PERTANDINGAN bagi merebut jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO kini terbuka ekoran keputusan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk tidak mempertahankannya pada pemilihan parti itu Disember ini.
Dengan keputusan itu, ia membuka ruang kepada beberapa pemimpin yang sebelum ini telah menyatakan hasrat untuk bertanding mengisi jawatan tersebut sekiranya ia dikosongkan oleh Hishammuddin.
Antara nama yang disebut-sebut untuk bertanding bagi mengisi kekosongan itu ialah bekas Menteri Besar Selangor yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo dan Ahli Parlimen Jerlun yang juga Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Mukhriz Mahathir.
Selain itu Naib Ketuanya, Khairy Jamaluddin yang memenangi kerusi Parlimen Rembau pada pilihan raya umum yang lalu juga disebut bakal mengambil alih pucuk pimpinan Pemuda UMNO selepas Hishammuddin.
Namun ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini, Khairy berkata, pada ketika ini, beliau tidak mahu memberi sebarang ulasan berhubung perkara itu.
“Buat masa ini saya tidak ada apa-apa komen,” katanya.
Jika benar-benar berhasrat untuk mengisi kerusi tersebut, maka beliau terpaksa berhadapan dengan cabaran daripada calon-calon lain termasuk Mohamad Khir dan Mukhriz yang sejak awal lagi telah menyatakan hasrat untuk merebut jawatan itu.
Malah Hishammuddin sendiri mengakui bahawa jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO bukan satu jawatan tradisi untuk ditandingi Naib Ketuanya.
Katanya, terpulang kepada perwakilan untuk menentukan calon yang layak bertanding merebut jawatan itu.
Walaupun bukan jawatan tradisi yang perlu ditandingi Naib Ketua, Khairy secara hierarki dilihat sebagai salah seorang calon yang akan bertanding, ditambah lagi dengan ‘laluan restu’ yang diberikan oleh ahli-ahli Pemuda pada pemilihan yang lepas.
Bagaimanapun perkembangan politik semasa pascapilihan raya yang menyaksikan UMNO dan Barisan Nasional (BN) mencatatkan prestasi terburuk serta pelbagai persepsi buruk dilemparkan kepada pucuk pimpinan parti termasuk Khairy sendiri, senario pemilihan Pemuda mungkin berubah.
Apa yang jelas, selepas pilihan raya 8 Mac lalu suara-suara di semua peringkat dalam UMNO termasuk Pemuda menjadi sangat vokal, berterus-terang dan ‘cakap lepas’ dan ia mungkin diterjemahkan dalam bentuk undi pada pemilihan Pemuda tahun ini.
Bagi memanaskan suasana, Mohamad Khir hari ini mengesahkan akan bertanding mengisi jawatan yang dikosongkan oleh Hishammuddin itu dalam pemilihan UMNO Disember ini.
Bagaimanapun katanya, keputusan itu bergantung kepada sokongan daripada perwakilan UMNO bahagian mengikut syarat-syarat serta perlembagaan yang telah ditetapkan dalam parti.
“Pada masa ini, saya sedang mendapatkan pandangan serta sokongan daripada perwakilan di peringkat UMNO bahagian.
“Saya ada menerima sokongan daripada bahagian-bahagian tertentu yang mahu saya bertanding, tetapi saya tak perlulah beritahu secara terperinci kerana pemilihan UMNO lama lagi,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Mukhriz yang sebelum ini mencetuskan kontroversi apabila secara terbuka meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi melepas jawatan ekoran kemerosotan prestasi Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum lalu turut menyatakan minat bertanding jawatan itu.
Walaupun dilihat masih berselindung apabila mengatakan masih belum tiba waktunya untuk membuat pengumuman rasmi, namun Mukhriz dikatakan sudah pasti akan bertanding merebut jawatan itu.
“Minat itu ada, namun untuk umumkan secara rasmi belum (sampai masa) lagi.
“Apa yang penting, saya serahkan kepada ahli Pemuda untuk mencalonkan saya, jika mereka rasakan sesuai sebagai Ketua Pemuda, saya akan terima,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Ditanya bila pengumuman rasmi itu akan dibuat, Mukhriz berkata: “Apabila saya bersedia.”
Katanya, beliau tidak akan mengambil mudah minatnya itu memandangkan pemilihan jawatan dalam UMNO masih gunakan kuota pencalonan.
Beliau berkata, sistem kuota menuntut beliau bekerja keras untuk meyakinkan Pemuda bahagian.
“Saya mahu dapat maklum balas kawan-kawan. Jawatan saya bertanding bergantung kepada nasihat mereka,” katanya.
Satu lagi nama yang turut dikait akan bertanding jawatan itu ialah Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Mansor.
Namun Ahli Parlimen Tampin itu berkata, beliau tidak berhasrat bertanding jawatan tersebut.
“Bertanding Ketua Pemuda? Siapa cakap. Saya pun tengah sibuk kendalikan kementerian saya... dengar taklimat, susun fail.
“Kalau ada (ura-ura ini) biarkanlah orang bercakap,” katanya.
Shaziman, 44, adalah menteri paling muda dalam Kabinet.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan