KLIK JOM FOLO DI SINI

Selasa, April 01, 2008

Takbir, Reformasi, Makkal Shakti - GEGARKAN Stadium Melawati Semalam!








Foto Ihsan Harakahdaily dan Tranungkite

By SAIDAH HAIRAN

JIKA selama ini Stadium Melawati bergema dengan tepukan dan sorakan penyokong pelbagai jenis sukan, tetapi malam 31 Mac terukir dalam sejarah, stadium tersebut bergema laungan 'Allah Hu Akbar', 'Reformasi' dan 'Makkal Shakti'.

Laungan suara rakyat menandakan berakhirnya penyeksaan selama mereka khususnya rakyat Selangor berada di bawah pemerintahan BN-Umno.

Lebih 25,000 rakyat membanjiri stadium yang hanya menyediakan 15,000 kerusi. Stadium yang selama ini dijadikan tempat bermain badminton telah bertukar wajah.

Dari wajah bersorak tanpa mengenal batas pergaulan, muslimin dan muslimat bersatu hati rukuk dan sujud menunaikan solat Isyak dan Hajat yang dipimpin oleh Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Lagu Negaraku dan Bersatulah (lagu PAS) turut dinyanyikan dengan penuh semangat oleh lebih 25,000 hadirin. Kelihatan bendera PAS, KeADILan dan DAP berkibar di segenap penjuru. Sungguh menakjubkan.

Wajah-wajah yang hadir dalam program Himpunan Rakyat kelihatan ceria. Lebih 20 bas persiaran, kilang dan sekolah berada di tempat letak kenderaan bersebelahan stadium.

Bukan hanya rakyat Selangor bahkan Kelantan; Pahang; Negeri Sembilan; Johor; Wilayah Persekutuan dan Terengganu turut hadir dalam program tersebut. Mereka mahu bersama meraikan kemenangan Selangor walaupun di bawah Pakatan Rakyat.

Turut hadir dalam program gilang gemilang itu antaranya, To' Puan Zainab Awang (isteri Presiden); Ketua Muslimat Selangor, Wan Hasrina Wan Hassan; ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohamad Ghazali; ahli Parlimen dan Adun PAS Selangor.

Semua pimpinan yang berceramah sepakat mengucapkan jutaan terima kasih kepada rakyat Selangor yang memilih PAS, KeADILan dan DAP dalam pilihan raya, 8 Mac lalu. Tuan Guru Abdul Hadi dalam ceramahnya mencadangkan agar satu gagasan pakatan politik baru ditubuhkan bagi mendepani cabaran politik baru di Malaysia.

Katanya, Pakatan Rakyat yang terdiri daripada gabungan PAS, KeADILan dan DAP yang diberikan mandat besar wajar menghulurkan tangan kepada rakan-rakan dalam BN khasnya wakil-wakil rakyat Umno, MCA, MIC dan Gerakan.

Menurut beliau, ia perlu dilakukan supaya bersama-sama menyertai gagasan politik baru bagi membina negara yang lebih selamat, sejahtera dan makmur.

Beliau yang juga ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang berkata, ternyata hasil gelombang kebangkitan rakyat dalam pilihan raya lalu, BN semakin dipinggirkan dan tidak relevan dalam arus politik negara.

Katanya, gagasan pakatan itu perlu menyemak semula dengan meminda atau menghapuskan mana-mana undang-undang dan peraturan yang zalim dan mendiskriminasi terutamanya ISA, Auku, OSA dan sebagainya.

Beliau berharap gagasan itu perlu segera melakukan reformasi terhadap amalan demokrasi dalam negara dengan memulihkan proses pilihan raya sebagaimana yang dituntut rakyat dan badan-badan bukan kerajaan khususnya yang melibatkan bidang tugas dan operasi SPR.

Presiden PAS turut menekankan supya Badan Pencegah Rasuah (BPR) diberi kebebasan sebagai sebuah agensi pencegahan rasuah yang efektif dan tidak mengamalkan pendakwaan terpilih.

Katanya, keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara dengan memastikan ianya benar-benar bebas dan tidak tertakluk kepada mana-mana badan atau kuasa politik juga perlu dikembalikan.

Kenyataan Menteri Besar, Tan Sri Khalid Ibrahim turut menyentuh jiwa rakyat Selangor apabila beliau memulakan ucapan dengan menyanjung pengorbanan rakyat untuk menyokongnya.

"Kalau tidak ada tuan-tuan, saya tidak ada di sini, jadi saya terhutang budi, budi ini sangat besar, saya dan rakan-rakan akan balas, insya-Allah," luah beliau pada awal ucapan.

Beliau yang berbaju Melayu kuning itu melahirkan ketakutan dengan kepercayaan Presiden PAS yang menyokongnya menjadi Menteri Besar Selangor.

Di hadapan puluhan ribu rakyat beliau berjanji akan memansuhkan undang-undang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Akta Rahsia Rasmi (OSA), Akta Universiti dan Kolej Universiti (Auku), akta percetakan dan penerbitan.

Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa menyatakan kemenangan rakyat Selangor membuktikan bahawa suara rakyat negeri termaju itu telah dapat disatukan.

Katanya, tiga parti yang berbeza fahaman dan agama PAS, KeADILan dan DAP dapat bersatu dan bekerjasama untuk menjamin keadilan rakyat.

Beliau yang juga ahli Parlimen Bachok berkata, setelah 50 tahun merdeka dan 12 kali rakyat menghadapi pilihan raya baru kali ini rakyat berani membuktikan kebenaran.

"Orang sudah tidak guna dacing saya yakin dalam pilihan raya ke-13 keris dan dacing akan dicampak oleh rakyat," katanya sambil disambut sorakan dan laungan takbir.

Menurut beliau, bukan sahaja rakyat tidak percaya dengan Umno bahkan pimpinan mereka sendiri turut tidak mempercayai kredibiliti pimpinan parti itu.

Pesuruhjaya PAS Selangor, Dato' Dr Hasan Ali turut memperkenalkan ahli Parlimen, Adun serta exco PAS. Dalam ceramah itu beliau berjanji semua wakil rakyat akan berusaha melaksanakan segala tugas dan tanggungjawab secara adil dengan menghapuskan segala kezaliman yang menjadi amalan pimpinan BN-Umno.

"Kita akan pastikan tiada seorang pun rakyat Selangor sama ada kaum India dan Cina yang diketepikan haknya," katanya.

Dalam mesyuarat pertama exco di pejabat SUK beliau rasa terharu dengan kesungguhan Menteri Besar sendiri yang membaca doa.

Beliau yang diamanahkan menjadi exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam berkata; "Saya terharu mendengar bacaan doa beliau seolah-olah beliau menahan air mata, air mata untuk menjadi hamba rakyat'.

Sehubungan itu tambah beliau, kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor tidak mempunyai erti jika Allah tidak menyayangi dan mencintai hamba-Nya.

Pengarah program, Dr Osman Sabran menyatakan setelah 50 tahun Umno-BN memerintah barulah rakyat Selangor dapat menikmati hak mereka yang dinafikan oleh pimpinan kerajaan.

Beliau mengingatkan ahli dan pimpinan PAS, KeADILan dan DAP perlu sepakat dan bersatu hati menjaga harta benda yang selama ini dirampas oleh BN.

Program berikut dijangka pada 3 Mei di Stadium Melawati, antara penceramahnya Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. - Harakahdaily

Tiada ulasan: