Mungkin juga tingkah laku Sufiah adalah dalam bentuk penyaluran (displacement) iaitu satu bentuk mekanisme untuk melepaskan desakan-desakan kepada sasaran lain yang lebih selamat.
By SAPORA SIPON
CERITA Sufiah Yusoof, kanak-kanak genius matematik yang mendapat tempat di Universiti Oxford ketika usianya baru sahaja 13 tahun bukanlah cerita gembira.
Setelah melalui beberapa garis hidup yang menyedihkan, kini Sufiah didapati memperoleh pendapatan dengan menjadi pekerja seks.
Pelbagai andaian dikaitkan dengan apa yang berlaku terhadap Sufiah. Namun, adalah juga sukar untuk menjelaskan apakah sebenarnya penyebab kepada tingkah laku Sufiah yang berubah daripada kanak-kanak yang bergambar bangga dengan topi graduan di luar Kolej St. Hilda yang berprestij kepada pekerjaannya sekarang.
Hanya Sufiah yang mengetahuinya kerana beliaulah pelaku kepada tingkah lakunya.
Dari sudut psikologi, ada yang mengaitkan dengan apa yang dialami semasa proses membesar. Ia dikaitkan dalam peringkat-peringkat perkembangan personaliti sepertimana yang dijelaskan dalam teori psikoanalitik oleh Sigmund Freud.
Dalam penerangan mengenai pembentukan personaliti Anal Aggressive, Freud menjelaskan, sekiranya ibu bapa terlalu ketat kawalan dan rigid peraturannya maka kanak-kanak akan bertindak balas secara agresif dengan tidak mematuhi akan kehendak ibu bapanya.
Tindak balas menentang ini akan menjadi asas bagi pembentukan personaliti yang melahirkan ciri-ciri seperti amarah dan tidak teratur yang ekstrem.
Ramai yang kuat berpendapat bahawa bapanya yang menjadi segala punca kepada masalah yang dihadapi Sufiah.
Mungkin juga tingkah laku Sufiah adalah dalam bentuk penyaluran (displacement) iaitu satu bentuk mekanisme untuk melepaskan desakan-desakan kepada sasaran lain yang lebih selamat.
Misalnya, rasa marah terhadap bapanya disalurkan kepada bentuk tingkah lakunya.
Bukan sahaja faktor ibu bapa Sufiah yang boleh dikaitkan dengan apa yang berlaku kepada dirinya. Mungkin juga ia berdasarkan prinsip keseronokan di mana segala tingkah laku didorong oleh kehendak untuk memperoleh keseronokan dan berusaha mengelak daripada pengalaman yang menyakitkan.
Mungkin juga Sufiah melakukannya atas dasar untuk memperoleh keseronokan. Manusia melakukan satu tindakan adalah hasil daripada proses pelaziman dan mereka lebih cenderung mengulangi apa-apa aktiviti untuk menyelesaikan permasalahan kehidupan.
- Apa yang ditulis di atas adalah hanya andaian-andaian kepada faktor yang menyumbang kepada tingkah laku Sufiah.
Hanya Sufiah yang dapat memberi jawapan kepada segala persoalan dan permasalahan yang menimpa dirinya.
Namun bantuan dan bimbingan perlu diberikan kepada Sufiah untuk beliau dapat meneruskan kehidupan dengan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan