KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, April 05, 2008

PENANGAN BLOG: Ali Rustam ARAH Semua YB BN Ada BLOG SENDIRI!

Kita yakin blog-blog ciptaan BN akan menjadi senjata makan tuan jika pengendali atau pemiliknya tidak bersikap benar dan memperbodoh-bodohkan rakyat serta memanipulasikan maklumat!

By TARMIZI MOHD JAM

ISUNYA bukan membanyakkan laman blog atau blog siapa yang lebih kreatif? Bersaing dari segi angka, tiada faedahnya. BN boleh membina ribuan blog dalam masa sejam tetapi mampukah ianya setanding dengan blog pro Pakatan Rakyat?

Janganlah, mentang-mentang semua orang mengiktiraf blog dan peranan bloggers sebagai media alternatif paling efisyen kini, maka semua wakil rakyat Barisan Nasional (BN) diminta mempunyai laman blog masing-masing bagi menyaingi laman-laman blog yang diwujudkan penyokong pembangkang.

Bagi saya, cadangan Naib Presiden Umno, Mohd. Ali Rustam itu karut dan terpedaya dengan komentar pelbagai pihak akan "sengatan" blog dan bloggers.

Sekadar untuk menjawab tuduhan dan tomohan melalui laman blog, maka semua wakil rakyat diminta membina blog sendiri, agak tidak relevan.

Pengunjung blog yang yang terus meningkat saban hari, bukan inginkan cerita dan berita penafian pemimpin BN tetapi tindakan yang mnedasari parti itu patut menyebelahi rakyat.

Macam kata Ali Rustam, mereka (wakil rakyat) boleh menjawab segala rungutan dan isu yang dikemukakan rakyat di samping menjawab segala tohmahan penyokong pembangkang.

Perkara dan pendekatan ini sudah lama dilakukan oleh BN dengan memperalatkan jentera kerajaan seperti televisyen, radio dan suratkhabar arus perdana. Telah banyak jawapan dan penipuan dihamburkan melalui medium ini.

Malah selain itu, apa yang dikatakan tohmohan dan fitnah turut dijawab pada majlis-majlis kerajaan, di sekolah dan pelbagai pertemuan dan program anjuran kerajaan. BN menggunakan sepenuhnya medium ini untuk kepentingan mereka.

Apalah sangat dengan blog? Siapa pula yang nak melayari blog wakil-wakil rakyat BN ini?

Cadangan Ali hanya ingauan beliau sebagai menyambut respon pelbagai pihak terhadap peranan yang dimainkan oleh blog dan bloggers.

Sebab itu, Ali menyifatkan langkah tersebut perlu dilaksanakan segera memandangkan pada Pilihan Raya Umum Ke-12 lalu menyaksikan rakyat banyak terpengaruh dengan maklumat blog untuk menentukan calon mereka.

‘‘Malah saya sendiri sudah ada laman blog untuk tujuan ini. Saya harap semua Bahagian Umno dan BN serta wakil rakyat menyediakan blog masing-masing,” katanya kepada pemberita petang semalam.

Blog Mohd. Ali yang juga Ketua Menteri Melaka itu boleh dilayari di http://mohdalirustam.blogspot.com.

Ali turut memberitahu pada masa kini terdapat kira-kira 240 blog penyokong pembangkang yang aktif dan ia perlu diseimbangkan. Barangkali, antara blog yang dimaksudkan Ali itu ialah salah satunya Sanggahtoksago.Com bersama blog-blog lain.

“Jadi sudah tiba masanya para pemimpin kerajaan mempunyai blog sendiri. Blog kenalah aktif dan lantik pakar-pakar teknologi maklumat (IT) untuk mengendalikannya,” kata beliau.

Bagi saya, pandangan Ali begitu singkat dan dangkal. Arahannya itu tidak berpihak di bumi nyata melainkan dia menggunakan kuasa mengarah, menggunakan duit untuk memenuhi prasarana tersebut. Itu sahaja.

Ali dan Umno boleh membina 10 blog untuk seorang wakil rakyat. Tetapi ia tidak mungkin efsyen jika kandungannya, sikap dan gelagat wakil rakyat tidak menyebelahi rakyat.

Sebagai bloggers, saya tidak teruja malah tidak bimbang langsung dengan kemajuan dan kemaraan BN membina blog untuk semua wakil rakyatnya.

Barangkali, ia akan mendedahkan diri mereka dengan pelbagai serangan rakyat yang sukar ditepis dan akan menyerlahkan lagi sikap angkuh mereka dengan kuasa dan kepentingan mempertahankan jawatan, pangkat dan harta.

Ali mungkin mahu meniru Khir Toyo. Ia suatu yang patut dipuji tetapi bersediakan Ali menjawab secara jujur dengan isu-isu yang disanggah pengunjung.

Jika Ali, berdolak-dalik dalam memberikan jawapannya, saya yakin rakyat tidak teragak-agak mentalqinkannya pada pilihan raya umum ke 13 nanti. Inilah sebenarnya yang digeruni mereka sebelum ini.

Tetapi waktu itu, mereka kata mereka tidak percaya dengan blog. Bloggers diangap sebagai beruk. Bloggers tidak berkuasa untuk menjatuhkan mereka. Kini, ia terbukti dan diiktiraf, peranan efisyen bloggers itu.

Saya amat yakin, blog-blog ciptaan BN akan menjadi senjata makan tuan, jika pengendali atau pemiliknya tidak bersikap benar dan memperbodoh-bodohkan rakyat.

Macam kata Ali Rustam, blognya akan dijadikan wadah untuk menjawab semua perkara melibatkan hal-hal Ketua Menteri dan juga kedudukan beliau selaku Naib Presiden Umno.

Soalnya, mampukah wakil-wakil rakyat Umno ini mengemukakan pandangan baru dan sikap telus dalam memperjuangkan nasib rakyat melalui blog mereka nanti?

Rakyat akan terus memantau, mengukur dan menganalisa maklumat yang dipaparkan. Bukan itu saja, apakah laporan tersebut seiring dengan sikap dan gelagat mereka di luar blog?

Tiada ulasan: