita tahu perjuangan PAS ini adalah perjuangan yang suci yang didokong oleh penyokong-penyokong PAS terutamanya di kalangan ahli bawahan yang tidak mengharapkan upah, pangkat dan darjat.
Yang mereka hendak lihat, ialah supaya pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat melaksanakan amanah dengan baik dan mereka mahu melihat Islam dapat dihayati oleh masyarakat di negara ini.