KLIK JOM FOLO DI SINI

Isnin, April 07, 2008

Terkini: SUFIAH Rupanya DEDAP TIDAK BERBAU

By ARIFFUDDIN ISHAK

ENTAH dimana silapnya dan siapa yang perlu dipersalahkan... Kanak-kanak yang dianugerahkan kepintaran luar biasa atau ‘genius’ seperti Sufiah Yusof, kini menjalani kehidupan dalam gelombang hitam yang menjijikkan.

Tiada siapa pernah menduga kanak-kanak geliga yang dibentuk dalam acuan yang dianggap ‘cukup sempurna’ sepatutnya mampu menuai hasil dari kebijaksanaannya sendiri akhirnya kecundang di tengah jalan.

Kini dengan pengakuan Sufiah yang terbaru iaitu dia tidak menyesal dengan profesion terbarunya, sebagai high-class social escort, benarlah kata orang Sufiah bukanlah mawar harum tetapi dedap yang tidak berbau.

Jika 10 tahun lalu nama Sufiah Yusof pernah menggemparkan dunia kerana berjaya diterima masuk ke Kolej St. Hilda, Universiti Oxford, England, seawal usia 13 tahun, kini Sufiah mengulangi 'rekod' dengan menjadi perempuan Melayu pertama yang mengaku tidak bersalah menjalankan aktiviti sosialnya.

Kejayaan lampau yang menjadikan beliau sebagai pelajar termuda yang menjejaki kaki ke universiti untuk belajar matematik pada tahun 1997 cukup membanggakan bangsa Melayu.

Nama Sufiah kembali hangat diperkatakan pelbagai pihak sebagai ‘wanita Melayu penuh berahi’.

Sana-sini ada saja bisik-bisik mengenai kisah Sufiah yang dibongkar oleh wartawan akhbar tabloid, News of the Word tentang kehidupan baru yang menjadi pilihannya sendiri.

Akhbar itu turut melaporkan Sufiah mengiklankan ‘perkhidmatannya’ melalui internet dengan harga 130 pound (RM830) bagi setiap sesi.

Terbaru, akhbar tabloid itu menyiarkan hasil temubual wartawannya dengan Sufiah yang mendedahkan bahawa beliau mengakui tindakannya menjual tubuh memberikannya kehidupan yang jauh lebih seronok dan glamor!

Lebih hebat apabila beliau sendiri tidak pernah merasa jijik dan kesal malah memandang tinggi terhadap karier barunya sebagai seorang pelacur kelas atasan!

Persoalannya mengapa gadis sepintar Sufiah boleh terjebak ke kancah penuh hina dan menjijikkan itu?

Adakah kerana acuan hidup yang disediakan bapanya, Farooq Yusof menjadikan kehidupannya tertekan sehingga beliau memilih untuk terjun ke dunia penuh kehinaan sebagai menzahirkan rasa protes?

Atau benarkah mengenai cakap-cakap bahawa beliau terjebak dek kerana pengaruh anasir luar yang cemburu dengan kebijaksanaan wanita Islam seperti Sufiah?

Bagi penulis, biar apa jua telahan atau spekulasi yang dibuat mengenai Sufiah, kekuatan dalaman individu itu sendiri perlu dilihat dan diukur.

Atas dasar tanggungjawab sesama Islam, kerajaan Malaysia melancarkan misi ‘Selamatkan Sufiah’ yang di ketuai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Mashitah Ibrahim.

“Kita terpanggil untuk membantu menyelamatkan Sufiah kerana syarikat Sime Darby dan Kementerian Pelajaran bertanggungjawab menanggung kos pembelajaran Sufiah di Oxford dahulu.”

“Walaubagaimanapun kita perlu akur jika Sufiah enggan diberikan bantuan, kita hanya boleh berusaha untuk membantu, tapi semuanya bergantung kepada Sufiah sendiri.

“Kita nak bantu orang sakit, tapi kalau orang sakit itu enggan makan ubat...apa yang boleh kita lakukan,” tambah Mashitah lagi.

Tertekan? Memberontak? Terkongkong? Jika ini yang cuba disuarakan Sufiah mengenai perjalanan hidupnya selama ini, maka kita boleh andaikan bahawa kecenderungan ibu bapa Sufiah untuk melihat anak mereka berjaya adalah punca kecelaruan ini berlaku.

Tetapi persoalan besar yang perlu dirungkaikan ialah mengapa adik-beradik Sufiah yang lain tidak pula memberontak sedemikian rupa?

Ataupun kita cuba untuk beralih persepsi untuk mengatakan bahawa pengaruh persekitaran atau rakan-rakan adalah faktor kemusnahan hidup Sufiah?

Hakikatnya, walau berbakul-bakul andaian atau berguni-guni persoalan yang cuba kita singkapkan, ia sebenarnya perlu dijadikan iktibar oleh semua pihak sama ada ibu bapa ataupun anak-anak untuk mempersiapkan diri masing-masing dengan akidah yang sempurna sebagai ‘pendinding’ atau perisai.

Keghairahan ibu bapa untuk melihat anak-anak berjaya perlu ada batasnya dan berlandaskan akal yang waras. Pendidikan agama sepatutnya diberikan prioriti ketika menyediakan acuan untuk anak-anak.

Jangan kita perjudikan masa depan anak-anak semata-mata untuk mencapai kepuasan yang tiada batasnya.

Bayangkan ketika zaman kanak-kanak yang sepatutnya penuh ceria dengan hilai tawa ketika bermain-main dengan rakan sebaya, Sufiah terpaksa menghabiskan waktunya untuk belajar.

Penulis tidak bermaksud untuk menongkang arus dengan mengatakan bahawa zaman kanak-kanak hanya untuk bermain-main...tidak sama sekali, tetapi biarlah berpada-pada!

Bagi remaja hari ini, terutamanya penuntut di institut pengajian tinggi (IPT), kisah perjalanan hidup Sufiah yang tergelincir akhlak ketika di kampus harus dijadikan iktibar.

Ada yang bertukar ‘wajah dan watak’ apabila menuntut di IPT sehingga merunsingkan ibu bapa di kampung.

Jangan jadikan universiti sebagai jurang pemisah antara anak dan ibu bapa.

Si anak, jangan leka dan alpa kononnya mereka cukup bagus dan bijak untuk memilih jalan hidup sendiri yang dirasakan versetail dengan gaya hidup serba moden dan mewah serta kian mencabar dan akhirnya kecundang dalam arus deras kejutan budaya.

Paling penting, pegangan agama dan akidah yang mantap perlu menjadi kiblat yang teguh dalam diri setiap individu agar tidak mudah goyah dan rapuh dengan mainan duniawi yang umpama topeng dan wayang! - mSTAR

Tiada ulasan: