Tun Mahathir nampaknya sudah memihak kepada Ku Li dalam usaha menumbangkan anak Badawi. Malah Najib juga diketepikan Mahathir kerana sudah tidak mempercayainya lagi!
By LUKMAN ABDULLAH
HAMPIR 3,000 hadir pada mesyuarat agung UMNO Bahagian Gua Musang pagi ini antaranya bertujuan untuk buat usul adakan Perhimpunan khas UMNO (EGM) dan hapus sistem kuota pemilihan jawatan. Ramai pemerhati luar hadir.
Namun dikalangan mereka kelihatan wajah Ketua-ketua Bahagian UMNO lain kecuali mungkin wakil-wakil mereka.
Ketua UMNO Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh telah sampaikan ucapan yang kritikal selama hampir sejam pada mesyuarat yang berlangsung di Balai Cekati itu.
Dalam ucapannya antara lain tanpa sebut nama Naib Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin, beliau secara sinis berkata, "ada orang yang boleh jadi geliga lulusan Oxford, Havard dan sebagainya tetapi tak bijak,tak pandai,tak cerdik budaya. Orang ini tak layak diangkat oleh UMNO untuk jadi pemimpin mereka.”
Katanya itu ini mendapat tepukan dan sorakan gemuruh hadirin.
Ku Li juga mengkritik calon-calon muda Barisan Nasional yang bertanding di Kelantan masa pilihanraya umum 8 Mac yang dakwanya tak sopan masa berkempen hentam berlebihan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat.
Dalam ucapannya Tengku Razaleigh juga menyifatkan keadaan selepas pilihanraya umum dimana BN kehilangan empat negeri lagi sebagai ‘darurat’.
Katanya langkah segera perlu diambil untuk menanganinya segara sebelum ia merebak hingga menjejaskan UMNO secara keseluruhan.
Beliau mendakwa setakat ini UMNO dan BN belum lagi mengambil langkah-langkah konkrit secara segera kearah itu.
Bagi UMNO sendiri katanya ia perlu melakukan tiga perubahan besar bagi mengatasi keadaan darurat ini.
Tengku Razaleigh berkata, tiga perubahan berkenaan ialah memulihkan semula demokrasi dalam UMNO, dasar dan visi UMNO hendaklah merentas sempadan kaum serta tidak dilihat sebagai parti untuk orang Melayu sahaja dan ketiga perangai serta kelakuan budaya, moral dan akhlak orang UMNO perlu diadabkan.
"Kita perlu mengadakan sidang muhasabah dengan segera, melibatkan perwakilan UMNO yang selama ini menjadi nadi dan tenaga raksasa dalam kelangsungan hidup UMNO selama 60 tahun untuk membincangkan kelemahan dan kesalahan parti selama ini serta memikirkan visi baru UMNO bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar," katanya.
Beliau berkata, ketiga-tiga perkara tersebut perlu dilakukan secepat mungkin kerana sampai saat ini, setelah hampir sebulan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengalami malapetaka politik yang dahsyat, tidak ada apa-apa tindakan yang diambil oleh pucuk pimpinan parti yang menunjangi kerajaan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan