KLIK JOM FOLO DI SINI

Sabtu, April 05, 2008

NAZRI TAN SRI AZIZ Akan LETAK JAWATAN?

By TARMIZI MOHD JAM

SAYA tak percaya! Kalau orang seperti Nazri Tan Sri Aziz sanggup meletakkan jawatannya, tegas saya kepada seorang rakan dari Ipoh yang menghubungi saya semalam.

Niat rakan saya itu sekadar nak bertanya ke mana saya menghilang empat lima hari ini. Saya maklumkan, agak sibuk sikit dengan beberapa urusan kerja yang belum selesai. Saya tiada masa langsung untuk dicuri bagi mengupdate Blog Sanggahtoksago.Com.

Desas-desus Menteri Di Jabatan Perdana Menteri ini akan meletakkan jawatan tersebar seminggu dua ini. Malah, ada yang menghantar SMS memberitahu saya, Nazri sudah melepaskan jawatan dalam kerajaan.

Saya menyemak maklumat itu, tetapi tiada siapa yang berani mengesahkan Nazri meletakkan jawatan. Ini desas-desus baru, tentunya sebahagian "perang saraf" untuk melumpuhkan kerajaan anak Badawi.

Semalam, Nazri menafikan dakwaan sesetengah pihak kononnya beliau akan meletakkan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri dalam tempoh terdekat.

Seperti yang diduga, Nazri menyifatkan dakwaan itu tidak benar sama sekali dan beliau akan terus memegang jawatan tersebut selagi diperlukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Kenyataannya cukup berbahasa "selagi diperlukan oleh Perdana Menteri". Saya tidak percaya, itu jawapannya. Orang seperti Nazri memang degil dan tidak akan terumpan dengan sebarang provokasi.

‘‘Saya masih di sini sebab Umno tidak kalah, Barisan Nasional (BN) juga tidak kalah. Saya sendiri masih menang dan kekal sebagai Ahli Parlimen Padang Rengas,” katanya selepas menyampaikan bantuan wang tunai antara RM500 hingga RM3,000 kepada 124 mangsa ribut daerah Kerian.

Seperti yang saya tegaskan, Nazri bukanlah orang yang mudah untuk tunduk dengan sesuatu tekanan. Hatta, kata saya kepada rakan di Ipoh itu, kalau anak Badawi paksa dia meletakkan jawatan sekalipun, belum tentu tindasan itu akan diikutnya.

Menurut sumber, antara sebab Nazri dikatakan wajar meletakkan jawatan adalah kerana kelantangannya di Parlimen yang telah menyebabkan ramai orang tidak menyukai sikapnya itu hingga pengundi menolak BN pada pilihan raya umum lalu.

Dalam ertikata lain, orang seperti Nazri antara penyumbang tegar kepada kekalahan BN pada pilihan raya umum lalu. Dia boleh dianggap "sokong bawa rebah" pada BN.

Namun, dengan kesediaan anak Badawi menabalnya sebagai Menteri, ia sekaligus telah menjamin jalan selamat kepada Nazri untuk tidak disingkirkan dari kabinet BN, yang kini dilihat kurang bermaya.

Tiada ulasan: